Kenangan ditinggalkan.. hidup diteruskan..
Kisah kenangan Melbourne saya tinggalkan dulu.. Hidup diteruskan untuk mencari pahala untuk kehidupan selepas mati.
Baru-baru imi banjir besar melanda negara. Kesian sungguh kita melihat kesan yang dihadapi oleh mangsa banjir. Semoga ALlah kurniakan bantuanNya dan memberi kesabaran yang kuat kepada semua mangsa..
Artikel di bawah saya tulis dan disiarkan dalam Berita Harian Khamis 8 Januari lepas.
Esok 17 Jan 2014, saya dan keluarga akan mengikut misi ke Jerantut membantu membersihkan sekolah di sana. Hari ini saya berjaya mendapat sponsor dari kawan2 kakak ipar saya solehah untuk membeli satu water jet petrol berharga RM2500 untuk ke sana. Syukur Alhamdulillah rakan2 saya yang baik... Dalam 1 jam sahaja RM2500 dikumpulkan.. Semoga kami berjaya memberi sedikit bantuan kepada mangsa banjir..
-------------------------
Libatkan Keluarga Membantu Mangsa Banjir
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim
Negara kita menutup tirai tahun 2014 dengan pelbagai kisah sedih dan ujian yang hebat melanda penduduk negara kita. Ini termasuklah banjir besar yang melanda beberapa buah negeri beberapa hari lepas.
Negara kita menutup tirai tahun 2014 dengan pelbagai kisah sedih dan ujian yang hebat melanda penduduk negara kita. Ini termasuklah banjir besar yang melanda beberapa buah negeri beberapa hari lepas.
Ujian besar ini menyebabkan kerugian yang tidak mampu digambarkan.
Dilaporkan ribuan rumah rosak, dihanyutkan dalam banjir besar ini. Ada rumah
yang hanya tinggal tangga sahaja, dan tidak sedikit yang terus lenyap
meninggalkan tapak sebagai sejarah. Ini tidak termasuk jumlah kenderaan yang
rosak dan hilang dalam kejadian tersebut.
Kejadian banjir besar ini adalah satu tanda kebesaran
pencipta yang berkuasa mutlak terhadap segala yang ada di alam ini. Ia membuka
mata hati kita merenung penciptaan alam dan tunduk mengaku bahawa manusia tidak
mampu melawan apa-apa bencana alam yang ditakdirkan berlaku ke atas kita. Namun
kita tidak pula diminta hanya duduk berserah tetapi perlu berusaha mencari
jalan terbaik menangani bencana alam yang menimpa.
Kejadian ini juga hakikatnya membuka mata kita semua untuk melihat hikmahnya dari sudut yang
berbeza. Apabila melihat ramai insan terlibat sebagai mangsa, ramai yang
kehilangan tempat tinggal dan harta, tinggal sehelai sepinggang, ia memberi
ruang untuk kita membantu dan memberi bantuan semampu yang terdaya.
Memberi kepada orang yang memerlukan adalah satu ajaran
mulia dalam agama kita. Apatah lagi apabila kita mendapat tahu ada insan yang
berada dalam situasi yang memerlukan bantuan, maka ketika itu adalah menjadi
kewajipan kita untuk sama-sama membantu atas dasar simpati.
Membantu mangsa banjir ini juga boleh menjadi sebahagian
dari cara merapatkan hubungan keluarga. Libatkan anak-anak dalam pengumpulan
dana, mengumpul pakaian, makanan dan membungkusnya untuk mangsa banjir boleh
menimbulkan sikap perihatin di hati mereka.
Media banyak melaporkan pelbagai pihak, termasuklah
individu, badan-badan NGO, masjid dan surau yang perihatin telah menjalankan
kutipan derma, mencari dana membeli pelbagai keperluan untuk membantu mangsa
banjir. Beberapa NGO seperti IKRAM,
ABIM, masjid-masjid dan surau serta orang ramai menjalankan gerakan
besar-besaran mendapatkan dana dan menghantar ke kawasan-kawasan yang terlibat.
Ribuan ringgit yang dikutip menunjukkan rakyat Malaysia sememangnya mempunyai
jiwa murni mengasihani sesama insan. Ia adalah sikap yang terpuji dan patut diteruskan
sepanjang masa.
Masa yang sama, kita seharusnya perlu memberi kata-kata
semangat kepada mangsa banjir yang ditemui. Pujuk mereka dengan kata-kata
positif supaya mereka lebih tabah menghadapi ujian, sabar atas kehilangan yang
berlaku. Melalui kata-kata berhikmah dan positif, ia juga sebenarnya merupakan satu sedekah yang kita berikan.
Dalam menghadapi ujian getir termasuklah kehilangan harta,
insan tersayang, kesakitan, bencana dan sebagainya, yakinlah Allah sedang
menguji dan melihat respon hamba-hambaNya yang diuji. Segala ujian hebat ini
memang akan menggoncang hati dan menimbulkan ketakutan dan rasa sedih yang
mendalam.
Sesungguhnya
ujian yang datang, walau bagaimana berat pun ia adalah ketentuan Allah untuk
melihat bagaimana reaksi hamba-hambaNya, sama ada menjadi lebih dekat kepada
Nya atau menjadi lebih jauh daripadaNya. Keimanan, keyakinan, tawakal dan
kesabaran yang kuat sangat diperlukan dalam menghadapi ujian getir ini.
Orang
yang menjadi jauh dari Allah akan menyalahkan Allah kerana mengujinya, memarahi
takdir yang menimpa dan mengandai-andaikan pelbagai sangkaan buruk kepada Allah penciptanya.
Sedangkan orang yang menjadi lebih dekat dengan Allah akan melihat musibah berlaku sebagai
satu bukti kekuasaaan Allah sebagai pencipta yang telah memilihnya untuk diuji.
Ia mungkin menjadi kifarat segala dosa-dosa dan kesalahannya dan akan
menyebabkan dia mendapat ganjaran besar dan syurga Allah di akhirat kelak.
Oleh
karena itu, dalam apa keadaan sekalipun, mangsa banjir sama ada kita atau orang
lain hendaklah senantiasa berbaik sangka
kepada Allah. Dan haruslah yakin bahawa semuanya adalah ujian untuk menguji
keimanan yang mereka miliki. Inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah yang bermaksud, “Apakah kalian mengira
bahwa kalian akan masuk ke dalam syurga, sedangkan belum datang kepada kalian (ujian)
sebagaimana yang berlaku kepada orang-orang terdahulu sebelum kalian? Mereka
ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan
bermacam-macam goncangan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang
bersamanya : Bilakah datang pertolongan Allah? Ingatlah sesungguhnya
pertolongan Allah amatlah dekat.” (Al Baqarah : 214)
Justeru, kesabaran yang tinggi
dan bersangka baik kepada Allahlah yang menjadi nadi dalam kehidupan kita
sebagai Muslim.