Khamis, 28 Februari 2008
Proses Menyambung PhD ke Melbourne
Minggu lepas, aku memulakan langkah yang pertama,
1- Membuka website Universiti Melbourne di alamat http://www.gradstudies.unimelb.edu.au/prospectivepg/
Kemudian, aku baca keseluruhan isi yang berkaitan, tentang fakulti yang ada, gambar-gambar mengenai Melbourne U, penempatan, Post Graduate Centre dan semuanya...Borang untuk sambung belajar perlu didownload dan print untuk diisi...
2- Dalam borang tersebut dinyatakan dokumen yang diperlukan. Aku mula mencari semua document yang terlibat. Semua sijil ijazah, masters, diploma, CV yang terbaru, penerbitan, tulisan-tulisan ilmiahku, kajian ilmiah (research yang pernah kubuat), tapi semuanya masih belum complete. Tapi isi dulu sebahagiannya dalam borang tersebut.
3-Dalam web Melbourne Uni diletakkan alamat dan email address agent mereka. DI Subang Jaya salah satunya adalah IDP Education di SS 15/8 di Subang Jaya. Aku telah bertanya kawanku bagaimana nak sampai ke SS 15, jadi senang siket nak cari alamatnya. Kemudian, langkah seterusnya aku telah menghubungi mereka dan memaklumkan bahawa aku perlukan bantuan mereka untuk mendapatkan tempat dan juga untuk peperiksaan IELTS. Melbourne U meletakkan markah 7 untuk IELTS bagi calon luar negara yang ingin melanjutkan pelajaran ke sana. 'Tinggi tu standard yang diletak, takut jugak aku rasa..'
4- Aku ke sana berjumpa Miss Chan, rupanya ada sedikit perkara yang perlu aku buat.. leceh jugak rasanya.. isy.. Transcript dan scrol Masters dari Universiti Malaya dalam Bahasa Malaysia perlu ditolak. Semuanya perlu bahasa inggeris.. aku pun terlupa mengenai perkara ini.. Mujur transkrip LLB masa UIA semuanya bahasa inggeris. Kemudian, mengenai IELTS, jumlah bayaran telah dinaikkan kepada RM580 dan workshop RM250, jadi aku perlu membayar cash sebanyak RM830... Adoii..Habis dekat seribu ringgit untuk exam IELTS ini sahaja.. Aku sangat berharap semuga Allah emmudahkan aku mendapat 7 seperti dikehendaki. Workshop akan diadakan 3 hari selama 4 jam setiap hari, pada 3-5 Feb ini dari jam 2-6 pm di pejabat mereka di SS 15. Pada 6 Feb ada exam listening dan pada 8 Feb hari mengundi, aku perlu ke sana untuk exam writing.
5- Esoknya aku ke UM, mohon mendapatkan salinan dalam bahasa inggeris.. Kata staf incharge scrol sudah diserahkan padaku bersekali dengan scrol dalam bahasa malaysia pada tahun 2001 dahulu. (Aku grad Masters Syariah & Undang-undang tahun 2001) jadi mereka sudah tiada copy lagi mengenai scrol ini. Sedangkan setahuku dan seingat aku tidak pernah melihat copy scrol mastersku dalam bahasa inggeris. Pelik betul...Jika ada, sudah tentu ada dalam clear folderku kerana aku sangat prihatin mengenai sijil-sijilku, semuanya aku leminate dan simpan dengan penuh tersusun dan tertib.. Lepas tu staf tersebut memberitahu tatacara yang perlu aku buat sebelum pihak UM akan mengeluarkan satu surat pengesahan bahawa aku telah sempurna ijazah masters di UM. Apabila aku tanya apakah bentuk surat tersebut? Jawabnya surat biasa signature VC UM ditujukan kepada 'TO WHOM IT MAY CONCERN' .. Laa macam tu jer ker?Tapi untuk mendapat surat pengesahan tersebut, aku perlu ke balai polis melaporkan kehilangan scroll asal kerana UM memang tidak akan mengeluarkannya tanpa laporan polis..Aku perlu ke balai polis pulak.. Allah..udahler masa suntuk, banyak pulak rentetan demi rentetan..ujian betol!
6- Aku ke balai polis pula esoknya, membuat laporan bahawa scrol bahasa inggeris telah tiada dalam simpananku.. Selesai laporan, aku telefon ke UM maklumkan perkara ini, minta disegerakan pengeluaran scrol dan transcip masters ku dengan alasan aku memerlukannya untuk mengirim permohonan belajar ke Australia.. Tetapi staf UM memaklumkan mereka tidak boleh buat apa-apa lagi kerana semua bahan telah diseal kerana mereka berpindah tempat, ada renovation.. Alahai .. awatnya le jadi macamni.. aku tengah kalut dia pindah pulak.. Allahuakbar..ujian lagi!
7- Bossku Dr Rahimi Osman sekarang berada di Melbourne selama 4 hari, beliau ke sana bersama Prof Abu Bakar Majeed (Penasihat CITU) untuk berbincang dengan Prof Abdullah Saeed mengenai collaboration antara tempat mereka dengan CITU UiTM dan semoga Prof Saeed bersetuju menjadi Visiting Prof di tempat kami.
8- Pihak Jabatan Biasiswa telah memberikan kepada Bossku satu salinan pelajar PhD UiTM yang sedang belajar di Melbourne, semuanya ada 5 orang dan Boss telah memberikan copy tersebut kepadaku untuk aku hubungi mereka. Salah seorang darinya adalah Dr Mazlin, lecturer di Medic Fac UiTM. Aku telah mengirimkan emel kepadanya memaklumkan perkara ini dan proses yang sedang aku lakukan untuk ke sana.. Dia telah membalasnya dan melahirkan rasa happynya bahawa aku akan ke sana. Dr Mazlin akan balik ke Malaysia minggu hadapan untuk collecting data, dan kami berjanji untuk bertemu kerana katanya.. Ada banyak things to know, things to bring and things to prepare yang Dr Mazlin akan kongsikan nanti.. I'm looking forward to for that meeting.. Alhamdulilah semoga Allah permudahkan..
________________________________________
Daftar Anak Kahwin di Thailand
________________________
Hak Muslim: Isteri kedua hadapi masalah daftar kelahiran
excopgsm@yahoo.com
Soalan:
SAYA berkahwin dengan suami di Narathiwat, Thailand, sebagai isteri kedua. Saya diwalikan abang sendiri. Masalahnya, kini kami tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tidak mempunyai sijil nikah. Kami diarahkan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan Perintah Pengesahan Nikah di Mahkamah Syariah, tetapi kami dapati prosesnya rumit dan lama. Bagaimanakah status perkahwinan? Apakah yang perlu kami lakukan untuk mendapatkan sijil kelahiran anak dengan kadar segera? Tidak cukupkah sijil nikah asal daripada Majlis Agama Islam Narathiwat dan surat akuan bersumpah kami untuk mempercepatkan proses pendaftaran sijil nikah itu?
Inginkan hak,
Kuala Lumpur
Jawapan
PERSOALAN puan menjurus kepada prosedur pengesahan pernikahan di luar negara dan mendaftarkan kelahiran anak hasil pernikahan itu. Apa yang puan lakukan sebenarnya membawa risiko dan akibat yang puan sendiri perlu tanggung sekarang.
Apabila puan nekad bernikah di luar negara tanpa kebenaran mahkamah, puan juga perlu bersedia dan nekad melalui proses pengesahan nikah di mahkamah syariah untuk mendapatkan sijil nikah di Malaysia bagi membolehkan anak puan didaftarkan kelahirannya di Malaysia.
Seksyen 12(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menyebut sesuatu perkahwinan bersalahan dengan akta itu tidak boleh didaftarkan. Subseksyen (2) Seksyen 12 menyatakan, tanpa menjejaskan Seksyen 40(2) mengenai penalti kesalahan, sesuatu perkahwinan itu jika sah mengikut hukum syarak boleh didaftarkan mengikut akta itu dengan perintah daripada mahkamah.
Ia bermaksud, walaupun sesuatu perkahwinan itu dilakukan tidak mengikut prosedur ditetapkan akta, tetapi ia sah mengikut hukum syarak, maka ia masih boleh didaftarkan mengikut akta ini dengan mendapatkan perintah mahkamah terlebih dulu. Isu di sini ialah kedudukan perkahwinan puan mengikut hukum syarak.
Seksyen 11 Akta 303 memperuntukkan, sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, berdasarkan hukum syarak, untuk menjadikannya sah. Isu permasalahan puan adalah sama ada perkahwinan mempunyai semua syarat sah iaitu rukun perkahwinan berdasarkan hukum syarak.
Merujuk kepada rukun nikah mengikut Mazhab Syafie dalam I'a'natul Tolibin, ada lima rukun nikah iaitu adanya bakal isteri, bakal suami, wali, dua orang saksi lelaki dan sighah akad (lafaz ijab dan kabul). Dalam kes puan, rukun pertama dan kedua sudah dipenuhi. Rukun ketiga iaitu perkahwinan dijalankan wali jika bakal isteri adalah anak dara berdasarkan hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Aisyah bermaksud: "Tidak ada perkahwinan kecuali berwali."
Jumhur ulama bersepakat mengatakan perkahwinan tanpa wali adalah tidak sah dan batal. Ia juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa saja perempuan kahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya batal, maka perkahwinannya batal. Kemudian, jika (suaminya) mencampurinya, maka bagi perempuan itu berhak memperoleh mahar sebab apa yang ia anggap halal daripada mencampurinya; kemudian jika mereka (wali-walinya) berselisih, maka penguasa (hakim) yang menjadi walinya." (Hadis riwayat Imam yang lima kecuali Nasai)
Seksyen 13 Akta 303 pula memperuntukkan perkahwinan tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan melainkan kedua-dua pihak bersetuju terhadapnya sama ada (a) wali pihak perempuan sudah bersetuju terhadap perkahwinan itu berdasar hukum syarak. Dalam isu puan ini tidak dinyatakan sama ada bapa kandung atau datuk sebelah bapa puan iaitu wali mujbir masih hidup atau tidak ketika pernikahan itu dan apakah persetujuannya sudah diperoleh.
Susunan wali perlu dituruti dalam sesuatu pernikahan. Puan juga tiada menimbulkan alasan berkahwin di Thailand di mana isu ini perlu dijelaskan di mahkamah. Rukun keempat iaitu dua orang saksi bersandarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Dan daripada Imran bin Hushain dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak sah nikah melainkan dengan wali dan dua orang saksi yang adil." (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)
Rukun kelima iaitu ijab dan kabul. Merujuk kitab Al-Fiqh Al-Islamiy wa Adillatuh, lafaz mestilah membawa makna nikah contohnya, "Saya nikahkan kamu." Perkataan nikah secara jelas membawa makna nikah dan kahwin tanpa sebarang keraguan. Sesuatu lafaz juga mesti dalam bahasa boleh difahami orang yang berada dalam majlis terutama bakal suami, bakal isteri, wali dan dua orang saksi.
Justeru, dalam isu ini semua keterangan perlu dinyatakan di hadapan hakim syarie. Kitab Muwafaqat menjelaskan, pentaklifan syariah terhadap setiap Muslim bertujuan menjaga maqasid (tujuan) tertentu digariskan Islam. Antara maqasid terpenting ialah menjaga nasab dan keturunan. Islam begitu mementingkan nasab dan keturunan kerana ia membabitkan hak antara satu sama lain.
Justeru, maqasid syariah juga sudah menggariskan bahawa menjaga keturunan atau nasab adalah elemen mesti dan lebih diutamakan dalam isu ini supaya tidak berlaku perlanggaran hak. Kitab Muwafaqat Fi Usulul Ahkam oleh Abi Ishak Ibrahim bin Musa menyatakan bahawa menjaga keturunan atau nasab adalah tersenarai dalam tujuan terpenting. Status anak hasil pernikahan ini dan yang sedang membesar perlu diambil kira apabila ada kesamaran pada status pernikahan ibu bapanya.
Oleh sebab itulah pentingnya pernikahan disahkan terlebih dulu bagi memastikan sememangnya anak adalah hasil pernikahan yang tulen, suci dan hakiki selari dengan tujuan syariah bagi menjaga nasab. Jika pernikahan ini tidak sah, maka anak yang ada akan keliru dari segi nasab atau bapa mereka.
Oleh itu, merujuk kepada usaha puan membawa surat akuan sumpah, sekadar surat akuan bersumpah dan sijil nikah dari luar negara bukanlah suatu proses yang tepat mengesahkan pernikahan dan nasab anak seseorang Islam. Setiap keterangan berkaitan rukun pernikahan hendaklah didengar dan diputuskan Hakim Syarie yang berbidang kuasa.
Alasan proses mahkamah yang rumit dan lama boleh diperbaiki dengan menyarankan supaya kes membabitkan pengesahan nikah dipercepatkan perbicaraannya demi menentukan nasab anak. Namun, puan sendiri perlu mengemukakan segala dokumen dan saksi teratur serta memenuhi rukun pernikahan demi mengesahkan nasab anak untuk didaftarkan sijil kelahirannya.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com
_____________________
Peguam syarie perlu pertingkat ilmu
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
SERAMAI 150 peguam syarie bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menerima sijil pentauliahan mereka pada majlis yang disempurnakan Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan, Husin Ahamad. Hadir sama di majlis yang diadakan di Dewan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur ialah Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Ibrahim Lembut dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Segulung tahniah kepada mereka dan 'Selamat Beramal'.
Apabila memperkatakan mengenai peguam syarie, kita memperkatakan mereka yang membela anak guamnya di Mahkamah Syariah dalam kes di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.
Hakikatnya peguam syarie ada tugas tertentu dan tugas utamanya ialah mewakili pihak yang terbabit dalam prosiding perbicaraan dengan menghadirkan diri bagi pihak mereka, membela pelanggan secara lisan atau bertulis. Ini bermakna tugas peguam merangkumi mengemuka, membela dan menjadi wakil kepada pihak yang terbabit dalam sesuatu kes.
Menurut Almarhum Syaikh Mohd Abu Zuhrah mengenai peguam syarie, "seorang yang alim mengenai undang-undang yang mampu mencari kebenaran pihak yang benar dan menolak kepalsuan pihak yang bersalah bersandarkan kepada ilmunya mengikut kehendak undang-undang dalam menegakkan hak dan kewajipan dan pengekalan dan pengukuhan kepada kepada kebebasan awam." Ini bermakna peguam syarie mempunyai tugas penting selain mewakili anak guamnya di mahkamah iaitu dengan membantu mahkamah menegakkan keadilan dengan meletakkan hak kepada yang berhak.
Dengan kata lain, peguam syarie sebenarnya adalah pegawai mahkamah yang membantu hakim mengendalikan kes di mahkamah syariah supaya mahkamah dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan. Tanpa bantuan peguam syarie akan menyukarkan mahkamah untuk membuat sebarang keputusan yang tepat dan adil kerana mahkamah berperanan untuk mendengar dan memutuskan kes saja.
Peguam bertindak membentangkan fakta kes pihak yang bertikai, membentangkan daripada aspek perundangan dan prosedur kepada mahkamah supaya mahkamah dapat memberikan keputusan yang tepat dan adil berlandaskan hukum syarak. Justeru, peguam syarie perlu mempersiapkan diri dengan ilmu untuk mencari kebenaran serta menolak sebarang kebatilan. Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh peguam syarie sebelum dapat mewakili anak guamnya.
Allahyarham Prof Datuk Dr Mahmud Saedon Awang Othman berkata, peguam syarie hendaklah seorang yang berakhlak. Ini bermakna peguam syarie perlu memiliki akhlak serta budi pekerti yang mulia seperti dituntut hukum syarak.
Peguam syarie hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan anak guamnya dengan jujur serta niat ikhlas melakukan ibadat. Niat penting bagi mengelakkan hak anak guam diabaikan. Selain itu, peguam syarie hendaklah mempunyai pengetahuan syariah yang mendalam daripada aspek Usul Fiqh, Qawaid Fiqhiyyah, memahami Maqasid Syariah dan sebagainya.
Peguam syarie yang tidak mempunyai pengetahuan syariah mendalam akan menghadapi kesukaran mendapat membantu hakim dalam menegakkan keadilan terutama yang berhubung undang-undang syariah diamalkan di mahkamah syariah. Peguam syarie, memahami undang-undang prosedur di Mahkamah Syariah yang terbahagi kepada dua iaitu prosedur atau tatacara mal dan prosedur atau tatacara jenayah. Tanpa memahami kedua-dua prosedur ini, peguam syarie dianggap gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai peguam syarie.
Peguam syarie hendaklah mengetahui Undang-Undang Keterangan Islam dan Kanun Jenayah Syariah yang diterima pakai di mahkamah syariah, selain mengetahui undang-undang berkaitan tugasan seharian dan memahami enakmen atau akta Keluarga Islam, Pentadbiran Agama Islam, Perlembagaan Malaysia, Kanun Tanah Negara, Akta KWSP dan undang-undang lain yang berkaitan.
Selain itu pengetahuan serta pemahaman berkaitan dengan Arahan Amalan Mahkamah Syariah yang dikeluarkan oleh JKSM juga perlu bagi memudahkan urusan pentadbiran serta pengamalan di mahkamah syariah lebih berkesan.
Mengetahui dan memahami undang-undang lain berkaitan arahan amalan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan di samping menyelesaikan permasalahan yang timbul lebih-lebih lagi dalam menyelesaikan permasalahan anak guam yang semakin kompleks hari ini.
Justeru, bagi melahirkan peguam syarie yang cemerlang hendaklah menyahut cabaran dengan mempertingkatkan ilmu pengetahuan terutama berkaitan perundangan syariah serta mendalami ilmu lain berkaitan tugasan mereka. Ini adalah kerana peguam syarie mempunyai tugasan berat selain mendokong amanah anak guam, mereka bertanggungjawab membantu hakim di mahkamah menegakkan keadilan.
Selain itu, akhlak sebagai peguam syarie hendaklah dijaga dan dihayati supaya profesion ini lebih dihormati dan disegani bukan saja daripada aspek profesion tetapi nilai mulia yang ditampilkan mereka. Hayatilah kisah Ka'b di mana Ka'b berjaya membantu Khalifah Umar memahami pengaduan seorang wanita mengenai suaminya yang gagal memberikan layanan wajib terhadapnya.
Kisah Ibn Abbas membela seorang perempuan yang disabitkan kesalahan melakukan zina dan hendak direjam. Dengan pembelaan itu, Khalifah Uthman membetulkan hukuman yang dijatuhkan dengan membebaskan perempuan berkenaan walaupun sebelum ini sudah berikrar di hadapannya bahawa dia melakukan zina.
Selasa, 26 Februari 2008
Hari Yang Menggembirakan
Pada hari Jumaat 22 Feb 2008 merupakan hari yang bermakna untukku. Pada hari ini sebuah lagi buku tulisanku telah diterbitkan oleh Pusat Penerbitan UiTM (UPENA). Buku ini adalah buku ketigaku yang telah berjaya diterbitkan. Yang pertama bertajuk Tamadun Islam diterbitkan oleh iBook. Buku kedua adalah buku yang aku terjemahkan bersama 3 pensyarah yang lain yang diterbitkan oleh UPENA pada tahun 2006 bertajuk 'Towards the Development of Hadhari Society in Malaysia'. Insya Allah ada tiga buah lagi di peringkat akhir di bawah UPENA.. Mereka menyebutnya sebagai 'pipe line'..
Harap dapat diterbitkan sekitar Julai 2008 ini. Semoga Allah permudahkan.. amin..
Buku ketiga ini bertajuk 'Perceraian Secara Fasakh: Konsep dan Amalan di Malaysia'. Alhamdulillah.. Syukur pada Allah atas keizinan-Nya buku ini berjaya diterbitkan.
Buku ini sebenarnya adalah sebahagian besar dari kajianku semasa membuat Masters Syariah dan Undang-undang di Universiti Malaya pada tahun 2001. Tetapi aku telah menyusun kembali dengan sebaik mungkin (setakat termampu) dengan memudahkan ayat-ayatnya supaya boleh diterima dan difahami dengan baik oleh orang awam.
Perjalanan buku ini sebenarnya agak panjang..Aku telah menyerahnya kepada pihak UPENA pada Jun 2006 dan mengikut perancangan UPENA sendiri, ia sepatutnya berada dalam pasaran paling lambat pada Feb 2007. Tetapi yea... perancangan manusia tidak selalunya berjaya..
Pelbagai masalah berlaku bermula dengan selepas dummy dibuat, baru aku perasan peruntukan seksyen-seksyen undang-undangnya lari dan tidak bertepatan dengan yang sepatutnya. Selepas dibetulkan aku menghantarnya semula kepada UPENA. Tetapi tidak berapa lama selepas itu, komputer pihak designer telah crash dan semua soft copy buku ini telah hilang dan perlu diserahkan semula. Selepas waktu tersebut, pihak pencetak pula memendamkan buku ini atas alasan ayat-ayat quran tidak boleh dibaca dengan baik oleh mesin.. Macam-macam jadi.. sehingga aku rasakan agaknya Allah tak izinkan buku ni keluar kot..
Namun Alhamdulillah, pada Khamis lepas, Ustaz Salehuddin, staf UPENA telah menghantar SMS memberitahu bahawa buku ini akan keluar Jumaat ini.. Alhamdulillah aku bersyukur pada Allah atas keizinan yang diberikan.
Buku ini membincangkan apa sebenarnya cerai fasakh dan banyak pendetailan dari segi pandangan mazhab-mazhab. Yang menjadikan buku ini lebih menarik (pada pendapatku..) adalah statistik dan kes-kes yang aku perolehi semasa hampir satu tahun aku berada di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur sepanjang tahun 2000. Aku juga memasukkan tatacara di mahkamah bagaimana kes di bawa.
UPENA meletakkan harganya RM21 sebuah. Buku ini semuanya 159 muka surat dengan font 10 Times Roman. Tadi Ustaz Fairooz Pensyarah KUIS di Bangi mengambil 200 buah untuk dijual kepada pelajar-pelajarnya. Kawanku Peguam, Siti akan mengambil 200 buah esok untuk dijual kepada Peguam-peguam Syarie di Kedah. Selepas ini kawanku di UM akan membawanya untuk dijual kepada pelajar Syariah di sana. Aku juga telah menjualnya sebanyak 20 buah semalam kepada pelajar DLSA di UiTM..
Alhamdulillah.. Semoga buku ini akan habis dijual sebelum aku berangkat ke Melbourne pada Oktober 08 nanti.. Itulah doa dan perancanganku..
Buku ini juga sangat mahal dalam nilaianku kerana prakatanya ditulis oleh tiga orang yang sangat aku hormati dan muliakan..
Mereka adalah:
1- Yang Amat Arif Tuan Haji Hussain Ahamad. (Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan)
2-Tuan Haji Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden Peguam Syarie Malaysia)
3- Dr Hj Rahimi Osman (Pengarah CITU, UiTM @ Bos tempat aku bekerja)
Buku ini telah aku hadiahkan kepada dua orang doktor perubatan yang rapat denganku yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang. Dr pertama yang berumur 60 tahun telah memberi remarks yang sangat positif sehingga aku berasa sangat terharu..
Katanya:
"Saya seorang yang sangat susah untuk membaca buku kecuali ia benar-benar menarik minat saya, apatah lagi jika buku tersebut menyentuh isu-isu agama..Tetapi saya telah membaca buku awak sebanyak 3 kali habis dalam masa tiga hari. Ia benar-benar menarik saya sehingga saya teruja membaca dalam keadaan bersantai. Walaupun buku tersebut adalah buku undang-undang, tetapi saya sangat santai membacanya dan dapat memahami dengan baik. Kemungkinan kerana keikhlasan awak menulisnya mempengaruhi pembaca memahaminya...'
Alangkah sayunya hatiku mendengar pujian tersebut...
Terima kasih yang tidak terhingga aku ucapkan pada Prof Madya Dr Syireen (Penolong Timbalan Naib Chanselor InKA) yang sangat banyak memberi jalan dan memudahkan jalan untukku memasuki laluan UPENA. Begitu juga kepada Tn Hj Haris (Pemangku Pengarah UPENA sekarang). Untuk Ustaz Salehuddin, Ustaz Yadman, Prof Madya Dr Ghafar di UPENA, setinggi terima kasih diucapkan kerana membantu perjalanan hidupku sehingga ianya menjadi sangat menarik dan mudah.. Semoga Allah memberi pahala yang banyak kepada anda semua...
Doaku,
'Wahai Allah.. semoga buku ini dapat membantuku diakhirat kelak, sebagai bukti aku ingin berbakti untuk masyarakatku.. terimalah ia sebagai amal solehku wahai Allah.. dan kurniakanlah pahalanya untukku, kedua ibu bapaku, suamiku dan semua orang yang aku kasihi.. amin...'
Nanti aku akan scan muka depan buku ini untuk dimasukkan di sini.
Ahad, 24 Februari 2008
Tulisan Presiden PGSM-Tuntutan NGOs
________________________
Peguam Syarie Menulis: Kerajaan dipilih wajar terus daulat Islam
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
TEKA-TEKI bila Pilihan Raya Ke-12 terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen minggu lalu. Selepas pengumuman itu, parti yang bertanding berlumba-lumba menjelaskan manifesto serta perancangan masing-masing demi menarik perhatian rakyat supaya mengundi mereka pada 8 Mac 2008 nanti.
Pertubuhan Islam Malaysia yang bersifat non-partisan melihat pilihan raya sebagai wadah perubahan masyarakat. Lantas pertubuhan Islam yang dianggotai lebih 100 pertubuhan membuat tuntutan kepada semua calon dan parti politik bagi merealisasikan tuntutan itu tanpa mengira parti politik yang mereka sertai. Adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat dipilih untuk mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Apatah lagi, sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mengiktiraf peranan penting Islam dalam sistem politik, ekonomi dan undang-undang.
Oleh itu, segala tuntutan menjadikan Malaysia sebuah negara sekular mesti ditolak. Ini termasuklah tuntutan mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) bertujuan mempromosi kebebasan berlandaskan faham sekular-liberal serta penubuhan Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam. Sebarang tindakan mempersendakan Islam secara lisan, tulisan ataupun media siber dan elektronik perlu ditangani dengan serius mengikut peruntukan di bawah Kanun Keseksaan.
Pertikaian undang-undang berkaitan Islam hendaklah dibicarakan di Mahkamah Syariah. Kita juga mendesak bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah diperluaskan menerusi pindaan Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 serta Enakmen Pentadbiran negeri. NGO Islam menuntut supaya Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah disamatarafkan dari aspek perjawatan, penggajian, status serta prasarana.
Penyeragaman undang-undang Islam hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera dan diwujudkan Akta Profesion Guaman Syarie bagi mengawal selia peguam syarie seluruh negara seperti rakan mereka peguam sivil. NGO Islam menuntut supaya digubal dan diwartakan dengan segera undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam di seluruh negara selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. NGO Islam kecewa atas kegagalan sesetengah negeri sehingga kini menggubal atau mewartakan undang-undang berkenaan.
Segala usaha hendaklah dipadukan bagi meningkat tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi Islam dalam mendaulatkan Islam di Malaysia. Kerajaan yang dipilih kelak dituntut mengambil tindakan tegas termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam seperti menghalang pemakaian tudung, solat Jumaat, berpuasa, cuti mengerjakan haji dan lain-lain syiar Islam.
Seorang Muslim yang baik sudah pasti menjadi warga negara dibanggakan. Proses pembentukan jati diri Muslim perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan Islam sebagai satu cara hidup. Dengan itu, NGO Islam menuntut supaya kerajaan bakal dipilih memperkasakan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan termasuk menambah waktu dan pendekatan pengajaran Islam di sekolah.
Malaysia hendaklah menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan perkembangan keilmuan Islam. Bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) hendaklah dikembalikan dan buku teks percuma juga dinikmati pelajar SAR. Kerajaan dipilih juga didesak menghentikan amalan diskriminasi Kementerian Pelajaran di mana menafikan peluang murid cemerlang UPSR dan PMR dari sekolah agama swasta memasuki sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Kemudahan biasiswa dinikmati pelajar Melayu juga perlu diberikan kepada pelajar Islam bukan berketurunan Melayu. Disamping itu, kerajaan digesa menambah jumlah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di kalangan pelajar Melayu/Islam yang cemerlang. Amalan pemberian biasiswa JPA kepada pelajar bukan Islam sejak akhir-akhir ini tidak sepatutnya menjejaskan peluang pelajar Islam/Melayu yang cemerlang untuk mendapat tajaan.
Menteri Pelajaran yang bakal dilantik digesa tidak bersikap apologetik (meminta maaf) dalam menangani desakan kelompok sekular dan bukan Islam yang menggesa amalan Islam di sekolah kebangsaan dihentikan atas alasan mengelakkan pemisahan kaum dan agama. Amalan bacaan doa dan sambutan perayaan kebesaran Islam perlu diteruskan kerana ia sama sekali tidak menghakis keharmonian kaum dan agama, malah mendidik anak bangsa menjadi insan bersahsiah mulia.
Kementerian Penerangan pula hendaklah memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran dan melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji. Program berunsur pendidikan Islam dan moral perlu diperbanyakkan dan disiarkan pada waktu puncak dan azan sepenuhnya hendaklah disiarkan setiap waktu. Program hiburan mempromosi budaya hendonisme Barat hendaklah dihentikan termasuk program hiburan realiti.
Sistem politik dan tadbir urus baik adalah syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara. Kesejahteraan rakyat akan terbela dengan mewujudkan sistem politik adil, tadbir urus baik dan sistem penyampaian cekap. Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Sebagai sebuah negara majoriti Islam yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian hubungan kaum dan agama adalah ramuan utama kestabilan politik dan ketenteraman awam. Usaha ekstremis agama dan perkauman sempit hendaklah ditolak.
Oleh demikian, pemimpin dipilih hendaklah mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama. Parti politik yang tidak sensitif terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama termasuk mempersendakan kedudukan agama Islam di Malaysia hendaklah ditolak. Pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut peraturan hendaklah dikawal ketat tanpa mengira agama.
Jika pihak berkuasa agama tegas dalam melaksanakan peraturan membina surau dan masjid, mereka ternyata sangat lemah apabila berhadapan dengan pembinaan rumah ibadat agama lain. Bagi wakil rakyat Islam yang dipilih pula, adalah menjadi kewajipan mereka memelihara kesucian akidah dan ketinggian moral.
Dengan kuasa diberikan, mereka hendaklah menolak sebarang usaha mengelirukan akidah umat Islam dengan pelbagai cara termasuk membenarkan penggunaan kalimah khusus seperti 'Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'Solat' bagi merujuk agama bukan Islam. Bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral perlu dipertingkatkan.
Kerajaan dipilih kelak dituntut melaksanakan undang-undang antimaksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan. Demikianlah tuntutan NGO Islam dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini. Semoga semua calon yang menang dapat merealisasikan tuntutan NGO Islam yang juga umat Islam arus perdana. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengajak rakyat menggunakan hak sebagai pengundi demi kebaikan bersama.
INTI PATI Tuntutan NGO Islam
· Semua wakil rakyat dipilih perlu mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Segala tuntutan menjadikan Malaysia negara sekular mesti ditolak.
· Bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah perlu diperluas menerusi pindaan Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 serta Enakmen Pentadbiran negeri.
· Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah disamatarafkan dari aspek perjawatan, penggajian, status serta prasarana.
· Penyeragaman undang-undang Islam hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera dan diwujudkan Akta Profesion Guaman Syarie bagi mengawal selia peguam syarie.
· Digubal dan diwartakan dengan segera undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam.
· Tindakan tegas termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam.
· Memperkasakan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan.
· Kementerian Penerangan pula hendaklah memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran dan melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji.
· Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
· Pemimpin dipilih hendaklah mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama. Parti politik yang tidak sensitif terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama hendaklah ditolak.
· Bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral perlu dipertingkatkan serta melaksanakan undang-undang antimaksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Layari ttp://peguamsyarie.blogspot.com/ dan sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com
Khamis, 21 Februari 2008
Saman Ganti Iklan
______________________________
Hak Muslim: Isteri boleh mohon kemuka saman menerusi iklan
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim
21 Feb 2008
Soalan
SAYA sudah berkahwin selama 10 tahun dan ada tiga anak. Bagaimanapun, suami sudah meninggalkan saya sejak dua tahun lalu tanpa sebarang berita dan setahu saya dia tidak lagi berada di Selangor. Apabila saya hubungi ibu mentua, mereka tidak mahu bekerjasama dan memberitahu secara kasar bahawa suami saya tidak balik ke kampung. Saya tidak pernah bercerai sebelum ini dan sampai sekarang masih lagi menjadi isterinya. Saya sudah tidak dapat bersabar lagi atas apa yang dilakukan suami terhadap saya. Sudahlah ditinggalkan tanpa berita, suami juga tidak pernah mengirim wang untuk perbelanjaan kami sekeluarga. Saya ingin memohon cerai taklik, malangnya tidak tahu di mana alamat suami tinggal sekarang. Saya sudah memfailkan kes tetapi baru-baru ini kes saya ditangguhkan kerana saman tidak dapat disampaikan oleh Mahkamah Syariah kepada suami. Saya tidak suka kes ditangguhkan begini, di mana keadilan untuk saya sebagai isteri yang teraniaya. Apa yang perlu saya lakukan.
ISTERI TERANIAYA
Selangor
Jawapan
Saya mendoakan puan sabar dalam menghadapi ujian dan jangan berputus asa untuk berusaha mencapai hak puan. Secara umumnya, semua perjalanan di mahkamah atau dipanggil tatacara di mahkamah perlu mengikut cara dan kaedah ditetapkan.
Apabila kita memulakan sesuatu kes di mahkamah seperti kes mendapatkan cerai taklik, ia mesti dimulakan dengan saman dan penyata tuntutan. Dalam penyata tuntutan itu diletakkan latar belakang pasangan, fakta kes, berapa tahun ditinggalkan tanpa nafkah dan sebagainya.
Pada asasnya setiap saman dan penyata tuntutan perlu diserahkan kepada defendan bagi memberi peluang kepada defendan menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.
Tidak boleh kita beranggapan apabila isteri ke mahkamah, maka sudah semestinya suami bersalah dan hakim mesti memutuskan segera walaupun belum mendengar keterangan suami. Oleh itu, saman dan penyata tuntutan perlu sampai dulu ke tangan suami sebagai defendan sebelum kes diteruskan. Prinsip umum ini terpakai kepada semua kes yang dibawa ke mahkamah melainkan kes tertentu.
Saman itu mesti disampaikan kepada defendan dalam beberapa cara. Pertama, penyampaian saman dan penyata tuntutan secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermaterai kepada suami atau defendan dan diperiksa olehnya.
Oleh itu, alamat lengkap defendan perlu diketahui dengan tepat supaya saman berjaya diserahkan dengan baik. Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampiran dengannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman berkenaan. Saman juga perlu disampaikan atau diserahkan kepada defendan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh pengeluarannya.
Ini bermakna puan perlu menyerah atau menyebabkan diserah saman itu kepada suami dalam tempoh dinyatakan. Jika tidak berjaya diserahkan dan tempoh itu, maka puan hendaklah dengan segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh kesahan saman itu.
Keadaan menjadi rumit apabila defendan tidak diketahui di mana tempat tinggalnya atau tiada alamat yang pasti di mana defendan berada. Untuk pengetahuan puan, bilangan kes suami meninggalkan isteri dan tidak diketahui di mana alamat berada seperti ini bukan sedikit. Dalam keadaan ini, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti.
Jika mahkamah berpuas hati atas apa-apa alasan yang mencukupi kenapa saman itu tidak dapat disampaikan secara kediri, mahkamah boleh memerintahkan supaya saman itu disampaikan dengan cara lain. Antaranya, dengan cara menampalkan suatu salinan pada papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat pada alamat terakhir defendan atau cara lain difikirkan patut oleh mahkamah.
Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian ganti dibuat
melalui iklan dalam akhbar tempatan seperti difikirkan patut oleh mahkamah. Bagi penyampaian ganti ini, walaupun secara fizikalnya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar, kesannya di sisi undang-undang adalah sama seperti penyampaian ke diri. Undang-undang akan menganggap seolah-olah defendan sudah menerima saman itu secara ke diri.Apabila sempurna penyampaian ganti itu, mahkamah hendaklah menyifatkan saman sudah disampaikan kepada defendan. Setelah penampalan dan pengiklanan dibuat, puan hendaklah memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan bahawa penyampaian ganti itu sudah dilakukan seperti diperintahkan mahkamah.
Jika suami tinggal di luar Selangor, puan perlu memohon perintah penyampaian di luar bidang kuasa. Jika puan sudah mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan, maka kes puan tidak perlu ditangguhkan lagi. Puan boleh memohon kes dibicarakan.
Perkara membabitkan praktikal seperti bagaimana tatacara dan kaedah yang menepati undang-undang selalunya memerlukan peguam untuk membuatnya. Jika puan dapat memahami dengan baik, puan sendiri boleh melakukan tanpa perlu mendapatkan khidmat peguam syarie.
Pada tarikh perbicaraan, puan hendaklah memberi keterangan bagi menyokong tuntutan dengan membawa dokumen sokongan serta saksi yang mengetahui mengenai pemergian suami dan suami tidak pernah memberi nafkah. Ini penting untuk menguatkan tuntutan dan membolehkan taklik disabitkan.
Dalam keadaan tertentu, mungkin puan perlu menjalankan sumpah al-istizhar untuk membuktikan bahawa segala keterangan yang diberikan adalah benar. Dengan cara ini nilai keterangan puan akan menjadi lebih kuat lagi. Secara ringkas, puan perlu memastikan saman diserahkan, atau memohon perintah penyampaian ganti daripada mahkamah bagi mempercepatkan penyelesaian kes.
Penangguhan kes itu untuk memberi ruang puan mengikuti tatacara ditetapkan. Ia adalah sebahagian daripada perjalanan prosiding mahkamah dan bukan bertujuan menganiaya puan atau mana-mana pihak. Oleh itu puan jangan beranggapan mahkamah tidak mempedulikan kesusahan puan. Semoga puan berjaya dalam tuntutan itu.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com
Selasa, 19 Februari 2008
16 Feb- Sabtu
Aisyah berbaris bersama kawan-kawannya dalam barisan mengikut rumah yang ada.. Rumah Biru, Kuning, Hijau dan Merah.
Pada 16hb Feb, Aisyah sangat teruja kerana hari ini adalah Sport Day for ISSA. Paginya dia dah bangun awal, jam 6.30 pagi dah bangun nak mandi, solat Subuh dan bersiap dengan pakaian sukannya. Aisyah perlu berada di Padang Sekolah Agama Seksyen 3 (dipinjam untuk tujuan sukan) pada jam 7.30 pagi. Hari ini Abah akan menemani Aisyah.
Umi dapat pergi sekejap saja sebab perlu pergi ke Residence Hotel UNITEN di Bangi jam 10.30 pagi kerana dilantik menjadi fasilitator (mewakili PGSM) untuk penyemakan silabus Ijazah Syariah KUIS (dulu KISDAR) bagi memastikan ia menepati kehendak LAN (MQA) dan juga memberi input dari sudut pandangan Persatuan Peguam Syarie..Aisyah sedih jugak tetapi akhirnya dia dapat menerima hakikatnya..
Aisyah berada dalam kumpulan Biru (Kumpulan Khaled al-Walid). Semasa permualaan, dimulakan dengan pertunjukan teakwando dan lain-lain. Semasa mula pertandingan, Aisyah terlibat dalam permainan lari itik..
Hehe.. kelakar sungguh menonton gelagat semua anak-anak yang baik-baik ini..
Kemudian ada permainan lari dalam box, bawak kayu dan bubuh bair dalam botol..Aisyah happy sangat.. Abah asyik ambik gambar saja...
Aisyah berjaya menamatkan larian dengan penuh semangat.. Yes!!!
Tetapi dia sangat sedih sebab Umi hanya sempat tengok dia main dalam 2 permainan sahaja..
Umi sedang memujuk Aisyah sebelum meninggalkannya pada hari tersebut.. "Aisyah jangan sedih yer..sebab Abah ada sampai habis. Umi kena pergi sebab Umi dah janji, masa tu Teacher Fari belum confirm tarikh sport day.. Sorry yer sayang.. lain kali Umi janji Umi akan tunggu sampai habis yer sayang.. "
Kesiannya anak Umi.. Jam 9.40 pagi Umi mula bergerak ke Bangi menuju Residence Hotel. Aisyah berjaya mendapat dua hadiah dalam permainan yang dimasuki.. Gambar di bawah Aisyah bersama Anis, kawan sekelasnya darjah 1 Ar Razi di ISSA... Gembira betul dapat loket sukan tu, digantungnya dalam bilik tidurnya..
Abah telah berjaya menggembirakan Aisyah dengan membawanya ke Mc Donald selepas tamat hari sukan.. alhamdulillah.. pandailer Abah ni.. hehe..
_____________________
Bengkel KUIS di Residence Hotel
Alhamdulillah dalam perbincangan tersebut, aku telah memberi pelbagai idea untuk mencantikkan silabus dan keseluruhan program Syariah di KUIS. Begitu juga membincangkan kemungkinan dijalankan secara formal kerjasama antara KUIS dan PGSM terutama melibatkan ceramah pengukuhan dari pandangan Peguam yang Beramal untuk pelajar tahun akhir. Begitu juga KUIS mungkin boleh bekerjasama dengan PGSM dalam memantapkan program mereka seperti dijemput menjadi Pemerhati atau Hakim dalam mooting mereka dan sebagainya.
Ustaz Asri mewakili JKSM, Puan Ainan (Dekan Syariah KUIS), Puan Azizah Ketua Jabatan dan 3 orang pensyarah yang lain turut sama dalam perbincangan..Semasa majlis tersebut, aku berjumpa Dr Mujaini, bekas pensyarahku DLSA tahun 2005 yang juga bekas Ketua Pusat Pendidikan Islam UiTM Shah Alam sebelum menamatkan kerjayanya di UiTM, dia mula bertugas di KUIS sehingga sekarang.. Seronoknya bersembang dengan Ustaz dan menceritakan kepadanya apa perkembangan terbaru yang berlaku di UiTM...Kami berbincang dan akhirnya semua berjaya diselesaikan dalam jam 1.10 tengahari. Lepas makan aku balik semula ke Shah Alam..
_______________
Kelas DLSA
Jam 6.45 pm, aku mula ke UiTM untuk kuliah DLSA. Kelasnya bermula 7-9pm setiap hari Sabtu. Kali ini bilangan pelajar bertambah ramai berbanding dengan minggu lepas.. Aku telah membincangkan banyak isu-isu keluarga dan juga melibatkan mahkamah syariah seperti isu wali hakim, anak luar nikah, pendaftaran perkahwinan dan sebagainya. Berhenti solat maghrib sekejap dan kelas disambung lagi sehingga jam 9 malam..
__________
Meeting Muslimat SURAU untuk merancang perancangan setahun bagi 2008
Aku terpaksa meneruskan juga meeting tersebut kerana ia sangat penting dan melibatkan persatuan Muslimat di surau qaryahku. Aku baru saja sampai ke rumah selepas selesai kelas DLSA, dalam jam 9.30pm, seramai 10 orang Jawatankuasa Muslimat Surau datang ke rumahku untuk bermesyuarat dan aku menjadi Pengerusi Mesyuarat. Masing-masing memberi pendapat tentang program apa nak dibuat dan Kak Siti, Setiausaha telah mencatat semua yang dibincangkan. Akhirnya kami mengambil kalendar setahun dan mencari tarikh-tarikh yang ingin dijalankan, dengan melihat tidak bertembung dengan perancangan Muslimin keseluruhan.
Akhirnya aku bahagikan kita perlu adakan 3-4 high impact programmes dan yang lain secara bulanan atau dua bulan sekali berjalan seperti biasa. Semua bersetuju dan akhirnya mereka semua sangat gembira memberi pandangan dan memberi nama volunteer untuk menjadi pengelola program. Perancangannya power juga..
1- Maulidur Rasul untuk Wanita akan diadakan 22 hb April, hari Sabtu. Kak Leha akan menjadi Ketua mencari kumpulan wanita Ustazah Rosnah untuk membaca selawat, ada yang nak buat bunga telor dan macam-macam lagi. Buatlah apapun yang baik untuk meraikan wanita dan membina ukhuwwah setempat..
2- Ceramah Perdana Wanita Untuk Wanita dalam bulan Jun 08. Mereka mencadangkan Ustazah Norbahyah, ada yang cadangkan Dr Syarifah Hayati dll. Program ini dibawah Puan Zaiton, lecturer Engin UiTM.. Biarlah dia cari siapa nak bagi talk.. Aku tak kisah sangat, janji ramai yang beminat nak datang dan memeriahkan program surau dan sudah tentu ada pengisian yang membina.
3- Dalam bulan September, (bulan Ramadhan), akan diadakan satu hari lawatan Muslimat ke rumah anak yatim Sabak Bernam atau pun ke Rumah Raudhatul Sakinah.. sambil membawa derma dan sumbangan orang ramai..
Akhirnya mesyuarat berakhir jam 12 malam.. Letihnya badan aku hanya Allah yang tahu..
Lepas makan dan solat.. aku buat kerja sekejap dan tidur jam 1.30 pagi... Aku rasa banyak sangat program hari ini.. Letihnya...
Khamis, 14 Februari 2008
Turki dan Isu Tudung
____________
Iktibar isu batal pengharaman bertudung di Turki
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
PADA 28 Januari lalu, media melaporkan Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip
Erdogan mahu larangan memakai tudung di universiti dihapuskan secepat mungkin melalui arahan Parlimen. Perkembangan di Turki mengenai isu penarikan balik pengharaman tudung menarik perhatian dunia. Perubahan itu akan membabitkan pindaan Perlembagaan Turki. Sejak berada di bawah kepemimpinan Parti AK, ada banyak kemajuan berhubung penghayatan Islam dilaksanakan walaupun mendapat tentangan sesetengah golongan.Akhirnya pada 10 Februari lalu, media massa melaporkan Parlimen Turki mengundi iaitu 411 menyokong berbanding 103 menentang penarikan balik pengharaman berkenaan. Kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah dan tahniah atas kejayaan usaha negara sekular itu.
Turki adalah negara didiami 99 peratus rakyat beragama Islam, namun
terikat kepada sistem sekular diasaskan Mustapha Kamal Attartuk masih lagi menebal. Bahkan, jelas dalam Perlembagaan Turki menyatakan ciri sekular negaranya. Walaupun diancam golongan aristokrat dan tentera Turki, golongan Islam tidak pernah berputus asa berusaha menegakkan kalimah Allah di bumi Turki. Namun, kita melihat usaha murni Parti AK yang didukung oleh Presiden Abdullah Gul dan Perdana Menteri baru-baru ini hanya berlaku secara unilateral dan langsung tidak disokong pejuang hak asasi kemanusiaan.Persoalan ketara, di manakah pejuang hak asasi kemanusiaan dalam isu itu?
Andai kata Turki mewajibkan pelajar wanitanya memakai tudung di universiti dan ada usul menarik balik perintah itu, sudah tentu pejuang hak asasi daripada seluruh dunia berbondong-bondong memberi tekanan dan melobi supaya perintah itu ditarik balik. Tetapi apabila pengharaman memakai tudung diusulkan untuk ditarik balik, di mana pejuang hak asasi manusia? Adakah pejuang hak asasi mengamalkan sikap berat sebelah apabila membabitkan isu hak Muslim dalam beramal? Adakah wanita Islam di Turki tidak mempunyai hak mengenakan tudung di universiti?
Isu penarikan pengharaman tudung di universiti awam hanyalah secebis daripada isu di perantauan yang menjadi tamsil kepada masyarakat Islam di Malaysia. Ia sewajarnya memberi iktibar kepada semua untuk menilai apakah yang berlaku dalam masyarakat kita.
Contohnya, ketika kes Subahsini lawan Saravanan @ Mohd Shafi dibicarakan, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas nama memperjuangkan hak wanita da
ri dalam dan luar negara mengeluarkan kenyataan mengecam Saravanan dengan tuduhan ingin melarikan diri daripada tanggungjawab memberi nafkah terhadap isterinya dengan memeluk Islam, termasuklah tuduhan memaksa anaknya memeluk Islam bersamanya.Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada beliau dan mereka melaungkan bahawa seorang wanita ditindas atas tindakan suaminya memeluk Islam. Seolah-olah si suami langsung tidak mempunyai hak mengamalkan kepercayaan agamanya.
Namun, keadaan berbeza dapat dilihat dalam beberapa kes lain di mana y
ang memeluk Islam itu ialah wanita dan wanita Islam ini terpaksa menempuh pelbagai rintangan serta halangan dalam mengamalkan agamanya.Hampir tidak kedengaran langsung NGO mempertahankan hak wanita mualaf ini. Mereka juga memerlukan bantuan dan sokongan. Adakah semata-mata kerana mereka adalah wanita memeluk Islam, mereka tidak disokong?
Wanita seperti nama Nor Laily, Aishah Sandera, Siti Aisyah Lachimi, Nor Adriana Qistina dan ramai lagi memeluk Islam selepas mendapat hidayah Allah dan sekarang menghadapi kesukaran dalam rumah tangga mereka kerana suami enggan memeluk Islam. Mereka berada di persimpangan antara hidayah Allah dan suami.
Nama-nama itu begitu asing bagi kita berbanding dengan nama Subahsini yang dipertahankan atas nama hak asasi memilih agama. Lantaran timbul persoalan kenapakah perkara sebegini boleh berlaku di negara kita?
Kebebasan beragama dijamin Perlembagaan Persekutuan dinikmati semua rakyat melangkaui batas agama dan bangsa. Namun, kebebasan itu bukanlah kebebasan mutlak yang tidak mengenal had dan sempadan. Sekiranya hak itu dinafikan sudah tentu wanita mualaf ini juga wajar mendapat perhatian daripada NGO yang memperjuangkan hak wanita.
Begitu juga kita berdepan dengan beberapa permasalahan membabitkan kod berpakaian tidak membenarkan wanita Islam memakai pakaian sopan menutup aurat seperti dilaksanakan beberapa syarikat besar di negara ini.
Contohnya, syarikat penerbangan tambang murah yang terkenal mensyaratkan pakaian yang sopan untuk pekerja lelaki, tetapi sangat terdedah, sendat dengan skirt pendek yang tidak bersesuaian nilai ketimuran bagi pekerja wanitanya. Begitu juga beberapa syarikat lain termasuk pasar raya besar, kedai gambar dan sebagainya.
Bagi yang membuat keputusan memakai pakaian menutup aurat, mereka dinafikan kerja itu walaupun mempunyai kelayakan dan minat. Kenapa perkara seperti itu tidak diangkat oleh kesatuan sekerja mahupun kumpulan hak asasi manusia demi kepentingan wanita terbabit? Apakah kita ingin melihat satu lagi kes seperti Habshah Jaafar yang terpaksa memilih diberhentikan daripada jawatan besar yang dipegangnya di sebuah hotel besar di ibu kota semata-mata kerana memilih memakai tudung seperti berlaku sebelum ini?
Sikap tidak menyenangi orang Islam mengamalkan agama mereka sebenarnya berpaksikan ketidakfahaman mengenai ajaran Islam sendiri dan kekeliruan berhubung kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada siapa boleh mempertikaikan kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan.
Apa yang diperjuangkan adalah mengembalikan kedudukan Islam seperti mana sebelum datangnya penjajah. Jika atas nama hak asasi diperjuangkan, maka mereka perlu berlaku adil menilai dua keadaan berbeza.
Apabila seseorang tidak mahu melakukan sesuatu dan dipaksa melakukannya, maka ia dianggap melawan hak asasi seseorang. Justeru, apabila seseorang wanita memilih memakai tudung sedangkan ada peruntukan melarangnya memakai tudung, maka itu juga melawan hak asasi mereka.
Dalam kes sebegini, kita mendesak pihak kerajaan dapat memberi teguran dan NGO yang mengetengahkan isu hak asasi manusia wajib berlaku adil dengan memberi bantuan serta sokongan kepada isu beramal dengan ajaran Islam termasuk memberi sokongan moral terhadap isu wanita mualaf, juga isu tudung di negara Turki.
Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com/ dan sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com
Cerai SMS lagi
_________________
Hak Muslim: Kuasa hakim syarie tentukan sah talak SMS
Soalan
SAYA menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada isteri ketika beliau dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak seperti berikut: "Selepas habis pantang, maka jatuh talak satu ke atas engkau!" Ketika kejadian, saya boleh dikatakan tidak normal kerana mengambil ubat tidur secara berlebihan. Soalan saya, adakah sah talak dihantar melalui SMS ketika saya tidak normal?
SUAMI MENYESAL,
Kuala Lumpur.
Jawapan
ISU yang perlu dijelaskan dalam permasalahan ini ialah sama ada jatuh talak melalui SMS dan sama ada jatuh talak oleh suami yang pada masa itu dikatakan tidak normal kerana mengambil ubat tidur berlebihan. Bagi menjawab isu ini, rujukan perlu dibuat terhadap rukun dan syarat sah rukun talak.
Menurut pendapat Shafie, rukun talak ada lima iaitu pentalak, sighah (lafaz), mahal (isteri iaitu perempuan ditalak), wilayah (ada kekuasaan) dan ada qasad ( niat ). Kami percaya isu sama ada jatuh talak atau tidak melalui SMS sudah banyak diperbincangkan dan majoriti pendapat jatuh talak melalui SMS jika pada SMS itu dibuat adanya lafaz dan niat yang jelas daripada suami seperti, "aku ceraikan kau", "aku talak kau" atau "maka tertalaklah engkau".
Persoalan saudara lebih menjurus kepada sama ada jatuh talak jika lafaz dibuat ketika suami tidak normal, dalam kes saudara kerana minum ubat batuk secara berlebihan. Disyaratkan bahawa suami yang melafazkan talak adalah suami yang mukallaf (baligh dan berakal) dan tidak dipaksa. Dalam kes ini, diandaikan suami itu seorang yang baligh dan tidak dipaksa oleh mana-mana pihak ketika SMS itu ditulis. Isu di sini ialah sama ada sah perlakuan suami itu dengan alasan beliau dalam keadaan tidak normal kerana mengambil ubat tidur secara berlebihan.
Adakah maksud suami tidak normal dalam kes ini boleh dikira sebagai mabuk iaitu tidak sedar apa dilakukannya menjadikannya tidak waras? Menurut Dr Wahbah al Zuhaily dalam kitabnya al Fiqh Islami wa Adillatuhu, bagi talak oleh pentalak yang mabuk atau tidak normal kerana mabuk itu sampai pada peringkat percakapan merepek dan tidak menentu, bercampur-campur dan tidak sedar apa diperkatakan ketika mabuk, maka fuqaha' sepakat berpendapat tidak jatuh talak daripadanya jika ia mabuk yang tidak diharamkan.
Maksud mabuk yang tidak diharamkan ialah seperti orang mabuk kerana darurat, terpaksa, kerana dipaksa atau kerana makan sejenis tumbuhan memabukkan walaupun bukan kerana sesuatu keperluan.
Oleh itu, orang berkenaan diberikan keuzuran kerana dia dalam keadaan tidak sedar dan tidak tahu apa yang dilakukan, maka dia seperti orang tidur. Bagaimanapun, dalam keadaan biasa, perkara seperti disebutkan jarang berlaku dalam kehidupan. Keadaan biasa berlaku pada masa kini adalah mabuk dengan cara haram seperti meminum arak dan dia bukan dipaksa.
Menurut pendapat yang kuat bagi jumhur fuqaha', jika seseorang mengambil atau menggunakan bahan memabukkan tanpa sesuatu keperluan atau darurat, maka jatuh talak yang dilafazkan olehnya dalam keadaan mabuk sebagai hukuman dan cegahan terhadapnya daripada melakukan perbuatan maksiat. Lagipun, dia mengambil bahan yang memabukkan itu dengan pilihan sendiri tanpa ada paksaan dan tanpa darurat.
Mengguna pakai hukum dan pendapat jumhur fuqaha' berkaitan mabuk dengan cara yang haram kepada permasalahan saudara ini, adakah saudara mengambil ubat tidur atas sesuatu keperluan atau darurat dengan nasihat dan aturan yang ditetapkan doktor? Saudara menyatakan mengambil ubat tidur secara berlebihan dan menyebabkan saudara boleh dikatakan tidak normal. Isunya di sini ialah, keadaan tidak normal itu jika dikiaskan dengan pendapat jumhur ialah keadaan mabuk.
Sedangkan dalam kes saudara, mengambil ubat tidur secara berlebihan bukan dipaksa. Jika saudara menjadikan alasan darurat untuk mengambil ubat tidur secara berlebihan, setiap ubat yang perlu diambil dari segi perubatan mesti dengan nasihat dan aturan ditetapkan doktor atau ahli perubatan. Jika seseorang mengambil sesuatu ubat tanpa nasihat dan panduan ahli perubatan, seseorang harus bertanggungjawab dengan kesan dan akibat tindakannya itu.
Tindakan mengambil ubat tidur secara berlebihan tanpa nasihat dan panduan ahli perubatan jelas menunjukkan saudara mengambil secara pilihan sendiri dan alasan menjadi tidak normal akibat daripadanya adalah kerana tindakan pilihan saudara sendiri. Orang yang mukallaf (bertanggungjawab terhadap tindakannya), juga kerana ijma' sahabat Nabi SAW menyatakan kata-kata yang dilafazkan ketika mabuk seperti menuduh perempuan suci berzina dan lain-lain akan dikenakan tindakan.
Berdasarkan pendapat jumhur fuqaha', talak yang dijatuhkan melalui penghantaran SMS walau dalam keadaan boleh dikatakan tidak normal kerana tindakan sengaja mengambil ubat tidur secara berlebihan, boleh dikira sah kerana mencukupi rukun pentalak itu sendiri. Bagaimanapun, hanya hakim syarie yang mempunyai bidang kuasa menentukan pengesahan sesuatu lafaz talak berdasarkan keterangan lanjut daripada saudara mengenai sebab mengambil ubat tidur berlebihan. Saudara perlu mendaftarkan kes pengesahan perceraian di mahkamah syariah di tempat saudara bermastautin dengan kadar segera.
Jika mahkamah mensabitkan talak itu sah, saudara perlu mengetahui sama ada tempoh edah isteri masih wujud atau tidak bagi membolehkan saudara rujuk dengan isteri.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com
Selasa, 12 Februari 2008
Sibuk dan Sibuk
Selepas solat Zohor, jam 2.10pm aku bergegas ke Pejabat Biasiswa UiTM menyerahkan surat penerimaan biasiswa yang dikirimkan bersama keputusan temuduga pada 1 Februari dulu. Kami diberi tempoh dua minggu untuk membalasnya dan tadi aku telah menyelesaikannya tadi. Sempat berbincang dengan Kak Murni, Pegawai Biasiswa dan dia memberitahu perkara-perkara yang perlu aku buat dalam masa terdekat ini.. Antaranya mesti ke British COuncil seberapa segera untuk menduduki peperiksaan English, lepas tu diberinya tarikh Biro Tata Negara yang diadakan di Ulu Rembau selama beberapa hari, lepas tu perlu ke ILQAM untuk mengambil kursus Methodologi Kajian, dan yang pentingnya perlu lepas keselamatan Negara.. Takutnya aku dengar..
Jam 3 pm ada mesyuarat Jawatankuasa Diskusi yang akan diadakan di CITU Khamis ini 14 Februari. Aku perlu menyiapkan beberapa tugasan untuk menjayakan majlis tersebut.
Program tersebut sangat penting rentetan perkembangan terbaru di negara ini yang melibatkan Orang bukan Islam dan berkahwin secara Sivil, lepas tu salah seorang masuk Islam, apa yang akan terjadi kepada perkahwinan mereka? Seksyen 51 Law Reform dan Seksyen 46 Enakmen Undang-undang Keluarga yang saling bertembung.. Isu ini sangat penting sebenarnya mengenai kedudukan orang-orang yang terlibat dalam konflik sedemikian.. Apakah penyelesaiannya?? Mahkamah mana sewajarnya menangani masalah sebegini??
Diskusi ini cuba mencari jawapannya...
Program tersebut adalah:
Yang pentingnya aku diberi tugas menjadi MC sepanjang program tersebut berlangsung.
Aku perlu buat beberapa perkara dan akhirnya balik ke rumah jam 6.30 petang.
Semoga majlis nanti berjalan lancar.
Ahad, 10 Februari 2008
Artikel ku mengenai Perkembangan Wali Hakim Perlis
________________________________
WALI HAKIM APABILA BAPA ENGGAN
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim
Nov 2007
Baru-baru ini, akhbar melaporkan bahawa Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis akan dipinda untuk membenarkan Mahkamah mengeluarkan kebenaran berkahwin bagi wanita tidak mendapat persetujuan wali. Dengan itu wanita Perlis atau mana-mana negeri di mana wali enggan mewalikan mereka tidak perlu kahwin lari ke Thailand seperti dilakukan sebelum ini, sebaliknya hanya perlu pergi ke Perlis sahaja. Apakah ini isu baru atau sebenarnya isu lama yang diberi nafas baru oleh negeri Perlis?
Wali berasal dari perkataan wilayah bermakna kuasa cakapan ke atas orang lain. Wali mujbir adalah bapa kandung dan datuk kepada pengantin. Sekiranya bapa tidak ada kerana mati atau disahkan hilang, maka datuk mengambil alih tugas mewalikan. Apabila datuk tidak dapat menjalankan tugas itu, barulah dipindahkan kepada wali nasab lain.
Apabila tiada wali nasab, kuasa wali berpindah kepada Sultan dipanggil wali hakim. Contohnya perempuan mualaf atau anak tak sah taraf, wali mereka adalah wali hakim.
Persoalan sekarang apabila bapa (wali mujbir) masih ada tetapi enggan mewalikan anaknya. Apakah si anak boleh menggunakan wali hakim sebagai ganti dan mengetepikan langsung bapa kandungnya?
Hukum wali mengikut jumhur fuqaha’ adalah wajib. Tanpanya perkahwinan tidak sah berdasarkan hadis Rasulullah iaitu, "Mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka nikahnya adalah batal, dan nikahnya batal, nikahnya batal. Dan jika suaminya telah menyetubuhinya maka hendaklah dibayar mahar. Jika mereka (walinya) bertikai maka Sultan (pemerintah) menjadi wali bagi sesiapa yang tidak ada wali.’
Dari sudut undang-undang, contohnya Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003 dalam seksyen 13 memperuntukkan sesuatu perkahwinan tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini kecuali setelah kedua pihak suami/isteri bersetuju atau samada,
a) Wali pengantin perempuan telah bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syara’, atau;
b. Hakim Syarie yang mempunyai bidangkuasa di tempat di mana pengantin perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas oleh Hakim Syarie itu telah, selepas melakukan penyiasatan yang wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu diakadinikahkan oleh Wali Raja mengikut hukum Syarak.
Izin wali adalah syarat sah akad di sisi undang-undang. Tetapi jika bapa enggan mewalikan, undang-undang memberi peluang si anak berkahwin menggunakan wali hakim melalui permohonan di Mahkamah Syariah di mana dia bermastautin.
Kedudukan permastautinan sangat penting kerana ia memberi hak kepada raja tempat wanita bermastautin untuk mengambil alih kuasa wali hakim dalam perkahwinan apabila perlu.
Bermastautin bermaksud tinggal tetap atau pada kelazimannya dalam sesuatu kawasan tertentu. Ia boleh dibuktikan melalui alamat kad pengenalan, pengesahan ketua kampung atau apa-apa dokumen disahkan. Oleh itu, jika seorang perempuan bermastautin di Kelang, tetapi pergi ke Perlis untuk 2 minggu, memohon menukar alamat dalam kad pengenalan dan diluluskan. Kemudian memohon menggunakan wali hakim di Perlis, dia tidak sekali-kali dianggap bermastautin di Perlis. Dia tetap pemastautin Selangor, cuma pergi bercuti ke Perlis.
Apa yang sewajarnya dijelaskan adalah, peruntukan wali hakim kerana bapa enggan telah sedia ada di setiap negeri, maka mana-mana perempuan menghadapi masalah ini, harus membawa kesnya ke Mahkamah Syariah berkaitan. Contohnya Raja Perlis adalah wali hakim kepada pemastautin Perlis sahaja dan Raja Selangor adalah wali hakim kepada pemastautin Selangor. Isu permastautinan tidak wajar dipandang rendah kerana ia memberi kesan kepada proses pentadbiran undang-undang Syariah negara ini.
Amalan di negeri-negeri sekarang ini ialah apabila permohonan dibuat atas sebab wali enggan, maka wali tersebut dipanggil untuk diketahui alasan kenapa enggan mewalikan. Untuk memanggilnya mesti mengikut tatacara yang ditetapkan. Jika alasannya tidak munasabah di sisi Syarak maka Mahkamah akan memerintahkan wali mewalikan pernikahan ataupun mengeluarkan perintah wali hakim. Dengan cara ini dapat dipastikan alasan keengganan munasabah atau sebaliknya. Ini selaras dengan peruntukan dinyatakan di atas dan sejajar dengan hak asasi manusia iaitu kedua belah pihak diberi hak untuk didengar.
Namun apa dicadangkan berlaku di Perlis seolah-olah menafikan hak wali untuk didengar alasannya. Pelbagai perkara boleh dilakukan bagi menghalang seseorang wali dari hadir ke mahkamah. Tidak mustahil seseorang mengambil tindakan sebegini apatah lagi tiada syarat dikenakan dalam undang-undang bagi memastikan saman ataupun kertas kausa perundangan lain diserahkan kepada wali.
Justeru, apa dicadangkan dilaksanakan di Perlis wajar diperhatikan dengan lebih terperinci demi keadilan semua pihak. Apatah lagi keadilan adalah tunjang perundangan Islam itu sendiri. Isu wali enggan sebenarnya bukan isu baru, negeri lain telah lama memutuskan perkara ini sedangkan Perlis baru mengambil tindakan untuk memasukkan peruntukan ini dan ditunjukkan seolah-olah Perlis pula menjadi negeri pertama memperjuangnya.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam
Sabtu, 9 Februari 2008
Artikel Umi dulu-dulu
Terima kasih pada empunya blog yang banyak mengisi artikel-artikel tulisanku dalam blog mereka contohnya dalam promote5.blogspirit.com, dalam nurjannah mutiara hati.blogspot dan banyak lagi.. terima kasih semua. Semoga ada manfaat daripadanya..
________________________-
13/11/2006
Perkahwinan buka pintu rezeki, elak maksiat
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Islam utamakan hidup berkeluarga, lahir zuriat suci sebagai khalifah Allah di muka bumi
RUANGAN sebelum ini menyentuh bagaimana Islam menilai perkahwinan bukan saja sebagai satu akad yang mengikat dua insan saling menyukai tetapi mempunyai hubungan rapat dengan unsur keagamaan.Atas dasar itu, Islam sebagai satu jalan dan cara hidup komprehensif memberi penekanan penting meletakkan garis panduan serta piawaian tinggi yang terperinci bagi membimbing manusia ke arah keredaan-Nya.
Dalam Islam, perkahwinan dan hubungan suami isteri serta seisi keluarga adalah perkara mulia dipandang penting.Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri.Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia, contohnya keperluan ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup serta keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang.
Oleh itu, semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga.Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga.Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu.Ia dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur, ayat 32)
Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan dan persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.Panduan itu diberikan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Wahai orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) dapat mengawal mata dan kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam sebenarnya tidak menggalakkan umatnya mengambil sikap berkecuali dengan tidak mementingkan urusan perkahwinan. Rasulullah SAW pernah menggambarkan kegembiraan Baginda di akhirat dengan bilangan umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan umatnya.Sabda Baginda SAW bermaksud: “Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak.” (Riwayat Ahmad)
Namun begitu, kita perlu melihat dengan lebih terperinci bahawa apa yang menjadi impian Rasulullah SAW adalah umatnya ramai, berkualiti, mempunyai jati diri Muslim sebenar. Apakah yang dikatakan perkahwinan itu? Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islamiy meletakkan definisi perkahwinan atau al-nikah sebagai 'satu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan bukan muhrim, menimbulkan hak dan kewajipan antara kedua-dua mereka.'
Menerusi definisi ini, beberapa perkara penting dapat dikeluarkan:
Pertama, perkahwinan menyatukan antara dua insan yang saling menyintai dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam Islam. Ia berkait perjanjian dengan Allah untuk menjaga perkara yang digariskan antara mereka selepas akad dilaksankan. Justeru, perkahwinan mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga di sepanjang prkahwinan berlangsung.
Kedua, adalah jelas bahawa perkahwinan hanya boleh berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Dengan itu, Islam tidak membenarkan hubungan sesama muhrim walaupun mereka saling mencintai seperti anak dan bapa, adik beradik, anak saudara dengan bapa saudara dan sebagainya. Termasuklah hubungan muhrim yang terbina dari pertalian darah, susuan dan persemendaan.
Ketiga, hanya selepas wujudnya akad perkahwinan, barulah wujud hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk tunaikan dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk tunaikan. Hak anak yang lahir selepas ikatan itu menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk tunaikan. Istilah tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar, perkara yang ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas, jika gagal maka ada pertanggungjawaban di hadapan Allah di akhirat kelak terhadap pengabaian dan kegagalan itu. Itulah elemen keagamaan dan ketundukan kepada Allah di dalam perkahwinan.
Keempat, definisi itu juga menjelaskan bahawa pasangan yang belum berkahwin, sama ada yang sedang bercinta atau bertunang, belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka. Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh bebas bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi melakukan hubungan kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah. Inilah yang paling ketara antara perkahwinan di sisi pandangan barat dan Islam. Bagi golongan barat, apabila pasangan saling cinta mencintai, maka hubungan kelamin adalah suatu yang lumrah. Agama tidak mempunyai peranan dalam pembawaan dan keputusan dibuat. Kerana itu, melakukan hubungan kelamin, mempunyai anak sebelum berkahwin adalah perkara bukan mengaibkan atau pelik dalam masyarakat mereka. Islam tidak membenarkan kita menyerupai dan mengambil langkah seperti mereka.
Kelima, akad perkahwinan adalah ikatan murni antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga. Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Barat menerima perkembangan yang berlaku di mana lelaki boleh berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita. Ia kerana perkahwinan bagi mereka adalah titik akhir penzahiran kecintaan antara dua insan. Tidak ada hubung kait dengan elemen keagamaan. Sedangkan Islam sama sekali tidak mengiktiraf hubungan gay atau lesbian. Bahkan Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki. Keenam, perkahwinan adalah ikatan suci yang bukan saja menggabungkan dua insan, tetapi dua keluarga dan keturunan. Maka silaturahim antara manusia akan berkembang dan kehidupan lebih berseri.
Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia sumber: Berita Harian 8 Nov.2006
Umi Dalam Harian Metro
myMetro » BeritaUtama
Kahwin cincai
Oleh AHMAD NAZRI MOHAMAD, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRANmetahad@hmetro.com.my
Nikah tanpa dokumen
KUALA LUMPUR: “Pada zaman Nabi dulu, mana ada kad pengenalan atau sijil nikah. Itu semua tidak perlu,” kata seorang jurunikah palsu kononnya berstatus kiai yang dipercayai memberi khidmat kahwin cincai kepada ratusan pasangan, baik rakyat tempatan mahu pun warga asing, terutama Indonesia.
Wakil Metro Ahad berkesempatan terbabit dalam satu pernikahan yang dilakukan kiai itu membabitkan seorang lelaki tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz, 43, dengan pasangannya, baru-baru ini.
Menurut Aziz, dia menggunakan khidmat kiai itu kerana tidak mahu perkahwinannya diketahui isteri pertama, selain prosedur nikah yang mudah dan menjimatkan, iaitu cuma RM150.“Saya mengetahui perkara ini daripada seorang rakan dan diberitahu, ramai pasangan menggunakan khidmat kiai yang terkenal alim itu.
“Apabila bertemu, kiai itu meyakinkan saya bahawa pernikahan dijalankannya sah mengikut hukum syarak, walaupun dia tidak menyediakan dokumen sebagai bukti perkahwinan.
“Alasannya, pada zaman Nabi Muhammad SAW mana ada sijil nikah (untuk pasangan bernikah). Malah, dia juga tidak meminta kad pengenalan saya.“Saya hanya datang bersama bakal isteri kedua. Kiai itu cuma tanya nama saya dan bakal isteri, ada wali hakim atau tidak, berapa mas kahwin dan terus menikahkan saya,” katanya.
Menurut Aziz, seumur hidup dia tidak pernah menghadiri mana-mana proses pernikahan yang terlalu mudah dan ringkas itu.“Saya katakan isteri saya tiada wali, tetapi dengan tenang kiai itu memberitahu boleh berwali hakim.“Saya juga tidak membawa saksi, tetapi dengan cepat kiai itu dan rakannya memanggil dua rakan mereka untuk menjadi saksi.“Dia bertanya mengenai mas kahwin, saya beritahu RM80 hutang dan dia terus buat akad nikah. Kesudahannya, saya bernikah dan hanya membayar RM150,” katanya.
Ditanya sama ada dia yakin status perkahwinan itu, Aziz menyatakan, dia yakin pernikahannya sah di sisi agama, walaupun bertentangan dengan undang-undang negara.Dalam upacara pernikahan itu, kiai yang mempunyai ramai anak murid di kalangan pekerja Indonesia itu bertanya bakal pengantin perempuan sama ada dia sedia dikahwinkan dengan pasangannya.Kiai itu juga bertanya mengenai waris yang sepatutnya menjadi wali bakal pengantin perempuan dan halangan yang menyebabkan wali terbabit tidak dapat hadir sebelum melangsungkan pernikahan dengan wali hakim.
Ketika akad nikah dijalankan, pengantin diminta memberitahu nama bakal pengantin untuk diakad oleh kiai. Tidak perlu ditunjukkan kad pengenalan sebagai pengesahan, memadai memberitahu nama penuh.Majlis kahwin cincai berkenaan dijalankan di sebuah rumah setinggan di lokasi perumahan yang kebanyakannya dihuni warga asing di sekitar ibu kota, lazimnya pada waktu malam.
Tidak semua orang boleh pergi ke lokasi kahwin cincai kerana ia perlu diatur terlebih dulu oleh perantara.Ini kerana kiai terbabit dikatakan berhati-hati dengan pasangan yang mahu dinikahkan kerana menyedari kegiatannya bertentangan dengan undang-undang di negara ini dan dia boleh dikenakan tindakan pihak berkuasa pada bila-bila masa.Mereka yang menggunakan khidmat kahwin cincai itu biasanya pasangan cinta terhalang oleh ibu bapa dan keluarga, lelaki mahu berkahwin lebih daripada satu tetapi tidak mendapat kebenaran isteri pertama atau pasangan sengkek (tidak berduit) tetapi mahu kahwin cepat.
Mengulas kegiatan kiai terbabit, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, berkata pihaknya mengakui kewujudan kegiatan pernikahan membabitkan sindiket di negara ini. Namun, beliau tidak mahu mengulas lanjut perkara itu kerana bimbang masyarakat tidak dapat memahami isu berkenaan dengan jelas dan boleh membawa salah faham, terutama berhubung isu status pernikahan yang dikendalikan oleh sindiket.
Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abdul Rani, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku apa yang dikatakan kahwin cincai seperti didedahkan Metro Ahad.Katanya, sesiapa yang ada maklumat mengenai kegiatan haram itu perlu tampil membuat aduan supaya tindakan dapat diambil.“Pihak terbabit (kiai) mengambil kesempatan menggunakan ilmu agama yang ada padanya untuk mengaut keuntungan.“Pasangan pengantin yang terdesak pula, apabila tahu ada khidmat seperti itu, mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang disediakan pihak terbabit,” katanya.
Mohd Hidayat berkata, setiap jurunikah dan wali hakim di Selangor perlu mempunyai tauliah dan jelas kahwin cincai itu hukumnya tidak sah.
______________________________
Sukar daftar kelahiran anak
KUALA LUMPUR: Sengsara kemudian hari dan mengaibkan diri sendiri. Itu yang bakal dilalui pasangan ‘kahwin cincai’, terutama wanita. Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim, berkata perkahwinan yang dikendalikan jurunikah tidak bertauliah seperti itu terang-terangan bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara ini.Katanya, ia tidak boleh didaftarkan dan surat perakuan nikah tidak boleh dikeluarkan.“Jika lahir anak, bagaimana anak itu mahu didaftarkan tanpa sijil nikah? Bagaimana mahu menyekolahkan anak?“Fikirlah mengenai masa depan sebelum memilih mengambil jalan mudah untuk berkahwin,” katanya.
Nurhidayah yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam, berkata lebih membimbangkan jika berlaku masalah seperti suami meninggalkan isteri, si isteri akan menanggung beban lebih berat.“Perkahwinan yang tidak sah daripada segi undang-undang menyebabkan si isteri tidak dapat menuntut haknya, sama ada untuk nafkah diri mahupun nafkah anak.“Si isteri juga sukar menuntut cerai daripada suami kerana sebelum sesuatu perceraian boleh dituntut, perkahwinan terlebih dulu perlu disahkan oleh mahkamah syariah. Jika berpisah, si isteri turut berdepan kesukaran jika mahu berkahwin lain,” katanya.
Nurhidayah berkata, jika berlaku kematian satu pihak, isteri atau suami sukar menuntut harta pusaka daripada pasangannya yang meninggal dunia kerana sebelum harta pusaka boleh dibahagikan, pihak yang menuntut mesti membuktikan kepada mahkamah syariah bahawa dia waris yang sah.
Katanya, penuntut terlebih dulu mendapat pengesahan daripada mahkamah syariah bahawa perkahwinannya adalah sah mengikut hukum syarak berdasarkan surat nikah yang diperoleh.“Tanpa dokumen, pasangan bukan saja mengaibkan diri sendiri, tetapi juga ibu bapa. Bagaimana ibu bapa hendak menjawab jika ditanya mengenai perkahwinan anak mereka,” katanya.
________________
Tidak sah: Mufti
KUALA LUMPUR: “Itu wali Encik Hakim, bukan wali hakim,” seloroh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika menjelaskan perkahwinan pasangan berwali hakim menggunakan khidmat jurunikah warga asing adalah tidak sah mengikut hukum syarak.
Beliau mengulas pendedahan Metro Ahad berhubung kegiatan ‘kiai’ warga asing yang menikahkan pasangan Islam dengan cara mudah, ringkas dan tidak memerlukan dokumen.
Mohd Asri berkata, pernikahan itu tidak sah kerana seseorang warga jurunikah terbabit bukan orang yang diberi kuasa oleh pemerintah atau pihak berkuasa agama negara untuk mewalikan calon pengantin perempuan.
Menurutnya, wali hakim yang dibenarkan hanya seseorang diberi pengiktirafan daripada pihak berkuasa seperti jabatan agama Islam, pejabat kadi daerah atau mahkamah syariah.“Wali hakim ini adalah sebagai wakil pemerintah diberi kuasa menjadi wali apabila berlaku halangan kepada wali seseorang perempuan dalam upacara akad nikah.“Ini adalah hukum secara umum. Namun, kita kena tengok kes ini lebih teliti dan terperinci,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mohd Asri juga mempertikaikan tindakan pasangan menggunakan khidmat jurunikah sindiket, sedangkan undang-undang Islam di negara ini memberi kemudahan umat Islam di negara ini.
“Kenapa hendak menikah dengan cara begitu (khidmat jurunikah asing)? Jika bapa tidak izinkan berkahwin dengan alasan tidak munasabah, boleh minta kahwin dengan wali hakim.“Jika tidak boleh di negeri lain, datang ke Perlis. Kita tengok, kalau dihalang dengan alasan tidak munasabah, kita boleh nikahkan dengan menggunakan wali hakim,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika terbukti jelas wali perempuan menghalang perkahwinan kerana calon suami penjenayah atau penagih dadah tegar, bapa sebagai wali berhak menghalang perkahwinan.
____________
Ulasanku..
Orang yang kahwin macam ni sama ada lelaki atau perempuan adalah orang yang tidak takutkan halal haram dalam agama, semua ambik mudah mengikut kata hati dan nafsu.. Tetapi kata Dr Asri tu tak bagus, apasal asyik promosikan Perlis untuk kahwin guna wali hakim. Pendapat ini sebenarnya sama dengan pendapat yang suka memandang mudah undang-undang negara.. terutama melibatkan bidangkuasa negeri dan juga tatacara di Mahkamah Syariah.. Maksud katanya seolah-olah mengajak orang negeri lain jangan lari ke Thailand, lari ke Perlis pun boleh.. Inilah yang berlaku dalam kes Perlis baru-baru ini, anak perempuan Selangor lari ke Perlis dan berkahwin di Perlis sedangkan ayahnya tidak diberi ruang yang munasabah untuk membantah, apatah lagi anak perempuan tersebut bukannya rakyat pemastautin Perlis tetapi diuli-uli sehingga akhirnya lulus perkahwinan di sana.. Ini lah hujah mereka kerana zaman dulu pun tak ada istilah Enakmen Selangor hanya untuk orang Selangor, jadi sapa-sapa pun boleh masuk dan mendapat wali hakim di Perlis.. Jadi yang ingin ke Perlis, silakanlah....adoii...Pening betul melihat perkembangan sebegini...
Artikel Umi dalam Berita Harian
Peguam Syarie Menulis:
Pasangan wajar disiasat, elak buta kerana cinta
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
DEWASA ini pelbagai kisah negatif dilaporkan di media berkenaan kecelaruan sistem sosial masyarakat termasuk sistem kekeluargaan. Contohnya, media pernah menyiarkan ramai pasangan berkahwin, tetapi akhirnya bercerai dalam tempoh tidak sampai 10 tahun perkahwinannya atas pelbagai alasan. Ada kes suami didakwa mencederakan dan melakukan penderaan ke atas isteri menggunakan senjata tajam hingga menyebabkan kecederaan pada badan isteri. Seorang bapa ditahan atas dakwaan merogol anaknya yang masih kanak-kanak. Mahkamah Sesyen di sebuah negeri juga dilaporkan pernah menjatuhkan hukuman penjara 60 tahun ke atas seorang bapa yang mengaku merogol anak gadisnya sendiri berumur 15 tahun.
Media juga sebelum ini ada melaporkan ramai anak berstatus profesional yang mewah hidupnya mengambil tindakan menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atas alasan ibu bapa uzur dan tidak boleh menjaga kebajikan mereka. Pada masa sama, laporan mengenai pembabitan anak muda dengan dadah, menjadi mat rempit, berlumba motosikal secara haram, bergaduh sesama mereka, merompak, terbabit dalam gejala seks bebas juga tidak pernah habis diperkatakan. Belum lagi membabitkan masalah buli di sekolah, ponteng kelas, melepak tanpa tujuan, merokok dan sebagainya. Semua ini secara tidak langsung menjadi satu petanda bahawa sistem sosial kita berada dalam keadaan yang agak celaru, sakit dan perlu diubati segera.
Semua masalah yang berlaku tidak boleh dinafikan sedikit sebanyak mempunyai hubungkait dengan keluarga. Rumah tangga yang bercelaru menyebabkan anak dalamnya terganggu jiwanya. Pasangan yang selalu bergaduh juga tidak mempunyai ketenangan dalam jiwa mereka. Kebahagiaan dapat dicapai apabila hati tenang dan gembira.
Hati menjadi tenang apabila urusan sekeliling terutama membabitkan orang yang disayangi berada dalam keadaan baik. Orang yang disayangi itu pula ibu bapa, adik-beradik, pasangan dan anak yang lahir daripada satu perkahwinan dibina. Hati yang tenang juga sebenarnya datang daripada kehidupan yang berkat dan dipenuhi cahaya rahmat oleh Allah. Walau sekaya mana pun kita, kita tidak boleh membeli bahagia dan ketenangan. Merujuk urusan rumah tangga, apabila seorang perempuan menerima lamaran untuk menjadi isteri kepada mana-mana lelaki, dia sebenarnya sudah menyerahkan hampir keseluruhan dirinya untuk berada bawah lembayung dan jagaan lelaki itu.
Segala kasih sayang yang ada dan ketaatan diberikan kepada lelaki berkenaan. Isteri juga selalunya bersedia pula berkongsi semua perkara dan menerima suaminya sebagai ketua rumah tangga yang dibina. Wanita perlu mengambil inisiatif memastikan dia tidak tersalah pilih pasangan. Orang tua menyebut cinta itu buta. Kerana ia buta, maka ramai wanita mencintai dan berkahwin dengan lelaki yang tidak diketahui latar belakangnya. Begitu juga ramai lelaki mengahwini wanita yang belum dikenali keturunan dan agamanya.
Dalam keadaan masyarakat yang agak gawat ini, kita menyarankan supaya wanita merujuk kepada ibu bapa dan memastikan restu ibu bapa sebelum berumah tangga. Justeru, kahwin lari ke mana-mana tempat untuk mengelakkan masalah wali bapa seharusnya dielakkan. Pada masa sama, setiap orang juga wajar membuat sedikit kerja rumah menyiasat latar belakang bakal pasangan.
Orang tua dulu pernah berpesan dalam menyiasat latar belakang bakal suami, lihat bagaimana dia berhubungan dengan ibu bapa dan keluarganya. Apakah dia seorang yang menyayangi ibunya, mengasihi dan melindungi adik-adiknya serta boleh dibawa berbincang dalam menangani sesuatu masalah?
Jika ada ciri itu, besar kemungkinan dia akan turut melayani dan melindungi isteri dan anak dengan baik selepas perkahwinan. Jika dia seorang yang cepat mengamuk, pantang tersilap akan menengking dan memerintah ibunya, tidak mengasihi dan mengambil berat terhadap adiknya, maka ia petanda supaya wanita itu wajar berhati-hati sebelum mengambil keputusan yang memberi kesan kepada keseluruhan kehidupannya pada masa depan. Begitulah sebaliknya.
Dalam satu kajian yang pernah dijalankan terhadap kira-kira 100 kes tuntutan cerai di Mahkamah Syariah, kira-kira 70 kes menuntut cerai fasakh atas alasan suami mendera, melayani dengan kasar, memukul isteri di depan anak dan orang tidak berkenaan serta tidak memberi nafkah. Dalam keterangan diberi, sebahagian besar mengakui suami adalah seorang yang panas baran, suka memukul, terbabit dengan dadah daripada awal perkahwinan, malas bekerja, pantang tersilap, maka terus memukul isteri dan ada juga yang memaksa isteri menjadi pelacur.
Di samping itu, ada kes suami dan ayah yang tidak menunaikan tanggungjawab dengan baik, anak lelaki yang meninggalkan kebajikan ibu bapa, tidak menghulurkan sebarang sumbangan kewangan selepas berkahwin dan melebihkan isteri dalam segala hal berbanding ibunya. Termasuk menghantar ibu bapa ke rumah orang tua. Ini juga adalah perkara besar dan perlu ditangani dengan baik. Tidak ada sebarang alasan membolehkan anak membuang ibu bapa sama ada tidak sanggup, malas atau malu menjaga ibu bapa yang uzur.
Rasulullah SAW banyak berpesan supaya setiap kita berusaha memilih pasangan yang baik, beragama dan menjalankan tanggungjawab dengan baik. Beragama tidak hanya menjadikan Islam sebagai agama anutannya, tetapi menjadikan agama sebagai landasan hidupnya, beramal dengan peraturan agama, menghayati halal haram, dosa pahala, menjadikan rahmat dan berkat Allah adalah matlamat dalam kehidupannya.
Semua pihak perlu menggembleng tenaga membina dan membaiki kegawatan masyarakat. Pihak kerajaan, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu terbabit sama menangani isu ini. Di samping perlunya pendekatan undang-undang, mungkin antara usaha yang wajar dibuat adalah pihak berwajib perlu menambah baik kandungan dan pendekatan kursus praperkahwinan dengan tajuk relevan kepada isu ini di samping membina kekuatan jiwa pasangan untuk patuh kepada agama.
Mungkin kursus pasca-perkahwinan kepada pasangan sudah berkahwin juga perlu dilaksanakan untuk membina semangat beragama di samping memberi ilmu keibubapaan, menyuburkan kasih sayang antara pasangan, menangani tekanan dan sebagainya yang bersesuaian demi membaiki kegawatan masalah dalam masyarakat.
Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Semua tulisan boleh dilayari di http://peguamsyarie.blogspot.com