Thursday, June 7, 2007

HARIAN METRO 7 JUN 2007

Mengamati sistem kekeluargaan kita
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

BAGAIMANA perasaan anda apabila membaca berita muka depan akhbar ini 31 Mei lalu? Bagi yang mempunyai ciri kemanusiaan dan belas kasihan, hati kita akan terhiris dan sedih, geram dan benci di atas tindakan si anak lelaki terbabit. Sampai hati si anak memperlakukan si ibu yang uzur dengan sebegitu tidak wajar.

Pendedahan itu membuka mata kita mengenai kecelaruan sistem kekeluargaan dalam masyarakat kita. Apa sebenarnya sudah terjadi dalam hati dan minda masyarakat kita? Ke mana hilangnya belas ihsan, menghormati dan menyayangi orang tua dan ke mana perginya sensitiviti ingin keberkatan dalam hidup berdasarkan restu dan kasih orang tua? Pada masa yang sama, kita juga terfikir apakah ada peruntukan undang-undang untuk si ibu membawa kes ke mahkamah bagi menuntut layanan yang baik, nafkah mata wang dan perlindungan daripada si anak?

Sebenarnya, dari sudut perundangan syariah di Malaysia, tiada undang-undang spesifik memperincikan tanggungjawab anak menyara dan memberi kasih sayang kepada orang tua. Apa yang ada hanya peruntukan umum dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri yang memperuntukkan mengenai nafkah.

Peruntukan itu menyebut Mahkamah Syariah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungjawab mengenai nafkah orang tertentu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada orang itu jika dia tidak upaya, sepenuhnya atau sebahagiannya daripada mencari kehidupan disebabkan kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat.

Mahkamah turut berpuas hati bahawa kemampuan orang yang bertanggungjawab itu adalah munasabah.

Ini bermakna Mahkamah Syariah boleh memerintahkan ayah memberi nafkah kepada anak, begitu juga boleh memerintahkan anak memberi nafkah kepada ibu bapa dalam apa-apa keadaan yang bersesuaian.

Namun, ia tidak merangkumi elemen lain seperti memberi kasih sayang, adab sopan, menghargai dan menghormati kedua-dua orang tua.

Jika kita meneliti suruhan Allah berkenaan hak ibu bapa terhadap anaknya, ia mencakupi ruang lingkup yang lebih luas, termasuk hak ibu bapa untuk dihormati, disayangi, dikasihani, ditanggung kebajikan mereka dan apa-apa yang selayaknya.

Ayat 23-24 surah al-Israa bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu janganlah menyembah kecuali Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kamu. Jika salah seorang atau kedua-duanya mencapai usia tua di bawah jagaanmu, maka jangan kamu sekali-kali mengatakan kepada mereka walaupun perkataan ‘ah’. Dan janganlah kamu mengherdik mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia (lagi sopan). Dan rendahkanlah diri kamu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan sambil berdoa, Ya Tuhanku kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mencurahkan kasih sayang mendidik aku semasa kecil”

Ibnu Umar r.a. pernah melihat seorang lelaki mendukung ibunya ketika bertawaf mengelilingi Kaabah (dengan penuh kesukaran) lalu orang itu bertanya kepada Ibn Umar “Wahai Ibnu Umar! Apakah dengan cara begini aku dapat membalas jasa ibuku? Jawab Ibnu Umar, engkau tidak akan dapat membalas jasa ibumu sekalipun, ia hanya sedikit. Namun begitu engkau sudah membuat kebaikan kepadanya dan moga Allah memberimu ganjaran daripada yang sedikit dengan pahala yang banyak.”

Bagi seorang anak lelaki, dia tidak dapat meninggalkan tanggungjawab terhadap ibu bapanya walaupun selepas berkahwin. Tanggungjawab memberi nafkah kepada anak isteri adalah tersangat penting, tetapi menanggung ibu bapa yang uzur juga perlu diambil kira mengikut kadar kemampuannya.

Suami yang baik akan berusaha membina dan mengambil tindakan terbaik supaya hubungan antaranya dan isteri tidak terusik.

Bagi anak perempuan pula, dia tertakluk kepada ketaatan kepada suami selagi mana tidak menyalahi hukum syarak.

Sekiranya anak perempuan ingin memberi wang kepada ibu bapanya menggunakan wang suami, maka keizinan perlu diperoleh daripada suami. Tetapi sekiranya dia bekerja dan menggunakan wang sendiri, dia tidak perlu mendapat keizinan daripada suami.

Bagaimanapun, dari segi menjaga keamanan hidup bersuami isteri, setiap pasangan disarankan untuk berbincang dan bermusyawarah mengenai pembahagian kewangan keluarga supaya semua urusan berjalan lancar serta tidak dilakukan secara sembunyi.

Ingatlah ibu mengandungkan kita dalam rahimnya, melalui pelbagai kesulitan sewaktu hamil dan kesakitan yang amat sangat ketika melahirkan kita.

Ayah pula bekerja keras mencari rezeki menyara kehidupan berkeluarga yang diberkati Allah. Ibu kemudian menyusukan kita, memandikan dengan tangannya dan membuang segala kotoran dan najis daripada badan kita tanpa sedikit pun perasaan mual atau jijik.

Tetapi apabila ibu bapa berusia lanjut, badannya lemah dan memerlukan bantuan kita, tergamak pula kita memperlakukan mereka dengan perbuatan yang hina. Ada yang tidak menghiraukan kebajikan mereka, malah mencemuh dengan kata-kata kesat yang menghiris perasaan mereka.

Bagaimana kita melayan ibu bapa adalah contoh ikutan kepada anak. Jangan terkejut sekiranya kita membiarkan kehidupan ibu bapa dalam kesusahan, kita tidak melawat orang tua atas alasan sibuk bekerja, anak kita pula akan melakukan perkara yang sama kepada kita ketika tua.

Ingatlah, roda kehidupan ini sentiasa berpusing.

Penulis adalah pensyarah kanan di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam dan juga Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).