Khamis, 6 November 2008
My Article _6 Nov 08 Berita Harian
Perkataan kediri dalam peruntukan undang-undang bermaksud .. serah kepada diri defendan tersebut.. Dalam artikel ni, saya hantar kepada Berita harian, saya tulis kediri, tapi editornya telah tukar kepada perkataan kendiri.. (yang mempunyai maksud yang nyata berbeza..). Di sini, saya kembali kepada perkataan asal iaitu kediri.
_______
Hak Muslim: Padah suami main cinta pembantu rumah Indonesia
Soalan
SAYA seorang kerani dan berkahwin atas dasar suka sama suka lebih enam tahun lalu. Saya mempunyai dua anak berumur empat dan dua tahun. Masalah bermula selepas kami mengambil pembantu rumah dari Indonesia akhir 2007. Rupa-rupanya suami dan pembantu rumah sudah bercinta di luar pengetahuan saya. Pada awal tahun ini, saya ditinggalkan suami kerana ingin berkahwin dengan bekas pembantu rumah kami. Saya berpendapat suami kena sihir oleh wanita itu. Oleh kerana suami sudah meninggalkan saya hampir 10 bulan tanpa nafkah, saya tidak dapat bersabar dan berhasrat untuk memohon cerai. Malangnya, saya tidak tahu di mana suami tinggal sekarang. Ketika ke Mahkamah Syariah, pegawai mahkamah memberitahu bahawa saya perlu mengetahui alamat suami sedangkan saya tidak mungkin dapat menyediakan alamat itu kerana saya tidak tahu di mana suami berada. Menurut pegawai berkenaan, kes saya akan menjadi lebih lama untuk diselesaikan kerana saya perlu menyampaikan saman kepada suami. Pegawai terbabit juga menca-dangkan saya menggunakan khidmat peguam. Apakah sebenarnya yang harus saya lakukan.
Insan ditinggalkan,
Klang, Selangor
Jawapan
Semoga puan bersabar atas ujian yang berlaku ke atas puan serta anak. Namun begitu, kami berpendapat puan sudah beroleh kekuatan untuk menegakkan hak puan dengan berusaha mendapatkan keadilan di mahkamah.
Perkara pertama mengenai firasat puan bahawa suami mungkin disihirkan, kami berpendapat puan wajar berusaha mendapatkan bantuan mereka yang arif dengan perubatan Islam.
Adalah tidak wajar kita menuduh seseorang di sihir tetapi jika wujud tanda tidak normal seperti tanda sihir, maka puan tidak boleh pula berdiam diri.
Puan perlu mendapatkan pertolongan dengan cara yang tidak melanggar hukum syarak. Jangan sama sekali berusaha mendapatkan bantuan secara ilmu hitam yang berlawanan dengan syarak. Di samping itu, puan juga perlu banyakkan solat hajat memohon bantuan serta kekuatan Allah untuk menghadapi ujian ini.
Perkara kedua adalah berkenaan nasihat pegawai di mahkamah bahawa puan perlu mengetahui alamat suami, adalah benar. Pada asasnya apabila puan memulakan tindakan mal seperti memohon fasakh, taklik atau perceraian biasa, ia akan bermula dengan saman dan penyata tuntutan.
Puan perlu menyediakan dokumen itu dan ia perlu diserahkan kepada suami atau dipanggil defendan dalam kes ini. Ia bagi memberi peluang kepada defendan menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya. Perkara itu ditetapkan dalam peruntukan Enakmen Tatacara Mal Negeri.
Prosedur itu ditetapkan untuk memberi ruang kepada puan memberitahu mahkamah keterangan daripada pihak puan dan memberi peluang pihak defendan memberi balasan dan jawapan. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.
Cara penyampaian saman pula secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermeterai kepada defendan dan diperiksa olehnya. Saman itu perlu diserahkan kepada beliau. Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampiran dengannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman berkenaan. Saman itu perlu diserahkan kepada defendan dalam 12 bulan daripada tarikh ia dikeluarkan. Ini bermakna puan perlu menyerah atau menyebabkan diserah saman itu dalam tempoh berkenaan.
Jika tempoh itu sudah atau akan luput, puan hendaklah dengan segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh sah saman itu. Bagaimana saman boleh diserahkan kepada suami jika puan tidak memberitahu mahkamah alamat suami yang tepat. Ini akan menjadi masalah kerana sudah tentu saman dan penyata tuntutan itu akan gagal diserahkan. Inilah yang akan berlaku nanti dalam kes puan.
Sebenarnya puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti. Jika mahkamah berpuas hati atas alasan yang mencukupi, saman itu tidak dapat disampaikan secara kediri seperti dinyatakan di atas, mahkamah boleh memerintahkan saman itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya pada papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat pada alamat defendan yang terakhir atau cara lain difikirkan patut oleh mahkamah. Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian ganti dibuat melalui iklan dalam akhbar tempatan jika difikirkan patut.
Penyampaian ganti bermakna, walaupun secara fizikalnya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar, tetapi kesan tindakan itu di sisi undang-undang seolah-oleh defendan sudah menerima saman itu secara kediri. Apabila sempurna penyampaian ganti itu, mahkamah perlu menyifatkan saman itu sudah disampaikan kepada defendan.
Selepas penampalan dan pengiklanan dibuat, puan perlu memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan penyampaian ganti sudah dilakukan seperti diperintahkan mahkamah. Jika puan sudah mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan, puan boleh memohon kes dibicarakan nanti.
Perkara ketiga adalah mengenai tindakan atau kaedah perceraian mana yang boleh digunakan dalam tuntutan atas alasan ditinggalkan tanpa nafkah? Puan boleh menggunakan kaedah taklik atau fasakh atas alasan yang sama. Puan mesti mendapatkan bahan bukti dan keterangan untuk menyokong dakwaan serta tuntutan puan. Puan perlu membawa dokumen sokongan serta saksi yang mengetahui hal keadaan puan bagi mensabitkan tuntutan.
Perkara keempat adalah mengenai nasihat pegawai supaya puan menggunakan khidmat peguam syarie juga adalah benar. Ini bagi memudahkan puan kerana sebagai orang awam, sudah tentu puan sukar untuk memahami dan menyediakan semua dokumen dikehendaki oleh undang-undang. Dengan adanya peguam syarie, ia akan memudahkan urusan dengan mahkamah. Jika puan kurang berkemampuan untuk menggunakan khidmat peguam syarie berbayar, boleh mendapatkan nasihat dari Biro Bantuan Guaman (BBG) berdekatan.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sila layari http://peguamsyarie.org
Isnin, 3 November 2008
Nikah Imam Tak Der Tauliah??
Dijawab oleh kawan saya Siti, telah di upload dalam web PGSM di http://pegaumsyarie.org
_________________
Hak Muslim: Hukum status anak pasangan dinikah imam tamat tauliah
SAYA dan suami tidak mengetahui imam yang menikahkan kami sudah tamat tauliahnya sedangkan bapa saya mewakilkan wali kepada imam berkenaan. Selepas pernikahan, saya mengandung dan melahirkan anak perempuan. Apabila suami hendak membuat pendaftaran anak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyatakan sijil nikah kami adalah palsu. Kami dinasihatkan untuk mengesahkan pernikahan. Ketika kes pengesahan nikah, mahkamah memutuskan pernikahan itu adalah fasid tetapi mahkamah tidak memutuskan sama ada anak kami adalah anak sah taraf atau tidak. Apakah taraf anak kami sebenarnya? Bagaimanakah kami hendak mengesahkan taraf anak kami? Apakah hak anak kami terhadap kami sebagai ibu bapanya kerana kami tidak bersalah dan tidak tahu tauliah imam itu sudah tamat.
Shikin,
Shah Alam
Jawapan
Kami bersimpati dengan permasalahan puan dan moga puan serta suami tabah menghadapi ujian Allah. Isu yang diutarakan adalah berkaitan nasab anak. Nasab anak perlu diketahui kerana kesannya dari segi undang-undang berkaitan nafkah, penjagaan, memanfaatkan harta benda, harta pusaka dan juga perwalian semasa pernikahan anak itu nanti.
Dalam kes pengesahan nikah, sememangnya mahkamah hanya mensabitkan berkaitan kesahan pernikahan saja tanpa mensabitkan status anak hasil pernikahan itu.
Pihak yang perlu membuat permohonan pengesahan nasab anak adalah suami puan kerana nasab anak disabitkan kepada bapa. Beliau boleh memohon untuk pengesahan nasab anak di Mahkamah Tinggi Syariah melalui notis permohonan dan afidavit.
Mahkamah pula, melalui kaedah digariskan hukum syarak akan mengambil keterangan pihak yang mengetahui mengenai pernikahan serta kelahiran anak dan setelah berpuas hati, mahkamah akan memutuskan sama ada anak berkenaan sah taraf atau tidak hasil daripada pernikahan itu.
Jawapan permasalahan puan ini akan merujuk Konsep Nasab Dalam Undang-undang Islam dan Implikasi Perundangannya oleh Md Som Sujimon dalam Manual Undang-undang Keluarga Islam, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di mana penulis menyatakan majoriti pengkaji Undang-Undang Keluarga Islam menggariskan beberapa cara untuk mensabitkan nasab.
Antaranya, menggunakan doktrin daripada hadis berbunyi anak itu milik kepada pemilik katil, penyaksian itu secara pengakuan lisan pihak dan dua orang saksi yang menyaksikan anak yang lahir itu.
Sementara persoalan berkaitan tuntutan pengakuan nasab atau secara qiyafah iaitu berdasarkan ilmu firasat salasilah untuk mensabitkan nasab seperti pada zaman moden ini menggunakan kaedah ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Berdasarkan permasalahan puan, hanya beberapa garis panduan saja diterangkan sebagai mensabitkan nasab, namun ia bukanlah bertujuan mensabitkan nasab anak puan dalam tulisan ini kerana semuanya bergantung kepada keterangan puan, suami dan saksi semasa di mahkamah kelak.
Merujuk teks hadis anak itu milik kepada pemilik katil, secara literal ia menetapkan anak yang dihasilkan di tilam yang dipunyai oleh pemiliknya dianggap sebagai anak yang sah taraf. Ulama sependapat menyatakan pemilik katil atau 'al firasy' merujuk kepada nikah sahih dan juga nikah fasid.
Nikah fasid ialah nikah yang salah satu daripada syarat atau rukun nikah tidak dapat dipenuhi. Segelintir ulama mazhab Hanafi berpendapat anak hasil daripada nikah fasid dianggap sah taraf secara automatik walaupun ayah kepada anak itu tidak membuat tuntutan nasab.
Mereka berpendapat anak hasil nikah fasid tidak dianggap sah kecuali jika persetubuhan berlaku dan hasil pernikahan, wanita itu mengandungkan anak. Namun, terdapat beberapa kriteria yang mesti dipenuhi untuk menggunakan doktrin ini iaitu suami mestilah seorang yang baligh dan berkemampuan melakukan hubungan seks sehingga menjadikan isterinya mengandung dan selepas pernikahan, mereka mestilah tinggal bersama yang memungkinkan berlakunya persetubuhan menyebabkan wanita itu mengandung.
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Euukins) ada memperuntukkan berkaitan sah taraf yang menyamai mazhab Syafie dan selaras dengan doktrin ini di mana Seksyen 111 memperuntukkan jika seseorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian dan perempuan itu tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.
Persoalan wati' syubhah, istilhaq iaitu tuntutan pengakuan juga sebagai cara mensabitkan nasab di mana hubungan kelamin yang berlaku antara seorang lelaki dan wanita yang tidak menyedari hubungan kelamin dilakukan itu tidak sah atau haram.
Mazhab Syafie, Hanafi dan kebanyakan ulama Hambali berpendapat bahawa anak hasil perhubungan itu dianggap sah taraf kerana ketika persetubuhan berlaku mereka beranggapan sah. Seksyen 114 Euukins pula memperuntukkan berkaitan persetubuhan syubhah iaitu jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.
Berdasarkan hukum syarak dan peruntukan undang-undang, sudah digariskan cara untuk mensabitkan taraf seseorang anak.
Oleh itu, puan dan suami perlu membuat permohonan untuk mengesahkan nasab anak itu berdasarkan garis panduan yang dinyatakan.
Apabila mahkamah sudah mensabitkan berkaitan nasab anak, barulah puan boleh membawa perintah mahkamah ke JPN untuk mendaftarkan sijil kelahiran anak.
Dapatkan khidmat peguam syarie berkaitan kes pensabitan nasab anak untuk membantu puan dan suami mengemukakan keterangan, bukti dan hujah yang menyokong kesahtarafan anak dari segi hukum syarak dan peruntukan undang-undang.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak.
Sabtu, 26 Julai 2008
Kahwin Lari
__________________
Wanita tiada sijil nikah selepas dua bulan kahwin
Soalan
SAYA berkahwin pada Mei lalu. Ketika nikah, saya diwalikan seorang ustaz berasal dari negara seberang. Ustaz itu mendakwa dia adalah wali hakim di negara itu. Pernikahan juga disaksikan dua saksi tidak saya kenali. Saya diperkenalkan kepada ustaz itu oleh seorang kenalan suami. Ketika itu, ayah saya masih hidup, tetapi saya tidak tahu di mana dia berada, kerana selepas bercerai dengan ibu, ayah terus menghilangkan diri. Ustaz itu meminta bayaran RM400, sebagai kos nikah dan bayaran kepada saksi. Masalahnya, sehingga hari ini saya tidak memiliki sijil nikah. Apabila merujuk kepada kenalan suami, dia meminta tambahan RM300 untuk mendapatkan sijil nikah tetapi hingga hari ini, saya tidak diberikan sijil nikah. Saya juga sudah terputus hubungan dengan ustaz berkenaan. Adakah pernikahan yang berlaku sah atau tidak menurut hukum syarak?
PUAN NUR,
Seri Kembangan.
Jawapan:
SEKSYEN 11 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, memperuntukkan: "Sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut hukum syarak, untuk menjadikannya sah."
Untuk menentukan sama ada nikah itu sah atau tidak menurut hukum syarak perlu disiasat rukun dan syarat nikah yang menjadikan sesuatu sesuatu perkahwinan itu sah. Rukun nikah ialah sighah, isteri, suami, wali dan dua orang saksi. Dalam kes puan, wali (bapa) tidak hadir sewaktu majlis akad nikah dijalankan.
Juga tidak ada bukti menunjukkan wali mewakilkan wali akad nikah kepada imam jurunikah. Sedangkan puan menyatakan bahawa wali puan ghaib, tidak diketahui di mana berada. Dalam kes di mana wali ghaib, kebenaran Mahkamah Syariah perlu diperoleh. bagi membenarkan puan bernikah secara wali hakim.
Ustaz yang menikahkan puan mendakwa dia adalah wali hakim berasal dari negara seberang. Persoalannya, adakah wali hakim yang diiktiraf kerajaan negara lain juga diiktiraf sebagai wali hakim di Malaysia. Puan perlu merujuk kepada Pendaftar Nikah Cerai Rujuk (NCR) Daerah, sama ada nama ustaz itu dalam senarai wali hakim yang diberi tauliah. untuk menikahkan perempuan yang tidak mempunyai wali.
Keadaan ini menimbulkan keraguan atau syubhah dalam majlis pernikahan puan. Jika seseorang perempuan tidak mempunyai wali, maka wali yang dilantik oleh pemerintah (wali Sultan) adalah walinya. Hukum ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sultan menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali."
Begitu juga jika wali dekat (wali akrab) tidak ada dalam jarak dua marhalah, maka hak perwalian akan berpindah kepada wali Sultan.
Pernikahan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab, hendaklah dijalankan oleh wali hakim yang diiktiraf, di mana perempuan itu hendaklah terlebih dulu memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan kebenaran berwalikan hakim.
Seksyen 18 (1) (c) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan: Seksyen 18 (1) dalam mana-mana kes berikut, iaitu (c) jika perempuan tidak mempunyai wali dari nasab mengikut hukum syarak, maka Pendaftar hendaklah sebagai ganti bertindak di bawah seksyen 17, merujukkan permohonan itu kepada Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin."
Keraguan paling jelas ialah apabila puan menyatakan bahawa imam jurunikah memperkenalkan diri sebagai imam jurunikah dari negara jiran. Dalil wajib dua saksi dalam akad nikah ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada perkahwinan tanpa wali dan dua orang saksi yang adil. Perkahwinan selain daripada itu adalah batal."
Syarat dua orang saksi seperti mana firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman." – (Surah an-Nisa', ayat 141) Pada pandangan saya, syarat perwalian tidak sempurna menurut hukum syarak, di mana nikah dijalankan wali diragui kewujudannya dan kuasa diberikan oleh kerajaan.
Saya menasihatkan puan panjangkan perkara ini kepada Mahkamah Syariah untuk tujuan pengesahan nikah.
Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang
Sabtu, 19 Julai 2008
Nikah luar negara
_____________-
Hak Muslim: Wanita tiada sijil nikah selepas dua bulan kahwin
Soalan
SAYA berkahwin pada Mei lalu. Ketika nikah, saya diwalikan seorang ustaz berasal dari negara seberang. Ustaz itu mendakwa dia adalah wali hakim di negara itu. Pernikahan juga disaksikan dua saksi tidak saya kenali. Saya diperkenalkan kepada ustaz itu oleh seorang kenalan suami. Ketika itu, ayah saya masih hidup, tetapi saya tidak tahu di mana dia berada, kerana selepas bercerai dengan ibu, ayah terus menghilangkan diri. Ustaz itu meminta bayaran RM400, sebagai kos nikah dan bayaran kepada saksi. Masalahnya, sehingga hari ini saya tidak memiliki sijil nikah. Apabila merujuk kepada kenalan suami, dia meminta tambahan RM300 untuk mendapatkan sijil nikah tetapi hingga hari ini, saya tidak diberikan sijil nikah. Saya juga sudah terputus hubungan dengan ustaz berkenaan. Adakah pernikahan yang berlaku sah atau tidak menurut hukum syarak?
PUAN NUR,
Seri Kembangan.
Jawapan:
SEKSYEN 11 Enakmen Undang-Undang Keluarga Is lam Selangor 2003, memperuntukkan: "Sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut hukum syarak, untuk menjadikannya sah."
Untuk menentukan sama ada nikah itu sah atau tidak menurut hukum syarak perlu disiasat rukun dan syarat nikah yang menjadikan sesuatu sesuatu perkahwinan itu sah.
Rukun nikah ialah sighah, isteri, suami, wali dan dua orang saksi. Dalam kes puan, wali (bapa) tidak hadir sewaktu majlis akad nikah dijalankan. Juga tidak ada bukti menunjukkan wali mewakilkan wali akad nikah kepada imam jurunikah. Sedangkan puan menyatakan bahawa wali puan ghaib, tidak diketahui di mana berada. Dalam kes di mana wali ghaib, kebenaran Mahkamah Syariah perlu diperoleh. bagi membenarkan puan bernikah secara wali hakim.
Ustaz yang menikahkan puan mendakwa dia adalah wali hakim berasal dari negara seberang. Persoalannya, adakah wali hakim yang diiktiraf kerajaan negara lain juga diiktiraf sebagai wali hakim di Malaysia. Puan perlu merujuk kepada Pendaftar Nikah Cerai Rujuk (NCR) Daerah, sama ada nama ustaz itu dalam senarai wali hakim yang diberi tauliah. untuk menikahkan perempuan yang tidak mempunyai wali.
Keadaan ini menimbulkan keraguan atau syubhah dalam majlis pernikahan puan. Jika seseorang perempuan tidak mempunyai wali, maka wali yang dilantik oleh pemerintah (wali Sultan) adalah walinya. Hukum ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sultan menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali."
Begitu juga jika wali dekat (wali akrab) tidak ada dalam jarak dua marhalah, maka hak perwalian akan berpindah kepada wali Sultan.
Pernikahan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab, hendaklah dijalankan oleh wali hakim yang diiktiraf, di mana perempuan itu hendaklah terlebih dulu memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan kebenaran berwalikan hakim.
Seksyen 18 (1) (c) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan: Seksyen 18 (1) dalam mana-mana kes berikut, iaitu (c) jika perempuan tidak mempunyai wali dari nasab mengikut hukum syarak, maka Pendaftar hendaklah sebagai ganti bertindak di bawah seksyen 17, merujukkan permohonan itu kepada Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin."
Keraguan paling jelas ialah apabila puan menyatakan bahawa imam jurunikah memperkenalkan diri sebagai imam jurunikah dari negara jiran. Dalil wajib dua saksi dalam akad nikah ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada perkahwinan tanpa wali dan dua orang saksi yang adil. Perkahwinan selain daripada itu adalah batal." Syarat dua orang saksi seperti mana firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman." – (Surah an-Nisa', ayat 141)
Pada pandangan saya, syarat perwalian tidak sempurna menurut hukum syarak, di mana nikah dijalankan wali diragui kewujudannya dan kuasa diberikan oleh kerajaan. Saya menasihatkan puan panjangkan perkara ini kepada Mahkamah Syariah untuk tujuan pengesahan nikah.
Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang
Sabtu, 5 Julai 2008
Suami Zalim
Bagi wanita yang teraniaya, mereka sealunya menjadi sangat takut, fobia, trauma, hilang jati diri, rendah esteem dan merasakan dunia ini sudah terlalu sempit untuk mereka. Kadang-kadang ketakutan pada si suami menjadi tidak terkawal.. Kesiankan...
Bagi yang tidak melaluinya, jangan lupa bersyukur pada Allah atas kehidupan indah yang dilalui. Jika ada saudara mara kita yang berdepan dengan masalah sebegini, kita mesti menolong mereka, bantu dengan menguatkan jiwa mereka, beri nasihat yang benar dan berusaha membawa mereka berjumpa kaunselor atau peguam untuk memperkasakan jiwa mereka...
Jika anda berdepan dengan penderaan dari suami, bacalah artikel ini..
Jika anda tidak berdepan dengan perkara ini, berusahalah membantu mereka yang tidak bernasib baik...bacalah juga artikel ini...
________________
Jawapanku yang disiarkan dalam Berita Harian pada 3 Julai 08
Suami Zalim
Soalan :
Saya bersuamikan seorang lelaki yang cepat panas baran. Dia kerap memukul, menampar dan menendang saya lebih-lebih lagi jika kami kehabisan wang. Pernah saya cuba untuk melaporkan perbuatannya kepada polis atau mendapat laporan perubatan tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana dihalang oleh suami. Malah tidak ada saksi yang melihat kejadian itu kecuali anak berumur 7 tahun. Selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, dia mengurung saya dalam rumah. Saya seolah-olah terpenjara dalam rumah sendiri. Dia mengurung saya berminggu-minggu hingga kesan luka serta lebam di badan saya hilang. Dia juga pernah mengugut untuk menghalau saya pada suatu malam selepas membogelkan saya. Saya juga pernah mengalami penderitaan seks ketika masih dalam pantang. Apa yang patut saya lakukan.
Isteri mangsa kezaliman
Selangor
Jawapan
Saya sangat bersimpati dengan nasib puan. Apa yang puan lalui adalah satu pengalaman yang menyakitkan dan saya berharap puan bersabar dan berusaha mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelamatkan diri dan membawa kes ke muka pengadilan.
Suami puan telah melakukan tindakan tidak wajar yang berlawanan dengan ajaran Islam. Rasulullah menyatakan bahawa, ‘Sebaik-baik kamu adalah mereka yang baik dengan isterinya. Dan aku adalah yang terbaik di antara kamu’ Ini menunjukkan Rasulullah menyuruh suami berlaku lembut dan melayan isteri dengan baik dan tidak melakukan keganasan terhadap isteri. Baginda sendiri tidak pernah menyakiti isteri-isterinya walau apa alasan yang ada. Semoga Allah memberi petunjuk kepada suami puan untuk berubah dan bertaubat atas dosa dan kesalahan yang dilakukan.
Sebenarnya keganasan rumah tangga sama ada dilakukan suami atau isteri adalah salah satu daripada perlakuan tidak sihat yang berlaku dalam masyarakat. Ini sudah tentu membawa kepada ketidakselesaan dan menggugat kebahagiaan dan keharmonian hidup berkeluarga.
Mengikut kajian juga, kejadian suami mendera isteri, sama ada secara fizikal atau mental sudah lama berlaku dan berterusan hingga hari ini. Statistik menunjukkan keganasan rumah tangga banyak berlaku dan ada sesetengah isteri hanya berdiam diri dan mengalah atas apa yang dilaluinya. Perkara ini wajar diubah bersama.
Hakikatnya, atas tangan isteri untuk mengambil tindakan ke atas keganasan yang dilakukan suami atau membiarkan keganasan itu berterusan tanpa membuat tindakan segera untuk mengelakkan berlakunya keganasan.
Keganasan atau kezaliman suami ke atas isteri seharusnya dihentikan segera dan isteri yang menghadapi keadaan sedemikian perlu berani untuk bertindak bagi menghalang perbuatan tersebut berterusan. Inilah antara perkara besar dalam rangka memperkasakan jiwa wanita yang teruji dengan masalah sebegini.
Puan seharusnya melakukan sesuatu dan mengambil tindakan segera jika mahu menyelamatkan rumah tangga dan memberhentikan tindakan zalim terhadap diri dan anak-anaknya. Pada pandangan saya, apabila kita membiarkan dan menyembunyikan keganasan yang dilakukan suami, ia boleh disifatkan sebagai penyumbang kepada keganasan suami yang pasti melakukan kezaliman lebih besar. Sedangkan Rasulullah memberi nasihat supaya jangan melakukan kemudaratan ke atas orang lain dan jangan membiarkan orang melakukan kemudaratan ke atas kita.
Saya mencadangkan agar puan berusaha mendapatkan bantuan moral dari keluarga terdekat atau pun jiran-jiran yang ada. Kemungkinan dengan campur tangan ibu bapa kedua-dua belah pihak, hubungan rumah tangga puan dapat diperbaiki. Pada masa yang sama, suka saya nasihatkan bahawa walaupun tiada saksi ketika puan dipukul, puan masih boleh mendapatkan bantuan kerana mungkin jiran-jiran mendengar pergaduhan dan melihat kesan lebam yang ada di badan puan. Orang-orang terdekat yang mengetahui hubungan dan layanan buruk dibuat ke atas puan boleh memberi keterangan di Mahkamah sekiranya perlu. Ia akan menguatkan permohonan puan jika di bawa ke mahkamah.
Antara perkara yang puan perlu ambil sekiranya berlaku deraan adalah, bersegera melaporkan penderaan itu kepada polis. Pihak polis akan merekodkan aduan itu dan mereka akan membuat laporan rasmi yang boleh digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah.
Puan juga wajar mendapatkan rawatan dari doktor perubatan, laporan doktor adalah perlu untuk dijadikan bahan bukti (qarinah) di Mahkamah sekiranya perlu. Dalam kes sekiranya puan dikurung dan sebagainya, puan boleh berusaha mendapatkan rawatan sebaik sahaja puan berjaya mencari jalan keluar. Adalah nyata suami puan tidak menaruh belas ihsan kepada puan dan melakukan perkara yang jelas bertentangan dengan agama.
Perlakuan buruk seperti inilah yang sangat kita khuatiri kerana ia boleh memburukkan nama baik agama di kalangan orang luar. Kadang-kadang perlakuan segelintir golongan tersasar ini dijadikan hujah bahawa Islam yang mengajar umatnya melayan isteri dengan keras dan kasar.
Puan boleh merujuk kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor di mana dalam Seksyen 53, ada diperuntukkan dengan jelas bahawa seseorang suami itu disifatkan sebagai melakukan kekejaman dan kezaliman kepada isterinya jika dia lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita berpunca daripada perbuatan aniaya termasuk suami berkawan dengan wanita jahat atau berperangai keji pada pandangan syarak.
Suami juga dianggap kejam jika memaksa isterinya hidup secara lucah dan ia amat bertentangan dengan syarak dan Undang-undang Keluarga Islam. Selain itu, suami kejam dan zalim jika melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu. Malah suami juga dianggap zalim jika menghalang isterinya dari menjalankan kewajipan terhadap agama.
Suami yang mencederakan isterinya seperti memukul, menampar dan menendang adalah melakukan kezaliman dan ia adalah alasan yang kukuh untuk menuntut fasakh. Di samping itu, suami juga boleh diambil tindakan jika dengan sengaja menyebabkan cedera atau dengan sengaja menyebabkan cedera, dengan jalan menggunakan senjata atau lain benda yang berbahaya yang berkaitan dengan peruntukan di bawah Akta Keganasan Rumah tangga dan juga Kanun Keseksaan.
Puan boleh menghubungi mana-mana Peguam Syarie yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat terperinci tentang hak puan. Sekiranya puan tidak bekerja atau mempunyai tahap pendapatan tertentu, puan boleh menggunakan khidmat Peguam Biro Bantuan Guaman (BBG) yang berdekatan dengan tempat puan. Saya doakan puan berjaya mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelamatkan diri dan anak-anak puan.
Jawapan disediakan Puan Nurhidayah Muhd Hashim, Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Layari http://peguamsyarie.blogspot.com
Ahad, 11 Mei 2008
KWSP dan Cerai
Baca ni, jawapan Hak Muslim dijawab oleh Siti, disiarkan dalam slot PGSM pada 8 Mei 08
_____________________
Isteri bercerai putus hak wang KWSP suami
Oleh: Siti Razasah Abd Razak
Soalan:
SAYA bercerai secara fasakh di Perlis. Setahun selepas bercerai, bekas suami meninggal dunia. Kami mempunyai empat anak dan semuanya dipelihara oleh ibu bapa mentua. Arwah meninggalkan tiga rumah semuanya berada di Selangor yang dibeli ketika dalam tempoh perkahwinan, sebuah kereta dan wang di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ibu bapa mentua sudah mendapatkan sijil faraid dan dalam proses pembahagian harta pusaka. Saya menerima sejumlah wang daripada KWSP kerana arwah menamakan saya sebagai penama. Baru-baru ini ibu bapa mentua meminta semua wang KWSP yang saya terima dengan alasan saya tidak berhak menerima wang KWSP. Saya ingin tahu hak saya dan anak terhadap wang KWSP dan harta lain kerana saya tidak sempat menuntut semua itu sebelum arwah meninggal dunia. Jika boleh menuntut, di manakah sewajarnya saya menuntut, sama ada di Perlis atau Selangor?
Bekas Isteri,
Perlis Indera Kayangan
Jawapan:
SEMOGA puan dan anak sentiasa dalam rahmat dan reda Allah melalui hari mendatang. Mengikut fatwa dan amalan semasa, wang simpanan si mati dalam KWSP adalah harta pusaka dan bukannya harta sepencarian. Ia mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Ia jelas melalui Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000 iaitu wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP maka wang itu adalah milik si mati. Oleh itu, wang milik si mati adalah harta pusaka.
Walaupun puan dinamakan sebagai penama untuk mengeluarkan dan menerima wang itu, wang yang diterima hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut faraid. Fatwa Kebangsaan juga memutuskan penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.
Keputusan fatwa juga menetapkan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.
KWSP turut memberikan peringatan kepada penerima seperti berikut: “Bagi ahli yang beragama Islam, penerima waran ini adalah sebagai wasi atau pentadbir dan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mentadbir dan membahagikan simpanan KWSP ahli mengikut undang-undang Islam (faraid).”
Pelantikan penama hanyalah sebagai amalan biasa dalam KWSP mahupun mana-mana institusi kewangan seperti Tabung Haji dan bank. Majlis Raja-Raja kali ke-96 pada September 1973 memberikan pendapat yang dikeluarkan sebagai fatwa seperti berikut: “Penama KWSP, Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.”
Persoalan sama ada penama berhak kepada harta atau wang simpanan menurut hukum syarak atau sebaliknya dan sama ada harta atau wang simpanan itu dianggap sebagai harta pusaka si mati atau tidak timbul dalam kes Re Ismail bin Rentah (si mati) (1939) FMSLR 230.
Dalam kes itu si mati menjadi ahli Syarikat Koperatif Pegawai Melayu, perkhidmatan awam dan menamakan anak perempuannya sebagai penama untuk menerima saham dan faedahnya dalam syarikat itu apabila beliau meninggal dunia. Ketika kematiannya, si mati meninggalkan waris iaitu balu, ibu, anak perempuan, saudara lelaki dan saudara perempuan.
Penolong Pendaftar memerintahkan saham dan faedah si mati daripada syarikat dibahagikan kepada waris dan bukan hanya kepada penama seorang. Penama membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dan diperintahkan bahawa rayuan ditolak.
Yang Arif Hakim Raja Musa dalam keputusannya memutuskan: “Dalam pendapat saya, surat penama dalam kes ini tidak boleh dianggap sebagai hibah masa hidup oleh kerana tidak ada pindah milik kepada orang yang menerima. Sebaiknya dia boleh dianggap sebagai hibah dalam masa mard al mawt, akan tetapi hibah dalam masa sedemikian dianggap sebagai tertakluk kepada undang-undang wasiat. Oleh kerana itu mengikut undang-undang Islam, jumlah itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris.”
Walaupun puan dilantik sebagai penama KWSP tetapi puan tidak termasuk sebagai waris pusaka si mati untuk mewarisi wang KWSP kerana pertalian di antara puan dengannya sebagai waris pusaka sudah terputus disebabkan perceraian antara puan dengannya sebelum arwah meninggal dunia.
Namun, terpulanglah kepada peguam puan untuk berhujah menyatakan puan masih berhak ke atas 1/3 wang KWSP menggunakan undang-undang wasiat atau hibah semasa mard al-mawt seperti dinyatakan kes di atas. Bagaimanapun, puan masih berhak untuk menuntut harta sepencarian terhadap rumah dan kereta arwah.
Ia kerana tiada had masa untuk seseorang menuntut harta sepencarian selepas perceraian. Arahan Amalan No 5 tahun 2003 bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan masa membuat tuntutan harta sepencarian dibolehkan sama ada semasa tuntutan perceraian atau selepas perceraian atau selepas kematian mana-mana pihak.
Oleh itu, puan masih boleh menuntut harta sepencarian terhadap rumah dan kereta arwah dengan membuktikan sumbangan puan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pemerolehan harta berkenaan.
Berkaitan di mana puan perlu memfailkan kes tuntutan harta sepencarian, walaupun ia masih dipertikaikan oleh khalayak namun menurut Arahan Amalan No 6 tahun 2003, penentuan mahkamah yang berbidang kuasa membicarakan kes harta sepencarian adalah mahkamah di mana perintah perceraian atau pengesahan perceraian dikeluarkan. Jika perintah perceraian fasakh puan dikeluarkan oleh mahkamah di Perlis, maka puan perlu memfailkan tuntutan itu di Perlis walaupun harta semuanya berada di Selangor.
Berkaitan hak anak puan, mereka adalah waris yang sah dan berhak menerima pusaka arwah selepas hutang dan harta sepencarian ditolak daripada pusaka arwah. Berbincanglah dengan mentua untuk menyelesaikan kes tuntutan harta sepencarian dan faraid secara baik.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Layari http://peguamsyarie.blogspot.
Khamis, 1 Mei 2008
Hutang Dengan Suami
Baca artikel bawah ni.. Bagi isteri-isteri, kalau banyak sangat keluar duit untuk pasangan macam isteri bagi hutang pada suami atau sebaliknya, buat surat sign dua-dua orang, biar ada hitam putih dan senang nak tuntut jika bercerai.. Ingat beringat sebelum hujan, adalah suatu tindakan orang yang bijak..
Artikel ini dijawab oleh Mr Presiden dan aku yang edit..
Disiarkan dalam Berita Harian hari ini.. 1 Mei 08
_________________
Hak Muslim:
Mahkamah Syariah boleh dengar kes tuntutan hutang
Soalan:
SAYA seorang guru, sudah berkahwin selama 10 tahun dan mempunyai tiga anak. Saya bercerai akhir 2007. Sepanjang perkahwinan, saya banyak berkorban untuk keluarga, memberikan dua pertiga gaji untuk urusan keluarga seperti membayar sekolah anak, duit belanja dan barang dapur. Ketika itu saya tidak kisah kerana fikirkan suami isteri mesti bekerjasama untuk keluarga. Saya juga selalu memberi duit kepada suami kerana katanya dia tiada duit untuk belanja. Semua jumlah kecil itu saya tidak ingat jumlahnya. Tetapi saya pernah memberi RM20,000 kepada suami sebagai hutang ketika kami belum bercerai. Tujuan beliau meminjam wang itu untuk digunakan sebagai tambahan modal perniagaannya. Ada perjanjian ditandatangani antara saya dan bekas suami menyatakan hal-ehwal hutang itu. Sekarang kami sudah bercerai dan perniagaan bekas suami nampaknya maju kerana beberapa kali menukar kereta. Persoalannya adakah saya boleh memfailkan tuntutan hutang ini di Mahkamah Syariah. Saya juga mempunyai tuntutan lain yang difailkan di Mahkamah Syariah seperti mutaah dan harta sepencarian yang akan diberi keputusannya tidak berapa lama lagi. Oleh kerana hutang itu sudah lama dan tidak pernah dibayar oleh bekas suami, adakah saya dihalang daripada menuntutnya sekarang.
Isteri Malang,
Klang.
Jawapan:
Puan perlu bersabar dan kuatkan hati menerima dugaan. Puan bukan seorang yang malang kerana apa saja takdir Ilahi mempunyai hikmah di sebaliknya. Kita terima dengan hati terbuka dan positif. Insya Allah masa depan puan akan lebih cemerlang.
Berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah, Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menjelaskan bahawa dalam kes mal, Mahkamah Syariah berbidang kuasa mendengar serta memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan itu adalah orang Islam, tindakan itu berhubungan dengan:
Pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz atau perkara pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara berkaitan perhubungan suami isteri;
Apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara dinyatakan di atas;
Nafkah orang tanggungan, kesahatarafan atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak;
Pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
Wasiat atau alang ketika nazak (marad al maut);
Alang ketika hidup atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang Islam;
Wakaf atau nazar;
Pembahagian dan perwarisan harta berwasiat atau tidak berwasiat;
Penentuan orang berhak kepada bahagian harta pusaka si mati yang beragama Islam atau bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
Pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;
Pengisytiharan bahawa seseorang itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya;
Pentadbiran masjid;
Perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Walaupun tiada peruntukan khusus berhubung dengan hutang piutang antara suami isteri, apa-apa pelupusan atau tuntutan harta berbangkit daripada pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan, nusyuz atau pemisahan kehakiman termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti diperuntukkan dalam seksyen 61 di atas.
Hutang bekas suami kepada puan tentunya berbangkit daripada perkahwinan antara puan dengannya. Dalam perkataan lain, jika puan tidak berkahwin dengan bekas suami, tentulah hal ehwal hutang piutang ini tidak berlaku. Oleh itu, Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan tuntutan puan.
Dalam kes Moriazi Mohamad lawan Ajmawati Attan, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa membicarakan tuntutan hutang piutang, walaupun di sana tiada peruntukan khusus mengenainya. Tuntutan hutang piutang itu terbit daripada perkahwinan mereka, disebabkan mereka berkahwin, maka berlakulah transaksi antara mereka termasuk berniaga dan pinjam meminjam modal dan sebagainya, hatta kepada hutang piutang.
Oleh kerana peruntukan khusus tidak wujud dalam mana-mana undang-undang bertulis, maka dalam hal ini, Mahkamah Syariah boleh menggunakan peruntukan hukum syarak. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003 menjelaskan dalam seksyen 245(2) bahawa jika wujud lacuna (lompang) atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh enakmen ini, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak.
Oleh demikian, berdasarkan peruntukan undang-undang yang disebut di atas dan kes Mahkamah Rayuan Syariah Selangor yang diputuskan itu, puan boleh menuntut hutang dibuat suami di Mahkamah Syariah dan bukan di Mahkamah Sivil.
Puan dinasihatkan mengemukakan saksi, bukti dokumen dan sebagainya bagi menyokong keterangan ketika membuat ganti rugi. Beban untuk membuktikan bahawa suami berhutang terletak pada bahu puan. Berhubung had masa pula, berbeza tuntutan hutang di Mahkamah Sivil yang hanya boleh dibuat dalam tempoh enam tahun daripada tarikh keingkaran, di Mahkamah Syariah dan dalam hukum syarak tidak memperuntukkan masa seperti itu.
Ini bermakna tiada had masa bagi tuntutan di Mahkamah Syariah. Perkara itu walaupun sudah lama berlalu, puan masih lagi boleh membuat tuntutan itu di Mahkamah Syariah. Tuntutan hutang juga tidak akan memprejudiskan tuntutan lain yang puan failkan terhadap bekas suami seperti mutaah dan harta sepencarian.
Tuntutan itu adalah berasingan dan memerlukan pembuktian berlainan. Tuntutan itu adalah hak puan yang dinyatakan dalam hukum syarak dan dikanunkan sebagai undang-undang. Oleh itu, puan tidak perlu risau berhubung perkara berkenaan. Mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan tuntutan dan pembuktian dikemukakan di mahkamah.
Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Layari http://peguamsyarie.blogspot.com
Khamis, 10 April 2008
Nak daftar Nikah Lagi?
Hak Muslim:
Oleh: Siti Razasah Abd Razak
Soalan:
MERUJUK artikel Hak Muslim mengenai isteri kedua yang menghadapi masalah daftar kelahiran, saya juga melalui pengalaman sama. Saya bernikah dengan suami di Gopeng, Perak, berwalikan bapa saya. Selepas kelahiran anak, kami ingin mendaftarkan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara dan terkejut mendapati sijil nikah kami tidak sah. Kami merujuk perkara itu ke Pejabat Agama Islam Selangor, daerah tempat tinggal pada April 2007. Selepas disoal siasat Bahagian Undang-undang dan Pegawai Penguatkuasa, didapati perkahwinan kami sah mengikut hukum syarak. Cuma, kami masih menunggu dipanggil Mahkamah Syariah daerah untuk penalti kesalahan berkahwin poligami tanpa kebenaran dan jurunikah itu sudah tamat tempoh lesen juru nikahnya. Selepas membaca artikel itu, saya terkilan dengan pejabat agama kerana hingga kini masalah kami masih tidak dapat diselesaikan dan masih menunggu dipanggil pihak mahkamah. Sudah berkali-kali kami bertanyakan kelewatan yang bagaikan tidak diterima akal. Kenapa tiada seorang pun pegawai pejabat agama memberitahu kami untuk meminta pengakuan pihak mahkamah terlebih dulu tanpa menunggu selesainya keputusan penalti berkenaan. Saya berharap pihak tuan dapat memberitahu cara membuat permohonan pengakuan mahkamah. Adakah saya masih perlu pergi ke Pejabat Agama Islam Selangor untuk permohonan atau terus ke Mahkamah Syariah.
Isteri kedua,
Kuang, Selangor.
Jawapan:
TERIMA kasih atas maklum balas puan terhadap artikel berkenaan. Jika puan teliti semula, artikel itu ada dinyatakan mengenai prosedur pengesahan dan pendaftaran pernikahan adalah berbeza menurut negeri.
Isu berkaitan agama Islam adalah di bawah Akta/Enakmen Pentadbiran negeri termasuk prosedur pengesahan dan pendaftaran pernikahan. Artikel itu merujuk kepada persoalan permohonan pengesahan dan pendaftaran nikah di Wilayah Persekutuan. Prosedur yang puan nyatakan dan lalui adalah prosedur diguna pakai di Selangor pada masa ini dan ia berbeza dengan prosedur di Wilayah Persekutuan. Bahagian Pendaftaran Nikah, Cerai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam daerah tempat tinggal puan adalah rujukan pertama berkaitan pengesahan pernikahan. Di bahagian itu, puan, suami, wali dan saksi pernikahan akan disoal siasat Pendaftar Nikah berkaitan rukun nikah.
Kemudian, bahagian itu akan mengeluarkan laporan sama ada pernikahan puan sah atau tidak. Ia berbeza di Wilayah Persekutuan kerana setiap pernikahan mesti disahkan oleh Hakim Syarie melalui perbicaraan di Mahkamah Syariah. Di Selangor, apabila laporan dikeluarkan menyatakan pernikahan puan adalah sah, kes puan akan dipanjangkan ke Bahagian Penguatkuasaan Syariah di jabatan agama Islam daerah yang sama dengan Bahagian Pendaftaran Nikah, Cerai dan Rujuk tadi.
Bahagian Penguatkuasaan Syariah biasanya sekali lagi akan menyoalsiasat serta mengambil segala keterangan dan dokumen berkaitan pernikahan. Selepas itu, Bahagian Penguatkuasaan Syariah akan menyediakan kertas siasatan dan laporan siasatan untuk dipanjangkan ke Bahagian Pendakwaan Syariah. Bahagian Pendakwaan Syariah jabatan agama Islam daerah sama akan menyediakan kertas pertuduhan untuk mendakwa pihak pernikahan itu mengikut kesalahan jenayah syariah. Dalam kes puan, kesalahan berpoligami tanpa kebenaran dan bernikah menggunakan jurunikah sudah tamat lesen.
Melalui kertas pertuduhan, barulah Bahagian Pendakwaan Syariah melalui Ketua Pendakwa Syarienya memfailkan kertas pertuduhan ke Mahkamah Syariah untuk mendakwa suami dan isteri yang dikenali sebagai orang kena tuduh. Apabila Bahagian Pendakwaan Syariah sudah memfailkan kertas pertuduhan di Mahkamah Syariah, pada hari sama, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan saman untuk memanggil pihak hadir ke Mahkamah Syariah biasanya dalam tempoh sebulan daripada tarikh kertas pertuduhan difailkan.
Oleh itu, Mahkamah Syariah tidak akan mengeluarkan saman atau memanggil mana-mana pihak ke Mahkamah Syariah sehinggalah kertas pertuduhan difailkan oleh Bahagian Pendakwaan Syariah. Amalan di Selangor pada masa kini, pihak perlu disabitkan dengan kes jenayah syariah terlebih dulu selepas laporan pengesahan pernikahan dikeluarkan Pendaftar Nikah. Selepas sama ada pihak dikenakan penalti/denda, penjara atau kedua-duanya sekali, barulah pihak boleh membuat permohonan pendaftaran pernikahan di Mahkamah Syariah, bukannya permohonan pengesahan pernikahan kerana pernikahan itu sudah disahkan melalui laporan Pendaftar Nikah.
Walaupun ada pendapat menyatakan hanya Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa untuk mensabitkan sama ada sesuatu pernikahan sah atau tidak selepas mendengar keterangan pihak serta saksi dan dokumen yang menyokong pernikahan itu. Berkaitan permasalahan puan, adalah dinasihatkan supaya berhubung semula dengan pihak berkenaan iaitu Bahagian Pendakwaan Syariah di jabatan agama Islam tempat puan mendapat laporan pengesahan pernikahan.
Jika masih tidak berpuas hati, puan boleh merujuk kepada Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Negeri Selangor sama ada kertas pertuduhan terhadap puan sudah difailkan ke Mahkamah Syariah.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo. com. Layari http://peguamsyarie. blogspot.com
Khamis, 20 Mac 2008
Pesanan Untuk Suami
Bakal suami perlu persediaan minda, fizikal
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim
Soalan

SAYA seorang lelaki yang tidak konsisten mengerjakan sembahyang. Kadang-kadang saya terlalu sibuk dengan kerja atau tersangat letih, saya akan tinggalkan solat begitu saja. Kadang-kadang saya berasa bersalah, tetapi ia selalu terjadi. Saya ada juga keluar berhibur di Hard Rock Cafe dengan tunang dan kawan-kawan. Dalam masa lima bulan lagi, saya akan berkahwin, tetapi beberapa minggu ini saya selalu terfikir mengenai perkahwinan saya nanti. Saya khuatir tidak dapat memimpin keluarga dengan baik selepas perkahwinan. Persoalan yang selalu bermain di fikiran ialah bagaimana keperibadian suami yang patut ditonjolkan kepada isteri. Tambahan pula pengetahuan agama saya agak kurang. Harap tuan dapat memberi nasihat.
Bakal Suami,
Kuala Lumpur.
Jawapan
Terlebih dulu saya ucapkan tahniah kerana saudara sendiri yang ingin berubah dan memikirkan tentang kekhuatiran yang bakal terjadi. Sebagai Muslim, hakikat yang tidak mampu kita tolak adalah kita mesti menyerah diri kepada Allah dan berusaha sedaya upaya mengikut perintah-Nya.
Namun begitu, ada juga di kalangan orang Islam yang suka mengabaikan perintah Allah, meninggalkan solat sesuka hati, tidak memegang amanah, suka minum arak, berzina dan sebagainya. Pada masa sama, tidak ramai orang yang hatinya bercahaya dan berasa bersalah apabila mengabaikan perintah-Nya. Semoga kita semua dibimbing dan diberi petunjuk oleh Allah.
Saudara akan berkahwin tidak lama lagi. Oleh sebab saudara tidak menyebut mengenai bakal isteri, kami andaikan saudara mungkin akan berkahwin dengan wanita yang saudara sukai atas dasar suka sama suka.
Jika ianya benar, bakal isteri saudara sudah tentu telah mengenali kehidupan saudara sebelum ini dan dia mungkin sudah menerima keadaan saudara seperti sekarang ini. Justeru, apabila saudara ingin berubah, maka dia juga perlu saudara bawa bersama dalam perubahan itu.
Bahtera perkahwinan selalu diuji dengan ujian yang pelbagai. Ada yang ketika bercinta seumpama pasangan kekasih hebat, serasi dalam semua perkara tetapi apabila berkahwin, lain pula yang berlaku. Kerana itu orang tua-tua berpesan, warna diri kita atau siapa sebenarnya kita akan terzahir hanya selepas perkahwinan.
Adalah penting bagi saudara mempunyai iman dan ketundukan yang kuat kepada Ilahi bagi memimpin keluarga kelak. Sebagai suami, saudara menjadi ketua keluarga dan diamanahkan Allah untuk memimpin isteri serta mencorakkan perjalanan keluarga. Peranan itu amat besar dan memerlukan persediaan minda, fizikal di samping kewangan yang baik untuk menjayakan urusan nafkah kepada ahli keluarga.
Saudara harus tingkatkan ilmu agama supaya dapat menghayati prinsip agama, solat jangan sama sekali diabaikan kerana ia perisai iman kita. Pelajari halal haram serta peka terhadap keperluan mempunyai ilmu agama.
Imam Syafei pernah menyebut, "Seorang yang tidak mempunyai sesuatu tidak akan mampu memberi sesuatu." Ini bermaksud, jika saudara tidak ada ilmu agama, tidak kuat menjaga halal haram, tidak patuh urusan solat dan rukun Islam, bagaimana saudara dapat memberi tunjuk ajar kepada orang lain sama ada isteri, anak dan keluarga. Sama seperti orang yang tidak tahu membaca al-Quran, bagaimana dia mampu mengajarkan anaknya membaca al-Quran? Untuk mampu memberi sesuatu, kita mesti mempunyainya terlebih dulu.
Kami sarankan saudara berusaha menyusun jadual harian supaya ada masa diperuntukkan untuk mempelajari agama. Selalulah ke masjid, solat jemaah dan mempelajari ilmu agama di sana, bertanya kepada yang fasih serta membaca buku agama yang bertepatan. Saudara juga mungkin boleh menambah ilmu secara formal seperti menghadiri kelas setiap hujung minggu untuk mendapat Sijil Agama sama ada Syariah dan Usuluddin daripada mana-mana pusat pengajian ilmu diadakan di sekitar saudara seperti di Universiti Malaya dan sebagainya.
Saudara harus memiliki hati lembut dan peka akan perasaan isteri. Berusaha meringankan beban isteri dan pandai memujuk tatkala beliau berduka. Saudara juga perlu menjaga keharmonian rumah tangga dan menjaga rahsia suami isteri. Rahsia tidak seharusnya disebarkan kepada pihak ketiga sama ada di kalangan rakan taulan ataupun saudara mara terdekat. Jika kedua belah pihak pandai menjaga rahsia rumah tangga, maka akan muncullah perasaan saling percaya mempercayai antara suami dan isteri.
Saudara wajar menjelaskan kepada bakal isteri mengenai hasrat membina rumah tangga yang baik supaya dia juga turut terbabit ke arah kebaikan dan tidak terkejut selepas berkahwin nanti. Katakanlah dia juga tidak begitu kukuh amalan solatnya, memakai pakaian tidak menutup aurat, sukakan tempat hiburan dan sebagainya, mungkin dia menolak jika selepas berkahwin saudara mendesaknya untuk berubah secara mendadak.
Dalam membina rumah tangga bahagia, rahmat Allah adalah prasyaratnya. Maka, saudara mesti membimbing isteri bersama-sama kerana Allah menyayangi pasangan yang saling bantu-membantu untuk meningkatkan hubungan dengan Allah serta patuh kepada ajaran Rasul-Nya.
Selain itu, saudara juga hendaklah memuliakan keluarga kedua-dua belah pihak. Layan keduanya dengan adil dan terhormat. Jika saudara melawat ibu bapa sendiri, maka saudara juga mesti melawat ibu bapa sebelah isteri. Jika saudara memberi wang setiap bulan kepada ibu bapa sendiri, maka berilah juga kepada ibu bapa mentua. Islam mengajar kita untuk menjaga kebajikan dan meraikan semua pihak kerana ia akan mengeratkan tali persaudaraan. Dengan memuliakan keluarga isteri akan terciptalah ikatan atau jalinan kemesraan yang kukuh.
Jika berlaku perselisihan dan masalah selepas berkahwin, saudara mesti meletakkan perkataan talak jauh-jauh. Jangan begitu mudah mengucapkan lafaz cerai kerana ia akan memberi kesan kepada hubungan suami isteri walaupun ia dilakukan dalam keadaan marah ataupun bergurau.
Dalam membuat keputusan, saudara amalkan kaedah berbincang atau 'bermusyawarah' dengan isteri. Ini sangat penting supaya perkembangan urusan keluarga diketahui bersama termasuklah urusan kewangan, pembelian harta, pembayaran bil, pemberian wang kepada ibu bapa, tatacara mendidik anak dan jadual keluarga.
Dengan selalu berbincang, isteri akan berasa dirinya serta pendapatnya dihargai. Berilah pertimbangan sewajarnya terhadap setiap cadangan diberikan oleh isteri anda dan jangan bersifat mementingkan diri sendiri. Semoga anda berjaya menjadi suami yang baik dan mendapat rumah tangga yang diberkati.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Semua persoalan boleh dikirim ke excopgsm@yahoo.com dan boleh layari http://peguamsyarie.blogspot.com
Jumaat, 14 Mac 2008
Nak Daftar Nikah?
____________
Hak Muslim:
Suami mahu tahu prosedur sahkan nikah sindiket
Soalan
SAYA tertarik dengan isu kepentingan pengesahan nikah yang dipaparkan dua minggu lalu. Di sini saya ada soalan lanjut berkaitan pengesahan nikah di mana, adakah pernikahan sindiket juga perlu disahkan? Jika pernikahan sindiket atau tanpa kebenaran pihak agama di Malaysia yang dilakukan di luar negara perlu disahkan, apakah prosedur yang perlu diikuti untuk mengesahkannya? Bilakah sijil kelahiran anak hasil pernikahan itu boleh didaftarkan?
Suami Insaf,
Kuala Lumpur
Jawapan
Terima kasih atas tindak balas saudara untuk bertanya lebih lanjut berkaitan isu pengesahan nikah. Untuk maklumat, sama ada pernikahan itu dilakukan dalam mahupun di luar negara, jika tidak mendapat kebenaran Pendaftar Nikah tempat bermastautin, pernikahan yang dilangsungkan perlu disahkan dan didaftarkan di Malaysia. Begitu juga nikah sindiket yang dilakukan di Malaysia, perlu disahkan dan didaftarkan.
Prosedur bagi permohonan pengesahan dan pendaftaran pernikahan tanpa kebenaran Pendaftar Nikah adalah berbeza antara negeri bergantung kepada enakmen pentadbiran dan undang-undang keluarga Islam negeri masing-masing.
Bagi saudara yang tinggal di Kuala Lumpur, permohonan untuk mengesahkan pernikahan perlu dimulakan dengan Notis Permohonan dan Afidavit yang menyokong permohonan itu. Bersama permohonan itu perlu dilampirkan salinan kad pengenalan kedua-dua pihak yang bernikah, salinan sijil nikah di mana tempat pernikahan dijalankan serta salinan surat pengesahan daripada Pendaftar Nikah negeri yang mengeluarkan sijil nikah itu untuk mengesahkan mengikut rekod mereka.
Jika tiada sebarang catatan bagi sijil nikah itu, pihak Pendaftar Nikah negeri akan mengeluarkan laporan menyatakan bahawa pernikahan itu tiada dalam rekod pendaftaran pernikahan dan sijil nikah itu adalah palsu.
Contohnya, pasangan yang bernikah di Perak dan mendapat sijil nikah kononnya dimeterai Pendaftar Nikah di Perak tetapi apabila diajukan berkaitan status sijil nikah mereka, didapati sijil nikah itu palsu dan pernikahan mereka tidak pernah didaftarkan di negeri berkenaan. Jika pernikahan dijalankan di luar negara seperti di Thailand, surat pengesahan daripada Konsulat Malaysia di wilayah Thailand hendaklah diperoleh terlebih dulu dan dilampirkan bersama dalam permohonan.
Kebiasaannya, Konsulat Malaysia di wilayah di mana sijil nikah Thailand dikeluarkan mensyaratkan setiap pasangan hendaklah menyerahkan kepada pihak Konsulat Malaysia salinan dokumen yang diakui sah oleh peguam bela dan peguam cara di Malaysia seperti salinan kad pengenalan pihak yang bernikah, sijil nikah wilayah Thailand, salinan pasport perjalanan jika ada serta menyertakan sejumlah bayaran pemprosesan bagi mendapatkan surat pengesahan sijil nikah daripada Majlis Agama Islam wilayah berkenaan.
Apabila semua dokumen lengkap, pihak yang memohon digalakkan menyertakan senarai butir peribadi saksi yang perlu disapina ke mahkamah untuk perbicaraan kes pengesahan nikah.
Saksi hendaklah terdiri daripada mereka yang turut serta pada majlis akad nikah pasangan atau mereka yang yakin dan percaya pernikahan sudah dilangsungkan antara pasangan itu. Gambar pernikahan dan pasport yang menunjukkan mereka pergi ke luar negara untuk melangsungkan pernikahan juga boleh disertakan dalam permohonan.
Permohonan itu hendaklah didaftarkan di Mahkamah Syariah iaitu tempat salah satu pihak bermastautin. Dalam tempoh 21 hari daripada tarikh pendaftaran kes, pihak-pihak akan diberikan tarikh sebutan kes kali pertama ataupun terus kepada perbicaraan, bergantung kesesuaian masa dan juga dokumen yang difailkan.
Ketika perbicaraan, pihak-pihak dan saksi akan disoal perkara berkaitan rukun nikah serta lain-lain pengesahan dokumen yang dilampirkan. Oleh itu, salinan asal semua dokumen berkaitan hendaklah dibawa ketika ke mahkamah. Jika mahkamah berpuas hati dengan segala keterangan lisan dan keterangan dokumen selaras hukum syarak yang mengesahkan pernikahan itu, mahkamah boleh memutuskan pernikahan adalah sah menurut hukum syarak dan hendaklah didaftarkan di Bahagian Pendaftaran Nikah Cerai Rujuk tempat pihak bermastautin.
Jika sebaliknya, mahkamah akan memutuskan pernikahan itu sama ada fasik atau tidak sah dan pihak-pihak boleh diperintahkan supaya menfarakkan atau memutuskan pernikahan itu. Mereka perlu bernikah semula menurut hukum syarak dan mematuhi rukun nikah ditetapkan. Bagi pernikahan disahkan mahkamah, selepas mendapat perintah perlu merujuk ke Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah di pejabat agama kerana pihak Penguatkuasaan Syariah akan menyoal siasat mereka sekali lagi dan memanjangkan kes ke bahagian Pendakwaan Syariah.
Mereka akan didakwa di bawah kesalahan nikah tanpa kebenaran pihak berkuasa. Ini perlu dilakukan demi memastikan kes jenayah syariah atas kesalahan pernikahan tanpa kebenaran pasangan didengar cepat di Mahkamah Syariah. Apabila kes jenayah syariah selesai diputuskan iaitu sama ada pasangan dikenakan denda atau penjara atau kedua-duanya sekali, barulah pernikahan boleh didaftarkan dengan menyerahkan salinan resit bayaran denda ke Bahagian Pendaftaran Nikah, Majlis Agama Islam tempat pasangan bermastautin.
Selepas denda dijelaskan barulah sijil nikah Malaysia dikeluarkan dan pasangan boleh mendaftarkan sijil kelahiran anak hasil daripada pernikahan itu di Jabatan Pendaftaran Negara. Isu mengatakan setiap pasangan dan saksi yakin pernikahan itu adalah sah dan memadai sijil nikah tempat di mana pernikahan itu dijalankan dimajukan ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mempercepatkan proses sijil kelahiran anak adalah tidak wajar disalah tafsirkan kerana hanya Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa menentukan sah pernikahan dan taraf anak.
Segala tatacara perlu diikuti semua pasangan demi menjamin kredibiliti Undang-undang Syariah Malaysia serta memartabatkan sistem perundangan syariah sedia ada supaya dihormati semua pihak. Jika setiap pihak memfailkan permohonan dengan segera dan disertakan segala dokumen yang perlu, ia tidak akan melambatkan proses mahkamah. Sesungguhnya meletakkan sesuatu isu itu pada tempat sewajarnya untuk didengar dan diputuskan.
Jawapan disediakan Exco Koordinasi dan Modul Dakwah Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Siti Razasah Abd Razak.
Cetak artikel Hantar
Rabu, 12 Mac 2008
Suami Ada Hubungan Luar
Suami ada Hubungan Luar
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Soalan
Saya ingin bertanya pihak tuan mengenai masalah yang dialami oleh adik perempuan saya. Beliau telah berkahwin selama 5 tahun bersama seorang anggota beruniform. Semenjak tahun lepas, beliau selalu mengadu kepada saya bahawa suaminya mempunyai hubungan luar dan mereka selalu bergaduh. Katanya apabila dia bertanyakan apa-apa soalan mengenai perempuan tersebut, suaminya akan memarahinya, memanggilnya dengan panggilan kasar seperti perempuan tak sedar diri, perempuan pelacur dan sebagainya. Ada juga mereka bergaduh sehingga pukul memukul. Minggu lepas saya telah membawa adik saya ke klinik kerana adik saya telah dipukul dengan teruk dan ditampar di pipi sehingga lebam. Saya sangat kasihankan adik saya tetapi tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Apatah lagi adik saya sangat risau jika ibu bapa mengetahui rumah tangganya bermasalah kerana mereka berkahwin dulu atas dasar suka sama suka. Apakah yang boleh saya lakukan?
Kak Long
Selangor
Jawapan
Puan telah menunjukkan sikap prihatin yang sangat baik terhadap adik yang bermasalah tersebut. Adik puan juga wajar bersyukur dan berterima kasih kerana mempunyai tempat untuk mengadu seperti puan.
Adik puan berdepan dengan pelbagai masalah yang bermula dengan isu hubungan luar dengan perempuan lain. Permasalahan dan pergaduhan serta pukul memukul tersebut adalah rentetan yang berlaku sebagai kesinambungan perselisihan atas isu tersebut.
Perkahwinan memang selalu diselang seli dengan perselisihan tetapi apabila melibatkan pergaduhan besar seperti maki hamun, menggunakan perkataan menghina yang tidak sepatutnya, apatah lagi pukul memukul, maka ia bukan perkara biasa lagi.
Suami adik tersebut telah melakukan tindakan yang tidak wajar dan berlawanan dengan prinsip peranan, tanggungjawab dan penunaian hak di antara suami isteri. Saya menasihatkan agar puan selaku kakak memberi bantuan moral di samping sokongan lain sebagai orang terdekat supaya adik puan mampu untuk berusaha menyelesaikan masalahnya dengan baik.
Sekiranya puan berpendapat bahawa adik ipar puan boleh dibawa berbincang, kami sarankan puan mengambil peranan tersebut. Kemungkinan ada perubahan yang boleh berlaku, Nasihati dengan baik, ingatkan dia dosa yang dilakukan dan kedudukan adik puan sebagai isterinya yang sah. Puan boleh mengingatkannya bahawa perkahwinan adalah hubungan kasih sayang atau mawaddah dan rahmah.
Sekiranya tujuan perkahwinan sudah tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat kepada pihak sama ada isteri atau suami, maka pada ketika itu, kemungkinan perceraian adalah jalan terakhir yang wajar disarankan.
Oleh kerana adik puan dan suaminya selalu bergaduh, pukul memukul apabila isu hubungan luar ditimbulkan, bahkan membawa kepada maki hamun dengan perkataan tidak bai, sudah tentu sebarang usaha untuk menasihati suaminya jika dilakukan oleh adik puan secara sendiri akan berakhir dengan pergaduhan juga. Sekiranya puan sebagai kakak tidak mampu menasihati suami tersebut, puan boleh mencadangkan kepada adik tadi supaya berusaha meminta bantuan dari pihak ketiga seperti kenalan rapat suami, keluarga suami, pakar kaunseling di tempatnya bekerja atau sesiapa saja yang suami hormati.
Ibu bapa puan sewajarnya mengetahui masalah ini kerana mungkin mereka boleh menolong mengatasinya dengan lebih baik. Bagaimanapun, adik puan perlu berhati-hati memilih perantara supaya ia tidak akan diperbesar dan menimbulkan kekecohan. Perantara itu mestilah orang yang boleh dipercayai dan tidak menghebohkan perkara ini kepada orang lain. Perantara ini juga perlu tahu peranan yang hendak dimainkan dan boleh memberikan nasihat kepada suami secara berkesan.
Carilah perantara yang sesuai bagi membantu menyelamatkan rumah tangga. Apa yang penting adik puan sendiri tidak boleh duduk menangisi apa yang berlaku tanpa sebarang usaha untuk membaikinya kerana Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita tidak berusaha membaikinya.Sekiranya segala daya usaha telah dijalankan, tetapi keadaan masih tidak berubah atau menjadi lebih negatif dan membawa mudarat yang lebih besar, maka kami cadangkan agar adik puan memikirkan kebajikan dirinya dan anak-anak jika terus bertahan dalam rumah tangga sebegini.
Adik puan wajar mendapatkan nasihat undang-undang dari mana-mana orang yang berkeahlian seperti Peguam Syarie berdekatan dan sebagainya. Apabila beliau selalu dipukul, ditampar dan dihina dengan panggilan tidak munasabah seperti dinyatakan, maka ia adalah alasan yang diterima Syara’ untuk perkahwinan tersebut dipisahkan. Puan boleh merujuk kepada Seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 di mana alasan-alasan tersebut diterima sebagai dasar untuk memohon fasakh.
Sekiranya adik puan masih ingin bertahan dalam rumah tangga tersebut, maka mungkin ada beberapa cadangan lain yang boleh difikirkan olehnya. Contohnya jika suami layak dan berkemampuan serta boleh berlaku adil, mungkin adik puan mungkin boleh menyarankan suaminya berkahwin lain dengan syarat tertentu seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam.
Selepas berusaha, berserah dan berdoalah kepada Allah. Ajaklah adik puan untuk selalu mendekatkan diri dengan Allah dan berdoalah kepada-Nya bagi membuka hati suami dan menanam benih kesedaran di dalam jiwa suami untuk berubah. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi olehnya saja.
Kami menasihati adik puan dan mana-mana perempuan lain supaya mengambil tahu dan mempunyai ilmu tentang hak masing-masing di sisi undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan terpelihara. Sekiranya keadaan men jadi lebih berbahaya dan adik puan berasa khuatir keselamatannya akan terancam, beliau boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk mendapat perintah tegahan bagi menghalang suami daripada mengganggu, memukul atau mencederakannya.
Kami juga menasihati beliau supaya membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan dan laporan perubatan apabila keadaan memerlukan. Ia mungkin berguna sebagai bahan bukti untuk dikemukakan kepada mahkamah di kemudian hari.
Kesimpulannya, sekiranya matlamat perkahwinan itu tidak dapat dicapai selepas segala usaha dilakukan dan keselamatan terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah, namun, berusahalah sedaya upaya terlebih dulu untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat. Semoga masalah beliau dapat diatasi dengan baik.
Jawapan disediakan oleh Nurhidayah Muhd Hashim, Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semua persoalan boleh dikirim ke excopgsm@yahoo.com dan boleh layari http://peguamsyarie.blogspot.com
Khamis, 28 Februari 2008
Daftar Anak Kahwin di Thailand
________________________
Hak Muslim: Isteri kedua hadapi masalah daftar kelahiran
excopgsm@yahoo.com
Soalan:
SAYA berkahwin dengan suami di Narathiwat, Thailand, sebagai isteri kedua. Saya diwalikan abang sendiri. Masalahnya, kini kami tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tidak mempunyai sijil nikah. Kami diarahkan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan Perintah Pengesahan Nikah di Mahkamah Syariah, tetapi kami dapati prosesnya rumit dan lama. Bagaimanakah status perkahwinan? Apakah yang perlu kami lakukan untuk mendapatkan sijil kelahiran anak dengan kadar segera? Tidak cukupkah sijil nikah asal daripada Majlis Agama Islam Narathiwat dan surat akuan bersumpah kami untuk mempercepatkan proses pendaftaran sijil nikah itu?
Inginkan hak,
Kuala Lumpur
Jawapan
PERSOALAN puan menjurus kepada prosedur pengesahan pernikahan di luar negara dan mendaftarkan kelahiran anak hasil pernikahan itu. Apa yang puan lakukan sebenarnya membawa risiko dan akibat yang puan sendiri perlu tanggung sekarang.
Apabila puan nekad bernikah di luar negara tanpa kebenaran mahkamah, puan juga perlu bersedia dan nekad melalui proses pengesahan nikah di mahkamah syariah untuk mendapatkan sijil nikah di Malaysia bagi membolehkan anak puan didaftarkan kelahirannya di Malaysia.
Seksyen 12(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) menyebut sesuatu perkahwinan bersalahan dengan akta itu tidak boleh didaftarkan. Subseksyen (2) Seksyen 12 menyatakan, tanpa menjejaskan Seksyen 40(2) mengenai penalti kesalahan, sesuatu perkahwinan itu jika sah mengikut hukum syarak boleh didaftarkan mengikut akta itu dengan perintah daripada mahkamah.
Ia bermaksud, walaupun sesuatu perkahwinan itu dilakukan tidak mengikut prosedur ditetapkan akta, tetapi ia sah mengikut hukum syarak, maka ia masih boleh didaftarkan mengikut akta ini dengan mendapatkan perintah mahkamah terlebih dulu. Isu di sini ialah kedudukan perkahwinan puan mengikut hukum syarak.
Seksyen 11 Akta 303 memperuntukkan, sesuatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, berdasarkan hukum syarak, untuk menjadikannya sah. Isu permasalahan puan adalah sama ada perkahwinan mempunyai semua syarat sah iaitu rukun perkahwinan berdasarkan hukum syarak.
Merujuk kepada rukun nikah mengikut Mazhab Syafie dalam I'a'natul Tolibin, ada lima rukun nikah iaitu adanya bakal isteri, bakal suami, wali, dua orang saksi lelaki dan sighah akad (lafaz ijab dan kabul). Dalam kes puan, rukun pertama dan kedua sudah dipenuhi. Rukun ketiga iaitu perkahwinan dijalankan wali jika bakal isteri adalah anak dara berdasarkan hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Aisyah bermaksud: "Tidak ada perkahwinan kecuali berwali."
Jumhur ulama bersepakat mengatakan perkahwinan tanpa wali adalah tidak sah dan batal. Ia juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Siapa saja perempuan kahwin tanpa izin walinya, maka perkahwinannya batal, maka perkahwinannya batal. Kemudian, jika (suaminya) mencampurinya, maka bagi perempuan itu berhak memperoleh mahar sebab apa yang ia anggap halal daripada mencampurinya; kemudian jika mereka (wali-walinya) berselisih, maka penguasa (hakim) yang menjadi walinya." (Hadis riwayat Imam yang lima kecuali Nasai)
Seksyen 13 Akta 303 pula memperuntukkan perkahwinan tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan melainkan kedua-dua pihak bersetuju terhadapnya sama ada (a) wali pihak perempuan sudah bersetuju terhadap perkahwinan itu berdasar hukum syarak. Dalam isu puan ini tidak dinyatakan sama ada bapa kandung atau datuk sebelah bapa puan iaitu wali mujbir masih hidup atau tidak ketika pernikahan itu dan apakah persetujuannya sudah diperoleh.
Susunan wali perlu dituruti dalam sesuatu pernikahan. Puan juga tiada menimbulkan alasan berkahwin di Thailand di mana isu ini perlu dijelaskan di mahkamah. Rukun keempat iaitu dua orang saksi bersandarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Dan daripada Imran bin Hushain dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak sah nikah melainkan dengan wali dan dua orang saksi yang adil." (Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal)
Rukun kelima iaitu ijab dan kabul. Merujuk kitab Al-Fiqh Al-Islamiy wa Adillatuh, lafaz mestilah membawa makna nikah contohnya, "Saya nikahkan kamu." Perkataan nikah secara jelas membawa makna nikah dan kahwin tanpa sebarang keraguan. Sesuatu lafaz juga mesti dalam bahasa boleh difahami orang yang berada dalam majlis terutama bakal suami, bakal isteri, wali dan dua orang saksi.
Justeru, dalam isu ini semua keterangan perlu dinyatakan di hadapan hakim syarie. Kitab Muwafaqat menjelaskan, pentaklifan syariah terhadap setiap Muslim bertujuan menjaga maqasid (tujuan) tertentu digariskan Islam. Antara maqasid terpenting ialah menjaga nasab dan keturunan. Islam begitu mementingkan nasab dan keturunan kerana ia membabitkan hak antara satu sama lain.
Justeru, maqasid syariah juga sudah menggariskan bahawa menjaga keturunan atau nasab adalah elemen mesti dan lebih diutamakan dalam isu ini supaya tidak berlaku perlanggaran hak. Kitab Muwafaqat Fi Usulul Ahkam oleh Abi Ishak Ibrahim bin Musa menyatakan bahawa menjaga keturunan atau nasab adalah tersenarai dalam tujuan terpenting. Status anak hasil pernikahan ini dan yang sedang membesar perlu diambil kira apabila ada kesamaran pada status pernikahan ibu bapanya.
Oleh sebab itulah pentingnya pernikahan disahkan terlebih dulu bagi memastikan sememangnya anak adalah hasil pernikahan yang tulen, suci dan hakiki selari dengan tujuan syariah bagi menjaga nasab. Jika pernikahan ini tidak sah, maka anak yang ada akan keliru dari segi nasab atau bapa mereka.
Oleh itu, merujuk kepada usaha puan membawa surat akuan sumpah, sekadar surat akuan bersumpah dan sijil nikah dari luar negara bukanlah suatu proses yang tepat mengesahkan pernikahan dan nasab anak seseorang Islam. Setiap keterangan berkaitan rukun pernikahan hendaklah didengar dan diputuskan Hakim Syarie yang berbidang kuasa.
Alasan proses mahkamah yang rumit dan lama boleh diperbaiki dengan menyarankan supaya kes membabitkan pengesahan nikah dipercepatkan perbicaraannya demi menentukan nasab anak. Namun, puan sendiri perlu mengemukakan segala dokumen dan saksi teratur serta memenuhi rukun pernikahan demi mengesahkan nasab anak untuk didaftarkan sijil kelahirannya.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com
Khamis, 21 Februari 2008
Saman Ganti Iklan
______________________________
Hak Muslim: Isteri boleh mohon kemuka saman menerusi iklan
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim
21 Feb 2008
Soalan
SAYA sudah berkahwin selama 10 tahun dan ada tiga anak. Bagaimanapun, suami sudah meninggalkan saya sejak dua tahun lalu tanpa sebarang berita dan setahu saya dia tidak lagi berada di Selangor. Apabila saya hubungi ibu mentua, mereka tidak mahu bekerjasama dan memberitahu secara kasar bahawa suami saya tidak balik ke kampung. Saya tidak pernah bercerai sebelum ini dan sampai sekarang masih lagi menjadi isterinya. Saya sudah tidak dapat bersabar lagi atas apa yang dilakukan suami terhadap saya. Sudahlah ditinggalkan tanpa berita, suami juga tidak pernah mengirim wang untuk perbelanjaan kami sekeluarga. Saya ingin memohon cerai taklik, malangnya tidak tahu di mana alamat suami tinggal sekarang. Saya sudah memfailkan kes tetapi baru-baru ini kes saya ditangguhkan kerana saman tidak dapat disampaikan oleh Mahkamah Syariah kepada suami. Saya tidak suka kes ditangguhkan begini, di mana keadilan untuk saya sebagai isteri yang teraniaya. Apa yang perlu saya lakukan.
ISTERI TERANIAYA
Selangor
Jawapan
Saya mendoakan puan sabar dalam menghadapi ujian dan jangan berputus asa untuk berusaha mencapai hak puan. Secara umumnya, semua perjalanan di mahkamah atau dipanggil tatacara di mahkamah perlu mengikut cara dan kaedah ditetapkan.
Apabila kita memulakan sesuatu kes di mahkamah seperti kes mendapatkan cerai taklik, ia mesti dimulakan dengan saman dan penyata tuntutan. Dalam penyata tuntutan itu diletakkan latar belakang pasangan, fakta kes, berapa tahun ditinggalkan tanpa nafkah dan sebagainya.
Pada asasnya setiap saman dan penyata tuntutan perlu diserahkan kepada defendan bagi memberi peluang kepada defendan menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.
Tidak boleh kita beranggapan apabila isteri ke mahkamah, maka sudah semestinya suami bersalah dan hakim mesti memutuskan segera walaupun belum mendengar keterangan suami. Oleh itu, saman dan penyata tuntutan perlu sampai dulu ke tangan suami sebagai defendan sebelum kes diteruskan. Prinsip umum ini terpakai kepada semua kes yang dibawa ke mahkamah melainkan kes tertentu.
Saman itu mesti disampaikan kepada defendan dalam beberapa cara. Pertama, penyampaian saman dan penyata tuntutan secara kediri iaitu dengan menyerahkan saman bermaterai kepada suami atau defendan dan diperiksa olehnya.
Oleh itu, alamat lengkap defendan perlu diketahui dengan tepat supaya saman berjaya diserahkan dengan baik. Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampiran dengannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman berkenaan. Saman juga perlu disampaikan atau diserahkan kepada defendan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh pengeluarannya.
Ini bermakna puan perlu menyerah atau menyebabkan diserah saman itu kepada suami dalam tempoh dinyatakan. Jika tidak berjaya diserahkan dan tempoh itu, maka puan hendaklah dengan segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh kesahan saman itu.
Keadaan menjadi rumit apabila defendan tidak diketahui di mana tempat tinggalnya atau tiada alamat yang pasti di mana defendan berada. Untuk pengetahuan puan, bilangan kes suami meninggalkan isteri dan tidak diketahui di mana alamat berada seperti ini bukan sedikit. Dalam keadaan ini, puan boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti.
Jika mahkamah berpuas hati atas apa-apa alasan yang mencukupi kenapa saman itu tidak dapat disampaikan secara kediri, mahkamah boleh memerintahkan supaya saman itu disampaikan dengan cara lain. Antaranya, dengan cara menampalkan suatu salinan pada papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat pada alamat terakhir defendan atau cara lain difikirkan patut oleh mahkamah.
Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian ganti dibuat
melalui iklan dalam akhbar tempatan seperti difikirkan patut oleh mahkamah. Bagi penyampaian ganti ini, walaupun secara fizikalnya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar, kesannya di sisi undang-undang adalah sama seperti penyampaian ke diri. Undang-undang akan menganggap seolah-olah defendan sudah menerima saman itu secara ke diri.Apabila sempurna penyampaian ganti itu, mahkamah hendaklah menyifatkan saman sudah disampaikan kepada defendan. Setelah penampalan dan pengiklanan dibuat, puan hendaklah memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan bahawa penyampaian ganti itu sudah dilakukan seperti diperintahkan mahkamah.
Jika suami tinggal di luar Selangor, puan perlu memohon perintah penyampaian di luar bidang kuasa. Jika puan sudah mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan, maka kes puan tidak perlu ditangguhkan lagi. Puan boleh memohon kes dibicarakan.
Perkara membabitkan praktikal seperti bagaimana tatacara dan kaedah yang menepati undang-undang selalunya memerlukan peguam untuk membuatnya. Jika puan dapat memahami dengan baik, puan sendiri boleh melakukan tanpa perlu mendapatkan khidmat peguam syarie.
Pada tarikh perbicaraan, puan hendaklah memberi keterangan bagi menyokong tuntutan dengan membawa dokumen sokongan serta saksi yang mengetahui mengenai pemergian suami dan suami tidak pernah memberi nafkah. Ini penting untuk menguatkan tuntutan dan membolehkan taklik disabitkan.
Dalam keadaan tertentu, mungkin puan perlu menjalankan sumpah al-istizhar untuk membuktikan bahawa segala keterangan yang diberikan adalah benar. Dengan cara ini nilai keterangan puan akan menjadi lebih kuat lagi. Secara ringkas, puan perlu memastikan saman diserahkan, atau memohon perintah penyampaian ganti daripada mahkamah bagi mempercepatkan penyelesaian kes.
Penangguhan kes itu untuk memberi ruang puan mengikuti tatacara ditetapkan. Ia adalah sebahagian daripada perjalanan prosiding mahkamah dan bukan bertujuan menganiaya puan atau mana-mana pihak. Oleh itu puan jangan beranggapan mahkamah tidak mempedulikan kesusahan puan. Semoga puan berjaya dalam tuntutan itu.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com
Khamis, 14 Februari 2008
Cerai SMS lagi
_________________
Hak Muslim: Kuasa hakim syarie tentukan sah talak SMS
Soalan
SAYA menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada isteri ketika beliau dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak seperti berikut: "Selepas habis pantang, maka jatuh talak satu ke atas engkau!" Ketika kejadian, saya boleh dikatakan tidak normal kerana mengambil ubat tidur secara berlebihan. Soalan saya, adakah sah talak dihantar melalui SMS ketika saya tidak normal?
SUAMI MENYESAL,
Kuala Lumpur.
Jawapan
ISU yang perlu dijelaskan dalam permasalahan ini ialah sama ada jatuh talak melalui SMS dan sama ada jatuh talak oleh suami yang pada masa itu dikatakan tidak normal kerana mengambil ubat tidur berlebihan. Bagi menjawab isu ini, rujukan perlu dibuat terhadap rukun dan syarat sah rukun talak.
Menurut pendapat Shafie, rukun talak ada lima iaitu pentalak, sighah (lafaz), mahal (isteri iaitu perempuan ditalak), wilayah (ada kekuasaan) dan ada qasad ( niat ). Kami percaya isu sama ada jatuh talak atau tidak melalui SMS sudah banyak diperbincangkan dan majoriti pendapat jatuh talak melalui SMS jika pada SMS itu dibuat adanya lafaz dan niat yang jelas daripada suami seperti, "aku ceraikan kau", "aku talak kau" atau "maka tertalaklah engkau".
Persoalan saudara lebih menjurus kepada sama ada jatuh talak jika lafaz dibuat ketika suami tidak normal, dalam kes saudara kerana minum ubat batuk secara berlebihan. Disyaratkan bahawa suami yang melafazkan talak adalah suami yang mukallaf (baligh dan berakal) dan tidak dipaksa. Dalam kes ini, diandaikan suami itu seorang yang baligh dan tidak dipaksa oleh mana-mana pihak ketika SMS itu ditulis. Isu di sini ialah sama ada sah perlakuan suami itu dengan alasan beliau dalam keadaan tidak normal kerana mengambil ubat tidur secara berlebihan.
Adakah maksud suami tidak normal dalam kes ini boleh dikira sebagai mabuk iaitu tidak sedar apa dilakukannya menjadikannya tidak waras? Menurut Dr Wahbah al Zuhaily dalam kitabnya al Fiqh Islami wa Adillatuhu, bagi talak oleh pentalak yang mabuk atau tidak normal kerana mabuk itu sampai pada peringkat percakapan merepek dan tidak menentu, bercampur-campur dan tidak sedar apa diperkatakan ketika mabuk, maka fuqaha' sepakat berpendapat tidak jatuh talak daripadanya jika ia mabuk yang tidak diharamkan.
Maksud mabuk yang tidak diharamkan ialah seperti orang mabuk kerana darurat, terpaksa, kerana dipaksa atau kerana makan sejenis tumbuhan memabukkan walaupun bukan kerana sesuatu keperluan.
Oleh itu, orang berkenaan diberikan keuzuran kerana dia dalam keadaan tidak sedar dan tidak tahu apa yang dilakukan, maka dia seperti orang tidur. Bagaimanapun, dalam keadaan biasa, perkara seperti disebutkan jarang berlaku dalam kehidupan. Keadaan biasa berlaku pada masa kini adalah mabuk dengan cara haram seperti meminum arak dan dia bukan dipaksa.
Menurut pendapat yang kuat bagi jumhur fuqaha', jika seseorang mengambil atau menggunakan bahan memabukkan tanpa sesuatu keperluan atau darurat, maka jatuh talak yang dilafazkan olehnya dalam keadaan mabuk sebagai hukuman dan cegahan terhadapnya daripada melakukan perbuatan maksiat. Lagipun, dia mengambil bahan yang memabukkan itu dengan pilihan sendiri tanpa ada paksaan dan tanpa darurat.
Mengguna pakai hukum dan pendapat jumhur fuqaha' berkaitan mabuk dengan cara yang haram kepada permasalahan saudara ini, adakah saudara mengambil ubat tidur atas sesuatu keperluan atau darurat dengan nasihat dan aturan yang ditetapkan doktor? Saudara menyatakan mengambil ubat tidur secara berlebihan dan menyebabkan saudara boleh dikatakan tidak normal. Isunya di sini ialah, keadaan tidak normal itu jika dikiaskan dengan pendapat jumhur ialah keadaan mabuk.
Sedangkan dalam kes saudara, mengambil ubat tidur secara berlebihan bukan dipaksa. Jika saudara menjadikan alasan darurat untuk mengambil ubat tidur secara berlebihan, setiap ubat yang perlu diambil dari segi perubatan mesti dengan nasihat dan aturan ditetapkan doktor atau ahli perubatan. Jika seseorang mengambil sesuatu ubat tanpa nasihat dan panduan ahli perubatan, seseorang harus bertanggungjawab dengan kesan dan akibat tindakannya itu.
Tindakan mengambil ubat tidur secara berlebihan tanpa nasihat dan panduan ahli perubatan jelas menunjukkan saudara mengambil secara pilihan sendiri dan alasan menjadi tidak normal akibat daripadanya adalah kerana tindakan pilihan saudara sendiri. Orang yang mukallaf (bertanggungjawab terhadap tindakannya), juga kerana ijma' sahabat Nabi SAW menyatakan kata-kata yang dilafazkan ketika mabuk seperti menuduh perempuan suci berzina dan lain-lain akan dikenakan tindakan.
Berdasarkan pendapat jumhur fuqaha', talak yang dijatuhkan melalui penghantaran SMS walau dalam keadaan boleh dikatakan tidak normal kerana tindakan sengaja mengambil ubat tidur secara berlebihan, boleh dikira sah kerana mencukupi rukun pentalak itu sendiri. Bagaimanapun, hanya hakim syarie yang mempunyai bidang kuasa menentukan pengesahan sesuatu lafaz talak berdasarkan keterangan lanjut daripada saudara mengenai sebab mengambil ubat tidur berlebihan. Saudara perlu mendaftarkan kes pengesahan perceraian di mahkamah syariah di tempat saudara bermastautin dengan kadar segera.
Jika mahkamah mensabitkan talak itu sah, saudara perlu mengetahui sama ada tempoh edah isteri masih wujud atau tidak bagi membolehkan saudara rujuk dengan isteri.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang persoalan boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com
Khamis, 22 November 2007
Umi Jawab Hak Muslim dalam Berita Harian
______________
Soalan
SAYA ingin bertanya mengenai masalah kakak angkat yang mengalami krisis rumah tangga serius. Saya mengenali kakak angkat ini kira-kira dua tahun dan sekarang saya menjadi tempat untuknya meluahkan segala masalah dihadapi dengan suaminya yang tidak bertanggungjawab. Mereka sudah berkahwin 10 tahun dan mempunyai tiga anak. Apa yang menyedihkan ialah pasangan ini selalu bergaduh dan setiap kali bergaduh, suami akan meniduri dan melayannya seperti hamba seks iaitu tanpa kerelaan isteri. Suaminya mengatakan bahawa cara untuk menahan isteri supaya tidak memohon cerai adalah apabila isterinya mengandung dan mempunyai anak kecil. Kakak angkat saya juga dipukul dan setiap kali berlaku perkara itu, abang angkat saya akan memberitahu anak bahawa ibunya seorang yang tidak baik dan mendapat hukuman kerana kesalahan dibuat. Kadang-kadang suami tidak memberi duit belanja dapur kecuali selepas mendera dan kemudian meniduri isterinya. Saya sangat simpati mendengar masalah kakak angkat saya. Beliau sangat tertekan dan mungkin boleh menyebabkan melakukan pelbagai perkara tidak sepatutnya. Apakah yang wajar dia lakukan untuk menyelamatkan diri dan haknya. Untuk pengetahuan tuan, kakak angkat saya adalah suri rumah dan tidak berani memberitahu keluarga masalah dihadapinya. Semoga mendapat penjelasan tuan.
Adik angkat lelaki
Selangor
Jawapan
Kami bersimpati dengan apa yang kakak angkat saudara lalui. Semoga beliau dapat bersabar dan tabahkan hati mengharungi ujian ini. Namun begitu, selain bersabar, beliau perlu berusaha kerana Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan orang itu berusaha mengubahnya.
Secara umumnya, perkahwinan adalah gabungan dua insan untuk bersama-sama melalui hidup dengan aman dan saling lengkap melengkapi. Objektif perkahwinan itu sendiri dalam Islam jelas, iaitu sebagai tempat mencari ketenangan dan kebahagiaan di samping menjadi jalan mendapat zuriat yang halal dan salih. Dengan itu, apabila sesuatu perkahwinan gagal menjadi taman syurga, gagal mencapai objektif perkahwinan, bahkan menimbulkan banyak mudarat kepada pasangan seperti teraniaya, terhina, tidak bahagia, terseksa sama ada secara fizikal atau mental, maka secara dasarnya pihak yang teraniaya berhak untuk keluar daripada ikatan rumah tangga itu.
Dalam kes kakak angkat saudara, kami menasihatkan supaya beliau tidak berdiam diri tetapi mengambil tindakan berdasar beberapa pendekatan.
Pertama, kakak angkat saudara perlu berusaha dengan segera mencari jalan untuk meminta ibu, ayah atau mana-mana ustaz disegani suami untuk campur tangan dengan memberi nasihat kepada beliau supaya mengubah tindakannya melayan isteri sebegitu. Islam tidak pernah menyuruh seseorang suami memukul sesuka hati, bahkan Rasulullah SAW sebagai teladan kepada semua orang Islam pernah menyebut, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling lembut dengan isterinya dan aku adalah yang terbaik antara kamu.”
Abang angkat saudara sangat tersasar apabila melayan, memukul dan kemudian melakukan penderaan fizikal dan seksual kepada isterinya. Apatah lagi mengatakan dia mendidik isterinya begitu di hadapan anak. Dia bukan saja membawa mudarat kepada isteri, tetapi juga mudarat kepada psikologi dan jiwa anaknya yang menjadi penonton kepada drama penderaan tidak benar itu. Mana tahu, kemungkinan nasihat orang yang disegani boleh membuahkan hasil dan menyebabkan suami itu bertaubat.
Kedua, jika usaha menasihati beliau gagal dan kakak angkat terus teraniaya secara mental dan fizikal, maka Islam memang membenarkan perceraian. Dalam kes sebegini, kebajikan pihak teraniaya adalah satu keutamaan dan kaedah fiqah ada menyebut bahawa ‘kemudaratan hendaklah dihilangkan’.
Jika kakak angkat saudara mempunyai keberanian berbincang dengan suaminya, maka usahakan mendapat perceraian secara baik. Jika tidak, mungkin pihak ketiga disegani tadi memberi nasihat kepada suami untuk bercerai secara baik. Bercerai secara baik seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (EUKIS 2003) merujuk kepada perceraian dengan persetujuan suami isteri dan suami melafazkan talak di mahkamah dengan kebenaran.
Kakak angkat saudara tidak boleh menyimpan keruntuhan rumah tangga daripada pengetahuan ibu bapa dan saudara terdekat. Dia perlu memberitahu ibu bapa dan keluarga masalah dihadapi kerana sokongan moral daripada ibu bapa dan saudara terdekat sangat perlu dalam kes sebegini. Dengan sokongan moral itu, beliau akan lebih tabah dan bersedia menghadapi apa saja kemungkinan.
Jika suaminya enggan bercerai secara baik, maka beliau boleh mengambil tindakan memohon perceraian fasakh di Mahkamah Syariah di mana beliau bermastautin mengikut Seksyen 53 Enakmen sama. Mengikut seksyen berkenaan, memang diperuntukkan bahawa mana-mana pihak boleh menuntut fasakh atas satu atau lebih alasan yang dinyatakan. Antara alasan dibenarkan adalah pasangan lazim menyakiti dan melakukan penderaan. Apa yang kakak angkat saudara lalui termasuk dalam peruntukan ini iaitu penderaan secara fizikal dan mental.
Kami juga ingin menasihatkan supaya saudara dapat memperkenalkan kakak angkat kepada kaunselor atau ustazah. Saudara sebenarnya bukan pihak yang paling tepat untuk mendengar kisah kakak angkat kerana saudara tiada hubungan darah dengan beliau. Banyak kes yang kita temui di mana mangsa yang bercerita dan meluahkan masalah rumah tangga kepada lain jantina, berakhir dengan perkara negatif iaitu bercinta pula dengan orang yang mendengar masalah mereka. Kami harap saudara dapat mengambil tindakan selayaknya supaya perkara sebegini boleh dielakkan.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nurhidayah Muhd Hashim. Sebarang soalan boleh dikirim kepada exco_pgsm@yahoo.com