Satu tulisan yang sangat baik berkenaan pendekatan guru yang keras terhadapa anak murid.
Ia adalah tulisan seorang guru yang cintakan profesionnya dengan ikhlas..
Saya copy dari blognya untuk bacaan bersama..
http://ychuchai.blogspot.com/2012/09/murid-tahun-tiga-dakwa-trauma-ditampar.html
ARTIKEL
Posted on the October 28th, 2009 under Berita Harian
SUBANG JAYA, 27
Okt (Bernama) — Seorang murid Tahun Tiga di sebuah sekolah di Pusat Bandar
Puchong mendakwa trauma selepas ditampar hingga bengkak oleh seorang guru
disiplin hanya kerana lewat 10 minit ke sekolah.
Ibu murid itu,
V. Kavitah, 29, berkata anaknya turut mendakwa saluran pendengaran kanannya
sedikit terganggu dan demam akibat ditampar hingga menyebabkan dia tidak mahu
ke sekolah kerana trauma dengan kejadian pukul 7.40 pagi semalam.
Kavitah berkata
anaknya terlewat tiba di sekolah akibat terperangkap dalam kesesakan teruk lalu
lintas.
Kavitah berkata
pagi ini dia membawa anaknya itu ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)
untuk menjalani pemeriksaan dan anaknya disahkan mengalami kecederaan dalaman,
namun dijangka sembuh dalam tempoh terdekat.
“Tindakan guru
itu memukul anak saya tidak sepatutnya berlaku apatah lagi anak saya seorang
perempuan. Saya hanya mendapat tahu mengenai kejadian ini daripada anak saya
ketika menjemputnya pulang dari sekolah selepas tengah hari semalam,” katanya
kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Puchong di
sini.
Kavitah kesal
guru besar mahupun guru disiplin enggan meminta maaf apabila beliau ke sekolah
berkenaan pagi ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu.
“Justeru saya
kemudian mengambil keputusan untuk membuat laporan polis kerana mahu anak saya
mendapat keadilan dan supaya guru itu tidak sewenang-wenangnya memukul pelajar.
Saya tidak mahu pelajaran anak saya terjejas,” katanya.
1.0
PENGENALAN
Dunia pendidikan di Malaysia pada masa kini sedang
melalui era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Profesion perguruan merupakan profesion tertua di dunia
dan kini telah memasuki satu era yang baharu. Profesion perguruan merupakan badan
yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan
yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Guru, satu profesion yang
digeruni kerana guru dapat melahirkan insan yang berakhlak mulia dan dihormati
dimana-mana jua seseorang guru itu berada.
Masyarakat
masa kini sangat prihatin dan mengikuti perkembangan pendidikan dengan penuh
minat dan bersikap kritikal terhadap isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan
kemajuan anak-anak mereka. Maka tanggungjawab profesion perguruan menjadi
semakin berat kerana rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan
sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi
perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika
yang murni. Dengan kata lain, profesion perguruan merupakan badan yang
dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat atau warga negara
yang berperanan positif terhadap kemajuan serta masa depan negara.
Malangnya, ketika kita bersungguh-sungguh menyahut
cabaran masa kini untuk merealisasikan aspirasi negara, timbul pula isu-isu
yang melibatkan guru. Pepatah ada menyebut bahawa kerana nila
setitik, rosak susu sebelanga. Sejak kebelakangan ini, profesion
perguruan ditimpa pelbagai masalah dan perkara yang negatif (Abdul Rahin Bin Hamdan...[et al]). Berita guru memukul pelajar, mendera, mencabul dan
merogol anak didik sendiri sering berlaku dan menjadi topik media. Kejadian guru-guru memukul pelajar
sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Tidak kurang juga
apabila ia menjadi bualan hangat di kalangan masyarakat
Kejadian
sedemikian menyebabkan imej profesion keguruan kian tercalar teruk di mata
masyarakat dek kesalahan yang dilakukan oleh
segelintir guru. Sesungguhnya kebanyakan guru menghendaki murid-muridnya
mematuhi segala arahan sekolah, tetapi pada masa yang sama, ada juga guru yang
enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian. Apakah
sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita? Beberapa perlakuan guru sekolah
terhadap murid mereka dalam tempoh beberapa tahun ini menimbulkan persoalan
mengenai tahap kualiti guru.
Antara kes-kes yang dilaporkan oleh media massa dan media
elektronik berkaitan dengan guru memukul murid yang berlaku di sekolah-sekolah.
Contohnya satu kes yang berlaku di Sekolah
Kebangsaan Gayang, Tuaran, Sabah pada 19
Julai 2008, seorang guru besar digantung kerja selama dua bulan kerana telah
didakwa menampar 22 pelajar tahun empat dari sekolah berkenaan yang tidak
menyiapkan kerja sekolah mereka. Sementara
di Alor Setar pula, seorang guru perempuan didakwa memukul seorang murid tahun
tiga di sebuah sekolah rendah dengan menggunakan pembersih habuk plastik
bertangkai besi kerana murid tersebut tidak membersihkan kelas pada waktu rehat
seperti yang ditetapkan dalam jadual tugasan harian.
Sementara itu di Johor pula,
beberapa nota ditulis oleh seorang murid tahun dua untuk mencurahkan
perasaannya selepas dipukul guru Bahasa Melayu sebagai bukti ‘penderaan’
terhadapnya di sebuah sekolah rendah di Batu Pahat. Bukti itu
semakin jelas apabila mata kiri murid itu, mengalami pendarahan beku akibat
dipukul guru terbabit. Di samping itu, seorang murid
tahun satu patah tulang bahagian tengah tapak tangan kanannya selepas dikatakan
dipukul oleh seorang guru sebagai hukuman kerana berbuat bising dalam kelas di
Sekolah Kebangsaan Sungai Limau Dalam, Yan pada 31 Julai 2005,. (Utusan, 1 Ogos
2005).
Selain itu, dua murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan
(SK) Bukit Lintang, Ayer Molek cedera di dagu dan kaki kerana didakwa dicubit
serta dipukul oleh seorang guru lelaki pada 14 Januari 2009. (Utusan, 15 Januari 2009). Pada 21 Oktober
2009 pula, seorang pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang
Anum mengalami luka di bibir dan lebam di pipi, selepas mendakwa ditampar
sebanyak lima kali oleh guru sekolahnya gara-gara dituduh ponteng kelas.
(Utusan, 22 Oktober 2009).
Di antara
pelbagai jenis berita yang dilaporkan ini, ada suatu berita yang menarik
perhatian saya di akhbar Berita Harian. Pada 27 Oktober 2009, di sebuah sekolah
di Pusat Bandar Puchong, Subang Jaya, seorang murid Tahun Tiga di sebuah sekolah di Pusat Bandar Puchong mendakwa
trauma selepas ditampar hingga bengkak oleh seorang guru disiplin hanya kerana
lewat 10 minit ke sekolah.
Ibu murid itu,
V. Kavitah, 29, berkata anaknya turut mendakwa saluran pendengaran kanannya
sedikit terganggu dan demam akibat ditampar hingga menyebabkan dia tidak mahu
ke sekolah kerana trauma dengan kejadian pukul 7.40 pagi semalam. Kavitah
berkata anaknya terlewat tiba di sekolah akibat terperangkap dalam kesesakan
teruk lalu lintas. Kavitah berkata pagi ini dia membawa anaknya itu ke Pusat
Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani pemeriksaan dan anaknya
disahkan mengalami kecederaan dalaman, namun dijangka sembuh dalam tempoh
terdekat.
Apakah
yang menyebabkan ramai guru bertindak ganas? Wajarkah seorang guru yang
dianggap sebagai satu jawatan yang profesional bersikap sedemikian terhadap
pelajar dan masyarakat? Kesemua soalan tersebut telah menjadi perbualan hangat
di kalangan masyarakat. Apabila masyarakat mula membincangkan
isu ini, sudah tentu bukan sahaja imej guru tersebut yang
tercalar malahan imej profesion keguruan juga turut menerima tempias yang sama.
Selaku seorang guru, kami haruslah menyedari pelanggaran etika keguruan boleh
memberi kesan negatif kepada profesion perguruan dan kita haruslah cuba
mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu dalam keadaan tidak rasional.
Secara ringkas, isu guru bertindak ganas terhadap murid
sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Kes-kes sedemikian
telah membawa banyak kesan negatif kepada kami semua dan masalah ini perlu
diatasi secepat mungkin.
2.0
PUNCA TINGKAH LAKU BAGI GURU BAGI KES/ ISU TERSEBUT
Setiap perkara yang berlaku mesti ada punca tertentu di
sebaliknya. Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr.
Robiah Sidin, guru sekarang berdepan dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai
ditambah dengan pelbagai karenah (Rafidahshapuan,
2008). Saya berpendapat punca bagi guru
disiplin tersebut bertindak keterlaluan mungkin disebabkan oleh tekanan jiwa
serta tanggungjawab yang berat di sekolah. Guru pada masa kini bukan sahaja
mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam mengajar tetapi juga mengurus dan
mendidik; iaitu membentuk sikap, nilai dan akhlak murid-murid melalui
pengajaran formal, tidak formal dan melalui perlakuan diri sendiri yang baik.
Dengan pertambahan tugas tersebut, ramai guru akan
mengalami tekanan jiwa. Kajian telah menunjukkan kebanyakan tekanan guru
berpunca daripada tugas mereka dan persekitaran mereka. Di samping itu,
Kyriacou(1987) mengenal pasti bahawa punca tekanan ialah tekanan masa, sikap
buruk murid terhadap sekolah dan kurangnya motivasi di sekolah, masalah
pengurusan bilik darjah, bilangan murid yang ramai di dalam bilik darjah, gaji
yang rendah,dan sebagainya. Oleh itu, beban tugas yang semakin meningkat
ditambah pula dengan kerenah murid yang pelbagai turut menjadi salah satu punca
yang mengakibatkan kes guru bertindak ganas terhadap murid berlaku.
Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed Hassan
berpendapat punca guru bertindak ganas mungkin kerana hilang kesabaran. Ini adalah kerana murid-murid pada masa kini telah
berubah, murid-murid pada masa kini lebih nakal dan degil. Berbanding dengan
guru pada masa lalu, mereka tidak menghadapi masalah sebegini kerana murid pada
masa itu lebih patuh. Saya yakin guru disiplin tersebut bukan sengaja ingin
menimbulkan masalah. Mungkin guru itu tidak berniat berbuat demikian sehingga
perlu mendapatkan rawatan perubatan, tetapi jika emosi turut memainkan peranan
dalam menjalankan hukuman, biasanya kesan negatif yang berlebihan sebegitu akan
terjadi. Setiap manusia akan mengalami perasaan marah. Namun begitu,
kalau sekadar marah semua orang memilikinya dan pernah melaluinya. Tetapi kalau
kadar kemarahan itu kerap dan terlalu mudah hilang kawalan, bermakna ia adalah
masalah jiwa yang perlu dirawat. (Khamsiah
Mohamad, 2010)
Selain daripada personaliti
guru yang menjadi punca berlakunya kes-kes keganasan, malah ibu bapa juga
merupakan salah satu pihak yang mengakibatkan isu ini berlaku. Kebanyakan ibu bapa
pada masa kini lebih berpihak kepada anak-anak mereka. Ini menyebabkan
kebanyakan murid bermaharajalela dengan bertindak sewenang-wenangnya
sehingga menyebabkan guru hilang kesabarannya. Kerap kali, ibu bapa ataupun
penjaga tidak mengetahui perlakuan yang dilakukan oleh anak mereka di sekolah,
mungkin kanak tersebut bersikap baik di rumah tetapi bertindak sebaliknya di
sekolah. Ini akan menyebabkan ibu bapa tidak percaya akan kata-kata atau komen
yang diberikan oleh guru.
Dahulu, guru mempunyai status
yang tinggi dalam hieraki hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi kerana
murid hari ini dimewahkan oleh ibu bapa mereka. Fenomena yang biasa berlaku
ialah guru menunggu bas manakala murid menunggu pemandu peribadi mereka untuk
pulang selepas sesi sekolah. Keadaan seperti ini menyebabkan guru dipandang
rendah dan seterusnya tidak dihormati murid-murid. Akibatnya, murid-murid tidak
takut untuk melawan guru. selain itu, sikap ibu bapa yang menyebelahi anak-anak
juga merupakan salah satu punca murid melawan guru. Murid-murid tahu bahawa ibu
bapa dia akan menjadi tulang belakang dia sekiranya apa-apa sahaja yang
berlaku. Oleh itu, mereka mungkin berani melakukan sesuatu yang melampau
terhadap guru sehingga mengakibatkan guru memukul mereka.
Munurut seorang
kaunselor Universiti Islam Antarabangsa, Asniza Mamat, salah satu andaian punca
guru bertindak ganas terhadap murid ialah guru itu sendiri tidak berminat
kepada profesion perguruan (Rafidahshapuan,
2008). Minat merupakan elemen yang penting dalam kerjaya seseorang terutamanya
profesion perguruan kerana kita perlu mempunyai minat yang dalam supaya dapat
mendidik anak murid kita ke arah yang betul. Jikalau seseorang itu tidak
berminat, maka usaha dalam membentuk murid yang berkualiti juga akan menurun
dan menjejaskan generasi yang seterusnya.
Disebabkan kerja tidak ikhlas, jadi peranan untuk
mendidik anak bangsa dipandang ringan. Tingkah laku tidak mencirikan seorang
pendidik turut berlaku. Golongan ini merupakan nila. Habis satu belanga susu
dikerjakan oleh golongan ini. Bagi aku profession guru adalah kelas pertama.
Sekiranya tiada guru maka tiada doktor, tiada jurutera, tiada arkitek, tiada
peguam, malah tiada perdana menteri. Semua profession lain pernah mendapat
didikan seorang yang bergelar guru. Jadi besar kemungkinan masalah ini adalah
disebabkan oleh “guru kelas kedua”.
3.0
KESAN JANGKA PENDEK DAN JANGKA PANJANG
Terdapat beberapa
peruntukan undang-undang Kanun Keseksaan telah menyedia dan menetapkan prosedur
dan tindakan terhadap mereka yang mencederakan. Contohnya, di bawah Seksyen 350
iaitu kekerasan jenayah yang menetapkan bahawa barang siapa dengan sengaja
menggunakan kekerasan kepada seorang lain dengan tidak kerelaan, maka ia telah
melakukan atau dikatakan telah menggunakan kekerasan jenayah (James Ang Jit
Eng, 2007). Kesan jangka pendek
dalam berita ini terhadap guru itu sendiri ialah ibu bapa boleh membawa anaknya
berjumpa dengan doktor di hospital kerajaan untuk tujuan rawatan dan laporan
kesihatan dan sekiranya telah disahkan oleh doktor, guru tersebut boleh
didakwa.
Kesan jangka pendek dalam berita ini juga menyebabkan
guru disiplin tersebut mengalami tanggungan peribadi di mana guru perlu membuat
bayaran ganti rugi dalam bentuk kewangan seperti membayar denda yang dikenakan
oleh Mahkamah atau wang pampasan di luar Mahkamah. Selain itu, guru tersebut
juga mungkin dikehendaki meminta maaf secara terbuka, mengadakan jamuan, dan
sebagainya sebagai tanda pendamaian supaya masalah tidak berlarutan. Selain
itu, murid tersebut mungkin akan mengalami kemurungan sehingga menjauhkan diri
dari rakan-rakan mahupun ahli keluarganya yang terdekat. Sekiranya murid
tersebut tidak mendapatkan rawatan, keadaan ini mungkin akan bertambah serius
dan menghantui murid tersebut sepanjang hidupnya.
Justeru itu, kesan
jangka masa panjang dalam hal ini ialah rekod perkhidmatan guru disiplin
tersebut akan tercemar kemungkinan besar disenaraikan dalam senarai nama hitam,
maka habislah nama baik guru tersbut. Guru-guru yang mengambil tindakan
disiplin yang keterlaluan dan tidak dibenarkan dapat dikenakan tindakan
tatatertib kerana menjejaskan imej dan nama baik Perkhidmatan Awam. Rekod yang
dicatatkan kekal sepanjang perkhidmatan guru itu dan keadaan ini menjejaskan
peluang kenaikan pangkat, mendapat biasiswa, melanjutkan pelajaran, berkursus
panjang dan sebagainya. Selain itu, profesion keguruan juga akan terbabit dalam
kesalahan yang dibuat oleh seorang guru yang tidak beretika itu. Imej profesion
keguruan akan tercalar akibat perbuatan sebilangan guru yang tidak beretika
itu. Ekorannya, masyarakat akan hilang keyakinan terhadap para pendidik yang
asalnya bertanggungjawab untuk mendidik dan melahirkan anak-anak yang berakhlak
mulia. Masyarakat mungkin akan menghina dan tidak akan menghormati guru-guru
lagi.
Masyarakat akan
beranggapan guru tidak mampu memenuhi matlamat profesion pekerjaan ini yang telah
digariskan oleh kerajaan untuk memenuhi kehendak manusia dan rakyat di negara
ini (Sufean Hussin, 993:446). Sekiranya keadaan masyarakat tidak mempunyai
keyakinan terhadap para pendidikan berterusan, ibu bapa mungkin tidak akan
berani menghantar anak-anak mereka ke sekolah lagi. Mereka mungkin lebih rela
untuk mengajar anak-anak mereka di rumah jika anak mereka perlu diletakkan di
tempat yang terancam, iaitu sekolah. Bah kata “guru kencing berdiri, murid
kencing berlari”, tingkah laku guru yang tidak beretika ini mungkin akan
terikut-ikut oleh murid nanti. Guru seharusnya mempunyai peribadi yang
mulia, berbudi pekerti dan perwatakan yang baik.
Oleh itu, tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana
rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan
dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan
dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni (Rafidahshapuan, 2008). Malangnya, kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk
dijadikan tajuk utama bagi media massa. Ini secara langsung telah menjejaskan
nama baik profesion perguruan serta guru-guru di negara kita. ‘Sudah jatuh,
ditimpa tangga’, begitulah bunyinya peribahasa Melayu bagi menggambarkan
kesusahan yang datang bersilih- ganti.
Ada kalanya Kementerian
Pelajaran turut disaman oleh waris ataupun agen mereka apabila guru mengambil
tindakan disiplin yang difikirkan tidak wajar ke atas anak mereka. Apabila hal
ini berlaku, Kementerian Pelajaran dikatakan menanggung vicarious liability iaitu menanggung liabiliti akibat daripada
tindakan stafnya. Kerajaan akan menyediakan peguam bela untuk membela guru
sekiranya tindakan guru tersebut ada dalam linkungan tindakan yang dibenarkan;
manakala jika guru tersebut bertindak di luar batasan, kemungkinan besar tidak
dapat dipertahankan dan perlu menghadapi sendiri atas tindakan yang dikenakan.
Selain itu, tindakan guru
disiplin tersebut akan memberi kesan buruk kepada murid dalam tempoh jangka
panjang kerana tindakan ini lebih bersifat mendera, dan bukannya mendidik untuk
memperbetulkan kesalahan murid tersebut. Walaupun murid tersebut bersalah
kerana lewat 10 minit ke sekolah, dia tidak seharusnya menempuh keadaan yang
akan menimbulkan perasaan trauma di sekolah. Tindakan ini jelas melanggar batas
kemanusiaan kerana ia akan memberi kesan jangka panjang kepada murid yang masih
berumur 9 tahun.
Tambahan lagi, tindakan
disiplin ataupun hukuman yang ekstrem pada murid-murid mungkin meninggalkan
harapan murni yang ada pada murid terhadap guru-guru di sekolah. Ini mungkin
akan menyebabkan murid tersebut mempunyai perasaan benci dan ingin membalas
dendam. Murid-murid dalam kategori ini mengalami masalah psikologi dimana
mereka sentiasa berasa runsing dan tidak berpuas hati dan mempamerkan tingkah
laku seperti ingkar kepada guru, perbuatan vandalisme, menconteng harta benda
guru dan sekolah, memukul dan melakukan tindakan-tindakan lain yang agresif.
Kemunkinan lain yang
akan berlaku pada murid ialah berubah menjadi pendiam, menyendiri dan
antisosial. Murid-murid dalam kategori ini pula adalah golongan yang sudah
patah semangat dan tidak mempunyai keinginan untuk berjaya kerana merasakan
diri mereka selalu ditindas oleh pihak berkuasa. Maka, kesan yang berlaku di
atas murid dalam hal ini akan menyebabkan seorang murid yang pada asalnya
merupakan seorang kanak-kanak yang sihat telah menjadi seorang kanak yang
mempunyai masalah psikologi.
4.0
KOD ETIKA GURU YANG BERKAITAN
Etika ialah satu sistem
dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan (Dewan Bahasa&Pustaka,
1995). Bagi menjaga imej profesion, setiap guru perlu patuh
kepada etika profesionalisme, etika pengajaran, etika tingkah laku dan etika
perkhidmatan awam (Abd. Rahim,2007). Kod Etika
Profesion merupakan peraturan untuk membantu para guru yang profesional
mematuhi prinsip-prinsip yang termaktub supaya menjaga imej baik profesionnya. Oleh
itu, setiap guru hendaklah menjalankan tugas tanpa melanggar etika ini. Menurut
Kod Etika Profesion Perguruan kategori
seperti berikut: -
1.
Tanggungjawab Terhadap Pelajar, guru-guru hendaklah mempunyai tingkah
laku yang merupakan tanggungjawabnya terhadap pelajar termasuk lebih
mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal lain. Tindakan guru
disiplin tersebut yang menampar anak muridnya sehingga menjejaskan
pendengarannya telah membahayakan kesihatan murid tersebut. Ini secara tidak
langsung telah menjejaskan keselamatan murid di sekolah.
2.
Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa, ia
merangkumi menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
Tanggungjawab utama ibu bapa adalah menjaga anak-anaknya supaya mempunyai
kehidupan yang sempurna. Dalam hal ini, ibu kepada murid tersebut berasa amat
kecewa atas perbuatan yang dilakukan oleh guru disiplin tersebut kerana telah
menjejaskan kesihatan, pelajaran, serta mental anaknya.
3.
Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan
Negara, ia menyeru guru berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang
diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan kami sehari-hari dengan baik.
Dalam berita ini, guru disiplin tersebut telah bertindak kasar terhadap budak
perempuan yang hanya berumur 9 tahun dengan menamparnya. Sebagai seorang guru,
beliau perlu senantiasa mengawal emosinya dengan baik supaya tidak bertindak
kasar dalam menangani masalah disiplin murid sebaliknya menggunakan cara yang lebih
berkesan terutamanya dari segi psikologi seperti bimbingan dan kaunseling untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi.
4.
Tangungjawab
Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan, termaktub ciri yang
menyatakan sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik
profesion keguruan. Dalam berita ini, ia telah tersebar ke seluruh pelosok di
negara. Ini telah menyebabkan nama baik profesion keguruan telah terjejas dan
secara tidak langsung mengakibatkan keyakinan orang ramai terhadap profesion
keguruan semakin menyusut.
Ini jelas menunjukkan
guru perlu senantiasa menggunakan etika
perguruan sebagai panduan untuk meningkatkan profesionalismenya sebagai
seorang guru. (Esah Sulaiman, 2003). Ini adalah untuk memastikan pelindungan
dan pembangunan diberi perhatian serius untuk menjaga kebajikan dan kepentingan
kanak-kanak dan menjamin kanak-kanak dapat membesar dengan sihat dari segi
fizikal dan mental. Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing
anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuhnya, maka dengan ini para guru perlu
menyempurnakan profesionnya ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya.
5.0
CADANGAN MENGATASI TINGKAH LAKU NEGATIF
Isu
tentang guru yang bertingkah laku negatif semakin serius, namun saya percaya di
mana kemahuan, di situ ada jalannya. Oleh itu, seluruh masyarakat perlu
berganding bahu untuk menilai semula dan mencari jalan penyelesaian supaya
gejala sebegini dapat dibendung dan mengelakkannya daripada melurat ke tahap
yang lebih buruk.
Tokoh
pendidikan, Tan Sri
Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan agar Jabatan Pendidikan
Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah psikologi dan
mengatasinya dengan segera (Rafidahshapuan,
2008). Bengkel-bengkel boleh diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan
kualiti guru, tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin
rumit serta mengendalikan perasaan tertekan. Pada pendapat saya, bagi guru yang
menghadapi tekanan jiwa atas beban kerja yang banyak sehingga melakukan
keganasan terhadap murid boleh menolak tanggungjawab tambahan sekiranya tidak
mampu menghadapinya. Saya percaya pihak sekolah akan bertimbang rasa atas
keadaan guru yang berkenaan.
Selain itu, bagi guru-guru yang menghadapi masalah emosi
pula, mereka boleh meluahkan perasaan mereka kepada orang yang dipercayai
kerana cara ini kadangkalanya merupakan cara yang paling efektif bagi
menenangkan fikiran kita. Guru haruslah sentiasa mengawal emosi diri apabila
menghadapi sesuatu masalah, fikir dahulu sebelum bertindak supaya tidak
melakukan sesuatu yang tidak rasional. Dengan kata lain, guru haruslah sentiasa
berfikir secara positif dan bijak mencari penyelesaian agar semua masalah dapat
diselesaikan dengan segera tanpa kesan negatif. Satu lagi cara yang boleh
membantu guru untuk mengatasi masalah emosi ialah berjumpa dengan kaunselor
untuk mendapatkan bimbingan dan mempelajari cara mengawal emosi yang baik.
Di samping itu, guru yang inginkan tali persahabatan yang
baik dengan pelajarnya hendaklah cuba mengelakkan daripada mendenda atau
menghukum pelajar dengan keterlaluan (Saedah Siraj...[et al], 1996). Guru boleh
memberitahu penjaga atau ibu bapa murid tentang sikap anak mereka. Dengan
membuat satu panggilan telefon kepada ibu bapa pelajar, guru dapat mengelakkan
dirinya daripada mengenakan denda yang mungkin keterlaluan. Selain itu, untuk
mendisiplinkan murid, terlebih dahulu guru sendiri perlu mendisiplinkan dirinya
supaya kumpulan murid dalam kelasnya sentiasa menghormatinya. Guru boleh
menjalankan sesi bimbingan dan kaunseling yang bersesuaian untuk mengurangkan
tekanan yang dihadapi. Dengan ini, guru lebih mudah mengawal emosinya untuk
menyelesaikan masalah murid.
Isu
guru adalah masalah negara yang perlu diberi perhatian dengan menaikkan taraf
profesion perguruan dengan cara yang berkesan. Kian hari, syarat-syarat
pengambilan guru pelatih semakin longgar sehingga menyebabkan ramai orang yang
memohon hanya kerana profesion perguruan merupakan profesion yang senang
dimohon serta dijamin peluang pekerjaan. Inilah masalah kualiti guru kesan
daripada pengambilan yang bertujuan hanya untuk menyelesaikan masalah
kekurangan guru. Ujian minat atau career
test perlu diadakan dalam proses pengambilan guru atau semasa pengajian di
institut perguruan ataupun di IPT. Ini untuk menentukan calon yang benar-benar
berminat sahaja diambil sebagai guru kerana tanggungjawab yang bakal mereka
pikul nanti bukan dianggap sebagai beban tetapi sebagai satu amanah besar yang
wajib dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.
Dalam usaha menyelesaikan isu-isu keganasan, ibu bapa
juga perlu memainkan peranan penting. Ibu bapa haruslah memberi lebih perhatian
tentang anak dan bukannya hanya memenuhi keperluan material mereka sahaja.
Kadangkala sikap ibu bapa yang hanya menyebelahi anak mereka cuma tahu menyalahkan
guru walaupun anak mereka yang telah melakukan kesalahan. Pada pendapat saya,
ibu bapa haruslah mencari punca anak mereka dipukul sebelum membawa isu
tersebut ke media massa. Sekiranya anak mereka didera, sudah tentu semua pihak
akan bersetuju dengan tindakan mereka yang ingin membawa guru tersebut ke sisi
undang-undang. Selain itu, ibu bapa juga perlu bertanggungjawab untuk mendidik
anak mereka di rumah supaya mereka tidak akan melakukan sesuatu yang negatif
sehingga mengakibatkan dendaan.
Justeru
itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan Tatasusila Profesion
Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu marah dan jauhkan
daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih dahulu
seperti yang digariskan dalam buku Panduan
Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru. Guru-guru juga perlu senantiasa
memotivasikan diri sendiri dari pelbagai bidang dari semasa ke semasa supaya
mempunyai pengetahuan yang luas dalam profesion yang diceburi.
6.0 Kesimpulan
Guru ibarat pelita yang membakar diri untuk menerangi
orang lain. Anak murid pula ibarat berlindung di bawah cahaya pelita supaya
hidupnya terang benderang. Guru memainkan peranan penting dan merupakan nadi
kepada pembentukan manusia. Pembangunan insan harus diseimbangkan agar
nilai-nilai moral masyarakat supaya sentiasa terpelihara. Guru-guru dituntut
agar mempunyai sahsiah dan akhlak yang boleh diteladani oleh pelajar dan
masyarakat di samping menguasai pelbagai ilmu, antara lain dalam bidang yang
berkaitan dengan teknologi maklumat, bahasa dan kemahiran berkomunikasi.
Usaha menangani gejala disiplin murid di sekolah bukan
sahaja berfokus kepada strategi-strategi kawalan semata-mata tetapi perlu
dikembangkan bagi merangkumi penggunaan strategi lain. Banyak tokoh-tokoh
pendidikan mencadangkan penggunaan peneguh-peneguh positif bagi menangani masalah disiplin murid.
Sebagai seorang guru, kita harus senantiasa memperkayakan pengetahuan dalam
diri sendiri dengan ilmu-ilmu yang berkenaan dengan cara-cara menangani masalah
murid. Pengurusan disiplin yang sistematik mungkin akan membantu murid
bertingkah laku dengan lebih baik.
Menurut Abdul Shukor (1999), asuhan guru yang berkesan
meninggalkan ingatan dan menjadi amalan yang berpanjangan bagi setiap murid. Seseorang guru perlu senantiasa bertindak secara
rasional dan seboleh-bolehnya bertindak mengikut garis panduan tindakan yang
dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran. Murid yang dikenakan tindakan disiplin
perlu diberi kesedaran sama ada sebelum ataupun selepas tindakan supaya mereka
dapat menerima hukuman yang dikenakan secara positif dan tidak mengulanginya.
Tindakan disiplin tidak
harus menimbulkan sifat marah ataupun dendam yang mendalam kerana keadaan ini
menggagalkan tujuan sebenar hukuman dikenakan. Guru-guru sepatutnya memiliki
sifat-sifat penyayang seorang pendidik dan sabar melayani gelagat dan kelakuan
murid. Walaupun ini merupakan satu cabaran yang amat ketara di kalangan guru
pada masa kini, tetapi kesabaran dan daya tahan yang tinggilah yang dapat
mempamerkan erti kata profesion yang sebenar dalam diri sendiri guru tersebut.
Tindakan disiplin yang
dikenakan perlulah bersifat pengajaran dan guru dapat memisahkan perbuatan
salah laku dengan orang yang melakukannya. Tindakan dikenakan ke atas salah
laku kerana perbuatan tersebut menyalahi peraturan sekolah tetapi guru masih
menyayangi murid sebagai individu dan anak muridnya walaupun tindakan terpaksa
diambil ke atas kelakuannya. Seorang guru yang berdedikasi terhadap kerjanya
hanya bertindak kerana kebaikan murid. Tiada guru yang sengaja memukul atau
mendera anak muridnya kerana guru yang dilatih adalah seorang guru yang
menjalankan tugasnya dengan penuh amanah, iltizam dan ikhlas.
Profesion perguruan adalah salah satu profesion yang
mencabar dan amat mendesak. Guru diharap mengetahui serba serbi tingkah laku
manusia dan memainkan pelbagai peranan untuk menjadikan dirinya seorang
pendidik yang berkesan. (Abdul Rahin Bin Hamdan...[et al]). Biar apapun
bebanan tugas dan disiplin murid yang dihadapi, guru mesti berpegang pada nilai
murni. Usaha mendidik dan membangunkan nilai manusia tidak semudah membina
bangunan. Dengan ini guru akan disanjung kerana maruah dan disiplin keilmuan.
Akhir kata, jangan nila setitik rosak susu sebelanga.