
Tulisannya adalah di bawah sebelum diedit seperti di akhbar BH 22 April 2015..
SIKAP SUKA MEMBACA
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur datang
lagi. Majlis yang akan berlangsung mulai 24 April hingga 3 Mei 2015 bertempat di Pusat
Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan kepada pengunjungnya.
Program tahunan ini dikatakan menerima
pengunjung yang semakin bertambah tahun demi tahun. Pada tahun lepas sahaja,
dilaporkan lebih 1.7 juta pengunjung telah membanjiri Pesta Buku dan
kemungkinan bilangannya akan meningkat lebih tinggi pada tahun ini.
Walaupun
dunia semakin berkembang melalui peralatan elektronik dan e-book yang
mewarnai bentuk bahan bacaan dunia alaf baru, namun masih ramai yang cintakan
bahan bacaan bertulis yang boleh
dipegang dan diselak helaiannya. Bilangan pengunjung yang begitu ramai boleh
juga menjadi petunjuk bahawa semangat
cintakan buku dan suka membaca
buku berkembang dengan baik dalam
masyarakat kita.
Semangat cintakan buku dan suka membaca
sangat penting jika kita ingin menjadi masyarakat yang mempunyai daya fikir
yang tinggi. Dengan membaca, ilmu kita bertambah dan lebih banyak fakta-fakta
baru kita ketahui. Banyak membaca buku agama akan memberikan kita lebih banyak
pengetahuan tentang ajaran agama kita sendiri dan membantu kita memperbaiki
mutu amal ibadah kita. Banyak membaca buku motivasi dan pengalaman orang-orang
yang berjaya boleh membuka minda dan
menjadikan kita lebih bersemangat dalam
mengharungi cabaran hidup ini.
Semakin banyak kita membaca, semakin kuat
minda kita memproses dan menjadikan kita
semakin berilmu, matang dan meningkat
menjadi insan yang lebih baik. Ini menepati pernyataan al-Quran iaitu, “Adakah
sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak
mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan
peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (al-Zumar :9)
Semangat cintakan buku dan suka membaca
sebenarnya bermula semenjak seseorang
itu masih kecil lagi. Ibu bapa sebenarnya adalah pihak pertama yang
memperkenalkan nilai murni ini. Membacakan kepada anak-anak sebelum mereka
tidur seperti buku cerita kanak-kanak, komik bergambar, kisah Nabi-nabi dan
lain-lain bacaan adalah amalan yang mempercepatkan pembinaan sikap cintakan
ilmu dan suka membaca. Apatah lagi, membaca
merupakan perkara besar yang disebut dalam al-Quran melalui wahyu
pertama yang diturunkan kepada Nabi di Gua Hira’ iaitu “Bacalah dengan nama
Tuhanmu yang menciptakan..” (al-Alaq:1) Justeru, nilai suka membaca dan
cintakan bahan bacaan adalah sesuatu amalan yang disukai dalam agama kita. Namun begitu, amalan membacakan buku kepada
anak-anak sebelum tidur agak kurang dalam masyarakat kita, tetapi menjadi
amalan biasa dalam masyarakat barat.
Statistik yang pernah dikeluarkan sebelum
ini menyebut masyarakat kita masih belum mencapai tahap minat membaca yang
diimpikan. Sebagai contohnya, banyak laporan mengatakan seorang rakyat Australia
membaca sekitar 180 buah buku setahun sedangkan rakyat Malaysia dikatakan belum
sampai 10 buah buku setahun. Semoga bilangan masyarakat kita yang suka membaca
akan meningkat seiring dengan ramainya jumlah pengunjung pesta buku yang
diadakan.
Dalam mempertingkatkan usaha membina
semangat cintakan ilmu, wajar juga untuk kita lihat bagaimana masyarakat negara
lain melakukannya. Ia boleh menjadi contoh untuk kita mengikutinya. Perpustakaan
awam di Australia contohnya ditubuhkan di setiap seksyen penempatan penduduk dan memudahkan semua
proses akses kepada fasiliti yang ditawarkan..
Perpustakaan-perpustakaan awam daerah juga membenarkan setiap
kanak-kanak meminjam 30 buah buku sekali gus dan boleh memulangkannya di
mana-mana perpustakaan berdekatan. Mereka juga memudahkan kaedah tempahan buku
untuk peminjaman secara email dan boleh memperbaharui tempoh pinjaman secara
‘online’. Bahkan setiap perpustakaan menjalankan bengkel percuma untuk ibu bapa
mempelajari teknik-teknik membaca dengan anak-anak mereka sebelum tidur.
Sekolah-sekolah di Australia turut
menyuburkan semangat cinta membaca buku dengan menjadikan sesi membaca buku
atau novel bersama ibu bapa di rumah sebagai kerja rumah setiap hari. Setiap
murid akan diberikan buku log untuk catatan apakah buku yang dibaca sebelum
tidur dengan ibu bapa, sekitar 10 minit dan ibu bapa perlu menandatangani buku
tersebut. Kejayaan menghabiskan buku bacaan paling banyak akan diraikan oleh
pihak sekolah dalam sesi perhimpunan sekolah mereka dengan dipanggil ke
hadapan pentas dan dianugerahkan lencana
“Pupil of the Week’ oleh guru besar. Usaha ini menyebabkan kanak-kanak teruja
dan sesuatu yang biasa bagi seorang murid sekolah rendah di sana menghabiskan
30 buah buku cerita seminggu.
Seorang guru
besar sekolah di Australia turut menceritakan bahawa, usaha menggalakkan
kanak-kanak membaca novel atau buku cerita adalah bertujuan membantu mereka
membina kreativiti dan penguasaan bahasa. Adalah kurang ditekankan hafalan
seperti ‘prosa kata’ secara sendirian tetapi ia dipelajari melalui penceritaan
dan pemakaiannya di dalam novel. Kerja sekolah bagi kanak-kanak sekolah rendah
(7 hingga 12 tahun) adalah membaca buku cerita dan novel dan membuat ringkasan
di dalam buku log. Mereka membina sikap cintakan buku dari kecil dan membuatkan
ia menjadi sebahagian dari tabiaat harian. Justeru, adalah perkara biasa mereka
membawa buku cerita bersama dan membacanya di dalam bas, keretapi dan di
taman-taman.
Apabila semenjak
kecil kanak-kanak suka membaca, ia akan menjadi satu tabiat yang akan mereka
bawa hingga mereka dewasa dan membentuk keluarga. Apabila ibu bapa mempunyai
sikap suka membaca, ia akan diturunkan pula kepada anak-anak mereka kelak untuk turut sama cintakan membaca dan mencari
ilmu..
Ini adalah satu usaha
murni yang wajar diikuti oleh kita semua ke arah menggalakkan dan membina nilai
murni cintakan buku dan suka membaca dalam kelompok masyarakat kita.
*Penulis adalah Prof Madya di Akademi
Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam