Lama saya tidak menulis di blog ini. Pejam celik pejam celik, tak berapa hari lagi, kita nak masuk tahun baru Islam 1437H. Saya tulis mengenai isu ini dalam Berita harian hari ini 8hb Oktober 2015.
Menyambut
Hijrah
Oleh: Dr
Nurhidayah Hashim
Pepatah Arab mengatakan ‘Masa itu pedang, jika anda tidak memotong,
anda akan dipotong’. Ia menunjukkan
nilai masa yang sangat penting dan ia tidak akan menunggu kita. Masa berlalu
dengan sangat pantas. Jika kita berjaya mengisi masa dengan baik dengan
melakukan sesuatu yang berguna untuk kebaikan diri dan masyarakat, menambah
ilmu dan membantu orang ramai, maka kita yang memotong masa tersebut dan menjadikan
usia yang ada sebagai jalan pengumpulan pahala. Namun jika kita membiarkan masa
berlalu begitu sahaja, tidak berbuat
sesuatu yang bermanfaat, masa itu menjadi pedang yang memotong kita. Berlalu
umur dan usia tanpa mendapat manfaat dan ganjaran pahala.
Masa yang pantas menyaksikan kita akan meninggalkan tahun 1436 Hijrah dan mula melangkah meniti
tahun baru Islam 1437 Hijrah dalam beberapa hari lagi. Sudah tentu banyak
perkara yang telah kita lakukan dalam setahun ini dan akan lakukan di tahun
berikutnya.
Apabila menyentuh tahun hijrah, sudah tentu wajar untuk kita
merenung kembali perjalanan Nabi kita Muhammad SAW ribuan tahun terdahulu. Peritiwa
hijrah sebenarnya mempunyai iktibar yang besar untuk seluruh umat Islam. Dari segi bahasa, ia bermakna perpindahan
dari satu tempat ke satu tempat, seperti berjalan meninggalkan kota A menuju ke kota B. Namun dari segi terminologi,
hijrah merujuk kepada perpindahan
Rasulullah SAW dan orang-orang Islam dari Mekah menuju ke Madinah kerana
mengikuti perintah Allah SWT dan mempertahankan ajaran yang mulia ini. Ini
berlaku setelah Baginda dan para
Muslimin diuji dengan tekanan dan ancaman yang hebat dari kaum Musyrikin
Makkah. Perjalanan Rasulullah SAW ke kota Madinah juga mengambil kira sokongan
dan jaminan keselamatan yang telah diberikan oleh para penduduk Madinah kepada
Baginda dan umat Islam Mekah.
Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ke kota Madinah merupakan satu
pendekatan yang terbaik ketika itu. Jika disusuri firman Allah dalam surah
al-Isra’: 76, ia menunjukkan bahawa orang Mekah memang sungguh-sungguh berazam
untuk melakukan keganasan dan mengusir Nabi dan sahabat. Sekiranya Nabi bertegas
untuk terus duduk di Mekah, sudah tentu bangsanya akan mengusir mereka dan Allah
SWT akan menurunkan azab yang hebat kepada para Musyrikin Mekah sepertimana
yang dilakukan ke atas kaum Nabi Nuh dan nabi-nabi lain yang diusur kaumnya.
Namun, Baginda menunjukkan pendekatan
yang sangat lembut dan sanggup berkorban demi umatnya dengan mengambil langkah berhijrah
ke Madinah. Melalui penghijrahan tersebut, Baginda dan umat Islam tidak diusir dan
seterusnya bangsa Mekah tidak ditimpakan bencana oleh Allah SWT. “Dan
sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri (Mekah)
untuk mengusirmu daripadanya dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalmu
mereka tidak tinggal melainkan sebentar sahaja.” Justeru, ia menunjukkan
Rasulullah SAW sesungguhnya melihat dengan pandangan jangka panjang demi masa
depan Islam dan umatnya yang akan berkembang.
Kedudukan hijrah yang sangat penting turut dikupas oleh para ilmuan
Islam apabila menyentuh mengenai isu niat dalam sesuatu amalan. Apabila
dilaporkan kepada Rasulullah SAW bahawa ada segelintir para sahabat yang
berhijrah ke Madinah kerana ingin berjumpa dan mengahwini seseorang yang turut
sama berhijrah. Rasulullah SAW bersabda:
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
Justeru, hijrah yang bersifat fizikal membawa badan dan diri ke Madinah,
turut mempunyai ikatan rapat dengan amalan hati iaitu niat dan keikhlasan. Ia
mendidik kita agar selalu menjaga hati dan memfokuskan apa-apa amalan yang kita
lakukan, hendaklah semata-mata kerana Allah dan mengharapkan redha dan rahmatNya,
bukan kerana makhluk dan habuan yang dijanjikan manusia.
Hijrah yang berlaku itu juga membawa maksud lebih mendalam. Ia turut
merangkumi hijrah diri daripada kurang baik kepada yang lebih baik. Kita disaran
berhijrah meninggalkan aktiviti tidak bermanfaat dan membuang masa kepada
mengisi masa melakukan kebaikan untuk diri dan masyarakat. Hijrah daripada menjadi
orang Islam yang jahil kepada orang Islam yang berilmu. Hijrah dariapda menjadi
suami atau isteri yang tidak melaksanakan ajaran agama dalam rumah tangga
kepada menjadi pasangan yang soleh dan mengawasi suruhan Allah. Hijrah daripada
menjadi ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak mengikut ajaran islam kepada
menjadi ibu bapa penyayang dan mendidik anak-anak mengikut ajaran Nabi. Hijrah
daripada cara hidup yang tidak baik yang
lebih baik dan mendekatkan kita kepada Allah. Hijrah daripada membiarkan masa
menjadi pedang yang memotong kita kepada menjadikan kita lebih positif,
proaktif dan melakukan perubahan hebat sehingga kita dapat membina legasi yang
lebih baik.
