Kaedah pendidikan, kerja rumah dan budaya suka
membaca: pendekatan sekolah di Australia- Nurhidayah Muhd Hashim
Melihat
perlaksanaan negara lain boleh membuka pandangan kita untuk mempertingkatkan
kelompongan yang ada. Ini bersesaian dengan ajaran Islam di mana apa-apa yang baik haruslah dicontohi apatah
lagi demi kesejahteraan kanak-kanak sebagai generasi pelapis negara masa depan.
Ini bertepatan pula dengan usaha negara memperbaiki sistem pendidikan negara
dan juga bergerak ke arah negara maju pada tahun 2020.
Satu perkara
penting yang dapat dilihat dari sistem sistem pendidikan sekolah rendah di
Australia adalah mereka tidak mendesak ilmu diberi secara cepat dan memaksa
kanak-kanak menjadi ‘pandai’ lebih awal melepasi
tahap normal keupayaan mereka. Silabus subjek mereka terutama matematik dan
sains tidak begitu berat dan serius seperti yang dijalankan di sini. Mereka
tidak menggunakan konsep ‘hafal’ fakta atau sifir tetapi lebih kepada memahami
konsep sesuatu perkara yang diajar. Mereka juga menggunakan pendekatan
praktikal dan kemudian pelajar mengingati sesuatu input secara ‘sepontan atau
tanpa sedar’ kerana selalu mengulanginya atau kerana guru-guru menceritakan
rasional di sebalik maklumat tersebut.
Lihat, pegang, buat dan hafal
Pembelajaran
secara aplikasi dalam subjek matematik dan sains sangat ketara di sana.
Contohnya apabila mempelajari tentang binatang mamalia, replitilia dan
sebagainya, pelajar akan dibawa ke zoo berdekatan atau menonton dokumentari
bersama guru tentang haiwan. Semasa matapelajaran sains berkaitan alam, pelajar
akan dibawa ke taman, ke padang di luar bilik darjah dan membuat ekperimen yang
bersesuaian. Melawat pasar ikan juga adalah antara tempat penting untuk guru-guru
membawa murid-murid dalam pembelajaran sains. Mereka belajar dengan memahami
konsep, melihat, membuat dan kemudian mengingat.
Ketika mempelajari
matematik gred tiga dan empat berkenaan berat dan jarak, murid-murid dibawa
berjalan keluar dari kawasan sekolah ke mana-mana kedai berdekatan dengan
sekolah dan tuan kedai akan menunjukkan bentuk-bentuk timbangan serta bagaimana
barang ditimbang, kilogram diguna, apakah gram dan sebagainya. Pelajar akan
diberi peluang berlakon sebagai pekedai
dan pembeli menggunakan alat penimbang dan pengukur jarak. Kanak-kanak bukan
menghafal ukuran gram dan kilogram sebegitu sahaja, tetapi melihat sesuatu
dengan mata mereka dan melakukannya. Ini menunjukkan pendekatan mereka adalah
teori dan praktikal sekali gus. Ingatan mereka terhadap perkara tersebut bukan
melalui hafalan, tetapi melalui penglihatan dan praktikal.
Begitu juga
ketika mereka belajar sifir. Guru tidak memaksa murid menghafal sifir tanpa
tahu bagaimana bahagi, tolak, darab dan bahagi berlaku. Contohnya ketika guru
mengajar sifir, mereka menggunakan pendekatan bersahaja dan menarik dengan menunjukkan dengan praktikal pembahagian sesuatu
barang seperti manik, duit, batu kecil, gula-gula di lantai dengan santai dan
ceria. Guru akan membahagiakan dalam
beberapa kumpulan mengikut pecahan sifir berapa yang diajar. Pelajar akan
mengelilingi guru dan memberi jawapan untuk tambah, tolak, darab dan bahagi.
Selepas praktikal dibuat, dan murid faham bagaimana bahagi berlaku, darab
berlaku, maka baharulah hafalan sifir dibuat. Kanak-kanak menghafal sifir kerana melihat
kegunaannya dalam hidup dan bukan kerana takut dirotan kerana tidak menghafal
sifir. Secara tak langsung, guru-guru menjadikan subjek matematik dan sains
adalah matapelajaran yang disukai, menarik dan seronok.
Kerja rumah
Saya melihat
mereka sering merujuk kepada pendapat pakar, guru-guru dan ibu bapa
dalam hal berkaitan persekolahan. Contohnya mengenai urusan memberi
kerja rumah selepas tamat sekolah. Amalan umum adalah mereka tidak membebankan
pelajar dengan kerja rumah yang bertimbun-timbun seperti diamalkan di
sekolah-sekolah kita sekarang ini. Walaupun ada kebaikan dalam tindakan
guru-guru memberi kerja rumah, tetapi apabila ianya banyak dan semua subjek
mempunyai kerja rumah, maka sudah tentu ia membebankan kanak-kanak.
Isu kerja rumah
ini pernah menjadi topik hangat di kalangan ibu bapa dan pakar pendidikan di
Australia. Semasa saya sekeluarga masih berada di Australia pada awal tahun
2012, terdapat perbincangan berhari-hari di stesen TV bertajuk ‘kerja rumah-
wajar atau tidak’. Pihak TV menemubual
sekumpulan ibu bapa, pakar pendidikan dan guru-guru sekolah. Ramai ibu bapa tidak bersetuju jika sekolah
memberikan kanak-kanak kerja rumah, kerana ia membebankan kanak-kanak. Ia
disokong pula oleh seorang pakar pendidikan kanak-kanak yang menghuraikan
bahawa sebarang kerja rumah yang hanya bertujuan membuat pelajar sibuk
menyalin, menjawab soalan-soalan latihan tidak membawa manfaat yang banyak
kepada pelajar.
Terdapat juga pakar yang berdebat mengatakan
kerja rumah wajar diberi tetapi dalam jumlah yang sedikit dan tidak
membebankan, tidak boleh mengambil masa yang lama dan haruslah berkaitan dengan
pendidikan kanak-kanak untuk hari-hari seterusnya. Maksudnya kerja rumah diberi
hendaklah untuk memudahkan mereka belajar tajuk selepasnya dan bukan mengulangi
apa yang telah dipelajari. Ia juga semestinya tidak boleh menyebabkan terganggu
keseimbangan tumbesaran kanak-kanak untuk masa mereka bermain, membaca
buku-buku cerita dan menonton TV yang turut sama membina minda mereka.
Di sana,
kanak-kanak berada di sekolah selama 6 - 7 jam setiap hari (bermula jam 9.00
pagi dan tamat sesi persekolahan jam 3.30 petang). Menurut guru besar yang
ditemubual, mereka melihat waktu belajar secara formal di sekolah selama 6-7
jam itu sudah memadai untuk kanak-kanak.
Waktu petang selepas sesi persekolahan
adalah untuk mereka bermain, atau menghadiri kelas di luar sistem persekolahan
seperti kelas teakwondo, tarian, berenang dan lain-lain aktiviti untuk
keseimbangan fizikal dan minda mereka. Manakala waktu malam selepas makan
adalah untuk mereka membaca bahan bacaan dan novel-novel bersama ibu bapa
sebelum tidur untuk membina kemampuan kreativiti dan penguasaan bahasa mereka. Tuisyen
atau kelas tambahan selepas waktu sekolah adalah perkara yang bukan amalan di
sana. Beliau beberapa kali menegaskan bahawa tuisyen selepas belajar secara formal
di sekolah adalah tidak wajar, ia membebankan kanak-kanak, tidak baik untuk
tumbesaran mereka dan boleh menimbulkan kesan negatif seperti tidak cukup rehat
dan waktu bermain untuk kanak-kanak.
Apa yang saya
perhatikan dalam sesi pembelajaran anak-anak di sana, kerja rumah yang
diberikan adalah berkaitan dengan tugasan seterusnya. Contohnya jika
murid-murid ditugaskan membentangkan sesuatu tajuk pada minggu seterusnya, maka
kerja rumah adalah untuk mencari bahan berkaitan tajuk tersebut dari internet
dan sebagainya, serta membuat slide
perbentangan. Ini menunjukkan mereka mengambil maklum pendapat pakar pendidikan
dan kehendak ibu bapa dalam melaksanakan pendekatan untuk memberi kerja rumah
atau tidak. Ia sekali gus menjawab soalan kenapa mereka tidak membebankan
kanak-kanak dengan pelbagai kerja rumah seperti diamalkan di negara kita.
Membaca buku cerita adalah kerja rumah
Pendekatan
menyeluruh berkaitan dengan kerja rumah dan penerapan nilai budaya suka membaca
dapat dilihat daripada penjelasan guru kelas yang ditemubual. Katanya, membina
minat suka membaca di kalangan kanak-kanak adalah satu perkara yang penting.
Seseorang dewasa sukar mempunyai minat suka membaca jika ia tidak diterapkan
dari kecil. Justeru, amalan biasa di Australia adalah sebelum balik dari
sekolah, setiap kanak-kanak akan disuruh meminjam beberapa buah buku cerita di
perpustakaan kelas atau perpustakaan sekolah dan mereka hendaklah membaca buku
tersebut bersama ibu bapa. Itulah yang
dipanggil kerja rumah bagi mereka. Mereka juga diberi sebuah buku log untuk ibu
bapa tandatangan mengesahkan buku cerita tersebut telah dibaca dengan catatan
berapa minit diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Bagi pelajar yang belum tamat
membacanya, maka ia hendaklah disambung pada hari selepasnya. Manakala yang
sudah tamat, akan mengambil buku lain untuk dibaca di rumah. Pada hujung bulan,
pelajar yang menghabiskan buku paling banyak akan menerima hadiah atau dipilih
sebagai ‘pupil of the week’. Justeru, adalah perkara biasa di sana seseorang
pelajar berjaya menghabiskan 30 buah atau lebih bahan bacaan seminggu.
Membaca buku
cerita dengan ibu bapa sangat ditekankan di sana. Sekolah dan perpustakaan
daerah kerap mengadakan sesi pembacaan buku cerita dengan menjemput ibu
bapa dalam aktiviti tersebut. Mereka turut
membuat tutorial kepada ibu bapa bagaimana untuk membaca buku bersama
anak-anak. Itulah sebabnya juga kenapa dalam cerita kanak-kanak kecil di
negara-negara maju akan ada sesi membaca buku sebelum tidur bersama ibu bapa,
yang dipanggil ‘bedtime stories’. Kerana itu juga, masyarakat mereka menjadi
sebati dengan budaya membaca dan mendarah daging sehingga mereka dewasa. Ini
menjawab pertanyaan kenapa kita sering melihat kanak-kanak atau orang dewasa di
Australia dan juga negara maju mempunyai tahap minat membaca yang tinggi dan sentiasa membawa buku ke mana-mana, dan
membaca buku dalam keretapi, tram, bas, sambil menunggu kaunter, di klinik dan
sebagainya. Sistem persekolahan mereka sebenarnya meletak perancangan ke arah
pembinaan minat membaca ini. Pendekatan sekolah rendah sudah bergerak ke arah
menanam, membina dan menyuburkan budaya suka membaca dalam diri kanak-kanak
sekolah rendah. Budaya suka membaca menjadi agenda semua pihak, bukan agenda individu
atau ibu bapa yang prihatin.
Dengan membaca
novel dan bahan bacaan, guru tersebut
menjelaskan mereka berjaya mendapat beberapa manfaat. Selain dari menjadikan
kanak-kanak akan membaca sehingga menjadi amalan harian mereka, ia juga
memperkasakan kanak-kanak dengan bahasa mereka dan menguasai maksud serta
penggunaan perkataan dan prosa kata. Kanak-kanak tahu apa maksud sesuatu
perkataan, kata-kata hikmah dan peribahasa serta bagaimana ia digunakan.
Justeru, membaca novel dan bahan bacaan menjadi perkara penting di sekolah di
sana. Kanak-kanak bukan menghafal tatabahasa, atau menghafal erti sesuatu
kata-kata hikmah tetapi memahaminya melalui penulisan yang dibaca. Melalui
pembacaan, jendela akal mereka terbuka dan mereka tanpa sedar menghafal penggunaan
tatabahasa, kosa kata dan menirunya dalam percakapan dan penulisan. Sudah tentu
menjadikan kanak-kanak membaca untuk membina minda dan kemahiran bahasa sebagai
agenda sekolah tidak dapat dilakukan sekiranya kerja rumah untuk pelbagai
subjek diberi dengan banyak. Pendekatan holistik mereka berjaya membina
masyarakat yang cintakan ilmu dan suka membaca.
Saya berpendapat pendekatan mereka sangat dekat dengan apa yang Nabi ajarkan. Kata-kata ilmuan Islam yang hebat, Muhammad Abduh selalu terngiyag-ngiyang di minda saya; Semasa beliau dibawa berjalan-jalan di sekitar Eropah, Syeikh Mohammad Abduh berkata:
رأيت الاسلام و لم ار المسلمين و رأيت المسلمين و لم ار الاسلام
“Aku melihat Islam (di Eropah), tapi tidak melihat Muslim. Dan aku melihat Muslim (di Mesir/negara Arab) tetapi aku tidak melihat Islam”.
Sungguh, saya berharap dan berdoa agar nilai2 Islam akan berada dalam masyarakat saya; penyayang kepada kanak-kanak, mendidik dengan penuh kasih dan sayang, bukan dengan garang dan baran.