Integriti dalam dunia akademik
Oleh Mohamed Yusoff Ismail
LUMRAHNYA golongan akademik adalah komuniti yang
dianggap kudus, berintegriti, berakhlak tinggi, serta boleh dipercayai
dari segi menjana dan mengukuhkan khazanah ilmu. Hanya akhir-akhir ini
komuniti tersebut telah dicemari dengan unsur-unsur negatif yang
berpunca daripada pelbagai faktor, sama ada kerana permainan ranking
atau faktor-faktor lain, sehinggakan ada yang sanggup melakukan apa
sahaja 'kecurangan akademik' demi mengejar pangkat dan kedudukan.
Istilah 'kecurangan' atau 'jenayah akademik' merujuk kepada perilaku
segelintir pensyarah universiti yang melanggar etika dan amalan baik
profesion perguruan tinggi melalui penyelewengan kuasa atau membuat
dakwaan palsu.
Jenayah akademik dapat dibahagikan kepada tiga jenis: pertama,
pembohongan dalam penulisan biodata; kedua, penipuan dalam penerbitan;
ketiga, salah laku dalam tugas pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan.
Biodata yang sangat hebat
Etika asas penulisan
Curriculum vitae (CV) ialah kejujuran dan
keikhlasan, tetapi penyelewengan maklumat di dalamnya sering berlaku
dengan memasukkan apa yang disebut dalam bahasa Inggeris
half truth.
Maklumat yang dimuatkan kadang-kadang tidak tepat dan boleh
mengelirukan. Satu contoh klasik ialah bagaimana seorang pensyarah
membuat dakwaan palsu bahawa beliau pernah menjadi penyelia Phd di
sebuah universiti terkenal di England.
Pensyarah berkenaan kebetulan menjadi pelawat selama enam bulan di
universiti tersebut. Dalam tempoh tersebut beliau telah dikunjungi oleh
seorang pelajar Phd yang ingin mendapatkan pandangannya.
Apabila pensyarah itu pulang ke tanah air beliau telah mengemaskini
CVnya dengan memasukkan maklumat bahawa beliau telah dilantik sebagai
penyelia Phd di universiti tersebut. Sungguh hebat!
Pengakuan "separuh benar" itu sangat menarik. Pertama, beliau berbuat
demikian kerana terdesak. Permohonan menjadi profesor menghendaki
seseorang itu menjadi penyelia Phd terlebih dahulu. Maka dirangkumnya
pelajar di England itu sebagai calon Phd di bawah seliaannya.
Kedua, nak dipanjangkan cerita, siasatan telah dibuat oleh pihak
dekan. Terbukti berlakunya pembohongan terang-terangan dalam CV
berkenaan. Bahkan calon Phd yang dikatakan diselianya itu telah membuat
pengakuan bertulis menafikan bahawa pensyarah itu adalah penyelianya.
Penulisan dalam percetakan
Satu contoh lagi ialah bagaimana seorang pensyarah dilantik menjadi
profesor kerana dalam CVnya terdapat tajuk buku yang sangat berwibawa.
Sewaktu ditemuduga beliau telah menunjukkan kulit buku yang kononnya
masih dalam percetakan.
Namun demikian, bukunya itu tak keluar-keluar setelah sekian lama.
Maka terkenallah profesor itu di kalangan rakan seangkatannya sebagai
"profesor kulit buku," Yang lain memanggilnya
unbooked profesor.
Selain buku, makalah dalam percetakan juga tidak terkecuali daripada
disenaraikan dalam CV sebagai usaha untuk menunjukkan jumlah penerbitan.
Petua umumnya ialah kita jangan mudah percaya dengan bahan yang masih
dalam percetakan.
Taktik lain adalah mengumpul beberapa kertas kerja yang diformat
semula dan dijilid seolah-olah seperti buku, lalu dipersembahkan sebagai
karya akademik bertaraf buku.
Dalam amalan akademik, kertas kerja yang dikumpul dan dijilid
dipanggil prosiding. Untuk menjadikannya buku tidak salah, tetapi
prosesnya memerlukan penyuntingan dan penilaian yang ketat oleh pakar
bidang. Kalau kertas kerja itu dijilid mentah-mentah tanpa suntingan
rapi sebaik sahaja berlangsungnya seminar, maka integriti orang yang
menjadi penyunting 'buku' itu boleh dipersoalkan.
Bayi tunggal bidan sepuluh
Kita pernah mendengar fenomena pembonceng gratis dalam bentuk penulis
bersama. Amalan ini bukan perkara baru dalam dunia akademik, tetapi
akhir-akhir ini kita sering melihat karya akademik yang mempunyai
terlalu ramai penulis bersama, ada yang sampai sepuluh orang. Setelah
diteliti ternyata bukan semua sepuluh orang itu pakar dalam bidang
berkenaan, tetapi nama-nama mereka dimasukkan dengan tujuan menambahkan
jumlah penerbitan setiap orang.
Fenomena yang seakan-akan sama juga berlaku dalam penulisan kertas
kerja bergabung. Kertas kerja yang dimaksudkan itu adalah hasil kerja
berpasukan tetapi pembahagian tugasnya sangat menarik. Salah seorang
akan menjadi penulis. Seorang lagi akan menaja perbelanjaan ke luar
negara untuk menghadiri seminar. Mungkin ada seorang lagi yang akan
menjadi pembentang kertas kerja tersebut. Setelah pulang, ketiga-tiga
orang itu akan menyenaraikan dalam CV masing-masing satu lagi kertas
kerja antarabangsa.
Menciplak tugasan pelajar
Demi memperbanyakkan jumlah penerbitan ada pensyarah yang menciplak
tugasan pelajar terutama sekali hasil kerja pelajar sarjana dan Phd.
Tugasan pelajar diedit semula dan diterbitkan dalam bentuk artikel tanpa
sebarang pengiktirafan kepada pelajar berkenaan.
Bukan setakat itu, ada pensyarah yang mengguna keringat dan titik
peluh pelajar untuk menjalankan penyelidikan peribadi mereka dengan
alasan bahawa itu adalah sebahagian daripada kerja kursus pelajar. Hasil
penyelidikan itu digunakan oleh pensyarah berkenaan sebagai penerbitan
asalnya, sementara pelajar berputih mata kerana langsung tidak diberikan
sebarang ganjaran ataupun pengiktirafan.
Kewajaran yang digunakan oleh golongan ini ialah sebagai penyelia,
mereka berhak ke atas hasil kerja pelajar kerana merekalah yang
mengeluarkan idea asal dan bimbingan - satu lagi bentuk pentakrifan
semula etika akademik yang mungkin tidak akan berlaku di Barat.
Sibuk dengan penyelidikan
Penyelidikan merupakan salah satu kriteria yang diambil kira dalam
kenaikan pangkat. Jenayah akademik yang melibatkan penyelidikan berlaku
dalam pelbagai bentuk, antaranya pengurusan dana yang penuh dengan
penipuan, sama ada dalam bentuk tuntutan perjalanan, perbelanjaan
runcit, pembayaran kepada pembantu penyelidik 'hantu' serta penggunaan
keringat pelajar secara percuma.
Selain itu terdapat mereka yang menjalankan kerja-kerja perundingan
secara diam-diam tanpa memaklumkan kepada universiti tetapi mereka ini
rakus pula menggunakan kemudahan universiti dan tenaga kakitangan
sokongan pada waktu pejabat dengan dakwaan itu adalah tugas rasmi.
Pensyarah golongan ini biasanya banyak membatalkan kuliah dan
tutorial atau mengajar tidak cukup jam. Ada pula yang menyuruh 'keldai
akademik' melakukan kerja-kerja pengajaran bagi pihaknya. Keldai
tersebut terdiri daripada pensyarah muda yang menaruh harapan kepada
pensyarah kanan dan yang berpengaruh itu.
Tiba-tiba bergelar Dr.
Pada zaman dahulu peluang untuk mendapatkan Phd adalah sangat sukar
kerana prosedur penilaian yang sangat ketat. Apa yang berlaku sekarang
ialah ramai orang yang mendapat Phd dengan begitu mudah, terutama sekali
di kalangan ahli perniagaan dan ahli politik. Hampir tidak percaya --
bila masa pula mereka ini mengikuti pengajian di peringkat Phd?
Ada beberapa kelompongan yang terdapat dalam proses mendapatkan
gelaran Dr. Kalau di luar negara ada Phd yang 'boleh dibeli' terutama
sekali daripada universiti yang integritinya diragui, di Malaysia
caranya agak berlainan.
Proses asas memperolehi Phd melibatkan tiga tahap; penyelidikan,
penulisan dan penilaian. Nampaknya akhir-akhir ini ada beberapa kes di
mana tahap pertama dan kedua itu boleh 'diswastakan' mengikut kadar
bayaran yang boleh dirunding. Maka muncullah penyelidik upahan dan
penulis hantu - satu industri hiliran baru dalam dunia akademik.
Penilaian tesis Phd di universiti luar negara biasanya melalui proses
yang sangat ketat dengan pemeriksa yang dilantik secara objektif
mengikut bidang kepakaran masing-masing. Bahkan penyelia tidak boleh
campur tangan dalam pelantikan tersebut.
Di Malaysia siapa yang akan menjadi penilai 'bisa diatur' dengan
pemeriksanya merangkumi daripada kalangan kawan-kawan baik penyelia
tesis. Yang menariknya ialah apabila kawan-kawannya itu mempunyai
pelajar Phd yang hendak dinilai, maka penyelia ini akan dilantik pula
sebagai pemeriksa. Maka wujudlah lingkaran 'hutang budi' yang sangat
merbahaya.
Perkembangan akademik yang tidak sihat ini sedikit sebanyak
merosakkan persepsi dunia luar terhadap integriti akademik Malaysia.
Biarpun seseorang itu mempunyai CV yang sangat impresif, namun dunia di
luar sana sudah lama mengetahui tentang permainan kotor segelintir
golongan akademik di negara ini.
Seseorang mungkin bergelar Dr. atau profesor, tetapi kalau proses
perolehannya diragui maka tak akan ke mana komuniti akademik kita di
persada antarabangsa.
Yang menariknya jenayah akademik bukanlah jenayah yang boleh
dikenakan tindakan mengikut hukum kanun negara. Maka berleluasalah
pelanggaran etika akademik dalam pelbagai bentuk dewasa ini.
Prof. Dr. Mohamed Yusoff Ismail Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Terbuka Malaysia.