Artikel
Artikel ini disiarkan dalam Berita Harian pada 3 April 2014 (Khamis) ruanga Agama. Saya ingin mengutarakan pendapat saya atau analisis yang saya buat terhadap kes pasangan Malaysia di Sweden ini. Saya berdoa agar kedua mereka tabah dalam menghadapi hukuman penjara di sana, dapat memikir kembali tentag hubungan kekeluargaan antara mereka dan anak-anak, dapat memaafkan anak-anak mereka.. serta yang penting dapat juga meminta maaf dariapda anak-anak mereka. Kepada anak-anak mereka, saya mendoakan agar agar mereka tabah, dapat memafkan ibu bapa mereka, dapat memikirkan tentang kasih sayang ibu bapa mereka yang pernah diberikan dan semoga mereka semua akan kembali membina hubungan kekeluargaan yang lebih baik apabila bergabung nanti.. ameen..
_____________________________
Tajuk di Berita Harian PENDIDIKAN HARUS BERASASKAN KASIH SAYANG..
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim
Kes sepasang rakyat Malaysia yang ditahan di
Sweden atas dakwaan melakukan penderaan dan pencabulan kepada integiriti anak
mereka menerima liputan meluas di negara kita. Kes ini menarik perhatian rakyat
Malaysia kerana ia melibatkan kaedah mendidik yang dianggap hak ibu bapa untuk
mendisiplinkan anak-anak mereka.
Sedangkan
di Sweden, perlindungan daripada dipukul dan dilayan secara tidak wajar
adalah satu perkara besar yang diperuntukkan dalam undang-undang
kanak-kanak mereka. Mahkamah yang membicarakan kes ini telah
mensabitkan hukuman bersalah, ibu tersebut telah dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan
manakala ayah mereka dikenakan 10 bulan penjara.
Perkembangan dan penghakiman kes ini menjadi
bahan perbincangan di internet dan laman-laman sosial. Berdasarkan maklumbalas
yang diberi, saya rangkumkan terdapat tiga pendapat diberikan oleh
orang ramai. Pertama, mereka menyalahkan undang-undang Sweden yang dianggap
terlalu tegas sehingga menolak kuasa ibu bapa mendidik anak-anak mereka. Mereka
berpendapat memukul anak-anak adalah perkara biasa dalam kaedah pendidikan
orang Melayu dan orang Islam. Justeru, kes ini seolah-olah mencabar orang Islam
dan orang Melayu dalam mendisiplinkan anak-anak mereka.
Kedua, mereka menyalahkan ibu bapa
tersebut kerana terlalu keras dalam mendisiplinkan anak-anak
mereka. Pendekatan garang, pukulan menggunakan tangan, rotan dan tali pinggang
dilihat sebagai kaedah mendidik yang diamalkan sehingga menyebabkan
anak-anak memberontak. Anak-anak gagal memahami kenapa mereka dihukum.
Ketiga, mereka menyalahkan anak-anak
tersebut kerana membuat laporan sehingga ibu bapa mereka dibicarakan. Anak-anak
tersebut dikatakan bukan anak yang baik,
tidak menyayangi ibu bapa mereka dan tidak menghargai nikmat yang ibu
bapa mereka berikan. Bahkan ada penulis yang membandingkan anak-anak
tersebut
dengan pengalaman mereka semasa kecil, di mana mereka dahulu dirotan
setiap
hari, diketuk kepala ke dinding dan diikat di tiang tetapi tidak
membantah. Apa
sahaja bentuk hukuman dibuat oleh ibu
bapa seharusnya diterima dengan terbuka oleh anak-anak kerana itu adalah tanda anak yang taat kepada ibu bapa mereka.
Kes ini sebenarnya wajar dilihat sebagai
pencetus kepada penambahbaikan dalam masyarakat kita dalam urusan melibatkan
kebajikan anak-anak, termasuklah tindakan yang diambil oleh ibu bapa, guru-guru
dan penggubal undang-undang.
Dari sudut
agama, anak-anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa untuk
dididik dan dijaga sehingga mereka mampu menjadi khalifah yang baik di muka
bumi. Anak-anak bukan hak ibu bapa, tetapi mereka mempunyai hak untuk mendapat
perlindungan dan layanan yang baik.
Sememangnya Nabi Muhammad SAW ada
membenarkan pukulan kerana meninggalkan solat, tetapi ia adalah tindakan alternatif
paling akhir dalam mendidik mereka. Itupun tertakluk kepada keberatan (weight)
kesalahan yang dilakukan, dan juga haruslah selepas mereka berumur 10 tahun ke
atas. Pukulan itu bukan dengan kuat penuh emosi marah, tetapi pukulan ringan bertujuan untuk
mendidik. Anak-anak juga hendaklah dijelaskan kesalahan mereka supaya mereka
faham kenapa mereka dihukum.
Pendekatan
kasih sayang adalah prinsip asas pendidikan Nabi SAW. Pendakwah
Australia, Sheikh Yahya Ibrahim dalam satu
ceramahnya pernah menegur pendekatan garang dan keras segelintir ibu
bapa dan
guru-guru yang sering mendenda dan merotan, dengan mencabar mereka
membawa hadith yang menunjukkan Rasul mendekati kanak-kanak dengan
pendekatan
begitu. Tidak ada satu pun. Bahkan yang ada Rasululullah memuji,
menegur,
membina kasih sayang sehingga kanak-kanak mencintai Baginda dan
akhirnya
turut mencintai ajaran agama yang Baginda bawa. Inilah yang berlaku
kepada
Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar yang masih muda remaja ketika
itu.
Ini juga menjadi bahan utama pendekatan
pakar motivasi terkenal di negara ini, Profesor Dr Muhaya Muhamad dalam ceramah
keibu bapaan yang beliau kendalikan. Anak yang dididik dengan keras akan mengulangi
dan menggunakan pendekatan keras di masa depan. Kajian banyak menunjukkan anak
yang dilayan dengan keras, diherdik dan dihina akan rendah nilai dirinya dan
akan bertindak serupa apabila mereka besar kelak. Pendekatan Nabi ini turut
dikupas dengan panjang lebar oleh ramai pendakwah mengenai bagaimana kasih sayang adalah prinsip asas dalam pendidikan yang
diajarkan Rasulullah. Kes ini seharusnya membuka mata ibu bapa untuk mendalami
cara pendidikan Nabi dan mempraktikkan yang tepat dalam mendidik zuriat mereka.
Apabila melihat kepada pendekatan Sweden dan
negara-negara lain, kita juga perlu melihat kembali bagaimana undang-undang negara
kita mendekati isu penderaan ini. Alasan negara-negara tersebut pada hakikatnya
adalah untuk menjaga kebajikan anak-anak daripada menjadi mangsa layanan yang
tidak munasabah. Apatah lagi kanak-kanak yang mentalnya belum matang, tidak
tahu untuk bertindak balas. Justeru, mereka sangat tegas dalam menilai erti
penderaan. Penderaan bukan sahaja apabila patah tangan atau tanda seterika
panas di badan kanak-kanak, tetapi juga melibatkan emosi
kanak-kanak. Apabila seorang anak berubah menjadi pendiam, berada dalam dunia
mereka sendiri, memberontak, berubah tingkah laku, maka ia juga adalah
penderaan. Walaupun tidak bermakna Malaysia menerima secara total undang-undang mereka,
tetapi wajar untuk kita melihat kembali dan menambah baik apa yang kurang untuk
kebaikan kanak-kanak di negara ini.
Kita juga tidak wajar menyebut perkataan menghina sebagai anak tidak mengenang budi dan sebagainya kepada
anak-anak tersebut kerana mereka adalah di bawah umur dan tidak boleh dikaitkan
dengan kesalahan. Kita sepatutnya memberi sokongan kepada mereka supaya dapat
menghadapi ujian ini, tidak trauma dan bukan menambah tekanan yang telah sedia
ada. Jika masyarakat menghina, tindakan itu sebenarnya adalah sebahagian dari
penderaan pula kepada mereka.
Adalah sangat diharapkan agar apabila keluarga ini bergabung kelak, ibu bapa dan anak-anak diberi bantuan psikologi untuk saling memaafkan dan membina kembali hubungan kekeluargaan yang ada. Adalah tidak mustahil dengan pandangan positif dan dokongan semua, keadaan akan menjadi lebih baik untuk mereka, dan seluruh ahli masyarakat kita umumnya. Kes ini mempunyai banyak hikmah yang tersirat.
*Penulis adalah Prof Madya di Akademi
Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam.