Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

Jumaat, 24 April 2015

Semangat Membaca






Tulisannya adalah di bawah sebelum diedit seperti di akhbar BH 22 April 2015..

SIKAP SUKA MEMBACA
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur datang lagi.  Majlis yang  akan berlangsung mulai  24 April hingga 3 Mei 2015 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur menawarkan pelbagai  jenis bahan bacaan kepada pengunjungnya. Program  tahunan ini dikatakan menerima pengunjung yang semakin bertambah tahun demi tahun. Pada tahun lepas sahaja, dilaporkan lebih 1.7 juta pengunjung telah membanjiri Pesta Buku dan kemungkinan bilangannya akan meningkat lebih tinggi pada tahun ini. 

Walaupun  dunia semakin berkembang melalui peralatan elektronik dan e-book yang mewarnai bentuk bahan bacaan dunia alaf baru, namun masih ramai yang cintakan bahan bacaan  bertulis yang boleh dipegang dan diselak helaiannya. Bilangan pengunjung yang begitu ramai boleh juga menjadi petunjuk bahawa semangat  cintakan buku dan  suka membaca buku  berkembang dengan baik dalam masyarakat kita.

Semangat cintakan buku dan suka membaca sangat penting jika kita ingin menjadi masyarakat yang mempunyai daya fikir yang tinggi. Dengan membaca, ilmu kita bertambah dan lebih banyak fakta-fakta baru kita ketahui. Banyak membaca buku agama akan memberikan kita lebih banyak pengetahuan tentang ajaran agama kita sendiri dan membantu kita memperbaiki mutu amal ibadah kita. Banyak membaca buku motivasi dan pengalaman orang-orang yang berjaya boleh  membuka minda dan menjadikan kita lebih bersemangat  dalam mengharungi cabaran hidup ini. 

Semakin banyak kita membaca, semakin kuat minda kita memproses dan  menjadikan kita semakin berilmu,  matang dan meningkat menjadi insan yang lebih baik. Ini menepati pernyataan al-Quran iaitu, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (al-Zumar :9) 

Semangat cintakan buku dan suka membaca sebenarnya  bermula semenjak seseorang itu masih kecil lagi. Ibu bapa sebenarnya adalah pihak pertama yang memperkenalkan nilai murni ini. Membacakan kepada anak-anak sebelum mereka tidur seperti buku cerita kanak-kanak, komik bergambar, kisah Nabi-nabi dan lain-lain bacaan adalah amalan yang mempercepatkan pembinaan sikap cintakan ilmu dan suka membaca. Apatah lagi, membaca  merupakan perkara besar yang disebut dalam al-Quran melalui wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi di Gua Hira’ iaitu “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan..” (al-Alaq:1) Justeru, nilai suka membaca dan cintakan bahan bacaan adalah sesuatu amalan yang disukai dalam agama kita.  Namun begitu, amalan membacakan buku kepada anak-anak sebelum tidur agak kurang dalam masyarakat kita, tetapi menjadi amalan biasa dalam masyarakat barat.

Statistik yang pernah dikeluarkan sebelum ini menyebut masyarakat kita masih belum mencapai tahap minat membaca yang diimpikan. Sebagai contohnya, banyak laporan mengatakan seorang rakyat Australia membaca sekitar 180 buah buku setahun sedangkan rakyat Malaysia dikatakan belum sampai 10 buah buku setahun. Semoga bilangan masyarakat kita yang suka membaca akan meningkat seiring dengan ramainya jumlah pengunjung pesta buku yang diadakan.

Dalam mempertingkatkan usaha membina semangat cintakan ilmu, wajar juga untuk kita lihat bagaimana masyarakat negara lain melakukannya. Ia boleh menjadi contoh untuk kita mengikutinya. Perpustakaan awam di Australia contohnya ditubuhkan di setiap seksyen  penempatan penduduk dan memudahkan semua proses akses kepada fasiliti yang ditawarkan..  Perpustakaan-perpustakaan awam daerah juga membenarkan setiap kanak-kanak meminjam 30 buah buku sekali gus dan boleh memulangkannya di mana-mana perpustakaan berdekatan. Mereka juga memudahkan kaedah tempahan buku untuk peminjaman secara email dan boleh memperbaharui tempoh pinjaman secara ‘online’. Bahkan setiap perpustakaan menjalankan bengkel percuma untuk ibu bapa mempelajari teknik-teknik membaca dengan anak-anak mereka sebelum tidur.

Sekolah-sekolah di Australia turut menyuburkan semangat cinta membaca buku dengan menjadikan sesi membaca buku atau novel bersama ibu bapa di rumah sebagai kerja rumah setiap hari. Setiap murid akan diberikan buku log untuk catatan apakah buku yang dibaca sebelum tidur dengan ibu bapa, sekitar 10 minit dan ibu bapa perlu menandatangani buku tersebut. Kejayaan menghabiskan buku bacaan paling banyak akan diraikan oleh pihak sekolah dalam sesi perhimpunan sekolah mereka dengan dipanggil ke hadapan  pentas dan dianugerahkan lencana “Pupil of the Week’ oleh guru besar. Usaha ini menyebabkan kanak-kanak teruja dan sesuatu yang biasa bagi seorang murid sekolah rendah di sana menghabiskan 30 buah buku cerita seminggu.

Seorang guru besar sekolah di Australia turut menceritakan bahawa, usaha menggalakkan kanak-kanak membaca novel atau buku cerita adalah bertujuan membantu mereka membina kreativiti dan penguasaan bahasa. Adalah kurang ditekankan hafalan seperti ‘prosa kata’ secara sendirian tetapi ia dipelajari melalui penceritaan dan pemakaiannya di dalam novel. Kerja sekolah bagi kanak-kanak sekolah rendah (7 hingga 12 tahun) adalah membaca buku cerita dan novel dan membuat ringkasan di dalam buku log. Mereka membina sikap cintakan buku dari kecil dan membuatkan ia menjadi sebahagian dari tabiaat harian. Justeru, adalah perkara biasa mereka membawa buku cerita bersama dan membacanya di dalam bas, keretapi dan di taman-taman.

Apabila semenjak kecil kanak-kanak suka membaca, ia akan menjadi satu tabiat yang akan mereka bawa hingga mereka dewasa dan membentuk keluarga. Apabila ibu bapa mempunyai sikap suka membaca, ia akan diturunkan pula kepada anak-anak mereka kelak  untuk turut sama cintakan membaca dan mencari ilmu..

Ini adalah satu usaha murni yang wajar diikuti oleh kita semua ke arah menggalakkan dan membina nilai murni cintakan buku dan suka membaca dalam kelompok masyarakat kita.

*Penulis adalah Prof Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam



Jumaat, 25 April 2014

Erti perkahwinan..

Perkahwinan..

Artikel ini disiarkan dalam Berita Harian Khamis 24 April 2014 semalam. Saya kena siapkan dua hari sebelum diterbitkan. Jadi setiap petang Selasa saya akan berusaha menyiapkan dan mengirimkan kepada Editornya, Puan Liza.

Pn Liza ni seorang Editor yang bagus. Ada banyak juga dia edit kerja saya ni..:-)

Semoga kita bersyukur dengan rezeki kita dapat berkahwin, ada pasangan dan keluarga.. Semoga kita dapat berusaha menjaga kebahagiaan yang ada dan selalu meminta keberkatan Allah ke atas seluruh ahli keluarga kita.. ameen..

Khamis, 3 April 2014

Pengajaran dari Kes Sweden

Artikel 
Artikel ini disiarkan dalam Berita Harian pada 3 April 2014 (Khamis) ruanga Agama. Saya ingin mengutarakan pendapat saya atau analisis yang saya buat terhadap kes pasangan Malaysia di Sweden ini. Saya berdoa agar kedua mereka tabah dalam menghadapi hukuman penjara di sana, dapat memikir kembali tentag hubungan kekeluargaan antara mereka dan anak-anak, dapat memaafkan anak-anak mereka.. serta yang penting dapat juga meminta maaf dariapda anak-anak mereka. Kepada anak-anak mereka, saya mendoakan agar agar mereka tabah, dapat memafkan ibu bapa mereka, dapat memikirkan tentang kasih sayang ibu bapa mereka yang pernah diberikan dan semoga mereka semua akan kembali membina hubungan kekeluargaan yang lebih baik apabila bergabung nanti.. ameen..

_____________________________
 
Tajuk di Berita Harian   PENDIDIKAN HARUS BERASASKAN KASIH SAYANG..
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim
 
Kes sepasang rakyat Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan melakukan penderaan dan pencabulan kepada integiriti anak mereka menerima liputan meluas di negara kita. Kes ini menarik perhatian rakyat Malaysia kerana ia melibatkan kaedah mendidik yang dianggap hak ibu bapa untuk mendisiplinkan anak-anak mereka.
Sedangkan di Sweden, perlindungan daripada dipukul dan dilayan secara tidak wajar adalah satu perkara besar yang diperuntukkan dalam undang-undang kanak-kanak mereka. Mahkamah  yang membicarakan kes ini telah mensabitkan hukuman bersalah,  ibu tersebut  telah dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan manakala ayah mereka dikenakan 10 bulan penjara.
Perkembangan dan penghakiman kes ini menjadi bahan perbincangan di internet dan laman-laman sosial. Berdasarkan maklumbalas yang diberi, saya rangkumkan terdapat tiga pendapat diberikan oleh orang ramai. Pertama, mereka menyalahkan undang-undang Sweden yang dianggap terlalu tegas sehingga menolak kuasa ibu bapa mendidik anak-anak mereka. Mereka berpendapat memukul anak-anak adalah perkara biasa dalam kaedah pendidikan orang Melayu dan orang Islam. Justeru, kes ini seolah-olah mencabar orang Islam dan orang Melayu dalam mendisiplinkan anak-anak mereka.
Kedua, mereka menyalahkan ibu bapa tersebut kerana terlalu keras dalam mendisiplinkan anak-anak mereka. Pendekatan garang, pukulan menggunakan tangan, rotan dan tali pinggang dilihat sebagai kaedah mendidik yang diamalkan sehingga menyebabkan anak-anak memberontak. Anak-anak gagal memahami kenapa mereka dihukum.
Ketiga, mereka menyalahkan anak-anak tersebut kerana membuat laporan sehingga ibu bapa mereka dibicarakan. Anak-anak tersebut dikatakan  bukan anak yang baik, tidak menyayangi ibu bapa mereka dan tidak menghargai nikmat yang ibu bapa mereka berikan. Bahkan ada penulis yang membandingkan anak-anak tersebut dengan pengalaman mereka semasa kecil, di mana mereka dahulu dirotan setiap hari, diketuk kepala ke dinding dan diikat di tiang tetapi tidak membantah. Apa sahaja bentuk  hukuman dibuat oleh ibu bapa seharusnya diterima dengan terbuka oleh anak-anak kerana itu adalah tanda anak yang taat kepada ibu bapa mereka.
Kes ini sebenarnya wajar dilihat sebagai pencetus kepada penambahbaikan dalam masyarakat kita dalam urusan melibatkan kebajikan anak-anak, termasuklah tindakan yang diambil oleh ibu bapa, guru-guru dan penggubal undang-undang.  
Dari sudut agama, anak-anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa untuk dididik dan dijaga sehingga mereka mampu menjadi khalifah yang baik di muka bumi. Anak-anak bukan hak ibu bapa, tetapi mereka mempunyai hak untuk mendapat perlindungan dan layanan yang baik.
Sememangnya Nabi Muhammad SAW ada membenarkan pukulan kerana meninggalkan solat, tetapi ia adalah tindakan alternatif paling akhir dalam mendidik mereka. Itupun tertakluk kepada keberatan (weight) kesalahan yang dilakukan, dan juga haruslah selepas mereka berumur 10 tahun ke atas. Pukulan itu bukan dengan kuat penuh emosi marah,  tetapi pukulan ringan bertujuan untuk mendidik. Anak-anak juga hendaklah dijelaskan kesalahan mereka supaya mereka faham kenapa mereka dihukum.
Pendekatan kasih sayang adalah prinsip asas pendidikan Nabi SAW. Pendakwah Australia, Sheikh Yahya Ibrahim dalam satu ceramahnya pernah menegur pendekatan garang dan keras segelintir ibu bapa dan guru-guru yang sering mendenda dan merotan, dengan mencabar mereka membawa hadith yang menunjukkan Rasul mendekati kanak-kanak dengan pendekatan begitu. Tidak ada satu pun. Bahkan yang ada Rasululullah memuji, menegur, membina kasih sayang  sehingga kanak-kanak mencintai Baginda dan akhirnya turut mencintai ajaran agama yang Baginda bawa. Inilah yang berlaku kepada Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar yang masih muda remaja ketika itu.
Ini juga menjadi bahan utama pendekatan pakar motivasi terkenal di negara ini, Profesor Dr Muhaya Muhamad dalam ceramah keibu bapaan yang beliau kendalikan. Anak yang dididik dengan keras akan mengulangi dan menggunakan pendekatan keras di masa depan. Kajian banyak menunjukkan anak yang dilayan dengan keras, diherdik dan dihina akan rendah nilai dirinya dan akan bertindak serupa apabila mereka besar kelak. Pendekatan Nabi ini turut dikupas dengan panjang lebar oleh ramai pendakwah mengenai bagaimana kasih sayang adalah prinsip asas dalam pendidikan yang diajarkan Rasulullah. Kes ini seharusnya membuka mata ibu bapa untuk mendalami cara pendidikan Nabi dan mempraktikkan yang tepat dalam mendidik zuriat mereka.
Apabila melihat kepada pendekatan Sweden dan negara-negara lain, kita juga perlu melihat kembali bagaimana undang-undang negara kita mendekati isu penderaan ini. Alasan negara-negara tersebut pada hakikatnya adalah untuk menjaga kebajikan anak-anak daripada menjadi mangsa layanan yang tidak munasabah. Apatah lagi kanak-kanak yang mentalnya belum matang, tidak tahu untuk bertindak balas. Justeru, mereka sangat tegas dalam menilai erti penderaan. Penderaan bukan sahaja apabila patah tangan atau tanda seterika panas di badan kanak-kanak, tetapi juga melibatkan emosi kanak-kanak. Apabila seorang anak berubah menjadi pendiam, berada dalam dunia mereka sendiri, memberontak, berubah tingkah laku, maka ia juga adalah penderaan. Walaupun tidak bermakna Malaysia menerima secara total undang-undang mereka, tetapi wajar untuk kita melihat kembali dan menambah baik apa yang kurang untuk kebaikan kanak-kanak di negara ini.
Kita juga tidak wajar  menyebut perkataan menghina sebagai anak  tidak mengenang budi dan sebagainya kepada anak-anak tersebut kerana mereka adalah di bawah umur dan tidak boleh dikaitkan dengan kesalahan. Kita sepatutnya memberi sokongan kepada mereka supaya dapat menghadapi ujian ini, tidak trauma dan bukan menambah tekanan yang telah sedia ada. Jika masyarakat menghina, tindakan itu sebenarnya adalah sebahagian dari penderaan pula kepada mereka.

Adalah sangat diharapkan agar apabila keluarga ini bergabung kelak, ibu bapa dan anak-anak diberi bantuan psikologi untuk saling memaafkan dan membina kembali hubungan kekeluargaan yang ada. Adalah tidak mustahil dengan pandangan positif dan dokongan semua, keadaan akan menjadi lebih baik untuk mereka, dan seluruh ahli masyarakat kita umumnya. Kes ini mempunyai banyak hikmah yang tersirat.
 
*Penulis adalah Prof Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam.

Sabtu, 29 Mac 2014

Khamis, 27 Mac 2014

Ahad, 9 Mac 2014

Artikel Kes Sweden

Anak-anak terlibat...

Saya ada menulis satu artikel mengenai pandangan saya mengenai kes Sweden, tapi BH tak dapat siarkan/taknak siarkan. Alasannya keras sangat. Saya pun tak tahu
Tapi sekadar pendapat saya, saya letakkan di sini...

Ketika ramai bercakap memihak kepada ibu bapa yang terlibat, saya melihat sebaliknya...
Saya berpendapat kanak-kanak adalah pihak yang segala perkara harus memihak kepada mereka.. kebaikan mereka adalah priority dalam semua perkara yang diperbahaskan..kecuali yang berlawanan dengan hukum agama.
____________________ 

Melaporkan kes melibatkan  keluarga dan kanak-kanak
 Oleh: Dr Nurhidayah Hashim

Kes pertelingkahan keluarga yang diketengahkan di mahkamah sering menjadi bahan laporan  di negara kita. Sama ada melibatkan perceraian pasangan suami isteri, poligami, perebutan hak jagaan anak, tuntutan harta sepencarian, tuntutan nafkah anak selepas cerai, perbicaraan tuntutan fasakh dan pelbagai lagi.
 
Dari segi ilmiah, kes yang diputuskan oleh mahkamah sebegini kerap dilaporkan di dalam jurnal undang-undang sebagai rujukan hakim, peguam dan sesiapa yang berminat mengetahuinya. Laporan tersebut sangat terperinci di mana semua fakta, nama penuh pihak-pihak terlibat, nombor kad pengenalan, alamat, nama anak yang ada, umur dan sekolah mereka belajar, bahan pembuktian, hujah peguam dan alasan penghakiman  ketika memutuskan kes tersebut akan dilaporkan. Contohnya laporan kes yang disiarkan dalam jurnal terkenal seperti Malayan Law Journal, Shariah Law Report, Jurnal Hukum dan sebagainya.
 
 
Masa yang sama, kes-kes sebegini kerap juga dilaporkan di dalam media, termasuklah media cetak dan siber. Ini sangat kerap berlaku dalam kes orang Islam yang dibicarakan di mahkamah Syariah. Walaupun tidak bersifat ilmiah, laporan di media turut menceritakan dengan terperinci nama pasangan yang terlibat, dan selalu melaporkan alamat dan tempat kerja pihak yang bertikai.  Bahkan, apabila melibatkan kanak-kanak pula, selalu juga nama penuh kanak-kanak, umur dan sekolah mereka belajar disiarkan dalam laporan. Kadang-kadang  gambar kanak-kanak terlibat diletakkan. Pengkisahan pula  akan dilaporkan lebih terperinci apabila melibatkan keluarga orang terkenal, ahli politik atau kes yang menarik perhatian ramai. Justeru, tidak pelik apabila sesuatu kes orang terkenal dibawa ke mahkamah Syariah, wartawan sudah menunggu untuk mengambil gambar dan bertanyakan pelbagai soalan kepada peguam Syarie, pihak bertikai dan juga kanak-kanak yang terlibat.
 
Ini termasuklah juga kes yang hangat diperkatakan sekarang yang menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia, yang melibatkan pasangan Malaysia didakwa di Sweden atas dakwaan penderaan ke atas  empat orang anak mereka. Walaupun ia bukanlah kes keluarga, dan bukan dibicarakan di mahkamah di Malaysia, tetapi laporan kes tersebut disiarkan dengan begitu terperinci hampir setiap hari dalam media kita. Bahkan, catatan perbicaraan perkataan demi perkataan dilaporkan dengan menunjukkan pula reaksi kanak-kanak terlibat, gambar serta tempat persekolahan mereka. Laporan dan ulasan sebegini sebenarnya menggusarkan kerana ia boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut berasa tidak selamat, takut, menjadi bahan perhatian, dan kemungkinan menjadi bahan ejekan. Ia membawa mesej besar tentang pendekatan negara kita terhadap penjagaan kebajikan kanak-kanak sebagai orang berkepentingan dalam kes yang dilaporkan.
 
 
Saya ingin membandingkan dengan perlaksanaan negara maju menjaga keselamatan keluarga yang bertikai, kanak-kanak yang terlibat dan rahsia peribadi mereka. Untuk perbandingan, pada bulan Mac 2010, satu kes diputuskan di Mahkamah Keluarga di Australia menjadi tajuk utama akhbar. Ia melibatkan tuntutan seorang ibu meminta mahkamah mengeluarkan perintah melarang bekas suaminya dari menyuruh atau menggalakkan anak perempuan mereka berumur 6 tahun memanggil isteri barunya sebagai Mak (Mummy). Kes ini menarik kerana ibu tersebut berhujah kasih anak kepadanya tergugat dengan panggilan tersebut. Bahkan  merendahkan harga dirinya sebagai ibu kandung, menafikan peranannya sebagai ibu dan menyebabkan ibu tiri dapat merampas kasih anak tersebut. Walaupun kisah ini menarik, akhbar tidak menyebut langsung nama ibu bapa dan kanak-kanak tersebut.
 
Undang-undang di Australia memperuntukkan dengan jelas mengenai larangan melaporkan dengan terperinci nama mereka yang terlibat di media bahkan juga di jurnal-jurnal undang-undang. Ini termasuk juga kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak. Terdapat satu peruntukkan khusus mengenai perkara ini. Seksyen 121 Akta Undang-undang Keluarga 1975, memperuntukan bahawa mana-mana orang yang menerbitkan dalam surat khabar atau penerbitan berkala, dalam radio atau televisyen atau melalui cara elektronik mana-mana bahagian prosiding yang mengenal pasti  pihak kepada prosiding itu, orang yang berkaitan, saksi dalam kes adalah  melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum, apabila disabitkan dengan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun.
 
Mereka dengan tegas menjaga kerahsiaan kes keluarga, apatah lagi melibatkan kanak-kanak dengan meletakkan satu peruntukan bahawa seseorang dianggap melakukan kesalahan dan boleh dihukum apabila melaporkan nama, gelaran, nama samaran,  alamat premis di mana orang itu tinggal atau kerja, pekerjaan mereka, apa-apa jawatan rasmi yang dipegang oleh orang itu,  atau apa-apa yang   menjadi butir-butir yang mencukupi untuk mengenal pasti orang itu kepada orang awam.
 
Justeru itu, semua laporan ilmiah di jurnal undang-undang mereka juga hanya dibenarkan  melaporkan dengan nama pertama atau nama keluarga berserta nombor kes seperti Whisler v Whisler (2010 42 Fam LR 633), atau Smith v Smith , Allen v Green, tanpa melaporkan  nama penuh pasangan. Ia penting untuk menjaga nama baik pasangan terutama anak yang terbabit dalam kes dilaporkan. Nama anak dalam setiap laporan kes juga hanya dibenarkan menggunakan huruf pertama seperti, anak pertama bernama  L (enam tahun) dan anak kedua bernama M (dua tahun).
 
Undang-undang New Zealand juga menyebut bahawa semua media tidak dibenarkan melaporkan apa-apa butiran yang boleh menyebabkan pembaca dapat mengenal pasti siapa yang terlibat dalam kes tersebut, termasuklah nama anak, nama ibu bapa, nama penjaga, nama saksi dan sebagainya kecuali selepas mendapat kebenaran mahkamah. Bahkan laporan di dalam jurnal juga tidak boleh menyebut nama penuh mereka, atas alasan keperluan menjaga kerahsiaan urusan undang-undang keluarga.  
 
Melihat kepada perkembangan yang berlaku di negara kita di mana kes-kes melibatkan kanak-kanak dan keluarga bertikai terutama di mahkamah Syariah sering menjadi sumber laporan media, sudah sampai masanya bagi pihak berwajib mengambil tindakan tegas dengan menggubal undang-undang khusus tentang sekatan penyiaran kes mahkamah. Peraturan yang memberi garis panduan secara etika dan undang-undang berkenaan sejauhmana perjalanan kes boleh dilaporkan oleh media, dan juga jurnal undang-undang wajar digubal. Undang-undang perlu ada untuk menjaga kebajikan mereka yang bertikai, terutama melibatkan kanak-kanak kerana penyiaran laporan tanpa sekatan boleh memberi kesan besar kepada kepentingan, kejiwaan,  keselamatan dan kerahsiaan urusan hidup mereka yang terlibat.

Khamis, 23 Januari 2014

Dera, Berlawanan dengan Agama, Moral

Dera anak tiri..

Artikel disiarkan dalam Berita Harian 13 Jan 2014..

Dera bertentangan dengan agama, moral 
Oleh Prof Madya Dr Nurhidayah Hashim

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita penderaan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang  didera oleh ibu tirinya di Kajang. Kanak-kanak malang tersebut disumbat cili di dalam mulut dan juga kemaluannya. Beliau juga diikat di kerusi oleh siibu tiri tersebut.   

Tidak terbayang di hati kita betapa sakit penderitaan dialami kanak-kanak malang tersebut dan betapa tegarnya ibu tiri melakukan perkara tersebut.

Begitu juga pada hujung 2011 dahulu, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak lelaki 6 tahun didera oleh ayah tiri di Alor Gajah. Selama 10 hari ketika ibu kandungnya ditahan di hospital,  kanak-kanak malang ini didera dengan diletakkan besi panas di kaki sehingga berlubang, diletakkan seterika panas di badannya, dicucuh rokok di perut sehinggakan badannya penuh dengan kesan calar dan  mata dan mulutnya lebam hasil dipukul, Kanak-kanak malang ini akhirnya meninggal dunia.

Pada bulan Jun 2013 pula, akhbar turut melaporkan seorang kanak-kanak berumur 7 tahun didera bapa tiri di Gong Badak dengan dikurung dantidak diberi makan selama berhari-hari, dipukul dan didera sehinggakan kedua-dua belah kaki mangsa bengkak, melecur sehingga bernanah dan dijangkiti kuman. Syukurlah kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan selepas jirannya membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga kepada pihak polis.


Apabila melibatkan hubungan anak tiri dengan bapa atau ibu tiri, ia bermakna bahawa pasangan tersebut berkahwin dengan wanita atau lelaki yang telah mempunyai anak  hasil dari perkahwinan terdahulu. Walaupun terdapat juga laporan  mengenai penderaan ke atas kanak-kanak dilakukan oleh ibu atau bapa kandung atau pun oleh pihak lain, tetapi penderaan yang dilakukan oleh ibu tiri atau bapa tiri dilihat semakin kerap dilaporkan.


Perkembangan sebegini sangat menyedihkan dan menimbulkan beberapa persoalan mengenai urusan perkahwinan dan juga kebajikan kanak-kanak dalam masyarakat kita. Perkembangan ini seolah-olah  menunjukkan bahawa stigma lapuk  masih membelenggu sebahagian masyarakat kita, iaitu anak tiri, atas dasar bukan anak sendiri tidak mungkin dilayan seperti anak sendiri. Seolah-olah ibu atau bapa tiri tadi mendapat tiket untuk menjadikan anak tiri sebagai bahan untuk didera. Kenapa perkara ini terjadi?

Kita maklum bahawa perkahwinan dan hubungan suami isteri dan anak-anak adalah perkara mulia dan dipandang penting dalam Islam. Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri. Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, ingin disayangi, dilindungi dan menyayangi. Oleh itu, semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga.

Begitu juga,  antara objektif perkahwinan adalah melahirkan mawaddah dan rahmah (kasih sayang dan belas ihsan) di antara dua pihak, iaitu suami dan isteri, seperti mana dinyatakan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (al-Rum: 21)

Dalam usaha mencapai mawaddah tersebut,  sekiranya pasangan yang ingin dikahwini sudah mempunyai anak, maka anak tersebut turut terlibat secara langsung dalam ikatan yang dibina. Dengan itu, tidak wajar seorang yang ingin berkahwin dengan bakal pasangan yang telah mempunyai anak, hanya menerima dan menyayangi pasangan sahaja, tetapi menolak anak-anak sedia ada. Mereka haruslah turut membina rasa sayang dan penerimaan kepada anak-anak bakal pasangan mereka. Ini adalah perkara besar demi kebajikan anak-anak tiri tersebut.

Justeru itu, Islam meletakkan bahawa ayah tiri atau ibu tiri diterima sebagai mahram selepas berlakunya hubungan kelamin antara pasangan tersebut. Dengan itu, hubungan anak tiri dan ayah tiri/ibu tiri tidak lagi batal wudhu, boleh bersalaman dan diterima sebagai mahram selamanya.

Apatah lagi jika bakal pasangan tersebut kematian suami atau isteri, yang meletakkan anak-anak mereka sebagai status anak yatim yang perlu dilindungi dan dilayan dengan baik. Anak yatim yang kehilangan ibu atau bapa sudah tentu mengalami rasa kehilangan yang mendalam dan boleh memberi kesan kepada kejiwaan mereka. Atas dasar itu, Allah menawarkan pahala yang besar bagi mereka yang melindungi dan menjaga kebajikan anak-anak yatim yang kematian ibu atau ayah. Justeru, seorang yang mendera anak tiri yang juga anak yatim, adalah satu tindakan yang tidak dapat diterima dari sudut agama, begitu juga dari sudut moral.

Atas dasar ini, kebajikan anak sedia ada perlu menjadi satu nilaian besar bagi mana-mana pasangan yang ingin berkahwin dengan wanita atau lelaki yang telah mempunyai anak dari perkahwinan terdahulu. Terimalah bakal pasangan dan anak-anak yang ada dengan penuh rasa terbuka, dengan hati dengan ikhlas seperti anak sendiri dan melayan mereka dengan penuh kasih sayang. Pandanglah mereka dengan kasih sayang, bukan kebencian untuk menjadi mangsa deraan kerana doa mereka juga menjadi pahala berlanjutan kepada ibu dan bapa tiri selepas kematian kelak.

Pada masa sama, jiran tetangga mesti memain peranan untuk melapor kepada pihak berwajib sekiranya diketahui ada anak-anak yang menjadi mangsa deraan dalam kejiranan mereka. Keprihatin bersama dapat menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa.



Apakah Erti Sebenar Hak Kanak-kanak

Alhamdulillah, artikel mengenai Hak Kanak-kanak dan saya kaitkan dengan apa yang berlaku dalam kes di Sweden yang saya tulis telah diterbitkan pada hari ini.  Perkataan Bahasa Inggeris telah diterjemahkan ke BM oleh Editor terlibat. Berita Harian 23 Januari 2014 (Khamis-Ruangan Agama page 32). Semoga ada manfaat.. ameen



Kisah Pasangan di  Sweden dan isu hak kanak-kanak.
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim
Masyarakat kita dikejutkan dengan kes sepasang suami isteri warga Malaysia ditahan reman di Sweden kerana memukul anak mereka atas alasan tidak mengerjakan sembahyang. Dikatakan anak tersebut menceritakan kepada gurunya, kemudiannya membuat laporan kepada pihak berwajib. 

Tindakan undang-undang sangat tegas di sana menyebabkan ibu bapa ditahan dan anak-anak diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat. Pihak Kementerian Luar Negara turut campur tangan dalam kes ini. Kita semua menunggu dengan debar dan doa bagaimana kes ini akan berakhir kelak.
Dari satu sudut, kes ini telah membuka mata banyak pihak mengenai isu hak kanak-kanak. Apakah dasar yang menjadi pegangan negara-negara maju seperti Sweden, Australia dan lain-lain sehingga banyak pendekatan sistem mereka berbeza dengan beberapa negara lain, terutama dengan negara sedang membangun. 
Apa yang wujud hari ini sudah pasti bermula dari zaman sebelumnya. Apakah kanak-kanak ada hak, dan jika ada, apakah hak mereka mula dibincangkan di kalangan sarjana barat beberapa kurun terdahulu. Terdapat dua aliran pendapat bertentangan. Pihak pertama mengatakan kanak-kanak tidak mempunyai sebarang hak. Mereka tidak berkemampuan membuat pilihan dan melaksanakan hak. 

Mereka dianggap hak milik mutlak ibu bapa atau penjaga, boleh diperlakukan mengikut sekehendak ibu bapa dan penjaga, termasuklah dipukul, dikurung, disuruh bekerja mencari rezeki dan sebagainya. Oleh kerana kanak-kanak dianggap tidak mempunyai sebarang hak, maka mereka tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantah.  
Manakala pendapat kedua mengatakan kanak-kanak mempunyai hak seperti mana orang dewasa. Mereka mesti dilayan seperti orang dewasa yang berhak melakukan apa yang mereka ingini dalam hidup. Tidak boleh dipaksa melakukan perkara yang mereka tidak sukai, tidak boleh dipukul seperti hamba, tidak boleh didera, dan kebajikan mereka dalam hidup mesti dijaga oleh semua pihak. 
Usaha menjaga hak kanak-kanak bergerak lebih serius pada awal kurun 20an. Pada tahun 1924, lahir Declaration of Geneva yang menyebut bahawa semua lelaki dan wanita bertanggungjawab memberi yang terbaik kepada kanak-kanak, antaranya mereka mesti dipelihara dan dijaga keperluan mereka untuk membangun dari segi material dan spiritual. 
Usaha lebih serius diteruskan pada tahun 1959 apabila Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) menerima Declaration on the Rights of the Child 1959 yang meletakkan 10 prinsip dalam mengiktiraf hak kanak-kanak. Ini termasuklah hak mendapat jagaan yang baik, hak menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak (childhood) yang sesuai dan gembira, mendapat perlindungan yang baik sehingga semua unsur fizikal, mental, moral, rohani dan sosial mereka dapat terbangun dengan baik.

Jane Fortin dalam bukunya Children's Rights and the Developing Law (2009) menyatakan usaha bersungguh-sungguh telah diteruskan lagi diawal tahun 1970an untuk mendesak negara-negara bagi menjaga kebajikan kanak-kanak dalam negara masing-masing. Pada ketika itu banyak isu melibatkan pencabulan hak kanak-kanak diketengahkan, termasuklah kebajikan kanak-kanak tanpa ibu bapa yang menjadi mangsa perang, kanak-kanak dipaksa menjadi buruh dan dibayar gaji sangat sedikit, dan juga  isu hukuman ‘keras’ terhadap kanak-kanak seperti dirotan di khalayak ramai, didera dan sebagainya sama ada oleh ibu bapa atau pun pihak sekolah. 

Usaha tersebut dianggap mencapai kejayaan dengan lahirnya United Nations Convention on the Rights of the Child (UNCRC) pada tahun 1989 yang diangkat sebagai dokumen antarabangsa yang mempunyai nilai perundangan dalam menjaga hak kanak-kanak. UNCRC ditandangani oleh paling banyak negara dunia, termasuklah negara kita Malaysia (dengan beberapa reservasi terhadap beberapa peruntukan yang dianggap berlawanan dengan Syariah). 

UNCRC inilah yang menjadi penggerak kepada perubahan di banyak negara maju dalam menangani isu kanak-kanak. Prinsip besar adalah Perkara 3 yang memperuntukkan bahawa negara, bukan sahaja mesti melindungi kanak-kanak dalam memastikan hak mereka untuk menjalani kehidupan terjaga, tetapi mesti mengambil apa sahaja tindakan untuk memastikan kebajikan kanak-kanak terbela dalam semua keadaan. Ia menyebut, “Dalam semua keadaan yang melibatkan kanak-kanak, sama ada diambil di bawah institusi kebajikan kerajaan, swasta, mahkamah, jabatan pentadbiran; kebajikan kanak-kanak adalah perkara asas yang mesti dipertimbangkan ( the best interest of the child shall be a primary concern.)

Istilah ‘for the best interests of the child’ ini menjadi dasar pula kepada wujudnya beberapa undang-undang dan polisi yang melindungi kebajikan kanak-kanak . Ini termasuklah tidak membenarkan kanak-kanak dirotan dan didera oleh pihak keluarga dan juga sekolah, tidak boleh dipaksa bekerja mencari rezeki, tidak boleh dibiarkan berada dalam keadaan merbahaya, dianiaya dan tertekan. Pelakunya dianggap melakukan kesalahan jenayah dan berhak dihukum. 

Kanak-kanak berhak untuk melalui zaman kanak-kanak yang aktif dan ceria, diberi hak bermain, menerima nafkah dan menerima pendidikan. Kebajikan kanak-kanak mesti menjadi dasar bagi kerajaan dan semua pihak dalam memutuskan sesuatu tindakan yang melibatkan mereka. Apabila didapati ada kanak-kanak berada dalam bahaya, atau dalam lingkungan ibu bapa pendera, dan mereka teraniaya kerana tidak dapat menyelamatkan diri sendiri, maka kerajaan mempunyai  tanggungjawab menyelamatkan kanak-tersebut. Mereka yang mengetahui wujudnya penderaan atau salah laku terhadap kanak-kanak juga wajib melaporkan kepada pihak berwajib demi kebajikan kanak-kanak yang terlibat.

Sebahagian ilmuan barat khuatir dengan istilah ini kerana ia terlalu besar maknanya dan boleh terbuka kepada pelbagai pendekatan dan salah tanggap. ‘For the best interest of the child’ sangat sukar dinilai kerana tiada kayu ukur untuknya dan mempunyai lompong besar yang terbuka kepada nilaian berbeza mengikut negara.  Inilah yang terjadi dalam undang-undang yang melibatkan pasangan tersebut di Sweden.  

Apa yang kita ingin nilai adalah bagaimana Islam menilai isu sebegini? Apakah kanak-kanak mempunyai kedudukan besar dalam Islam, dan bagaimana kedudukan hak kanak-kanak ini dalam masyarakat kita. Apakah prinsip ‘for the best interests of the child’  ini berlawanan dengan Islam?

Selasa, 21 Januari 2014

Hak Kanak-kanak dalam Berita Harian

Hak Kanak-kanak 


 Saya berusaha untuk menulis dalam Berita Harian, berkongsi rasa dan sedikit ilmu yang Allah berikan. Terima kasih pada ALlah di atas rezekiNya yang sangat saya syukuri. Terima kasih juga kepada kawan saya yang merecommend saya dengan kata-kata yang baik kepada pihak Berita Harian... Alhamdulillah...

Saya plan dan  berhasrat untuk mengenengahkan isu kanak-kanak, kekeluargaan,undang-undang dan pendidikan dalam artikel yang akan keluar setiap hari Khamis di Berita Harian Ruangan Agama. Semoga ada manfaat.. ameen


Khamis Pertama 9 Jan 2014

Bersama mendidik kanak-kanak dengan pendekatan lembut dan kasih sayang
Oleh: Prof Madya Dr Nurhidayah Hashim
Sepanjang tahun 2013 ini, banyak laporan akhbar menyentuh mengenai pendekatan keras segelintir guru yang dilakukan ke atas anak didik mereka, sama ada di sekolah rendah, menengah, agama, termasuklah juga sekolah pondok tahfiz. Antaranya murid tahun dua didakwa ditampar sehingga pekak, murid tahun satu ditendang guru matematik, pelajar sekolah agama ditendang guru, dibaling kunci  oleh guru dan sebagainya. Antara ‘kesalahan’ mereka adalah tidak menyiapkan kerja rumah,  tidak menghafal sifir, tidak datang sekolah, datang lambat ke sekolah, berbuat bising dalam kelas, tidak menghafal ayat al-Quran,  tidak fokus kepada penerangan guru dalam kelas dan bergaduh dengan rakan-rakan. 

Dari satu segi, pendekatan keras yang diberikan kepada murid bertujuan supaya menjadi pengajaran,  menyedarkan murid tentang kesilapan mereka, dan membuatkan mereka berubah sikap kepada lebih baik. Apabila ditampar, atau dihukum berdiri atas kerusi kerana tidak membuat kerja rumah, diharapkan mereka akan  menjadi rajin menyiapkan kerja rumah. Dengan ditarik telinga kerana bising, diharapkan murid akan diam dan berubah sikap menjadi taat dan memberi tumpuan dalam kelas. 
Namun, daripada sudut lain, pendekatan sebegini menimbulkan banyak persoalan lain dan kesan sebaliknya. Apakah ‘kesalahan’ tidak membuat kerja rumah, datang lambat, tertinggal buku wajar dihukum sebegitu? Apatah lagi yang melakukannya adalah budak kecil darjah satu atau tiga? Apakah dengan pendekatan kasar begitu  dapat mengubah sikap kanak-kanak menjadi  prihatin, berminat mencari ilmu, membuat kerja rumah kerana cintakan ilmu dan tidak akan cuai menyelesaikan latihan yang diberikan? Atau ia sebenarnya membina rasa tidak yakin diri dalam diri kanak-kanak,  membina rasa takut kepada guru, dan tidak suka kepada subjek yang dipelajari dan kepada sekolah itu sendiri?


Mungkin pendekatan keras ini  berguna dalam keadaan tertentu, tapi hakikatnya ia tidaklah tepat dalam semua perkara. Apatah lagi kepada kanak-kanak kecil di sekolah rendah.  Ia juga tidak selari dengan pendekatan pendidikan umum yang Nabi tunjukkan. Pendekatan Nabi adalah indah, cantik, lembut, bertimbang rasa, memuji, mengajar dengan perlahan, sedikit demi sedikit, tidak mendesak sehingga memaksa seseorang memahami sesuatu sebelum masanya, menanam rasa cinta kepada ilmu, kurang mengherdik dan banyak memuji. Pendekatan keras hanya datang sebagai alternatif terakhir kepada kesalahan yang berat yang melayakkan hukuman sebegitu, apabila keadaan sangat memerlukan.

Ini dapat dilihat contohnya dalam hadith, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun…” (Riwayat Abu Daud). Sebelum sampai kepada umur tujuh tahun lagi, ibu bapa sebenarnya sudah diminta menunjuk ajar, memujuk, mengajak anak mereka mengerjakan solat bersama dan memuji apabila mereka melakukannya dengan baik. Apabila mereka dididik dengan lembut dengan ajakan membina, diberi galakan dan pujian dari kecil sehingga berumur tujuh tahun, mereka akan berada dalam situasi di mana mengerjakan solat adalah sebahagian dari cara hidup mereka.  Apabila sudah sebati dalam diri mereka rasa cinta melakukan solat kerana faham kenapa dan apa yang mereka perolehi melalui solat, maka pendekatan keras seperti tengkingan dan pukulan tidak perlu digunakan. 

Sekiranya selepas berumur 10 tahun, mereka meninggalkan solat dengan sengaja, atau enggan mengerjakan solat selepas dididik, maka barulah rotan hadir sebagai alat terakhir dalam mendidik. Itupun bukan untuk mencederakan tetapi memberi pengajaran. Ia juga menunjukkan bahawa ‘menghukum’ kanak-kanak dengan rotan, atau pukulan hanyalah  kepada kesalahan yang dianggap ‘berat’ sewajarnya dan tidak dilakukan kepada kanak-kanak kecil sebelum umur 10 tahun. Bahkan pukulan tidak boleh dibuat di tempat yang sensitif seperti muka. Ia sekaligus menegur bahawa guru yang menampar anak murid adalah bercanggah dengan sunnah secara total.

Contoh pendekatan lembut Nabi turut ditunjukkan apabila cucu Baginda memakan buah kurma yang diserahkan kepada Nabi sebagai hasil zakat. Rasulullah tidak menggunakan kekerasan tetapi mengambil balik kurma dari dalam mulut cucu Baginda dan menyebut dengan lembut; “Tidakkah kamu tahu bahawa kita tidak boleh memakan barang zakat?” (Riwayat Bukhari Muslim). Nabi turut menjelaskan kenapa ia dilarang secara ringkas untuk cucunya yang masih kecil tersebut. Nabi tidak memukul cucunya atas kesalahan tersebut. Ini menunjukkan ‘kasih sayang’ adalah asas kepada tugasan sebagai guru dan membetulkan kesilapan anak murid juga hendaklah dilakukan dengan kasih sayang. 

Jika sesuatu larangan dikenakan kepada mereka, ia juga perlu diberi rationalnya supaya larangan bukan semborono tanpa alasan. Rasional larangan wajar diberitahu mengikut  tahap kemampuan berfikir kanak-kanak. 
Ketika menyebut mengenai pendekatan keras suami dalam melayani dan mendidik isteri dan anak-anak, Nabi menyebut, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik dengan keluarganya. Dan aku adalah seorang yang paling baik dengan keluargaku” (Riwayat al-Tirmizi). Nasihat Nabi ini menunjukkan bahawa pendekatan berlembut, positif dan membina adalah pendekatan pilihan, dan pendekatan keras adalah alternatif terakhir sekiranya keadaan sangat memerlukan. 

Sekiranya dengan ahli keluarga kita diminta bercakap dengan lembut, mendekati dan membetulkan mereka dengan pendekatan berhikmah, positif dan kasih sayang, maka begitulah juga dengan orang lain, termasuklah murid yang berada di bawah tanggungjawab kita untuk mendidik mereka.

Ilmu yang ingin diajar kepada murid-murid juga seumpama barang berharga yang ingin ditawarkan kepada mereka. Bagaimana mungkin pengguna suka menerima sesuatu jika ditawarkan dengan kasar, penuh kemarahan dan tiada kasih sayang. Atas dasar itu, ia boleh dikaitkan dengan nasihat Allah yang menyuruh kita menawarkan dakwah kepada orang ramai dengan hikmah dan perbincangan yang baik (al-Nahl:125). 

Apatah lagi, kita perlu menerima hakikat bahawa zaman kita sebelum ini adalah berbeza dengan zaman kanak-kanak hari ini. Cabaran yang kanak-kanak lalui hari ini, dengan konsep dunia terbuka, media sosial dan cara hidup berbeza  memerlukan guru-guru mencari pendekatan pendidikan yang jauh lebih baik dari sebelum ini.

Apabila cabaran dunia berubah, kemampuan menggali ilmu sudah berbeza dan ujian yang mereka lalui dalam hidup sangat kompleks, maka proses dan pendekatan pendidikan juga perlu mengambil maklum dan dibuat penambahbaikan sentiasa. Seperti kata-kata Umar al-Khattab yang antara lain bermaksud, “Ajarilah anak-anak kamu dengan urusan di zaman mereka, kerana mereka akan hidup di suatu zaman yang bukan lagi zaman kamu.”

Justeru, wajarlah pendekatan pendidikan para guru ditambah baik. Mengambil tindakan memperelokkan apa-apa yang menjadi amalan kehidupan turut digalakkan oleh agama yang menyuruh kita berusaha ke arah menjadi lebih baik hari demi hari.


Ahad, 17 November 2013

Artikel Pemberian Hadiah Kepada Anak..

5A.....UPSR..

Jom baca..
Tulisan ini sangat baik dan membuka mata hati..
ia melambangkan ketinggian ilmu penulisnya dan saya sangat menghormatinya....
___________________________

Pelajar 5A UPSR Dapat Hadiah Kereta – Antara Kejahilan Bapa Dan Kedengkian Masyarakat







Pelbagai berita tentang reaksi masyarakat selepas keputusan UPSR diumumkan baru baru ini. Isu hadiah Mini Cooper ini menjadi hangat mengiringi kejayaan seorang anak seorang peniaga ayam yang mendapat 5A di Kota Bharu. Walaupun telah banyak diulas di media sosial dan akhbar, namun pembaca tetap meminta kami memberikan ulasan kami kerana kononnya ulasan kami selalunya berbentuk ilmiah yang adil dan lain dari yang lain.

Kami ucapkan terima kasih dan bersyukur kehaderat Allah atas penilaian positif yang diberi. InsyaAllah akan kami kongsikan ulasan kami secara akademik Islam berdasarkan pertimbangan sunnah dan fitrah sebagai seorang Muslim semampunya. Bagi yang belum membaca berita tersebut, ada kami paparkan di blog kami. Sila klik link berikut.  http://prihatin.net.my/v3/2013/11/16/murid-cemerlang-upsr-terima-hadiah-kereta/


WASATIYYAH CARA HIDUP ISLAM

Sebagai ketua keluarga, ingin kami nasihatkan. Berbuat sesuatu biarlah mengikut fitrah dan sekadarnya. Amalkanlah budaya Islam yang menganjurkan kita sentiasa bersederhana.

Memberi hadiah sebagai reward ke atas kejayaan yang dicapai oleh anak tidak salah, malah digalakkan. Namun bagi seorang anak seusia itu meminta hadiah sebegitu rupa dan dituruti oleh ibu bapa adalah satu kesilapan yang sangat besar. 

Meletakkan sesuatu biarlah kena pada tempatnya. Jika tidak tunggu sajalah kehancuran. Demikian pesan baginda junjungan SAW. Itu titah yang harus di junjung. Jangan kita hanya menjunjung dibibir saja.

Boros dan membazir pula amalan syaitan dan pelakunya adalah kerabat-kerabat syaitan. Itu firman Allah. Jadi jika kita mengatakan Allah itu besar, maka besarkanlah Allah dengan menjunjung titah perintah Nya. Jangan hanya mengatakan Allah itu besar hanya dibibir sahaja. Jika kita sering menyebut sodaqollah, benarlah kata-kata Allah baka ikutilah nasihatNya dalam kehidupan harian kita.

Surah Al-Israk:26-27, "Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (harta mu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu ialah saudara-saudara syaitan dan SYAITAN itu adalah SANGAT INGKAR kepada Tuhannya".


KEJAYAAN DAJJAL BERMATA SATU

Dajjal adalah makhluk yang dikatakan bermata satu. Analogi mata satu ini ialah apabila kita memandang sesuatu itu hanya dengan sebelah mata sahaja. Inilah prinsip tidak apa… biarkan saja… ikut aku punya suka..

UNTUK MELAWAN DAJJAL ini ialah dengan menanam jiwa prihatin kepada anak. Ajar anak agar melihat sesuatu dengan dua belah mata. Ajarkan anak untuk hidup bertimbang tara dan bertimbang rasa. Ajar anak untuk hidup bersederhana, walaupun kita kaya raya. Tapi bagaimana ia boleh berlaku jika ibu bapa sendiri sudah lama memandang dengan sebelah mata?

DAKYAH FREEMASON telah sangat berjaya merasuk masyarakat kita. Itulah budaya menyembah berhala harta (al-Uzza)… tahta (al-Latta) dan wanita (al-Manna). Dalam isu ini, si anak telah buta hati dengan tergamak meminta hadiah sebegitu. Ibu pula tidak mampu menasihati anak agar tidak keterlaluan. Yang paling malang sekali bila si bapa selaku Abal Hakam (penentu hukum) dalam keluarga seperti hilang kewarasan memikir, wajarkah anak perempuan seumur ini diberi hadiah sebegitu rupa? Tambahan diwar-warkan dihalayak ramai dan media.

GEJALA HUTANG DAN RIBA yang sangat dilarang oleh Allah nampaknya sangat berjaya menembusi iman masyarakat, sehingga kita semua sudah tidak langsung merasa akan dosanya. Pengalaman berpuluh tahun rata-rata menunjukkan peniaga ayam banyak hutang terhadap pembekal mereka. Ada antara hutang pembekal yang tidak dibayar pun hingga menjadi hutang lapuk. Pembelian rumah dan kereta juga banyak menggunakan pinjaman yang berunsur riba. Jika kereta ini mampu dibeli tunai sekalipun, berapa banyak riba lain yang masih dipikul dalam keluarga itu? Tidakkah lebih baik itu dikurangkan dahulu?

Inilah kejutan budaya terhadap manusia bernama Melayu dan Islam saat ini. Hati sudah terlalu jauh dari Allah. Kerana itu prinsip dan cara hidup telah dikuasai oleh nafsu yang ditunggang oleh fahaman jahat syaitan dan kuncu kuncunya. Perintah Allah tolak tepi belaka, dilihat hanya sebelah mata.

Sebiji sawi riak boleh menghapus segala amal. Dalam kes ini kelihatan ia bukan lagi sebiji sawi. Semua pihak dapat tempiasnya. Pihak pembekal kereta mahu nama, pihak sekolah mahu nama, pihak ibu bapa juga terang-terang mencari nama, dan yang paling menyedihkan ialah si anak yang malang ini. Kita hanya boleh bersangka baik apabila si ibu katakan tujuan dimuat naik ke facebook untuk kenangan keluarga, dan akhbar utama turut mensesasikannya. Marilah kita sama-sama beristighfar.

Sekali lagi kami mengajak pembaca belajar membaca tanda. Nak hujan ada tanda, nak masuk Ramadhan ada tanda, nak raya ada tanda, nak kiamat juga ada tanda. Sikap manusia juga menjadi ukuran tanda. “Kamu kenal mereka dari kata-katanya”, “kamu kenal mereka dari perbuatannya”, kata Allah. Orang berilmu, beriman dan takutkan Allah ada tandanya. Orang marah ada tanda, orang suka ada tanda, orang zuhud dan tawaduk ada tanda dan orang RIAK pun ada tandanya juga.


BAGAIMANA MENDIDIK ANAK JADI PRIHATIN

Umur 12 tahun adalah saat peralihan pembentukan jiwa remaja. Untuk melawan fitnah Dajjal bermata satu, kita harus hidupkan fungsi kedua-dua belah mata si anak. Inilah hakikat prihatin yang bakal melawan dajjal yang sengaja buat degil. Yang Allah larang Dajjal hasut agar kita langgar, yang Allah suruh juga dajal suruh kita pandang sebelah mata saja. Jika gagal kita bentuk seumur ini, maka kerosakan akhlak yang kekal biasanya berlaku. Waktu itu kecemerlangan akademik tiada gunanya.

Ada lebih baik jika kita didik anak kita untuk bernazar. Antaranya ajak anak nazar puasa sunat, ajak anak ziarah ke kubur nenek dan membacakan doa kesyukuran. Bawa anak ke Mekah yang hanya memerlukan beberapa ribu Ringgit sahaja jika kita terlalu kaya. Belikan anak senaskah Quran dengan terjemahan Per Kata. Ajak anak ziarah rumah fakir miskin, didik anak menyerahkan sendiri wang sedekah kepada fakir miskin agar ia belajar hidup bertimbang rasa.

Hadiah seperti ini akan memberikan keberkatan luarbiasa. Inilah perlakuan atas NAMA ALLAH. Ini yang disarankan oleh pengatur alam yang mana kita dan anak kita adalah sebahgian dari isi alam yang diatur olehNya.  Inilah awal niat dan dasar amal degan berBASMALLAH. Anak akan terdidik untuk menambah ilmu dan tarbiah yang bersifat Uluhiyah. Ibu bapa dan anak sebegini akan dihormati dan disayangi rakan taulan dan masyarakat yang sanggup mempertahankan keselamatan mereka. Berhasad dengki jauh sekali.

Sedekah itu gambaran tasdiq dihati. Itu tanda kita mensiddiq seruan Allah dan nabi. Alangkah baiknya jika kesyukuran atas kejayaan anak itu dikongsi dengan mereka yang tidak bernasib baik. Doa-doa dari mereka yang tertindas ini akan menambahkan kejayaan dan menyuburkan jiwa. Itu kaedah sedekah sebagai membenarkan kesyukuran atas kejayaan yang diterima.


APA KESAN BURUK DARI HADIAH MINICOOPER?

Pada hari yang sama kita semua juga membaca berita anak cacat yang terpaksa pulang ke rumah dengan didukung oleh bapanya, seorang buruh kasar. Kita juga pernah dengar kisah Nik Nurmadiha yang berjaya dengan hidup miskin dan terpaksa berpuasa. Jauh dari itu, kita ada ramai lagi anak yang makan nasi dengan berlauk garam, yang hidup dalam kegelapan dan rumah yang basah dek hujan. 

AKIBAT MENGIKUT HASUTAN DAJJAL, anak juga bakal terdidik untuk menjadi orang yang riak dan tidak berjiwa prihatin.  Anak akan sukar mengenal erti hormat, erti kasih sayang dan tolong menolong. Kita semua sanggup berhutang dan menelan riba yang menjadi bara neraka, yang nabi kata lebih teruk dari dosa zina. Ramai ibu bapa yang masih sanggup menipu, mencuri, rasuah, menindas dan sebagainya hanya untuk memenuhi tuntutan NAFSU. Anak pasti akan ikut habit ibu bapa ini. Habit ini juga  bakal membentuk budaya amal saudagar, beramal hanya kerana upah, bukan kerana Allah.

TABIAT RIAK ini akan menambah jurang pengkastaan masyarakat. Janganlah buat-buat tidak tahu bahawa gelagat ini mengguris hati mereka yang tidak ampunya, yang hidup papa kedana, yang berlapar ditinggalkan bapa dan keluarga. Mungkin anda boleh lihat dalam gambar untuk membayangkan apa isi hati anak berbaju merah yang menggigit jari. Cuba anda pergi ke pasar di Kelantan, lihat betapa besarnya gelang emas penjual ayam. Anda lihat berapa besar rumah dan kereta pembekal dan penternak ayam. Sila buat kajian berapa banyak hutang lapuk mereka? Riba mereka? Zakat mereka? Ini bukan andaian, tetapi ini kenyataan berdasarkan pengalaman yang lama bersama mereka.

JANGAN DIPANDANG REMEH GEJALA ini. Jika kita tidak sedar sekarang, jurang yang semakin jauh akan menyuburkan penyakit hati dan ini akan mengundang jenayah. Bagi kami, jika sekalipun keluarga ini melakukannya dengan senyak-senyap, ia masih tidak wajar atas dasar kesan buruk dari pembangunan psikologi anak ini. Apatah lagi dengan mewar-warkan sampai bawa kereta ke sekolah dan disiar meluas begini. Inilah salah satu undangan kepada kes culik, rogol, rompak dan sebagainya. Inilah kejayaan Dajjal yang menjadikan kita sebagai mangsanya.

Berjayanya kita yang dahulunya hidup susah adalah jauh lebih baik dan bererti daripada kejayaan anak yang dimanjakan dengan pelbagai gajet, dengan limpahan ringgit, dengan tuisyen dan seribu satu macam kemanjaan. Anak dapat 5A, tapi ramai yang tidak tahu memasak dan membelah kayu api, tak tahu menghormati datuk nenek, ibu bapa saudara atau mereka yang lebih tua. Saudara mara bertandang ke rumah pun tidak tahu menyapa dan bersalam mesra, asyik sibuk dengan buku, internet dan tablet mereka. Ini semua telah menjadi gejala yang sangat berleluasa dalam masyarakat kita.


APA BEZANYA 5A DENGAN 4A1B ATAU 2A3B?

Kami dalam rangka pengkajian mendalam untuk module pendidikan dunia. Apa yang kita tanamkan belum cukup baik untuk memanusiakan manusia. Anak ini berkata, semuga hadiah ini menjadi pendorong kepada kejayaan seterusnya. Masih ingat kisah Anakku Sazali? Jika terlupa kami ingatkan anda sebagai saudara.  Semuga ada kesedaran agar anak ini dapat dididik agar terus belajar kerana Allah, walaupun tanpa hadiah Mini-Cooper.

5A pertanda kemampuan menghafal, penggunaan otak kiri anak ini sangat hebat. Yang tidak penuh 5A namun masih dapat A dan B bagi kami harus kita ucap tahniah. Ada kemungkinan anak ini banyak guna masa untuk mendalami agama, menjaga adik, atau menolong ibu bapa. Anak sebegini mungkin banyak menggunakan masa dan otak kanan untuk berfikir tentang nasib keluarga dan negara. Anak begini tiada kurangnya kerana mereka masih ada kemampuan ‘membaca’ dan ‘mengira’. Dengan furqon mereka tidak mustahil mereka akan lebih cemerlang dari kita.

Terimalah hakikat alam di mana kebanyakkan orang yang berjaya melangit adalah orang yang sederhana tapi pandai ‘membaca’ dan ‘mengira’. Itulah kemampuan ‘iqra’ dan furqon’ namanya. Bukan yang berjaya dengan menghafal dan mengharapkan ganjaran sahaja. Isu ini menampakkan anak dan ibu bapa ini tidak pandai ‘membaca’ dan ‘berkira-kira’. Ini sebenarnya menjadi gejala bangsa.


KESIMPULANNYA.

Tahniah kepada anak yang dapat 5A semuanya. Tahniah kepada yang masih mampu dapat walaupun 1A 4B atau seumpamanya. BERSYUKURLAH KEPADA ALLAH kerana itu sudah jauh lebih cukup untuk membuktikan anda ada kemampuan akal untuk mendapat 5A. Kami doakan pelajar semua mampu membangun diri menjadi insan yang bukan mendapat 5A kerana inginkan hadiah harta, tapi kerana ingin membuktikan Islam itu tinggi dan anda bakal jadi insan prihatin, menjadi pembela agama untuk menolak angkara Dajjal durjana.

Untuk keluarga ini, tahniah dari kami. Kami ikut mengulas kerana kami sayang anda dan anak anda sebagai saudara seagama kami. Jauh sekali kerana hasad dan dengki, atau untuk mencaci. Jika tidak kita sebagai saudara, nak harap siapa lagi? Kerana agama itu NASIHAT. WATAWASAU BIL HAQ, WA TAWASAU BISSOBR (dan yang menasihati dengan perkara yang haq, dan menasihati dengan kesabaran). Itu perintah Allah dan pesan nabi saw.

Hasil Bacaan dan Perkiraan
WARGA PRIHATIN" class="img" height="378" src="https://fbcdn-sphotos-a-a.akamaihd.net/hphotos-ak-prn2/p480x480/1394128_10152372118502786_1750440450_n.jpg" style="left: -42px;" width="569" />