Friday, March 2, 2007

Slot Peguam Syarie Menulis 28 Feb 2007

Perkahwinan bawa mudarat patut dielak
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Islam saran keutamaan nilai bakal pasangan dari segi pegangan agama, akhlak

ADA orang berkata perkahwinan itu satu perjudian. Ibarat orang berjudi, jika bernasib baik, dia akan menang dan membawa balik untung yang banyak. Jika tidak, bukan saja tidak dapat untung, modal pun habis.Begitulah juga dengan perkahwinan. Jika bernasib baik, perkahwinan akan bahagia dan berjaya. Jika tidak, terpaksalah menanggung kesusahan dan kepayahan daripada perkahwinan itu.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Perempuan itu dikahwini kerana empat, kecantikan, keturunan, harta dan agamanya. Pilihlah yang beragama, nescaya selamatlah kamu.”Kebiasaannya, lelaki lebih melihat kepada rupa paras. Islam menyarankan carilah bakal isteri yang baik, berpegang teguh kepada agama, menjaga maruah diri dan baik akhlaknya. Maka, dengan izin Allah, akan selamatlah rumah tangga yang dibina.

Jika lelaki disarankan membuat pilihan begitu, maka apakah pula kedudukan bagi wanita? Sudah tentu lebih wajar untuk mengkaji siapakah calon suaminya, kerana seorang isteri akan tertakluk kepada suaminya.Imam Hassan pernah ditanya oleh seorang bapa, “Dengan siapakah perlu aku kahwinkan anak perempuanku? Beliau menjawab, “Kahwinkanlah dengan lelaki yang beragama dan bertakwa. Jika dia sayang pada anakmu, dia akan melayannya dengan baik. Jika tidak sayang, dia tidak akan melayannya dengan buruk.”

Justeru, apabila Islam menyarankan supaya menilai bakal pasangan sebelum berkahwin, ini bermaksud perkahwinan adalah suatu yang dirancang, bukan berdasarkan nasib semata-mata (perkahwinan bukanlah satu perjudian).Kebelakangan ini, heboh diperkatakan mengenai perkahwinan pasangan pembawa HIV. Adakah wajar seorang sihat berkahwin dengan pasangan yang sudah disahkan HIV Positif?Sekiranya mereka berkahwin, bagaimana kehidupan mereka selepas berkahwin? Apa akan berlaku kepada anak yang akan lahir?

Berdasarkan laporan Tabung Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Malaysia antara negara mempunyai bilangan pesakit HIV yang ramai dan bertambah setiap tahun.Bilangan kes jangkitan HIV berjaya dikesan dari tahun 1986 sehingga Jun 2006 adalah 73,427 dan 8334 daripada mereka sudah meninggal kerana AIDS dan secara purata 17 orang meninggal setiap hari kerana penyakit itu.Apabila jumlah terbabit ramai dan hidup bersama dalam masyarakat yang ada, maka bukan suatu yang pelik sekiranya wanita bertemu dan bercinta dengan lelaki pembawa HIV positif ataupun sebaliknya.

Secara dasarnya, pembawa HIV juga sama dengan manusia lain. Mereka berhak untuk hidup dan merasai kenikmatan serta kebahagiaan selama mana hayatnya masih ada. Mereka juga mempunyai naluri untuk mempunyai keluarga dan disayangi.Masyarakat harus faham bahawa penyakit ini boleh merebak melalui banyak cara seperti mengadakan hubungan kelamin dengan pembawa HIV, pertukaran jarum suntikan bagi penagih dadah dan pemindahan darah (walaupun ini kes terpencil).Wajarkah seorang yang sihat memilih dan dibenarkan berkahwin dengan seorang yang sudah diketahui HIV positif?

Isu ini membabitkan aspek kemanusiaan, keagamaan dan undang-undang.Dari aspek kemanusiaan, untuk melarangnya adalah rumit kerana membabitkan perasaan dan hati. Selalunya, seorang boleh berfikir secara tenang dan menilai baik buruk sesuatu jika bersangkutan dengan perkara lain, tetapi tidak dalam hal membabitkan hati dan perasaan.Seorang perempuan atau lelaki bercinta sama ada dengan pasangan HIV positif atau tidak sering dikuasai emosi dan perasaan. Apabila dilarang, ada yang patuh dan ada pula berusaha melawan bagi membuktikan keputusannya wajar atas dasar cinta.

Berdasarkan pandangan agama, ada beberapa perkara harus diberi perhatian kerana perkahwinan dalam Islam adalah suatu yang mulia. Ia tidak bergantung semata-mata kepada nasib, tetapi membabitkan perancangan, usaha dan doa.Seorang perempuan yang membuat keputusan hari ini akan memberi kesan kepada seluruh kehidupannya. Anak yang lahir akan turut menerima kesannya. Menangis hari ini adalah lebih baik daripada menangis sepanjang hayat.Justeru, membuat pemilihan yang saksama dengan waras dan tenang sangat penting kerana ia membabitkan generasi akan datang.

Islam menggariskan tatacara untuk mencari keputusan terbaik.Allah berfirman bermaksud: “Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan..” (Surah al-Baqarah, ayat 195)Sekiranya diketahui bahaya yang akan datang, maka jangan sama-sekali terjun ke dalamnya kerana ia akan merosakkan diri kita. Kaedah fiqh turut menegaskan, ‘menolak mudarat lebih utama daripada mengambil manfaat.’Ini bermaksud, perkara yang mempunyai kebaikan dan kemudaratan, maka kemudaratan itu hendaklah ditolak.

Justeru, mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangan yang diketahui HIV positif akan mengundang banyak masalah.Oleh itu, menolak mudarat yang bakal berlaku adalah lebih utama daripada mengambil manfaat perkahwinan itu sendiri. Adalah dicadangkan pihak mufti bersidang dengan seberapa segera untuk mengeluarkan fatwa berkenaan isu ini dan diwartakan untuk perhatian serta ikutan semua umat Islam di Malaysia.

Dari segi undang-undang, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri hanya meletakkan syarat umum pasangan berkahwin. Tidak ada peruntukan khusus mengenai syarat pengantin sama ada sakit, muflis atau pengidap penyakit berisiko.Beberapa negeri mensyaratkan bakal pengantin melalui pemeriksaan darah dan menjalani sesi kaunseling sebelum berkahwin adalah suatu yang wajar.

Menangani isu keaiban pasangan, semua mazhab sependapat bahawa sekiranya seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki yang diketahui kecacatannya, maka haknya untuk fasakh dianggap terbatal.Begitu juga jika keaiban/kecacatan berlaku selepas perkahwinan dan isteri menyatakan keredaannya terhadap kecacatan itu, maka pada ketika itu haknya untuk menuntut fasakh menggunakan alasan keaiban juga dianggap terbatal. Bagaimana jika seorang isteri yang bersetuju berkahwin dengan pesakit sebegini dan tidak mampu menghadapi tekanan yang diakibatkan oleh perkahwinan itu. Apakah wajar dia menuntut fasakh menggunakan alasan ini?

Penulis adalah Exco Penyelidikan dan Penerbitan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sebarang pendapat dan komentar, sila kemukakan ke alamat admin@pgsm.org.my
Artikel ini telah disiarkan dalam BH pada 28 Feb 2007