Jumaat, 20 September 2013

UMAR MUKHTAR-LION OF THE DESERT






HARI INI DALAM SEJARAH : PERGI NYA SEORANG PEJUANG TERBILANG


Pada tarikh hari ini 17 September 2013 pada tahun 1931,umat muslim seluruh dunia meratapi pemergian seorang pejuang Islam dari Libya yang terbilang ,Asy-Syahid Umar Al Mukhtar yang di kenali sebagai Singa padang pasir yang telah di gantung pada 16 September 1931.


Pada tarikh ini lah Umat Muslim seluruh dunia beramai-ramai keluar beramai-ramai melakukan solat jenazah dan bagi yang berada di India,Iraq,Pakistan dan negara-negara lain juga turut sama melakukan solat ghaib.


Sungguh kehilangan beliau di ratapi ketika itu..SIAPAKAH PEJUANG TERBILANG INI ?

MARI KITA BACA....

Umar Al Mukhtar adalah ‘Hero’ umat Islam, yang sememangnya pernah wujud. Bukan lagenda, bukan khayalan seperti filem Rambo. Bukan cerita The Last Samurai. tetapi Umar Mukhtar sememangnya hero yang benar-benar wujud suatu ketika dahulu, menjadi pejuang Islam ketika itu. Siapa Umar Mukhtar?


‘Umar al Mukhtar – Lion of The Desert

KEMERDEKAAN merupakan impian setiap manusia. Tiada manusia yang sanggup dibelenggu oleh penjajahan dan penindasan. Apabila hal ini berlaku, manusia akan bangkit menentang dan berusaha membebaskan diri mereka ataupun negara mereka dari cengkaman tersebut. Inilah yang dapat diperkatakan mengenai Umar Mukhtar, wira kebanggan rakyat yang namanya bersemadi di dalam hati sanubari rakyat Libya hingga ke hari ini. Sedari usia muda beliau bangun memperjuangkan kemerdekaan negaranya daripada dibelenggu oleh cengkaman kuasa fasis Itali walaupun akhirnya Umar Mukhtar terpaksa syahid di tali gantung. Namanya terpahat kukuh dalam tinta emas, menjadi inspirasi dan dianggap simbol keagungan dalam usaha membebaskan Libya daripada belenggu penjajahan.

Umar Al Mukhtar telah dilahirkan pada tahun 1862 dan merupakan putera kepada Mukhtar bin Umar dan Aiesha binti Muhareb. Dia berasal daripada suku Boray dan Al Manfah. Pada usianya 16 tahun, ayahnya meninggal dunia semasa menunaikan haji ke Makkah. Selepas ayahnya meninggal dunia pada usianya 16 tahun, anak muda ini diletakkan di bawah asuhan dan perhatian seorang syeikh (guru) di antara syeikh-syeikh yang ada di kampung beliau. Berkat didikan Syeikh tersebut, lama kelamaan beliau mula mengamalkan cara hidup Islamiyyah di mana beliau hanya tidur selama 3 jam setiap malam agar mudah bagi beliau untuk bangun bersembahyang pada sepertiga malam. Tidak cukup sekadar itu, beliau juga gemar membaca ayat-ayat suci Al-Quran hingga fajar menyinsing. Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang hidupnya, beliau berjaya menghafaz Al-Quran, dan mengulanginya dengan lengkap setiap tujuh hari.Umar Al Mukhtar kemudian berpindah ke Jaghboub. Di sana, dia belajar di Institut Pengajian Tinggi dalam bidang Sains Islam selama 8 tahun.

Keberanian dan kebijaksaan beliau memang dikenali di setiap pelusuk daerah. Malah, beliau menjadi ikutan dan contoh kepada orang ramai pada ketika itu. Bukti keistimewaan beliau terserlah pada ketika beliau berkafilah (berdagang) ke Sudan semasa beliau masih muda. Ditakdirkan Tuhan, seekor singa telah menghalang kumpulan kafilah-kafilah ini daripada memasuki satu laluan sehingga mereka terpaksa mengubah hala mereka kerana takut akan si singa tadi. Untuk menyelamatkan diri, ada yang terpaksa mengorbankan unta mereka sebagai percubaan terakhir untuk melepaskan diri, walaupun unta pada ketika itu merupakan salah satu harta yang berharga buat mereka.

Beliau yang mengetahui tentang ancaman singa berkenaan, lantas tampil untuk cuba meleraikan kekecohan. Tidak seperti kafilah-kafilah lain yang buntu mencari jalan penyelesaian, beliau tangkas menunggang kudanya bersama senapang beliau dan memburu singa tersebut. Sejurus kemudian, beliau mengejutkan kumpulan-kumpulan kafilah tadi apabila pulang dengan membawa kepala singa berkenaan. Mereka sangat bersyukur akan pengorbanan yang dilakukan beliau dan sejak dari itu lah beliau digelar ”Singa Cyrenaica”.

Dibesarkan dengan ajaran agama dan diserapkan dengan nilai-nilai keberanian seorang pahlawan, telah memberi impak yang hebat buat beliau. Akhlak dan karisma yang dimiliki bukan hanya memberi kesan pada kaum, negara dan bangsanya, malah kepada umat Islam sedunia selepas zaman penjajahan.

Apabila umur beliau menjangkau lingkungan 20-an, beliau semakin dikenali berikutan kematangan dan kehandalan beliau dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang ditimbulkan suku bangsa beliau pada ketika itu. Pandangan serta nasihat beliau didengari oleh setiap penduduk kampung tidak kira di mana beliau berada. Kesopanan dan tata tertib yang dipamerkan dalam sikapnya yang disenangi ramai, memang cukup disegani. Kepetahan beliau tatkala berbicara, susunan ayat yang teratur, membuatkan orang ramai tertarik untuk mendengar ucapan mahupun ceramah yang disampaikan beliau. Keunikan inilah yang menjadi aset untuk beliau menyatukan puak-puak pada ketika itu di samping memudahkan usaha beliau untuk mengumpul kumpulan perang bagi melawan penjajah-penjajah yang datang untuk mengambil alih pemerintahan pada ketika itu.

Pada usia beliau 30an, bermulalah zaman penjajahan yang mula berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Fenomena ini telah membayangi kehidupan beliau untul tampil bertindak. Pada ketika dunia dirosakkan oleh anasir-anasir Eropah, beliau bangkit mempertahankan kedaulatan Islam dengan semangat kentalnya. Beliau bersama-sama dengan satu kumpulan bernama Banu Sanus, yang selepas itu dikenali dgn nama Sanusi, menentang penjajahan Perancis tanpa rasa takut walau sedikit pun. Mereka juga pernah menentang penjajah-penjajah Inggeris yang diselubungi rasa tamak dan haloba untuk menakluki tanah air mereka.

Kerana kewibawaan, kepimpinan dan kecemerlangannya dalam segala bidang, dia memperoleh pengiktirafan yang tinggi daripada syeikh dan pemimpin Sanusi. Pada tahun 1897, dia telah dilantik oleh Sidi Al Mahdi sebagai Syeikh Zaywat AlíAqour. Pada bulan Oktober 1911, tentera Itali memulakan tindakan untuk menawan Libya. Rakyat Libya dengan sungguh-sungguh berjuang mempertahankan negara mereka walaupun dengan kelengkapan senjata yang kurang sempurna. Pada awal penjajahan mereka, tentera Itali memberi tumpuan kepada bandar-bandar di tepi pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna. Pertempuran yang hebat berlangsung di Al-Hani berhampiran Tripoli (23 Oktober 1911), Ar-Rmaila berhampiran Misrata, Al-Fwaihat dekat Benghazi (Mac 1912) dan Wadi Ash-Shwaer berhampiran Derna. Pertempuran-pertempuran yang lain berlaku di kampung, gunung dan padang pasir. Salah satu daripada pertempuran hebat yang berlaku di Ghertabiya dekat Sirt (April 1915) telah menyebabkan beribu-ribu tentera Itali terkorban.

Akibat kebencian dan kemarahan yang meluap-luap, rakyat Libya segera bangkit mempertahankan tanah air mereka. Umar Al Mukhtar diarahkan oleh Sidi Idris Al Mahdi mengetuai pertempuran. Beliau mengatur strategi dengan membentuk satu pasukan tentera yang digelar tentera Mujahidin dengan bersumberkan cukai yang meliputi cukai binatang ternakan dan bijirin. Rakyat Libya membantu pasukan Mujahidin dengan makanan, tentera dan bekalan senjata.

Walaupun selepas beberapa tahun berjuang Itali berjaya menawan Libya, namun pada peringkat awal mereka tidak dapat berbuat demikian kerana pejuang Mujahidin Libya seperti Umar Mukhtar dan para pengikutnya memberikan tentangan yang begitu hebat kepada tentera Itali. Mereka meninggalkan rumah dan bergerak menuju ke kawasan pergunungan untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap tentera Itali. Pejuang-pejuang Mujahidin Libya lain yang turut gigih menentang pendudukan Itali ialah Ramadan as Swahili, Mohamed Farhat Az Zawawi, Al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman Ai-Barouni dan Silima An Nailah. Umar Mukhtar bertanggungjawab menyusun semula gerakan tenteranya di Gunung Hijau (Aj-Jabal Al-Akdar, Timur Jauh) Libya dan melancarkan serang padu terhadap Itali selepas Perang Dunia 1. Pasukan Mujahidin menyerang troop tentera Itali di atas puncak bukit, hutan dan lembah Gunung Akhdar.

Pada tahun 1922, Itali mula tertakluk di bawah undang-undang fasis. Semua perjanjian yang telah ditandatangani dengan Sidi Idris As-Sanusi telah digantung dan polisi yang menindas dan zalim telah dikenakan terhadap Libya. As-Sanusi terbang ke Mesir pada tahun 1923 meninggalkan Umar Mukhtar yang bertanggungjawab untuk penentangan secara habis-habisan dalam keadaan serba kekurangan.

Apabila Itali merasakan bahawa mereka sukar untuk menghadapi tentera Mujahidin dan mungkin kehilangan Libya kepada pihak Mujahidin, pihak berkuasa Itali menghantar salah seorang pegawai tertinggi mereka, Badolio. Badolio menggunakan kaedah yang tidak berperikemanusiaan untuk menamatkan penentangan. Dia bukan hanya mengetuai penentangan terhadap Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya tetapi turut bertindak menghukum penduduk-penduduk yang tinggal di bandar dan di desa dan menuduh mereka membantu tentera Mujahidin Libya. Di samping Badolio, kerajaan Itali yang diketuai oleh Mussolini turut menghantar Rodolfo Grasiani unttuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Semasa Libya di bawah Grasiani beribu-ribu rakyat Libya yang tidak berdosa sama ada tua, muda, perempuan, dan kanak-kanak dibunuh secara kejam. Mussolini mengarahkan Grasiani melakukan apa-apa sahaja bagi menghadapi penentangan rakyat Libya.

Grasiani bersetuju ke Libya jika Mussolini membenarkan dia melakukan apa-apa yang di suka hatta termasuk membelakangi undang-undang yang sedia ada. Sebelum pergi ke Libya, terlebih dahulu pegawai yang kejam ini berkunjung ke Morj, Switzerland untuk bersuka ria dan pada masa yang sama merancang serangan bunuh terhadap rakyat Libya dengan berpandukan kepada motto yang dipegang oleh Mussolini, "Jika anda tidak bersama saya, anda menentang saya!" Ini bermakna satu cara terbaik untuk menawan negara tersebut dan mengawal rakyatnya adalah dengan membunuh! Akibatnya, semasa Libya berada di bawah penjajahan Itali, hampir separuh daripada rakyatnya telah dibunuh dengan kejam.

Kaum lelaki, wanita, orang tua dan kanak-kanak telah dizalimi dan dibunuh sama ada dengan menembak mereka, menggantung mereka di khalayak ramai dan membunuh secara tidak langsung iaitu dengan membiarkan mereka mati kelaparan, dan tidak diberi ubat apabila mereka sakit. Tindakan- tindakan kejam ini dilakukan demi untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka berkuasa dan mampu menceroboh dan menawan negara lain, sama seperti kuasa-kuasa lain di dunia.

Perancangan Grasiani ialah memencilkan Libya sepenuhnya dan menghalang sebarang hubungan secara langsung atau tidak langsung antara Mujahidin Libya dengan jiran-jiran mereka yang selama ini membekalkan mereka dengan senjata dan maklumat. Grasiani telah membina tembok berwayar yang panjangnya sejauh 300km, tingginya 2 meter dan 3 meter lebar, bermula dari Pelabuhan Bardiyat yang terletak di utara Libya hingga ke Al-Jaghoub di Tenggara Libya, Perancangan beliau yang kedua ialah membina kem tahanan berpuusat di Al-Aghaila, Al-Maghroun, Solouq dan Al-Abiyar.

Pada penghujung November 1929, semua rakyat Libya tinggal di khemah di Al-Jabar Al-Akdar, Mortaf-Aat Al-Thahair, dari Utara Beneena hingga ke Ash- Shlaithemiya Selatan, dari Tawkera hingga ke selatan padang pasir Balt Abdul-Hafeeth. Semua penduduk daripada mana-mana kabilah, dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk sama-sama tinggal di kem tahanan berpusat. Kehidupan yang sangat menyedihkan di dalam kem tahanan seperti kelaparan dan berpenyakit telah menyebabkan beribu-ribu rakyat Libya menemui ajal mereka. Mereka yang dipercayai membantu pasukan Mujahidin telah digantung dan ditembak. Lebih 100,000 orang telah dipaksa ke kem tahanan di kawasan Baraqa. Daripada jumlah itu hanya 35,000 orang yang berjaya meneruskan kehidupan.


Marshall Roodolfo Graziani juga mengetuai kempen ketenteraan dengan menawan kumpulan Oasis Al Kufra, yang merupakan tulang belakang penentang. Di luar kem iaitu di kawasan pergunungan, pasukan Mujahidin kembali berjuang menentang pendudukan Itali. Umar Mukhtar tetap teguh dengan pendiriannya. Beliau sekali-kali tidak akan menyerah atau berputus asa. Beliau meningkatkan penentangan di Gunung Akhdar. Suku kaum dari daerah yang berhampiran turut menyertai beliau dalam perjuangannya.

Seorang pejuang yang berusia 90-an dari oasis Jalu, Abu Karayyim, merupakan salah seorang sahabat yang setia berjuang bersama beliau di selatan pedalaman. Walaubagaimanapun, kesukaran mendapatkan bekalan makanan menyebabkan kebanyakan daripada mereka kelaparan dan diserang penyakit. Ekoran itu, semakin berkuranglah bilangan pejuang-pejuang mereka bagi menentang Itali. Mengetahui situasi ini, askar-askar Itali telah mengambil kesempatan dengan membakar dan merompak kampung-kampung. Kaum wanita, warga tua, dan kanak-kanak tidak terkecuali dalam perbuatan jijik mereka. Atas desakan hidup, mereka terpaksa ditempatkan di kem-kem tahanan kerana tiada pilihan lain.

Tetapi pada tahun 1931, pihak Mujahidin kehabisan bekalan makanan, maklumat dan bekalan senjata. Umar Mukhtar yang pada ketika itu telah berumur 80 tahun telah jatuh sakit beberapa kali. Ramai pengikutnya meminta beliau menggantung senjata dan meninggalkan negara tersebut. Beliau begitu marah apabila dinasihatkan meninggalkan perjuangannya selama ini dek kerana usianya yang sudah lanjut. Tetapi dengan semangat yang teguh beliau terus meneruskan perjuangan membebaskan negaranya.

Pihak Itali yang menyangka bahawa Umar Mukhtar boleh dibeli telah menawarkan beliau elaun sebanyak 50,000 lira Itali sebagai pertukaran untuk beliau menandatangani perjanjian perdamaian. Namun beliau enggan dengan berkata bahawa pendiriannya tetap teguh dan jitu. "Kita mempunyai sunnah Nabi Muhammad yang boleh membimbing kita dalam jihad kita," kata beliau memberikan kata-kata semangat kepada pengikut-pengikutnya.


Bila ditanya, mengapa beliau masih setia berjuang, beliau menyatakan yang beliau berjuang kerana agama dan beliau tidak sanggup untuk melihat pihak musuh menduduki tanah airnya. Beliau akan terus menentang dan menentang kezaliman, tidak kira sama ada menang atau kalah. Yang pasti, kejayaan datang hanya dari Allah swt. Beliau juga menolak untuk mengadakan perundingan damai dengan pihak penjajah dengan menyatakan bahawa ’mereka tidak mempunyai apa-apa melainkan untuk melawan musuh-musuh Allah.’

Dalam usaha memerangkap Mukhtar dan orang-orangnya yang terperangkap di Gunung Akhdar, kerajaan Itali telah mengarahkan sempadan Mesir, Chad dan Sudan ditutup. Peristiwa ini dipanggil Italy Holocaust di Libya. Pada 12 September 1932, dalam satu misi pengintipan tentera Itali, selepas satu pertempuran yang sengit, Umar Mukhtar dan pasukannya telah diserang dan ditangkap. Kira-kira 40 orang pengikutnya telah terbunuh. Selepas mengharungi beberapa peperangan yang tidak terkira banyaknya, akhirnya beliau tewas juga di tangan musuh. Di akhir peperangan tersebut, tinggal hanya beliau serta salah seorang pengikut setianya yang masih teguh berdiri di medan perang. Tangan dan kaki mereka dirantai dan dibawa ke bandar yang bernama Suluq di mana kubu tentera Italy berpusat.

Pejuang yang dihormati ini percaya bahawa Jihad adalah disyariatkan pada setiap umat Islam sekiranya tanah air mereka dikuasai penjajah. Dengan semangat yang berkobar di dalam jiwanya, di samping keberanian dan sifat kesungguhan yang tinggi, menyebabkan beliau dihormati dan disegani oleh sesiapa saja termasuklah musuh-musuh beliau sendiri.Umar Mukhtar telah ditawarkan pengampunan dalam usaha menukar pendirian beliau dan pengikut-pengikutnya agar menghentikan perjuangan. Tetapi tawaran itu telah ditolak oleh Umar Mukhtar dengan tegas.

Beliau adalah seorang lagenda yang tetap teguh pada agamanya walaupun teruk ditentang. Bilamana menteri-menteri dan ketua-ketua negara beliau yang lain menyerah diri begitu saja kepada Itali serta menyelamatkan diri sendiri dengan berpindah ke negara lain, beliau tanpa ragu-ragu tetap berjuang mempertahankan Islam dan tanah air daripada terus dijajah. Salah seorang ulama dari kalangan Sanusi, yang pernah bertarung bersama beliau menentang Perancis dan British, gagal menghantar bantuan kepada beliau tepat pada masanya. Malah, ramai di kalangan ulama-ulama ini sanggup berpaling tadah dengan menggadaikan tanah orang Islam bagi memperoleh belas simpati, gaji bulanan, serta bebas dari cukai pendapatan. Sikap seumpama inilah yang sering kita lihat pada sesetengah umat Islam yang belot pada hari ini.

Berlawanan dengan tindakan kebanyakan orang Islam pada waktu itu, beliau mengeluarkan sebuah Al-Qur’an, dan bersumpah dengan nama Allah s.w.t. bahawa beliau akan terus menentang golongan penjajah, biarpun secara berseorangan mahupun sehingga syahid. Dalam 20 terakhir hidupnya, beliau telah memimpin dan berjuang dalam 1000 peperangan.

Beliau bersedia untuk menghadapi perbicaraan pada 15 September 1931. Perbicaraan itu merupakan suatu perbicaraan yang tidak adil yang hanya mengambil masa selama 75 minit. Apabila Ketua Panglima perang Itali menawarkannya peluang terakhir untuk hidup di bawah pemerintahannya, dengan syarat beliau mesti mematuhi segala arahannya, beliau menjawab, “Aku tidak akan berhenti menentang kamu, sehinggalah kamu meninggalkan tanah airku, atau sehinggalah aku mati. Dan aku bersumpah kepada Allah Yang Maha Mengetahui sesuatu di dalam hati manusia, jikalau bukan kerana tanganku diikat sebegini, nescaya aku akan tetap melawanmu dengan tangan kosong, biarpun dalam keadaan yang tua dan cedar sebegini.”

Pada waktu itulah, Ketua Panglima perang itu ketawa, sambil mengarahkan supaya beliau digantung, selepas mengadakan sebuah perbicaraan ‘olok-olok’ yang direka untuk menjaga maruah kerajaan Itali. Walaupun perbicaraan untuk beliau masih belum bermula, tali gantung telah pun disediakan untuk beliau di luar mahkamah.Hasil perbicaraan itu, Umar Mukhtar telah jatuhkan hukuman mati.Hukuman mati itu berlangsung pada 16 September 1931 di bandar raya Solouq di hadapan 20,000 rakyat Libya. Hukuman mati yang dikenakan terhadap Umar Mukhtar telah dilaksanakan tanpa menimbangkan usianya yang telah lanjut dan tanpa mengikut undang-undang antarabangsa dan perjanjian semasa peperangan. Namun sewaktu hendak di tali gantung jelas kelihatan ketenangan di raut wajah Umar Mukhtar. Beliau sempat bersembahyang sunat sebelum dihukum gantung. Selepas dihukum gantung, Umar Mukhtar yang dianggap simbol pembebasan dan jihad Libya dengan segera telah dikebumikan di Ben-Ghazi. Makamnya telah dikawal dengan rapi oleh tentera Itali.

Kematian Umar Mukhtar telah mencetuskan bantahan daripada negara Arab dan negara Islam. Rakyat mengadakan demonstrasi jalanan dan sembahyang jenazah untuk beliau telah diadakan. Kematian Umar Mukhtar telah menyebabkan pergerakan pembebasan di Libya hilang arah tujuannya. Hal ini telah memudahkan kerajaan Rom mengisytiharkan Libya diletakkan di bawah pemerintahan tentera Itali pada 24 September 1932. Penguasaan Itali terhadap Libya berterusan sehingga Itali tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Libya diletakkan di bawah penyeliaan Tentera Bersekutu sehingga 24 Disember 1951, apabila Libya mencapai kemerdekaan selepas beberapa tahun dijajah.

Pada tahun 1933, Pengerusi Jabatan Kesihatan dan Ketenteraan Itali, Dr. Todesky telah menulis di dalam bukunya Cerinaica Today, antara kandungan tulisannya berbunyi : Dari May 1930 hingga September 1930, dianggarkan kira-kira 80,000 rakyat Libya telah dipaksa meninggalkan tanah dan rumah mereka untuk tinggal di kem tahanan berpusat. Dalam satu-satu masa 300 orang telah dibawa ke kem tersebut dengan dikawal oleh tentera Itali bagi memastikan mereka tidak melarikan diri. Dr. Todesky menyambung, "Pada penghujung 1930, semua rakyat Libya yang tingal di dalam khemah telah dipaksa tinggal di dalam kem tersebut. 55% daripada mereka telah menemui ajal di dalam kem tahanan tersebut". Ahli sejarawan Libya, Mahmoud Al At-Taeb berkata di dalam wawancara dengan majalah Libya, Ash-Shoura (Oktober 1979) bahawa pada bulan November 1930, sekurang-kurangnya 17 upacara pengebumian diadakan di kem tersebut akibat mati kelaparan, penyakit dan kemurungan.


Apabila akhbar-akhbar dari seluruh dunia mempersoalkan tentang nasib buruk serta layanan yang tidak berperkemanusiaan yang diterima oleh rakyat Libya di dalam kem tahanan tersebut, tentera Itali mula mengambil perhatian dengan membekalkan makanan kepada rakyat Libya sebanyak 22 kg seorang untuk sebulan. Namun tindakan kerajaan Itali itu sudah terlambat kerana ramai rakyat Libya yang telah terkorban akibat kekejaman mereka.

Walaupun Umar Mukhtar telah meninggal dunia, jasa, perjuangan dan pengorbanannya menentang penjajahan telah menjadi inspirasi dan sentiasa bersemadi di dalam hati rakyat Libya mahupun masyarakat Arab dan Islam hingga ke hari ini. Lantaran itu, sebagai penghargaan kepada Umar Mukhtar:

Semoga Allah meninggikan darjatnya di syurga.

Orang-orang Itali yang berjiwa kotor telah mengambil gambar mayat beliau yang diikat, sambil dikelilingi oleh panglima-panglima perang yang tersenyum puas bersama mereka-mereka yang riang gembira dengan kematian beliau. Tanpa disedari mereka, kematian di tangan musuh demi memperjuangkan hak Allah inilah yang sebenarnya menjadi idaman setiap orang Islam sejati.

Pejuang unggul ini, tidak lain dan tidak bukan, adalah Omar Al Mukhtar, dan cerita tentang keperwiraannya akan kekal sehinggalah ke hari kiamat, insyaAllah. Dengan darahnya, beliau telah membawa cerita kejayaan, beliau telah menjadi lagenda di kalangan lagenda, dan beliau telah menjadi teladan untuk mereka yang ingin hidup dengan maruah Islam yang dihormati, walaupun pada saat-saat ditindas.

Golongan yang menyerah kalah dan para ilmuan yang telah berpihak kepada kerajaan Itali tidak dibunuh ataupun dipenjarakan. Mereka mati dalam keadaan biasa’ dan mugkin di dalam keadaan mewah dan selesa, di bawah perlindungan golongan penjajah Itali. Naumn demikian, kematian mereka tidak membawa sebarang erti. Dan, Neraka Jahanam adalah tempat bagi mereka yang bersekongkol dengan golongan penjajah yang kafir. Omar Al Mukhtar hidup dan berjuang demi Islam sepanjang hayatnya. Beliau diikat, dipenjarakan, dan dihukum gantung. Namun, cerita keperwiraannya kekal berterusan, dan insyaAllah, Syurga adalah tempat bagi mereka yang syahid.


Omar Al Mukhtar terikat kepada Allah s.w.t, bergantung hidup padaNya, dan sentiasa menerima takdir Ilahi. Beliau telah meminta daripada Allah s.w.t. untuk mati syahid, dan itulah yang telah beliau capai, InsyaAllah.


Siapakah pula Umar Mukhtar Abad ini ? Kita menunggu kemunculannya atau cuba menjadi sepertinya?


"dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) Yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira Dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam Yang sedang berjuang), Yang masih tinggal di belakang, Yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) Bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. mereka bergembira Dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), Bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman".
[ AALI IMRAN=169-171]

CATATAN :


• Libya mengisytiharkan kemerdekaannya pada 16 September, tarikh Umar Mukhtar dihukum gantung.

• Pada ulang tahun ke 56 kematian Umar Mukhtar, kerajaan Libya membina sebuah muzium untuk menunjukkan kepada rakyat senjata yang digunakan oleh Umar Mukhtar dan pengikut-pengikutnya.

• Mata wang kebangsaan Libya - dinar memaparkan gambar Umar Mukhtar.

• Pada tahun 1991, Umar Mukhtar telah dianugerahkan Yemeni Medal of Independence of The First Degree yang diterima oleh anaknya;

• Pada tahun 1940, kelab Umar Mukhtar telah ditubuhkan di Mesir. Persatuan lain juga telah ditubuhkan menggunakan namanya di seluruh negara Arab dan negara-negara Islam

Motivasi

5 Cara Untuk Berfikir Kreatif

by Dunia Maklumat
index
Kadang-kadang kita akan menghadapi kekurangan idea dan tidak berfikir lebih kreatif untuk mencapai sesuatu objektif. berikut merupakan antara tips yang boleh membantu kita jika kita sukar untuk berfikir dengan kreatif:

Berehat – Seseorang yang terlalu fokus dan memaksa dirinya untuk mengetahui keputusan yang bakal diperolehi akan menyebabkan anda terlepas skop yang penting. Hal ini kerana, apabila seseorang stress berfikir untuk mengejar kreativiti, kemungkinan individu demikian akan terlepas perkara yang lebih penting. Dengan itu, adalah lebih baik jika berehat terlebih dahulu dan tenangkan fikiran. Fikiran yang tenang akan memudahkan anda berfikir dengan lebih kreatif tanpa menghadapi sebarang tekanan.

Elakkan Menjadi Terlalu Takut – Anda akan gagal sekali-sekala, tetapi kegagalan bukan pengakhiran. Malahan, kegagalan adalah salah satu cara paling cepat untuk mencari idea-idea yang berjaya. Untuk memetik salah seorang penulis kegemaran saya dan pakar-pakar kebarangkalian cemerlang, Nassim Nicholas Taleb: “. Satu ribu hari tidak boleh membuktikan anda betul, tetapi satu hari boleh membuktikan anda untuk menjadi salah”

Mengetahui Tujuan – pastikan anda mempunyai matlamat dan objektif yang ingin dicapai. Jika anda mempunyai tujuan, ia akan memudahkan anda berfikir lebih bernas dan menuju ke pencapaian idea iaitu yang akan membawa perlaksanaan untuk mencapai matlamat demikian. Jika individu tersebut tidak mengetahui apa yang ingin dicapai, sudah tentu akan lebih sukar untuk menjana idea.

Melihat persekitaran anda – lihat persekitaran anda kerana ia akan mempengaruhi dan mendatangkan idea di dalam fikiran. Contohnya, duduk di taman yang tenang akan merangsang pemikiran anda yang bersesuaian dengan matlamat anda. Sekeliling anda merupakan idea yang akan membantu anda menjadi lebih kreatif.

Bertindak – Melakukan sesuatu seperti Menulis, melukis, melukis, menyanyi, bangun dan , bercakap dengan orang yang tidak dikenali atau apa-apa sahaja yang ingin dilakukan. Apa yang membezakan seseorang yang kreatif dan pemikir adalah purata keupayaan mereka untuk pembaharuan, membuat susulan kepada idea-idea mereka, sekurang-kurangnya sebahagian daripada idea terseebut.

Rabu, 18 September 2013

Pendekatan Keras Segelintir Guru-guru- pendapat seorang Guru yang baik..

Satu tulisan yang sangat baik berkenaan pendekatan guru yang keras terhadapa anak murid.
Ia adalah tulisan seorang guru yang cintakan profesionnya dengan ikhlas..
Saya copy dari blognya untuk bacaan bersama..
http://ychuchai.blogspot.com/2012/09/murid-tahun-tiga-dakwa-trauma-ditampar.html


ARTIKEL



Posted on the October 28th, 2009 under Berita Harian 

SUBANG JAYA, 27 Okt (Bernama) — Seorang murid Tahun Tiga di sebuah sekolah di Pusat Bandar Puchong mendakwa trauma selepas ditampar hingga bengkak oleh seorang guru disiplin hanya kerana lewat 10 minit ke sekolah.
Ibu murid itu, V. Kavitah, 29, berkata anaknya turut mendakwa saluran pendengaran kanannya sedikit terganggu dan demam akibat ditampar hingga menyebabkan dia tidak mahu ke sekolah kerana trauma dengan kejadian pukul 7.40 pagi semalam.
Kavitah berkata anaknya terlewat tiba di sekolah akibat terperangkap dalam kesesakan teruk lalu lintas.
Kavitah berkata pagi ini dia membawa anaknya itu ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani pemeriksaan dan anaknya disahkan mengalami kecederaan dalaman, namun dijangka sembuh dalam tempoh terdekat.
“Tindakan guru itu memukul anak saya tidak sepatutnya berlaku apatah lagi anak saya seorang perempuan. Saya hanya mendapat tahu mengenai kejadian ini daripada anak saya ketika menjemputnya pulang dari sekolah selepas tengah hari semalam,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Puchong di sini.
Kavitah kesal guru besar mahupun guru disiplin enggan meminta maaf apabila beliau ke sekolah berkenaan pagi ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu.
“Justeru saya kemudian mengambil keputusan untuk membuat laporan polis kerana mahu anak saya mendapat keadilan dan supaya guru itu tidak sewenang-wenangnya memukul pelajar. Saya tidak mahu pelajaran anak saya terjejas,” katanya.



1.0         PENGENALAN
Dunia pendidikan di Malaysia pada masa kini sedang melalui era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Profesion perguruan merupakan profesion tertua di dunia dan kini telah memasuki satu era yang baharu.  Profesion perguruan merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat masa depan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Guru, satu profesion yang digeruni kerana guru dapat melahirkan insan yang berakhlak mulia dan dihormati dimana-mana jua seseorang guru itu berada.
Masyarakat masa kini sangat prihatin dan mengikuti perkembangan pendidikan dengan penuh minat dan bersikap kritikal terhadap isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan kemajuan anak-anak mereka. Maka tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni. Dengan kata lain, profesion perguruan merupakan badan yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menghasilkan rakyat atau warga negara yang berperanan positif terhadap kemajuan serta masa depan negara.

Malangnya, ketika kita bersungguh-sungguh menyahut cabaran masa kini untuk merealisasikan aspirasi negara, timbul pula isu-isu yang melibatkan guru. Pepatah ada menyebut bahawa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sejak kebelakangan ini, profesion perguruan ditimpa pelbagai masalah dan perkara yang negatif (Abdul Rahin Bin Hamdan...[et al]). Berita guru memukul pelajar, mendera, mencabul dan merogol anak didik sendiri sering berlaku dan menjadi topik media. Kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Tidak kurang juga apabila ia menjadi bualan hangat di kalangan masyarakat

Kejadian sedemikian menyebabkan imej profesion keguruan kian tercalar teruk di mata masyarakat dek kesalahan yang dilakukan oleh segelintir guru. Sesungguhnya kebanyakan guru menghendaki murid-muridnya mematuhi segala arahan sekolah, tetapi pada masa yang sama, ada juga guru yang enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian. Apakah sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita? Beberapa perlakuan guru sekolah terhadap murid mereka dalam tempoh beberapa tahun ini menimbulkan persoalan mengenai tahap kualiti guru.

Antara kes-kes yang dilaporkan oleh media massa dan media elektronik berkaitan dengan guru memukul murid yang berlaku di sekolah-sekolah. Contohnya satu kes yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Gayang, Tuaran, Sabah pada 19 Julai 2008, seorang guru besar digantung kerja selama dua bulan kerana telah didakwa menampar 22 pelajar tahun empat dari sekolah berkenaan yang tidak menyiapkan kerja sekolah mereka. Sementara di Alor Setar pula, seorang guru perempuan didakwa memukul seorang murid tahun tiga di sebuah sekolah rendah dengan menggunakan pembersih habuk plastik bertangkai besi kerana murid tersebut tidak membersihkan kelas pada waktu rehat seperti yang ditetapkan dalam jadual tugasan harian.

Sementara itu di Johor pula, beberapa nota ditulis oleh seorang murid tahun dua untuk mencurahkan perasaannya selepas dipukul guru Bahasa Melayu sebagai bukti ‘penderaan’ terhadapnya di sebuah sekolah rendah di Batu Pahat. Bukti itu semakin jelas apabila mata kiri murid itu, mengalami pendarahan beku akibat dipukul guru terbabit. Di samping itu, seorang murid tahun satu patah tulang bahagian tengah tapak tangan kanannya selepas dikatakan dipukul oleh seorang guru sebagai hukuman kerana berbuat bising dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau Dalam, Yan pada 31 Julai 2005,. (Utusan, 1 Ogos 2005).

Selain itu, dua murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang, Ayer Molek cedera di dagu dan kaki kerana didakwa dicubit serta dipukul oleh seorang guru lelaki pada 14 Januari 2009.  (Utusan, 15 Januari 2009). Pada 21 Oktober 2009 pula, seorang pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum mengalami luka di bibir dan lebam di pipi, selepas mendakwa ditampar sebanyak lima kali oleh guru sekolahnya gara-gara dituduh ponteng kelas. (Utusan, 22 Oktober 2009).

Di antara pelbagai jenis berita yang dilaporkan ini, ada suatu berita yang menarik perhatian saya di akhbar Berita Harian. Pada 27 Oktober 2009, di sebuah sekolah di Pusat Bandar Puchong, Subang Jaya, seorang murid Tahun Tiga di sebuah sekolah di Pusat Bandar Puchong mendakwa trauma selepas ditampar hingga bengkak oleh seorang guru disiplin hanya kerana lewat 10 minit ke sekolah.

Ibu murid itu, V. Kavitah, 29, berkata anaknya turut mendakwa saluran pendengaran kanannya sedikit terganggu dan demam akibat ditampar hingga menyebabkan dia tidak mahu ke sekolah kerana trauma dengan kejadian pukul 7.40 pagi semalam. Kavitah berkata anaknya terlewat tiba di sekolah akibat terperangkap dalam kesesakan teruk lalu lintas. Kavitah berkata pagi ini dia membawa anaknya itu ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani pemeriksaan dan anaknya disahkan mengalami kecederaan dalaman, namun dijangka sembuh dalam tempoh terdekat.

Apakah yang menyebabkan ramai guru bertindak ganas? Wajarkah seorang guru yang dianggap sebagai satu jawatan yang profesional bersikap sedemikian terhadap pelajar dan masyarakat? Kesemua soalan tersebut telah menjadi perbualan hangat di kalangan masyarakat. Apabila masyarakat mula membincangkan isu ini, sudah tentu bukan sahaja imej guru tersebut yang tercalar malahan imej profesion keguruan juga turut menerima tempias yang sama. Selaku seorang guru, kami haruslah menyedari pelanggaran etika keguruan boleh memberi kesan negatif kepada profesion perguruan dan kita haruslah cuba mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu dalam keadaan tidak rasional.

Secara ringkas, isu guru bertindak ganas terhadap murid sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Kes-kes sedemikian telah membawa banyak kesan negatif kepada kami semua dan masalah ini perlu diatasi secepat mungkin.
  
2.0         PUNCA TINGKAH LAKU BAGI GURU BAGI KES/ ISU TERSEBUT
Setiap perkara yang berlaku mesti ada punca tertentu di sebaliknya. Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr. Robiah Sidin, guru sekarang berdepan dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai ditambah dengan pelbagai karenah (Rafidahshapuan, 2008). Saya berpendapat punca bagi guru disiplin tersebut bertindak keterlaluan mungkin disebabkan oleh tekanan jiwa serta tanggungjawab yang berat di sekolah. Guru pada masa kini bukan sahaja mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam mengajar tetapi juga mengurus dan mendidik; iaitu membentuk sikap, nilai dan akhlak murid-murid melalui pengajaran formal, tidak formal dan melalui perlakuan diri sendiri yang baik.
Dengan pertambahan tugas tersebut, ramai guru akan mengalami tekanan jiwa. Kajian telah menunjukkan kebanyakan tekanan guru berpunca daripada tugas mereka dan persekitaran mereka. Di samping itu, Kyriacou(1987) mengenal pasti bahawa punca tekanan ialah tekanan masa, sikap buruk murid terhadap sekolah dan kurangnya motivasi di sekolah, masalah pengurusan bilik darjah, bilangan murid yang ramai di dalam bilik darjah, gaji yang rendah,dan sebagainya. Oleh itu, beban tugas yang semakin meningkat ditambah pula dengan kerenah murid yang pelbagai turut menjadi salah satu punca yang mengakibatkan kes guru bertindak ganas terhadap murid berlaku.
Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed Hassan berpendapat punca guru bertindak ganas mungkin kerana hilang kesabaran. Ini adalah kerana murid-murid pada masa kini telah berubah, murid-murid pada masa kini lebih nakal dan degil. Berbanding dengan guru pada masa lalu, mereka tidak menghadapi masalah sebegini kerana murid pada masa itu lebih patuh. Saya yakin guru disiplin tersebut bukan sengaja ingin menimbulkan masalah. Mungkin guru itu tidak berniat berbuat demikian sehingga perlu mendapatkan rawatan perubatan, tetapi jika emosi turut memainkan peranan dalam menjalankan hukuman, biasanya kesan negatif yang berlebihan sebegitu akan terjadi. Setiap manusia akan mengalami perasaan marah. Namun begitu, kalau sekadar marah semua orang memilikinya dan pernah melaluinya. Tetapi kalau kadar kemarahan itu kerap dan terlalu mudah hilang kawalan, bermakna ia adalah masalah jiwa yang perlu dirawat. (Khamsiah Mohamad, 2010)
Selain daripada personaliti guru yang menjadi punca berlakunya kes-kes keganasan, malah ibu bapa juga merupakan salah satu pihak yang mengakibatkan isu ini berlaku. Kebanyakan ibu bapa pada masa kini lebih berpihak kepada anak-anak mereka. Ini menyebabkan kebanyakan murid bermaharajalela dengan bertindak sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan guru hilang kesabarannya. Kerap kali, ibu bapa ataupun penjaga tidak mengetahui perlakuan yang dilakukan oleh anak mereka di sekolah, mungkin kanak tersebut bersikap baik di rumah tetapi bertindak sebaliknya di sekolah. Ini akan menyebabkan ibu bapa tidak percaya akan kata-kata atau komen yang diberikan oleh guru.
Dahulu, guru mempunyai status yang tinggi dalam hieraki hidup masyarakat tetapi sekarang tidak lagi kerana murid hari ini dimewahkan oleh ibu bapa mereka. Fenomena yang biasa berlaku ialah guru menunggu bas manakala murid menunggu pemandu peribadi mereka untuk pulang selepas sesi sekolah. Keadaan seperti ini menyebabkan guru dipandang rendah dan seterusnya tidak dihormati murid-murid. Akibatnya, murid-murid tidak takut untuk melawan guru. selain itu, sikap ibu bapa yang menyebelahi anak-anak juga merupakan salah satu punca murid melawan guru. Murid-murid tahu bahawa ibu bapa dia akan menjadi tulang belakang dia sekiranya apa-apa sahaja yang berlaku. Oleh itu, mereka mungkin berani melakukan sesuatu yang melampau terhadap guru sehingga mengakibatkan guru memukul mereka.

Munurut seorang kaunselor Universiti Islam Antarabangsa, Asniza Mamat, salah satu andaian punca guru bertindak ganas terhadap murid ialah guru itu sendiri tidak berminat kepada profesion perguruan (Rafidahshapuan, 2008). Minat merupakan elemen yang penting dalam kerjaya seseorang terutamanya profesion perguruan kerana kita perlu mempunyai minat yang dalam supaya dapat mendidik anak murid kita ke arah yang betul. Jikalau seseorang itu tidak berminat, maka usaha dalam membentuk murid yang berkualiti juga akan menurun dan menjejaskan generasi yang seterusnya.
Disebabkan kerja tidak ikhlas, jadi peranan untuk mendidik anak bangsa dipandang ringan. Tingkah laku tidak mencirikan seorang pendidik turut berlaku. Golongan ini merupakan nila. Habis satu belanga susu dikerjakan oleh golongan ini. Bagi aku profession guru adalah kelas pertama. Sekiranya tiada guru maka tiada doktor, tiada jurutera, tiada arkitek, tiada peguam, malah tiada perdana menteri. Semua profession lain pernah mendapat didikan seorang yang bergelar guru. Jadi besar kemungkinan masalah ini adalah disebabkan oleh “guru kelas kedua”.
3.0         KESAN JANGKA PENDEK DAN JANGKA PANJANG
Terdapat beberapa peruntukan undang-undang Kanun Keseksaan telah menyedia dan menetapkan prosedur dan tindakan terhadap mereka yang mencederakan. Contohnya, di bawah Seksyen 350 iaitu kekerasan jenayah yang menetapkan bahawa barang siapa dengan sengaja menggunakan kekerasan kepada seorang lain dengan tidak kerelaan, maka ia telah melakukan atau dikatakan telah menggunakan kekerasan jenayah (James Ang Jit Eng, 2007). Kesan jangka pendek dalam berita ini terhadap guru itu sendiri ialah ibu bapa boleh membawa anaknya berjumpa dengan doktor di hospital kerajaan untuk tujuan rawatan dan laporan kesihatan dan sekiranya telah disahkan oleh doktor, guru tersebut boleh didakwa.
Kesan jangka pendek dalam berita ini juga menyebabkan guru disiplin tersebut mengalami tanggungan peribadi di mana guru perlu membuat bayaran ganti rugi dalam bentuk kewangan seperti membayar denda yang dikenakan oleh Mahkamah atau wang pampasan di luar Mahkamah. Selain itu, guru tersebut juga mungkin dikehendaki meminta maaf secara terbuka, mengadakan jamuan, dan sebagainya sebagai tanda pendamaian supaya masalah tidak berlarutan. Selain itu, murid tersebut mungkin akan mengalami kemurungan sehingga menjauhkan diri dari rakan-rakan mahupun ahli keluarganya yang terdekat. Sekiranya murid tersebut tidak mendapatkan rawatan, keadaan ini mungkin akan bertambah serius dan menghantui murid tersebut sepanjang hidupnya.

Justeru itu, kesan jangka masa panjang dalam hal ini ialah rekod perkhidmatan guru disiplin tersebut akan tercemar kemungkinan besar disenaraikan dalam senarai nama hitam, maka habislah nama baik guru tersbut. Guru-guru yang mengambil tindakan disiplin yang keterlaluan dan tidak dibenarkan dapat dikenakan tindakan tatatertib kerana menjejaskan imej dan nama baik Perkhidmatan Awam. Rekod yang dicatatkan kekal sepanjang perkhidmatan guru itu dan keadaan ini menjejaskan peluang kenaikan pangkat, mendapat biasiswa, melanjutkan pelajaran, berkursus panjang dan sebagainya. Selain itu, profesion keguruan juga akan terbabit dalam kesalahan yang dibuat oleh seorang guru yang tidak beretika itu. Imej profesion keguruan akan tercalar akibat perbuatan sebilangan guru yang tidak beretika itu. Ekorannya, masyarakat akan hilang keyakinan terhadap para pendidik yang asalnya bertanggungjawab untuk mendidik dan melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia. Masyarakat mungkin akan menghina dan tidak akan menghormati guru-guru lagi.

Masyarakat akan beranggapan guru tidak mampu memenuhi matlamat profesion pekerjaan ini yang telah digariskan oleh kerajaan untuk memenuhi kehendak manusia dan rakyat di negara ini (Sufean Hussin, 993:446). Sekiranya keadaan masyarakat tidak mempunyai keyakinan terhadap para pendidikan berterusan, ibu bapa mungkin tidak akan berani menghantar anak-anak mereka ke sekolah lagi. Mereka mungkin lebih rela untuk mengajar anak-anak mereka di rumah jika anak mereka perlu diletakkan di tempat yang terancam, iaitu sekolah. Bah kata “guru kencing berdiri, murid kencing berlari”, tingkah laku guru yang tidak beretika ini mungkin akan terikut-ikut oleh murid nanti. Guru seharusnya mempunyai peribadi yang mulia, berbudi pekerti dan perwatakan yang baik. 

Oleh itu, tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni (Rafidahshapuan, 2008). Malangnya, kejadian guru-guru memukul pelajar sering dipilih untuk dijadikan tajuk utama bagi media massa. Ini secara langsung telah menjejaskan nama baik profesion perguruan serta guru-guru di negara kita. ‘Sudah jatuh, ditimpa tangga’, begitulah bunyinya peribahasa Melayu bagi menggambarkan kesusahan yang datang bersilih- ganti.
Ada kalanya Kementerian Pelajaran turut disaman oleh waris ataupun agen mereka apabila guru mengambil tindakan disiplin yang difikirkan tidak wajar ke atas anak mereka. Apabila hal ini berlaku, Kementerian Pelajaran dikatakan menanggung vicarious liability iaitu menanggung liabiliti akibat daripada tindakan stafnya. Kerajaan akan menyediakan peguam bela untuk membela guru sekiranya tindakan guru tersebut ada dalam linkungan tindakan yang dibenarkan; manakala jika guru tersebut bertindak di luar batasan, kemungkinan besar tidak dapat dipertahankan dan perlu menghadapi sendiri atas tindakan yang dikenakan.
Selain itu, tindakan guru disiplin tersebut akan memberi kesan buruk kepada murid dalam tempoh jangka panjang kerana tindakan ini lebih bersifat mendera, dan bukannya mendidik untuk memperbetulkan kesalahan murid tersebut. Walaupun murid tersebut bersalah kerana lewat 10 minit ke sekolah, dia tidak seharusnya menempuh keadaan yang akan menimbulkan perasaan trauma di sekolah. Tindakan ini jelas melanggar batas kemanusiaan kerana ia akan memberi kesan jangka panjang kepada murid yang masih berumur 9 tahun.
Tambahan lagi, tindakan disiplin ataupun hukuman yang ekstrem pada murid-murid mungkin meninggalkan harapan murni yang ada pada murid terhadap guru-guru di sekolah. Ini mungkin akan menyebabkan murid tersebut mempunyai perasaan benci dan ingin membalas dendam. Murid-murid dalam kategori ini mengalami masalah psikologi dimana mereka sentiasa berasa runsing dan tidak berpuas hati dan mempamerkan tingkah laku seperti ingkar kepada guru, perbuatan vandalisme, menconteng harta benda guru dan sekolah, memukul dan melakukan tindakan-tindakan lain yang agresif.
Kemunkinan lain yang akan berlaku pada murid ialah berubah menjadi pendiam, menyendiri dan antisosial. Murid-murid dalam kategori ini pula adalah golongan yang sudah patah semangat dan tidak mempunyai keinginan untuk berjaya kerana merasakan diri mereka selalu ditindas oleh pihak berkuasa. Maka, kesan yang berlaku di atas murid dalam hal ini akan menyebabkan seorang murid yang pada asalnya merupakan seorang kanak-kanak yang sihat telah menjadi seorang kanak yang mempunyai masalah psikologi.
  
4.0         KOD ETIKA GURU YANG BERKAITAN
Etika ialah satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan (Dewan Bahasa&Pustaka, 1995).  Bagi menjaga imej profesion, setiap guru perlu patuh kepada etika profesionalisme, etika pengajaran, etika tingkah laku dan etika perkhidmatan awam (Abd. Rahim,2007). Kod Etika Profesion merupakan peraturan untuk membantu para guru yang profesional mematuhi prinsip-prinsip yang termaktub supaya menjaga imej baik profesionnya. Oleh itu, setiap guru hendaklah menjalankan tugas tanpa melanggar etika ini. Menurut Kod Etika Profesion Perguruan kategori seperti berikut: -
1.     Tanggungjawab Terhadap Pelajar, guru-guru hendaklah mempunyai tingkah laku yang merupakan tanggungjawabnya terhadap pelajar termasuk lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal lain. Tindakan guru disiplin tersebut yang menampar anak muridnya sehingga menjejaskan pendengarannya telah membahayakan kesihatan murid tersebut. Ini secara tidak langsung telah menjejaskan keselamatan murid di sekolah.
2.     Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa, ia merangkumi menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Tanggungjawab utama ibu bapa adalah menjaga anak-anaknya supaya mempunyai kehidupan yang sempurna. Dalam hal ini, ibu kepada murid tersebut berasa amat kecewa atas perbuatan yang dilakukan oleh guru disiplin tersebut kerana telah menjejaskan kesihatan, pelajaran, serta mental anaknya.
3.     Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara, ia menyeru guru berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan kami sehari-hari dengan baik. Dalam berita ini, guru disiplin tersebut telah bertindak kasar terhadap budak perempuan yang hanya berumur 9 tahun dengan menamparnya. Sebagai seorang guru, beliau perlu senantiasa mengawal emosinya dengan baik supaya tidak bertindak kasar dalam menangani masalah disiplin murid sebaliknya menggunakan cara yang lebih berkesan terutamanya dari segi psikologi seperti bimbingan dan kaunseling untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
4.    Tangungjawab Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Keguruan, termaktub ciri yang menyatakan sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion keguruan. Dalam berita ini, ia telah tersebar ke seluruh pelosok di negara. Ini telah menyebabkan nama baik profesion keguruan telah terjejas dan secara tidak langsung mengakibatkan keyakinan orang ramai terhadap profesion keguruan semakin menyusut.
Ini jelas menunjukkan guru perlu senantiasa menggunakan etika perguruan sebagai panduan untuk meningkatkan profesionalismenya sebagai seorang guru. (Esah Sulaiman, 2003). Ini adalah untuk memastikan pelindungan dan pembangunan diberi perhatian serius untuk menjaga kebajikan dan kepentingan kanak-kanak dan menjamin kanak-kanak dapat membesar dengan sihat dari segi fizikal dan mental. Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuhnya, maka dengan ini para guru perlu menyempurnakan profesionnya ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya.
5.0         CADANGAN MENGATASI TINGKAH LAKU NEGATIF
Isu tentang guru yang bertingkah laku negatif semakin serius, namun saya percaya di mana kemahuan, di situ ada jalannya. Oleh itu, seluruh masyarakat perlu berganding bahu untuk menilai semula dan mencari jalan penyelesaian supaya gejala sebegini dapat dibendung dan mengelakkannya daripada melurat ke tahap yang lebih buruk.

Tokoh  pendidikan,  Tan  Sri  Prof. Dr. Awang  Had  Salleh mencadangkan agar Jabatan Pendidikan Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah psikologi dan mengatasinya dengan segera (Rafidahshapuan, 2008). Bengkel-bengkel boleh diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti guru, tetapi membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit serta mengendalikan perasaan tertekan. Pada pendapat saya, bagi guru yang menghadapi tekanan jiwa atas beban kerja yang banyak sehingga melakukan keganasan terhadap murid boleh menolak tanggungjawab tambahan sekiranya tidak mampu menghadapinya. Saya percaya pihak sekolah akan bertimbang rasa atas keadaan guru yang berkenaan.

Selain itu, bagi guru-guru yang menghadapi masalah emosi pula, mereka boleh meluahkan perasaan mereka kepada orang yang dipercayai kerana cara ini kadangkalanya merupakan cara yang paling efektif bagi menenangkan fikiran kita. Guru haruslah sentiasa mengawal emosi diri apabila menghadapi sesuatu masalah, fikir dahulu sebelum bertindak supaya tidak melakukan sesuatu yang tidak rasional. Dengan kata lain, guru haruslah sentiasa berfikir secara positif dan bijak mencari penyelesaian agar semua masalah dapat diselesaikan dengan segera tanpa kesan negatif. Satu lagi cara yang boleh membantu guru untuk mengatasi masalah emosi ialah berjumpa dengan kaunselor untuk mendapatkan bimbingan dan mempelajari cara mengawal emosi yang baik.

Di samping itu, guru yang inginkan tali persahabatan yang baik dengan pelajarnya hendaklah cuba mengelakkan daripada mendenda atau menghukum pelajar dengan keterlaluan (Saedah Siraj...[et al], 1996). Guru boleh memberitahu penjaga atau ibu bapa murid tentang sikap anak mereka. Dengan membuat satu panggilan telefon kepada ibu bapa pelajar, guru dapat mengelakkan dirinya daripada mengenakan denda yang mungkin keterlaluan. Selain itu, untuk mendisiplinkan murid, terlebih dahulu guru sendiri perlu mendisiplinkan dirinya supaya kumpulan murid dalam kelasnya sentiasa menghormatinya. Guru boleh menjalankan sesi bimbingan dan kaunseling yang bersesuaian untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Dengan ini, guru lebih mudah mengawal emosinya untuk menyelesaikan masalah murid.

Isu guru adalah masalah negara yang perlu diberi perhatian dengan menaikkan taraf profesion perguruan dengan cara yang berkesan. Kian hari, syarat-syarat pengambilan guru pelatih semakin longgar sehingga menyebabkan ramai orang yang memohon hanya kerana profesion perguruan merupakan profesion yang senang dimohon serta dijamin peluang pekerjaan. Inilah masalah kualiti guru kesan daripada pengambilan yang bertujuan hanya untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru. Ujian minat atau career test perlu diadakan dalam proses pengambilan guru atau semasa pengajian di institut perguruan ataupun di IPT. Ini untuk menentukan calon yang benar-benar berminat sahaja diambil sebagai guru kerana tanggungjawab yang bakal mereka pikul nanti bukan dianggap sebagai beban tetapi sebagai satu amanah besar yang wajib dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

Dalam usaha menyelesaikan isu-isu keganasan, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting. Ibu bapa haruslah memberi lebih perhatian tentang anak dan bukannya hanya memenuhi keperluan material mereka sahaja. Kadangkala sikap ibu bapa yang hanya menyebelahi anak mereka cuma tahu menyalahkan guru walaupun anak mereka yang telah melakukan kesalahan. Pada pendapat saya, ibu bapa haruslah mencari punca anak mereka dipukul sebelum membawa isu tersebut ke media massa. Sekiranya anak mereka didera, sudah tentu semua pihak akan bersetuju dengan tindakan mereka yang ingin membawa guru tersebut ke sisi undang-undang. Selain itu, ibu bapa juga perlu bertanggungjawab untuk mendidik anak mereka di rumah supaya mereka tidak akan melakukan sesuatu yang negatif sehingga mengakibatkan dendaan.

Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan Tatasusila Profesion Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu marah dan jauhkan daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih dahulu seperti yang digariskan dalam buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru. Guru-guru juga perlu senantiasa memotivasikan diri sendiri dari pelbagai bidang dari semasa ke semasa supaya mempunyai pengetahuan yang luas dalam profesion yang diceburi.
6.0       Kesimpulan

          Guru ibarat pelita yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Anak murid pula ibarat berlindung di bawah cahaya pelita supaya hidupnya terang benderang. Guru memainkan peranan penting dan merupakan nadi kepada pembentukan manusia. Pembangunan insan harus diseimbangkan agar nilai-nilai moral masyarakat supaya sentiasa terpelihara. Guru-guru dituntut agar mempunyai sahsiah dan akhlak yang boleh diteladani oleh pelajar dan masyarakat di samping menguasai pelbagai ilmu, antara lain dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi maklumat, bahasa dan kemahiran berkomunikasi.

          Usaha menangani gejala disiplin murid di sekolah bukan sahaja berfokus kepada strategi-strategi kawalan semata-mata tetapi perlu dikembangkan bagi merangkumi penggunaan strategi lain. Banyak tokoh-tokoh pendidikan mencadangkan penggunaan peneguh-peneguh positif  bagi menangani masalah disiplin murid. Sebagai seorang guru, kita harus senantiasa memperkayakan pengetahuan dalam diri sendiri dengan ilmu-ilmu yang berkenaan dengan cara-cara menangani masalah murid. Pengurusan disiplin yang sistematik mungkin akan membantu murid bertingkah laku dengan lebih baik.
Menurut Abdul Shukor (1999), asuhan guru yang berkesan meninggalkan ingatan dan menjadi amalan yang berpanjangan bagi setiap murid. Seseorang guru perlu senantiasa bertindak secara rasional dan seboleh-bolehnya bertindak mengikut garis panduan tindakan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran. Murid yang dikenakan tindakan disiplin perlu diberi kesedaran sama ada sebelum ataupun selepas tindakan supaya mereka dapat menerima hukuman yang dikenakan secara positif dan tidak mengulanginya.
Tindakan disiplin tidak harus menimbulkan sifat marah ataupun dendam yang mendalam kerana keadaan ini menggagalkan tujuan sebenar hukuman dikenakan. Guru-guru sepatutnya memiliki sifat-sifat penyayang seorang pendidik dan sabar melayani gelagat dan kelakuan murid. Walaupun ini merupakan satu cabaran yang amat ketara di kalangan guru pada masa kini, tetapi kesabaran dan daya tahan yang tinggilah yang dapat mempamerkan erti kata profesion yang sebenar dalam diri sendiri guru tersebut.
Tindakan disiplin yang dikenakan perlulah bersifat pengajaran dan guru dapat memisahkan perbuatan salah laku dengan orang yang melakukannya. Tindakan dikenakan ke atas salah laku kerana perbuatan tersebut menyalahi peraturan sekolah tetapi guru masih menyayangi murid sebagai individu dan anak muridnya walaupun tindakan terpaksa diambil ke atas kelakuannya. Seorang guru yang berdedikasi terhadap kerjanya hanya bertindak kerana kebaikan murid. Tiada guru yang sengaja memukul atau mendera anak muridnya kerana guru yang dilatih adalah seorang guru yang menjalankan tugasnya dengan penuh amanah, iltizam dan ikhlas.
Profesion perguruan adalah salah satu profesion yang mencabar dan amat mendesak. Guru diharap mengetahui serba serbi tingkah laku manusia dan memainkan pelbagai peranan untuk menjadikan dirinya seorang pendidik yang berkesan. (Abdul Rahin Bin Hamdan...[et al]). Biar apapun bebanan tugas dan disiplin murid yang dihadapi, guru mesti berpegang pada nilai murni. Usaha mendidik dan membangunkan nilai manusia tidak semudah membina bangunan. Dengan ini guru akan disanjung kerana maruah dan disiplin keilmuan. Akhir kata, jangan nila setitik rosak susu sebelanga.

Kenali Siapa Salafi..


The Malaysian Insider

rencana

Menilai pemikiran Salafiyah - Dr Ahmad Farouk Musa

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh seraya berkata : Sesungguhnya aku adalah salah seorang MUSLIM” (Surah Fussilat 41:33).

Mereka yang memerhatikan perkembangan dakwah yang berlaku di kalangan umat ketika ini terutamanya dalam masyarakat di tanah air pasti akan mempersoalkan apakah itu yang dinamakan “Salafiyah”.

Yang dimaksudkan dengan perbincangan kita tentang “Pemikiran Salafiyah” di sini ialah kerangka berfikir – manhaj fikri – yang tercermin melalui pemahaman generasi terbaik daripada ummat ini, yakni para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan setia, dengan mempedomani hidayah al-Qur’an dan tuntunan Nabi yang tercinta.

Merekalah yang telah berhasil menterjemahkan al-Qur’an dalam kehidupan generasi sesudah mereka. Mereka mengerti kehendak as-Sunnah dalam peribadatan dan kepentingan akal dalam kehidupan seharian. Mereka mempelopori berbagai kemenangan serta menyebarluaskan keadilan dan ihsan. Mereka mendirikan “negara ilmu dan iman”. Mereka membangun peradaban rabbani yang manusiawi, dan merupakan contoh masyarakat madani. Bahkan, segala pencapaian mereka masih tercatat di dalam sejarah hingga ke hari ini.

Adapun kini terdapat banyak tren dalam aliran salafiyah ini dan kita juga sedar akan pertelingkahan yang timbul akibat daripada sikap sesetengah para penyeru kepada dakwah salafiyah ini. Sesungguhnya malapetaka yang paling besar bagi umat Islam ialah perpecahan dan perselisihan.
Sesungguhnya faktor yang membantu kemenangan umat Islam pula ialah kasih sayang dan perpaduan. Generasi akhir ini hanya akan mampu dibaiki dengan apa yang digunakan untuk memperbaiki generasi pertama. Hal ini adalah kaedah asas dan juga matlamat yang diketahui oleh setiap saudara seIslam. Ia adalah sesuatu yang kita yakini, kita perjuangkan dan kita seru.

Maksud Salafiyah

Daripada segi bahasa, Salafiyah dinisbahkan kepada salaf, dan perkataan salaf adalah satu istilah yang penuh misteri.

Salaf seringkali diertikan sebagai generasi yang terdahulu iaitu generasi awal Islam. Bukanlah menjadi hasrat kami untuk memperbincangkan epistemologi Salafiyah kerana ia akan melibatkan huraian yang sangat panjang. Masalah ini telahpun dikesan oleh Dr Muhammad Imarah di mana beliau menyebut di dalam bukunya Tayyarat al-Fikr al-Islamiy:

“Sesungguhnya perkara yang terdahulu yang diikuti masih tidak terhad kerana ianya sendiri tidak berbilang, adakah ia Qur’an dan Sunnah? Atau termasuk di dalamnya makthurat yang diriwayatkan daripada sahabat? Adakah ia nas-nas itu saja atau termasuk juga di dalamnya mazhab-mazhab Tabi’in dan Tabi’-Tabi’in.

"Kalau kita katakan bahawa Salaf adalah Qur’an dan Sunnah bagaimana pula halnya dengan manhaj-manhaj mufassirin. Kalau kita katakan bahawa Salaf adalah kata- kata sahabat dan tabi’in, maka kita sedia maklum bahawa kata-kata mereka dan mazhab- mazhab mereka bukan satu bahkan ada yang bertentangan. Oleh sebab itu, kita tidak mempunyai satu mazhab tertentu yang boleh kita namakan dengan mazhab Salaf.”

Setelah menghuraikan masalah ini dengan panjang lebar, Dr Muhammad Imarah menerangkan bahawa Salafiyah adalah fenomena yang lahir daripada aliran pemikiran pimpinan Imam Ahmad bin Hanbal. Apa yang nyata daripada kata-kata ini ialah Dr Muhammad Imarah berpendapat Salafiyah adalah mazhab Ahmad bin Hanbal dan salafiyyun adalah mereka yang mengikuti mazhab Hanbali.

Huraian Dr Muhammad Imarah ini telah diperjelaskan lagi oleh al-Imam Dr Muhammad Abu Zahrah di dalam Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, sebuah buku yang tersangat penting untuk dikaji dan wajib dibaca oleh mereka yang bergerak di jalan dakwah, terutama oleh golongan yang mendakwa diri mereka sebagai “Salafi”. Antara lain beliau memperjelaskan bahawa aliran Salafiyah yang diasaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal ini telah diperkembangkan semula oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah beberapa kurun sesudah itu.

Adapun Syeikh Muhammad al-Ghazali mempunyai pandangan yang berbeza. Salafiyah menurut beliau adalah aliran pemikiran dan perasaan yang berhubung kait dengan kurun yang baik, kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap al-Qur’an dan as-Sunnah, serta kesungguhan mengumpulkan usaha-usaha umat sama ada berbentuk material atau spiritual demi menegakkan kalimah Allah tanpa membezakan warna kulit dan keturunan.

“Salafiyyun” bukanlah kumpulan tertentu yang menghuni kawasan tertentu di negara Arab dan hidup dengan cara yang tertentu. Sheikh Muhammad al-Ghazali selanjutnya menghuraikan di dalam bukunya Dustur al-Wihdat al-Thaqaffiyyah baina al- Muslimin bahawa ada orang yang memahami Salafiyah sebagai feqah Ahmad bin Hanbal, ataupun Salafiyah itu adalah satu aliran yang terikat dengan “nas” yang bersikap literal dalam penafsirannya.

Menurut beliau, Salafiyah juga bukan dengan kembali kepada yang terdahulu di mana banyak terdapat perkara-perkara yang remeh-temeh yang sepatutnya lenyap di zaman itu juga.

Salafiyah menurut tafsiran beliau adalah satu nama yang besar bagi hakikat yang besar yang asasnya adalah akal yang bebas mengkaji dan aktif, walaupun paksinya tetap merupakan al-Qur’an dan as-Sunnah. Akal yang bebas lagi merdeka inilah yang membuatkan mereka yang berada di atas landasan Salafiyah berupaya untuk menterjemah tuntutan nas berdasarkan maqasid atau tujuan yang hendak dicapai daripada nas tersebut.

Akal yang bebas dan merdeka inilah yang telah mengangkat darjat manusia mengatasi segala makhluk termasuklah mengatasi para malaikat yang suci berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 31-33.

Sheikh Muhammad al-Ghazali melihat Salafiyah sebagai suatu aliran pemikiran dan perasaan yang menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai sumber kekuatannya, namun memberikan ruang yang luas kepada akal yang rasional.

Sebenarnya bukanlah beliau seorang sahaja yang melihat Salafiyah sebagai aliran pemikiran, ramai lagi yang lain kebanyakannya daripada Madrasah al-Imam Muhammad Abduh; seperti Allamah Sayyid Rasyid Ridha, Syeikh Muhammad al-Khudari, Syeikh Mustafa al-Maraghi, Syeikh Jamaluddin al-Qasimi, Syeikh Mahmud Shaltut, Muhammad Abdullah Diraz, Muhammad al- Baki, Muhammad al-Madani, Imam Muhammad Abu Zahrah, Syeikh Yusuf al-Qaradawi dan terlalu ramai para ulama yang seperti mereka.

Sesungguhnya aliran ini bernama Salafiyah tetapi mereka memberikan banyak ruang kepada akal, berlainan dengan Salafiyah Nususiah yang diketuai oleh Sheikh Muhammad Abdul Wahhab yang mempelopori aliran literalis. Kedua golongan ini mempunyai pandangannya masing-masing mengenai Salafiyah.

Salafiyah pada pandangan Imam Muhammad Abduh ialah aliran pemikiran yang bersandar kepada al-Quran dan as-Sunnah serta kemerdekaan akal sebagaimana yang telah dihuraikan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali.

Hal keadaan yang sama telah dimaksudkan oleh al-Imam asy-Syahid Hassan al-Banna apabila beliau menyatakan bahawa dakwah al-Ikhwan al-Muslimun adalah dakwah Salafiyah. Beliau yang merupakan murid kepada Allamah Sayyid Rasyid Ridha telah meneruskan dakwah Salafiyah yang merupakan manhaj al-Ikhwan al-Muslimun dari dahulu hingga ke hari ini.

Maka amat hairanlah kita apabila melihat al-Ikhwan dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai “Salafi”.

Citra “Salafiyah” dirosakkan

Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, istilah “Salafiyah” ini telah dirosakkan citranya oleh kedua-dua golongan yang mendokong dan menentang.

Orang-orang yang mendokong manhaj Salafiyah – baik yang selama ini dianggap orang dan menamakan diri mereka sedemikian, atau yang sebahagian mereka yang dianggap memahami konsep Salafiyah – telah membatasinya dalam skop formaliti dan kontroversi sahaja, seperti masalah-masalah tertentu dalam Ilmu Kalam, Ilmu Fiqh atau Ilmu Tasawuf.

Mereka tersangat keras dan garang terhadap orang lain yang berbeza pendapat dengan mereka dalam masalah-masalah kecil dan tidak prinsipal ini. Sehingga memberi kesan kepada sesetengah orang bahwa manhaj Salafiyah adalah merupakan metodologi “debat” dan “polemik”, bukan manhaj yang konstruktif dan praktikal.

Dan juga memberi kesan bahawa yang dimaksudkan dengan “Salafiyah” ialah mempersoalkan perkara yang kecil dan remeh dengan mengorbankan hal-hal yang yang pokok dan mendasar. Mereka mempermasalahkan khilafiah dengan mengabaikan masalah-masalah yang disepakati. Mereka mementingkan formaliti dan kulit dengan melupakan inti dan jiwa.

Kita melihat di negara kita betapa obsesnya mereka dengan janggut, isbal dan niqab seakan-akan yang demikian itu menjadi lambang Salafiyah.

Sedangkan pihak yang menentang Salafiyah menuduh faham ini sebagai kefahaman yang “mundur”, senantiasa menoleh ke belakang, tidak pernah memandang ke hadapan. Faham Salafiyah, menurut mereka, tidak memberi perhatian terhadap hal ehwal masa kini dan masa depan.

Golongan Salafiyah ini juga dilihat sangat fanatik terhadap pendapat sendiri, tidak mahu mendengar suara dan pendapat orang lain. Salafiyah membawa pengertian anti pembaharuan atau permodenan, mematikan kreativiti dan daya cipta. Salafiyah juga merupakan suatu bentuk pemikiran yang ekstrim, yang tidak mengenal apa itu moderat dan pertengahan.

Kata Syeikh Yusuf al-Qaradawi lagi, sebenarnya tuduhan-tuduhan ini merosak citra Salafiyah yang hakiki dan penyeru-penyerunya yang asli. Barangkali tokoh yang paling menonjol dalam menyebarkan “Salafiyah” dan membelanya bermati-matian pada masa lampau ialah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berserta muridnya Imam Ibnul Qayyim. Mereka inilah orang yang paling layak mewakili gerakan”pembaruan Islam” pada masa mereka kerana pembaharuan dan tajdid yang mereka lakukan benar-benar meliputi seluruh disiplin ilmu Islam.

Mereka telah menumpaskan faham taqlid, fanatik madzhab fiqh dan ilmu tasawuf yang menyeleweng yang telah mendominasi dan mengekang pemikiran Islam selama beberapa abad. Namun, di samping kegarangan mereka dalam membasmi ashabiyah madzhabiyah ini, mereka tetap menghargai para Imam Madzhab dan memberikan hak-hak mereka untuk dihormati. Hal itu jelas terlihat dalam risalah Raf’ul – Malaam ‘anil – A’immatil A’lam karya Ibnu Taimiyah.

Demikian juga hebatnya serangan mereka terhadap “tasawuf” kerana penyimpangan- penyimpangan pemikiran dan aqidah yang menyebar di dalamnya. Khususnya di tangan para pengasas madzhab Al-Hulul Wal-Ittihad (penyatuan). Dan penyelewengan perilaku yang dilakukan para orang jahil dan yang menyalahgunakan “tasawuf” untuk kepentingan peribadinya.

Namun, mereka menyedari akan tasawuf yang benar lagi sahih. Mereka memuji para pemuka tasawuf yang ikhlas dan rabbani. Bahkan dalam bidang ini, mereka meninggalkan warisan yang sangat berharga, yang tertulis dalam dua jilid kitab daripada Majmu’ Fatawa karya besar Imam Ibnu Taimiyah. Demikian pula dalam beberapa karangan Ibnu-Qayyim. Yang termasyhur ialah Madarijus Salikin syarah Manazil as-Sairin ila Maqomaat Iyyaka Na’budu wa-Iyyaka Nasta’in, dalam tiga jilid.

Bukan sekadar ucapan

Syeikh Yusuf al-Qaradawi menekankan bahawa mengikut manhaj Salaf, tidaklah bererti sekadar menuruti ucapan-ucapan mereka dalam masalah-masalah kecil tertentu. Adalah suatu hal yang mungkin terjadi, anda mengambil pendapat-pendapat Salaf dalam masalah yang juz’i, sedangkan pada hakikatnya anda telah meninggalkan manhaj mereka yang universal, integral dan seimbang. Sedangkan apa yang lebih wajar, anda memegang teguh manhaj mereka yang kulli (universal), jiwa dan tujuan-tujuannya, walaupun anda menyalahi sebagian pendapat dan ijtihad mereka.

Inilah sikap saya secara peribadi terhadap kedua Imam tersebut, yakni Imam Ibnu Taimiyah dan Ibnul Qayyim, kata Syeikh Yusuf al-Qaradawi. Saya sangat menghargai manhaj mereka secara global dan memahaminya. Namun, ini tidak bererti bahawa saya harus mengambil semua pendapat mereka. Jika saya melakukan hal itu bererti saya telah terperangkap dalam taqlid yang baru. Dan bererti telah melanggar manhaj yang mereka pegang dan perjuangkan sehingga mereka disiksa kerananya iaitu manhaj “nalar” dan “mengikuti dalil”. Melihat setiap pendapat secara objektif, bukan memandang orangnya. Apa ertinya anda mengkritik orang lain yang bertaqlid kepada Imam Abu Hanifah atau Imam Malik, jika anda sendiri bertaqlid kepada Ibnu Taimiyah atau Ibnul Qayyim.

Juga termasuk dalam perbuatan menzalimi kedua Imam tersebut jika hanya disebutkan sumbangan mereka daipada segi ilmiah dan pemikiran dan mengabaikan sudut-sudut lain yang tidak kurang pentingnya daripada yang pertama. Sering kita terlupa sisi Rabbani daripada kehidupan Ibnu Taimiyah yang pernah menuturkan kata-kata:

“Aku melewati hari-hari dalam hidupku di mana suara hatiku berkata, kalaulah yang dinikmati ahli syurga itu seperti apa yang kurasakan, pastilah mereka dalam kehidupan yang bahagia.”
Di dalam sel penjara dan penyiksaannya, beliau pernah mengatakan: “Apakah yang hendak dilakukan musuh terhadapku? Sekiranya aku di penjara, maka aku berkhalwah, sekiranya aku di buang daerah, maka aku melakukan rehlah, dan jika aku dibunuh nescaya aku menikmati syahadah”.

Beliau adalah seorang lelaki rabbani yang mempunyai kekuatan rohani. Demikian pula muridnya Ibnul Qayyim, dan hal ini dapat dirasakan oleh semua orang yang membaca kitab-kitabnya dengan hati yang terbuka.

Namun, orang seringkali melupakan, segi “dakwah” dan “jihad” di dalam kehidupan dua orang Imam tersebut. Imam Ibnu Taimiyah terlibat langsung dalam beberapa medan pertempuran dan bertindak sebagai penggerak kebangkitan umat. Kehidupan kedua-dua tokoh itu penuh diwarnai perjuangan dalam memperbaharui seruan Islam. Mereka dihumban ke dalam penjara beberapa kali kerana usaha pembaharuan yang dilakukan. Akhirnya Syaikhul Islam mengakhiri hidupnya di dalam penjara, pada tahun 728 H. Inilah makna “Salafiyah” yang sebenarnya.

Berkata Syeikh Yusf al-Qaradawi lagi, apabila kita mengalihkan pandangan ke zaman sekarang, kita akan bertemu tokoh yang paling menonjol yang mendakwahkan “Salafiyah”, dan paling gigih mempertahankannya menerusi artikel, kitab karangan dan majalah pembawa misi “Salafiyah”, ialah Imam Muhammad Abduh dan muridnya Allamah Sayyid Muhammad Rasyid Ridha.

Menerusi majalah Al-Manar dalam tempoh lebih tiga puluh tahun telah membawa “bendera” Salafiyah ini. Syeikh Rasyid Ridha kemudiannya menulis Tafsir al-Manar hasil daripada pengajian tafsir yang dipelajari daripada gurunya Imam Muhammad Abduh, dan dimuatkan di dalam majalah yang sama, yang telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia hinggalah ke nusantara ini.

Menerusi al-Manar-lah, tumbuhnya gerakan Salafiyah di nusantara ini dengan para pemimpinnya seperti Ustaz Ahmad Dahlan dengan “Muhammadiyyah”nya, Syeikh Ahmad Surkati dengan “Al-Irsyad”nya, dan Ustaz A. Hassan dengan “Persatuan Islam”nya.

Begitu juga dengan para tokoh ilmuan daripada kalangan mufassir dan muhaddith seperti Prof Hasbi as-Siddiqui. Gema Salafiyyah yang dicanangkan oleh Imam Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha itu juga disambut oleh para ulama’ di Tanah Melayu yang bangun memperjuangkan risalah Tauhid dan menggerakkan Tajdid seperti Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi.

Imam Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha adalah para Mujaddid Islam pada masanya. Barangsiapa yang membaca tafsir al-Manar dan buku-bukunya, seperti Al-Wahyu Al-Muhammadi, Yusrul-Islam, Nida’ Lil-Jins Al-Lathief, Al-Khilafah, Muhawarat Al-Mushlih wal-Muqollid dan sejumlah kitab dan makalah-makalahnya, akan melihat bahawa pemikiran para tokoh ini benar-benar merupakan “Manar” yang memberi petunjuk dalam perjalanan Islam di masa moden. Kehidupan amali mereka merupakan bukti bagi pemikiran “Salafiyah” yang mereka terokai.

Rasyid Ridhalah yang merumuskan suatu kaedah “emas” yang terkenal dan kemudiannya dilanjutkan oleh Imam Hasan al-Banna iaitu kaedah:
“Marilah kita saling bekerja sama dalam hal-hal yang kita sepakati. Dan marilah kita saling memaafkan dalam masalah-masalah yang kita berbeza pendapat.”

Betapa indahnya kaedah ini jika difahami dan diterapkan oleh mereka yang mengaku diri mereka sebagai “Salafi”.

Penutup

Kami menyeru kepada semua yang berada di atas landasan dakwah agar mengelakkan diri kita daripada cepat menuduh orang lain yang bebeza pendapat dan berbeza penafsiran dengan kita dengan tuduhan “LIBERAL” dan sebagainya.

Ingatlah pesanan asy-Syahid Imam Hassan al-Banna: “Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa yang memberi kebaikan”.
Dan nasihatnya lagi: “Sesungguhnya kewajipan-kewajipan kita adalah lebih banyak daripada masa yang ada pada kita; oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya”. - September 17, 2013.

* Penulis ialah pengarah Islamic Renaissance Front, Kuala Lumpur. Artikel ini ditulis pada Oktober 2008.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.