Janji dan Menjaga janji
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim
Kita kerap berjanji. Ada yang berjanji dengan anak-anak
seperti mengatakan jika sianak berlaku baik, maka dia akan mendapat hadiah. Tetapi
apabila dia berbuat baik, tidak ada hadiah yang diterima. Ada yang berjanji
dengan kawan untuk bertemu di satu tempat tetapi apabila tiba masanya, orang
yang berjanji tidak kunjung tiba. Ada yang meminjam duit dan berjanji
membayarnya dalam masa tertentu, tetapi apabila sampai masa dipersetujui,
hutang tidak dibayar, bahkan orang yang berjanji membayarnya mungkin lari dan
mengelakkan dari bertemu dengan orang yang membantunya.
Sama ada sedar atau
tidak, kita kerap mengambil mudah ketika berjanji. Berapa banyak kita berjanji
tetapi kita gagal menepatinya. Sedangkan, Rasulullah SAW sangat mengambil berat
tentang janji dan manasihatkan kita supaya menjaga janji yang kita buat.
Orang Melayu lama sendiri dalam gurindamnya sering menyebut,
‘kerbau dipegang pada tali hidungnya, manusia dipegang pada janjinya’
menunjukkan betapa pentingnya menunaikan janji yang kita buat. Orang yang kerap
melanggar janji sebenarnya menzahirkan hakikat diri yang dia adalah seorang tidak
boleh dipercayai.
Allah menegaskan tentang kepentingan perkara ini dalam surah
al-Nahl yang bermaksud, “ Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu
berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah itu sesudah
meneguhkannya….” Begitu juga dalam ayat yang lain (al-Isra:34), Allah SWT
memperingatkan bahawa, “ Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti
diminta pertanggungjawabannya.”
Allah SWT memperingatkan kita supaya menjaga, memelihara dan menunaikan
janji yang dibuat. Ia mencakupi janji yang dibuat dengan sesama manusia termasuklah
janji untuk perdamaian, janji menyempurnakan amanah, janji membayar hutang, menjaga
kontrak dan sebagainya. Ia juga termasuk menepati janji yang dibuat dengan
Allah SWT. Apabila seseorang berjanji dengan Allah untuk meninggalkan kejahatan,
menunaikan kebaikan, memberi sedekah, atau melaksanakan sesuatu amal ibadah, maka
janji tersebut adalah janji yang besar kedudukannya dan semuanya akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di
akhirat kelak.
Apabila seseorang berkahwin, pada hakikatnya sisuami telah
berjanji atas nama Allah yang menghalalkan isteri untuknya untuk menjaga
isterinya, menunaikan haknya, memberi nafkah dan perlindungan serta memberi
pendidikan agama yang wajib diberikan kepada isterinya. Melalui akad nikah,
suami sebenarnya berjanji untuk menjaga isteri dan anak-anak yang lahir dari
perkahwinan tersebut sebaik mungkin. Isteri akan beroleh kasih sayang,
perlindungan dan berasa selamat melalui perkahwinan tersebut. Inilah konsep
perkahwinan yang sebenar yang kerap dipandang mudah.
Pentingnya menjaga janji diketengahkan oleh Rasulullah SAW dalam
banyak hadith. Menjaga dan menepati janji adalah sebahagian dari iman.
Barangsiapa yang tidak menjaga janji yang dibuat seolah-olah tidak ada agama
baginya. Justeru, orang yang suka berjanji dan mungkir janji adalah satu dari tanda
kemunafikan dan rosaknya hati. Rasulullah SAW menyebut, “Tanda-tanda munafik
ada tiga; apabila berbicara ia dusta, apabila berjanji dia mengingkari, dan
apabila dipercaya dia berkhianat.” (Muslim)
Seorang yang hati dan imannya rosak akan melakukan apa yang
bertentangan dengan nilai yang mulia. Apabila bercakap, percakapannya diselangi
dengan pembohongan dan pendustaan. Apabila berjanji melakukan sesuatu,
diingkari tanpa rasa bersalah. Begitu juga apabila diberi kepercayaan
menjalankan atau menjaga sesuatu amanah, dikhianati amanah tersebut.
Berbalik kepada seseorang yang berjanji untuk membayar
hutang apabila sampai masa yang dijanjikan, Nabi SAW pernah bersabda, “Barangsiapa
yang mengambil harta seseorang dalam keadaan ingin menunaikannya (membayarnya),
niscaya Allah akan (memudahkan untuk)
menunaikannya. Dan barangsiapa mengambilnya dalam keadaan ingin merusakkannya,
nescaya Allah akan melenyapkannya.” (Riwarat Ahmad) Justeru, orang yang tepat membayar
hutang seperti dijanjikan merupakan orang yang akan mendapat bantuan Allah dan
akan dimudahkan rezeki dan laluan hidupnya. Sedangkan seseorang yang suka
berhutang tetapi lari dari membayar hutang apabila sampai masa yang dijanjikan, atau dengan sedar tidak berniat
untuk membayarnya, maka baginya satu janji Allah bahawa Allah tidak akan
memberkati hidupnya.
Bagi ibu bapa, jangan kita kerap berjanji dengan anak-anak
sekiranya tidak berniat untuk menunaikannya. Jika ibu bapa melakukannya,
sebenarnya sama ada disedari atau tidak, kita sedang mengajar nilai buruk
dan menanamkan dalam diri mereka
perangai yang terhina. Ini ditegur oleh Nabi dalam hadith diriwayatkan oleh
Abdullah bin ‘Amir. Dia berkata: “Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW duduk
di tengah-tengah kami, (tiba-tiba) ibuku memanggilku dengan mengatakan: ‘Datang
kemari, ibu akan beri kamu sesuatu!’ Rasulullah SAW
mengatakan kepada ibuku: ‘Apa yang akan kamu berikan kepadanya?’ Ibuku
menjawab: ‘Kurma.’ Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Ketahuilah, seandainya kamu
tidak memberinya sesuatu maka ditulis bagimu satu kedustaan.” (Riwayat Abu
Dawud)
Menjaga dan menunaikan janji adalah perkara besar dalam
Islam. Masyarakat Islam akan menjadi aman jika setiap kita menjaga nilai mulia
ini. Setiap orang akan boleh dipercayai dan masyarakat akan aman dengan
orang-orang yang amanah. Betapa pentingnya perkara ini sehingga Nabi memberi
motivasi yang hebat untuk kita menjaga janji. Rasulullah SAW bersabda, “Jagalah
enam perkara nescaya aku jamin bagimu syurga; jujurlah bila berbicara,
tepatilah jika berjanji, tunaikanlah apabila kamu diberi amanah, jagalah
kemaluan, tundukkanlah pandangan dan tahanlah tangan-tanganmu (dari melakukan
sesuatu yang dilarang).” (Riwayat Ahmad)
-----------------
Disiarkan dalam Berita Harian 22 Januari 2015
