Artikel disiarkan dalam Berita Harian 13 Jan 2014..
Dera bertentangan dengan agama, moral
Oleh
Prof Madya Dr Nurhidayah Hashim
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan
berita penderaan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang didera oleh ibu tirinya di Kajang.
Kanak-kanak malang tersebut disumbat cili di dalam mulut dan juga kemaluannya.
Beliau juga diikat di kerusi oleh siibu tiri tersebut.
Tidak terbayang di hati kita betapa sakit
penderitaan dialami kanak-kanak malang tersebut dan betapa tegarnya ibu tiri
melakukan perkara tersebut.
Begitu juga pada hujung 2011 dahulu, akhbar
melaporkan seorang kanak-kanak lelaki 6 tahun didera oleh ayah tiri di Alor
Gajah. Selama 10 hari ketika ibu kandungnya ditahan di hospital, kanak-kanak malang ini didera dengan
diletakkan besi panas di kaki sehingga berlubang, diletakkan seterika panas di
badannya, dicucuh rokok di perut sehinggakan badannya penuh dengan kesan calar
dan mata dan mulutnya lebam hasil
dipukul, Kanak-kanak malang ini akhirnya meninggal dunia.
Pada bulan Jun 2013 pula, akhbar turut
melaporkan seorang kanak-kanak berumur 7 tahun didera bapa tiri di Gong Badak
dengan dikurung dantidak diberi makan selama berhari-hari, dipukul dan didera
sehinggakan kedua-dua belah kaki mangsa bengkak, melecur sehingga bernanah dan
dijangkiti kuman. Syukurlah kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan selepas
jirannya membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga kepada
pihak polis.
Apabila melibatkan hubungan anak tiri
dengan bapa atau ibu tiri, ia bermakna bahawa pasangan tersebut berkahwin
dengan wanita atau lelaki yang telah mempunyai anak hasil dari perkahwinan terdahulu. Walaupun
terdapat juga laporan mengenai penderaan
ke atas kanak-kanak dilakukan oleh ibu atau bapa kandung atau pun oleh pihak lain,
tetapi penderaan yang dilakukan oleh ibu tiri atau bapa tiri dilihat semakin
kerap dilaporkan.
Perkembangan sebegini sangat menyedihkan
dan menimbulkan beberapa persoalan mengenai urusan perkahwinan dan juga
kebajikan kanak-kanak dalam masyarakat kita. Perkembangan ini seolah-olah menunjukkan bahawa stigma lapuk masih membelenggu sebahagian masyarakat kita, iaitu
anak tiri, atas dasar bukan anak sendiri tidak mungkin dilayan seperti anak
sendiri. Seolah-olah ibu atau bapa tiri tadi mendapat tiket untuk menjadikan
anak tiri sebagai bahan untuk didera. Kenapa perkara ini terjadi?
Kita maklum bahawa perkahwinan dan hubungan
suami isteri dan anak-anak adalah perkara mulia dan dipandang penting dalam
Islam. Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur
syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan
perkembangan kemanusiaan itu sendiri. Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup
manusia, ingin disayangi, dilindungi dan menyayangi. Oleh itu, semua orang yang
berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga.
Begitu juga, antara objektif perkahwinan adalah melahirkan
mawaddah dan rahmah (kasih sayang dan belas ihsan) di antara dua pihak, iaitu
suami dan isteri, seperti mana dinyatakan oleh Allah dalam firmannya yang
bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya
bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri
supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara
kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (al-Rum: 21)
Dalam usaha mencapai mawaddah tersebut, sekiranya pasangan yang ingin dikahwini sudah
mempunyai anak, maka anak tersebut turut terlibat secara langsung dalam ikatan
yang dibina. Dengan itu, tidak wajar seorang yang ingin berkahwin dengan bakal
pasangan yang telah mempunyai anak, hanya menerima dan menyayangi pasangan
sahaja, tetapi menolak anak-anak sedia ada. Mereka haruslah turut membina rasa
sayang dan penerimaan kepada anak-anak bakal pasangan mereka. Ini adalah
perkara besar demi kebajikan anak-anak tiri tersebut.
Justeru itu, Islam meletakkan bahawa ayah
tiri atau ibu tiri diterima sebagai mahram selepas berlakunya hubungan kelamin
antara pasangan tersebut. Dengan itu, hubungan anak tiri dan ayah tiri/ibu tiri
tidak lagi batal wudhu, boleh bersalaman dan diterima sebagai mahram selamanya.
Apatah lagi jika bakal pasangan tersebut
kematian suami atau isteri, yang meletakkan anak-anak mereka sebagai status
anak yatim yang perlu dilindungi dan dilayan dengan baik. Anak yatim yang
kehilangan ibu atau bapa sudah tentu mengalami rasa kehilangan yang mendalam
dan boleh memberi kesan kepada kejiwaan mereka. Atas dasar itu, Allah
menawarkan pahala yang besar bagi mereka yang melindungi dan menjaga kebajikan
anak-anak yatim yang kematian ibu atau ayah. Justeru, seorang yang mendera anak
tiri yang juga anak yatim, adalah satu tindakan yang tidak dapat diterima dari
sudut agama, begitu juga dari sudut moral.
Atas dasar ini, kebajikan anak sedia ada
perlu menjadi satu nilaian besar bagi mana-mana pasangan yang ingin berkahwin
dengan wanita atau lelaki yang telah mempunyai anak dari perkahwinan terdahulu.
Terimalah bakal pasangan dan anak-anak yang ada dengan penuh rasa terbuka,
dengan hati dengan ikhlas seperti anak sendiri dan melayan mereka dengan penuh
kasih sayang. Pandanglah mereka dengan kasih sayang, bukan kebencian untuk
menjadi mangsa deraan kerana doa mereka juga menjadi pahala berlanjutan kepada
ibu dan bapa tiri selepas kematian kelak.
Pada masa sama, jiran tetangga mesti memain
peranan untuk melapor kepada pihak berwajib sekiranya diketahui ada anak-anak
yang menjadi mangsa deraan dalam kejiranan mereka. Keprihatin bersama dapat
menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa.
