--------------------------
Sistem pendidikan
sekolah kita wajar di reform- Nurhidayah Hashim
Belanjawan 2019
menunjukkan Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan tertinggi demi
meningkatkan mutu pendidikan negara. Syabas
buat kementerian pendidikan. Pada 18 Oktober yang lepas, Menteri telah
mengisytiharkan penubuhan Jawatankuasa Kajian Dasar dianggotai 13 orang pakar
yang akan mengkaji semula semua dasar
dan sistem pendidikan sedia ada. Beberapa hari lepas, Menteri Pendidikan juga
telah mengumumkan bahawa peperiksaan
bagi murid Tahap 1 yang melibatkan murid tahun satu, dua dan tiga akan
dimansuhkan mulai 2019 dan menggantikannya dengan sistem pentaksiran yang lebih
objektif.Satu demi satu Menteri mengisytiharkan penambahbaikan yang ingin
dijalankan.
Apabila kita ingin menambah baik sesuatu, wajar kita melihat kepada pihak lain sebagai gandingan, baharulah kita dapat melihat kedudukan kita dan kenapa reform sangat wajar dilaksanakan.
Apabila kita ingin menambah baik sesuatu, wajar kita melihat kepada pihak lain sebagai gandingan, baharulah kita dapat melihat kedudukan kita dan kenapa reform sangat wajar dilaksanakan.
Saya adalah di antara ribuan rakyat Malaysia yang dianugerahkan
peluang melanjutkan pengajian di Australia pada 2008 hingga 2012. Di samping
membuat kajian saya berkaitan undang-undang keluarga, saya turut membantu
sahabat baik saya yang bercuti sabatikal ketika itu, Allahyarham Profesor Madya
Dr Che Noraini Hashim, seorang pakar pendidikan daripada Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) yang datang ke Melbourne membuat kajian tentang persekolahan
di Australia.
Saya bersama-sama Allahyarham menemu bual beberapa pihak
berkaitan termasuklah pengetua, guru-guru sekolah di sana, pelajar Malaysia
yang mempunyai anak-anak yang menghadiri sekolah di Australia dan juga
anak-anak Malaysia yang pernah bersekolah di sana, Allahyarham Dr Che Noraini
sangat gigih untuk melihat sistem sekolah di negara ditambah baik. Kesungguhan
beliau dan tim pakar UIA membawa kepada terbinanya modul pendidikan kasih
sayang di sekolah (rujuk ‘Love Pedagogy at School Setting’ - http://news.iium.edu.my/2016/05/27/love-pedagogy-intends-to-build-a-sense-of-love-and-affection/).
Allahyarham Dr Che
Noraini juga menghasilkan pelbagai kertas kerja dan buku
dengan tujuan yang sama. Pemergian mengejut Allahyarham pada Januari 2018
adalah satu kehilangan besar kepada bidang pendidikan. Saya yakin sekiranya
beliau masih ada, Allahyarham pasti berasa amat gembira dengan usaha Menteri
yang ingin membuat perubahan kepada sistem pendidikan negara ini.
Sebagai tanda sokongan kepada usaha Menteri dan meraikan
sumbangan Allahyarham, saya ingin berkongsi beberapa dapatan penting berkenaan
sistem persekolahan sekolah rendah di Australia. Sebahagian dapatan ini boleh
dibaca dalam kertas kerja kami bertajuk ‘Educational
Experiences of Malaysian students attending Australian schools: A Preliminary
Discussion’ yang dibentangkan dalam International Conference on Teacher
Education in the Muslim World anjuran IIUM pada November 2013.
Hak kanak-kanak
menjadi dasar
Dalam temubual dengan pengetua di sebuah sekolah rendah di
Utara Melbourne, kami diberitahu bahawa kerajaan Australia membuat perubahan
hebat kepada sistem pendidikan mereka terutama sekolah rendah kerana mengangkat
hak kanak-kanak. Mereka berpegang bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak
mendapat pendidikan yang baik, dilayan dengan terhormat, berada dalam suasana
belajar yang selamat, kondusif dan tiada tekanan yang merosakkan jiwa dan emosi
kanak-kanak. Disebabkan itu, peruntukan tinggi diberikan untuk pendidikan,
terutama bilangan sekolah rendah, fasiliti, keupayaan guru dan juga kajian
pakar berkenaan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.
Kerajaan membina banyak sekolah di seluruh negara.
Terdapat empat ke enam sekolah rendah kerajaan dalam satu daerah dengan jumlah
sekitar 200-300 pelajar sahaja bagi setiap sekolah. Setiap kelas pula purata
19-22 pelajar sahaja dengan masa belajar sekitar 1 jam per subjek. Di Victoria
di mana penduduk berjumlah sekitar 6.4 juta, terdapat 1,122 buah sekolah rendah kerajaan yang hanya
mempunyai satu sesi sahaja iaitu dari jam 9 pagi sehingga 3.00 petang.
Jika dilihat sebagai
perbandingan, negeri Selangor dengan jumlah penduduk hampir sama iaitu sekitar
6.4 juta, dilaporkan terdapat hanya 659 buah sekolah rendah kerajaan dan
kebanyakannya menjalankan dua sesi persekolahan. Umumnya setiap kelas mempunyai 30-35 murid
dan sesi bermula jam 7.30 pagi sehingga tengahari, atau sesi petang jam 1.00
sehingga 6.00 petang. Masa bagi setiap subjek hanyalah sekitar 30minit sahaja,
Subjek yang ingin dipelajari pula adalah banyak dan murid-murid membawa beg
yang berat dengan pelbagai jenis barang di dalamnya. Bagi yang bersekolah sesi
pagi, kanak-kanak terpaksa bangun awal pagi untuk bersiap, keluar rumah ketika
masih gelap dan selalu tidak ada kesempatan untuk minum pagi di rumah.
Sesi persekolahan bermula jam 9 pagi sebenarnya bertujuan
memberi ruang kepada kanak-kanak mendapat tidur yang mencukupi, sekitar 10 jam
sehari. Mereka juga dapat keluar ke sekolah di waktu yang selamat dan dapat
minum pagi dengan keluarga terlebih dahulu sebelum ke sekolah. Ibu bapa dan
guru-guru juga mempunyai masa yang munasabah untuk bersiap dan ia mengurangkan
tekanan kepada semua pihak. Apabila sekolah satu sesi pula, pelajar boleh
meninggalkan barang-barang mereka kerana kelas mereka tidak akan diguna oleh
pelajar lain. Murid-murid pula hanya membawa beg berisi kotak pensil, bekas
makanan dan sedikit buku nota setiap hari. Bagi pelajar tahap 1 -3, sekolah membekalkan
buku tulis saiz A4 untuk setiap subjek kerana menekankan aspek kemampuan
menulis dan menulis dengan jelas.
Dengan bilangan pelajar yang kecil, guru-guru sekolah rendah di sana yang ditemubual memberitahu bahawa bukan sahaja mereka dapat berhubung
dengan murid dengan lebih rapat, bahkan mengenali latar belakang pelajar dan
juga ibu bapa mereka. Perbincangan dua hala lebih mudah diadakan. Guru tidak
perlu mengangkat suara menjerit-jerit untuk menarik perhatian murid. Ini
menyebabkan proses pendidikan menjadi lebih tenang dan senang. Bahkan guru-guru
dapat membuat penilaian kepada pelajar dengan lebih mudah. Ia sebenarnya
memberi hak yang adil kepada semua kanak-kanak tanpa bias untuk dilayani dengan
baik.
Sekolah tidak dibeza-beza
Di negara kita, ramai ibu bapa mengeluh kerana sekolah
berprestasi tinggi mempunyai tempat yang terhad sedangkan permintaannya sangat
tinggi. Sekolah-sekolah yang bagus ini berbeza dengan yang lain kerana mereka
mempunyai fasiliti yang lebih baik, peruntukan kewangan lebih besar, dan
sekolah boleh memilih pelajar-pelajar yang pintar ingin masuk ke sekolah
tersebut. Justeru, sekolah-sekolah ini mengadakan peperiksaan pre-sekolah untuk
melihat kemampuan kanak-kanak. ibu bapa yang ingin anaknya masuk ke sekolah ini
terpaksa bersaing dan berusaha memastikan anak mereka lebih daripada yang lain.
Atas alasan itu, ramai yang telah membawa anak-anak seawal 5 tahun menghadiri
tuisyen supaya lebih cepat daripada kanak-kanak lain. Semoga anak mereka akan
mendapat markah tertinggi semasa
peperiksaan pemilihan dan diterima masuk oleh sekolah yang bagus ini.
Perkembangan ini adalah dilema yang besar dan memberi tekanan kepada
kanak-kanak dan ibu bapa. Dan dari sudut hak kanak-kanak, ia adalah tidak adil
kepada yang lemah.
Apabila hak kanak-kanak menjadi dasar, pengetua tersebut
turut memaklumkan bahawa pihak kerajaan Australia tidak menilai satu-satu
sekolah sebagai sekolah bagus, berprestasi tinggi, sekolah terbaik dan memberi
gred dan perbelanjaan tahunan kepada sekolah berdasarkan keputusan peperiksaan
pelajar. Tetapi perbelanjaan sekolah diberi mengikut jumlah pelajar, keperluan
untuk membantu meningkatkan keupayaan pelajar dan keperluan guru-guru untuk
mendidik. Jika sekolah mereka mempunyai ramai pelajar luar (contohnya anak-anak
rakyat Malaysia), maka mereka boleh memohon peruntukan yang lebih untuk mendapat alat bantu mengajar
yang lebih baik untuk membantu kanak-kanak ini.
Justeru, antara sekolah dengan sekolah di Australia tidak
ada semangat bersaing secara negatif bahkan selalu bekerjasama. Contohnya
pengetua tersebut mengatakan bahawa ada pelajar yang agak lemah dalam mata
pelajaran bahasa di sekolahnya akan dihantar setiap minggu selama dua jam ke
sekolah berdekatan kerana mereka mempunyai guru pakar bahasa.
Guru-guru mempunyai
Ijazah Mengajar Sekolah Rendah dan mesra kanak-kanak
Guru-guru sekolah rendah di Australia ramai yang
mempunyai ijazah atau sarjana khusus iaitu Degree of Teaching Primary School
yang ditawarkan oleh banyak universiti si sana.
Mereka bukan sahaja mahir tentang bidang subjek tertentu, tapi juga
mahir dengan skil memahami perkembangan emosi dan tumbesaran kanak-kanak serta
bagaimana cara kanak-kanak menerima ilmu.
Guru-guru umumnya mesra kanak-kanak, mempunyai skil melayani kanak-kanak- anak yang lambat menanggapi sesuatu maklumat, anak cerdas, anak aktif,
anak pendiam, anak autism dan lain-lain. Bahkan dalam percakapan dengan
murid-murid, guru-guru memanggil dengan nama yang lembut seperti ‘honey, sweetheart, pretty girl, handsome
boy’ dan perkataan lain yang positif.
Berkongsi pengalaman, seorang pelajar Malaysia yang pernah belajar di sana
menyatakan dalam sesi temu bual, selepas beliau sekeluarga sampai di Australia dan mendaftar anaknya
ke sekolah, beliau berjumpa dengan pengetua dan guru kelas meminta mereka tidak memarahi anaknya jika anaknya tidak pandai kerana dia tidak faham bahasa Inggeris.
Guru-guru bukan sahaja tidak marah kerana tidak pandai bahasa Inggeris, bahkan memberi
sokongan yang amat tinggi sehingga anaknya sangat suka ke sekolah dan
dapat menguasai bahasa Inggeris dalam
tempoh dua bulan sahaja.
Namun apabila kembali ke Malaysia dan mendaftar di sebuah
sekolah, anaknya disindir oleh guru-guru dengan kata-kata, ‘Awak ni orang Islam ke tak, jawi pun tak
tahu apa-apa.’ Bahkan ada guru yang mengatakan anaknya mengada-ngada kerana
tidak pandai bercakap bahasa Melayu. Kawan-kawan pula menyindir lebih kuat
sehinggakan selepas setahun kembali ke Malaysia, anaknya bertukar daripada
seorang yang suka menjawab soalan dan ceria kepada pendiam dan rendah diri,
serta selalu menangis tidak mahu ke sekolah.
Justeru, adalah sangat wajar Kementerian Pendidikan kita
menggalakkan dan memberi peluang guru-guru sekolah menyambung pelajaran dalam
bidang ‘Teaching Primary School’ dan menambahkan ilmu dan skil mereka dalam
mendidik kanak-kanak. Berperwatakan mesra kanak-kanak seharusnya diambil sebagai
criteria penting bagi perlantikan guru-guru sekolah rendah.
Semai nilai baik dan
cintakan ilmu di sekolah rendah
Dasar mereka adalah sekolah rendah adalah tempat membina
rasa cintakan ilmu dalam diri kanak-kanak dan menanam nilai-nilai murni. Mereka
tidak mengajar subjek yang berat isinya atau fakta demi fakta dan ‘memaksa’
kanak-kanak belajar secara serius,
tetapi lebih kepada membuka minat dan kecintaan kepada ilmu dan maklumat.
Apabila kanak-kanak suka kepada ilmu, maka mereka dengan sendiri berminat untuk
mencari ilmu dengan lebih serius dan mendalam di sekolah menengah dan juga di
peringkat universiti.
Guru-guru yang ditemubual mengakui bahawa mereka sebenannya tidak
mempunyai buku teks yang tetap, hanya disediakan syllabus tahunan sahaja.
Bagaimana kaedah dan tatacara untuk memastikan syllabus tersebut berjaya
disempurnakan adalah di bawah kreativiti guru tersebut. Aktiviti yang dibuat
dalam kelas juga membawa kepada penerapan nilai dan tidak kepada menilai
keupayaan pandai atau tidak pandai.
Sesi mewarna dengan
pensel warna disediakan sekolah untuk mendidik nilai berkongsi dan toleransi
Untuk mencapai tujuan
menerapkan semangat membaca, ibu bapa dijemput ke sekolah untuk diberi
penerangan agar membaca bersama anak-anak selama 15 minit setiap malam.
Murid-murid diberi buku catatan membaca dan ibu bapa perlu menandatangani
mengesahkan sesi pembacaan tersebut dibuat. Bahkan dalam setiap pagi sesi
persekolahan, guru kelas akan memulakan dengan membaca buku cerita selama 15
minit, sama ada buku dibaca oleh guru atau murid membaca secara individu.
Guru bercerita,
pelajar duduk beramai-ramai dan bentuk meja mereka adalah ‘Island concept’
Sekolah kita membezakan murid mengikut markah peperiksaan.
Kelas A selalunya lebih pandai daripada kelas B dan seterusnya. Sedangkan
sekolah di Australia tidak membezakan
pelajar pandai dan kurang pandai dalam penyusunan kelas. Tidak ada kelas A,
kelas B, kelas C dan sebagainya. Tetapi menggunakan nama guru kelas sebagai
pengenalan, contohnya Kelas 3/4T merujuk kepada kelas di bawah seliaan guru
kelas bernama Tim. Kelas 1/2J
menunjukkan kelas di bawah guru kelas bernama John dengan konsep meja dipanggil
‘Island concept’ untuk memudahkan
pelajar berbincang.
Menurut guru-guru yang ditemubual, mereka akan membuat penilaian dalam buku rekod
menggunakan sistem band dengan
melihat sikap murid, keupayaan menanggapi sesuatu input, keupayaan fokus dan
bergaul dengan rakan-rakan. Mereka tidak menggunakan pendekatan ‘orang yang
kuat akan berjaya’ dalam sistem pendidikan mereka, tetapi mengamalkan konsep
‘sama-sama berjaya.’ Justeru, dalam setiap kelas perlu ada gabungan tiga
kategori pelajar - yang lambat memahami sesuatu input; yang sederhana kemampuan
penerimaan input dan juga yang cepat faham sesuatu maklumat. Setiap kelas pula
menggabungkan dua tahun sekali gus - Gred 1/2 diletakkan dalam satu kelas, Gred
3/4 dalam satu kelas dan Gred 5/6 bersama-sama. Jika kelas 3/4J mempunyai 20 murid, maknanya 10
murid gred 3 dan 10 murid gred 4 akan
bergabung. Daripada 10 murid tersebut, 3 adalah pelajar yang cepat memahami
maklumat, 3 yang agak sederhana dan 4 lagi yang lambat memahami sesuatu input.
Pelajar gred atas dan juga yang lebih cepat faham akan
dilantik sebagai pembimbing atau ‘buddy’
kepada pelajar lain. Mereka akan bantu rakan yang lebih lemah, sekali gus
menanam nilai tidak memandang hina orang yang kurang dari mereka, bahkan perlu
saling membantu, bertanggungjawab dan pemurah. Pelajar dididik bekerjasama dan
saling tolong menolong supaya yang lemah akan sentiasa dibantu secara rakan
sekelas.
Seperti di Jepun, sekolah di Australia turut membuat jadual
makan tengahari hendaklah di dalam kelas
bersama dengan guru. Makanan dibawa oleh murid daripada rumah atau
ditempah daripada kantin sekolah. Mereka akan makan bersama-sama, membolehkan guru
mendidik nilai murni semasa makan seperti makan dengan tertib, berkongsi,
jangan membuang sampah selepas makan dan sebagainya. Di sekolah juga, semua guru-guru perlu mesra
kanak-kanak dan menggunakan beberapa perkataan utama setiap masa iaitu ‘please, sorry, thank you, great job,
well done’ sehingga sebati dalam diri kanak-kanak.
Pemberian Hadiah Markah Tertinggi dan Nombor Satu
Untuk menjayakan hasrat penerapan nilai-nilai, sekolah
mereka tidak pernah memberi nombor kepada pelajar dan memberi hadiah kerana
mendapat markah tertinggi dan sebagainya. Pengetua tersebut dalam sesi temubual
turut menyatakan kehairanan dengan sikap ibu bapa Malaysia kerana ramai ibu
bapa (pelajar rakyat Malaysia) yang datang berjumpanya ingin tahu kedudukan
anak mereka, mendapat nombor berapa dalam kelas dan sebagainya. Sedangkan
mereka tidak pernah memberikan nombor kepada pelajar.
Sekolah mereka mengamalkan hubungan mesra dengan ibu bapa.
Semasa perhimpunan setiap Isnin, ibu bapa dibenarkan mendengar taklimat
daripada guru-guru dan melihat pelajar yang menerima ‘pingat’. Beliau
menyatakan semasa sesi perhimpunan, seorang murid daripada setiap kelas akan
dipanggil ke hadapan untuk menerima lencana ‘Pupil of the Week’ daripada Pengetua. Guru kelas akan memilih berdasarkan sikap dan nilai seperti pelajar
paling awal ke sekolah, pelajar paling kerap membantu kawan, pelajar paling
banyak membaca buku, dan lain-lain nilai yang mulia.
Lencana Pupil of the
week yang dipin oleh Pengetua untuk pelajar yang mengamalkan nilai murni
Mereka juga tidak pernah membuat sesi penyampaian hadiah
hujung tahun untuk markah tertinggi setiap subjek, pelajar mendapat nombor satu, dua
dan sebagainya. Menurut beliau, pemberian nombor dan hadiah kepada yang
tertinggi adalah perkembangan yang tidak sihat, tidak adil kepada
pelajar yang kurang pandai dan boleh menanam rasa cemburu, tidak mahu berkongsi
sesama kawan bagi kanak-kanak.
Orientasi Peperiksaan, Kebajikan Murid dan cadangan pakar
Apabila Menteri Dr Maszlee Malik mengatakan bahawa murid
sekolah akan mula memakai kasut hitam di sekolah, ramai mengatakan ia cadangan remeh dan berbagai kutukan diberikan.
Walaupun ada pihak pakar yang memberi input bahawa memakai kasut hitam boleh meningkatkan rasa yakin diri lebih profesional dan lain-lain alasan, ia menunjukkan rakyat belum bersedia menerima perubahan dan menerima
pendapat pakar kepada apa yang biasa berlaku.
Di Australia, perbincangan, perubahan dan pendapat pakar adalah satu benda yang
sebati. Apakah kesan kerja rumah yang guru berikan ke atas waktu bermain dan
tidur kanak-kanak dibincangkan oleh pakar pendidikan, pakar mental kanak-kanak,
pakar tumbesaran kanak-kanak dan ibu bapa secara terbuka di dalam seminar dan
di televisyen. Hasilnya, sekolah tidak boleh memberi kerja rumah yang banyak
kerana pelajar perlu mempunyai masa untuk bermain di waktu petang dan bermesra
dengan keluarga serta membaca buku cerita di waktu malam. Apabila pakar
tumbesaran kanak-kanak mengatakan kanak-kanak perlu tidur 8-10jam sehari dan
perlu bermain untuk stamina mereka pada petang hari maka kementerian pendidikan
dan semua institusi termasuklah sekolah akan mengikut demi kebajikan
kanak-kanak. Sekolah dimulakan jam 9 pagi, masa rehat tengahari hampir 1 jam
untuk pelajar bermain, tiada beg berat mengisi buku-buku dan sebagainya.
Apabila pakar menyatakan bahawa kanak-kanak tidak seharusnya
dibebankan dengan peperiksaan yang memberi tekanan, maka sekolah mereka tidak berorientasikan
peperiksaan seperti kita. Mereka masih ada peperiksaan, paling awal adalah
untuk pelajar tahun 3 tetapi ia tidak diguna sebagai bukti kejayaan
kanak-kanak. Ujian NAPLAN adalah ujian yang dijalankan pada
bulan September untuk pelajar tahun 3, 5, 7 dan 9. Tujuannya untuk melihat tiga
perkara iaitu Reading, Writing dan Numeracy (kemahiran menulis, membaca dan
mengira).
Menurut pengetua yang ditemu bual, keputusan kanak-kanak dalam NAPLAN
digunakan untuk menilai apakah kanak-kanak mereka berada dalam tahap
tumbesaran yang betul, contohnya umur 9 tahun pakar tumbesaran
mengatakan seharusnya sudah pandai menulis ayat yang panjang-panjang dan
tulisan seharusnya sudah agak baik. Keputusan mereka dijadikan asas
kemampuan dan jika di bawah tahap sepatutnya, maka sekolah akan
berbincang dengan ibu bapa mencari jalan untuk membantu murid-murid
tersebut.
Menurut guru-guru di sana yang ditemubual, Australia ingin
melahirkan generasi masa depan yang cintakan ilmu dan mempunyai nilai murni.
Apabila pakar mengatakan bahawa seseorang dewasa yang berjaya adalah orang yang
mempunyai kemahiran berbahasa yang baik, pandai berkomunikasi, berani bertanya,
suka berbincang, terbuka dengan pendapat berbeza, suka menyelesaikan masalah,
kelakar, positif, suka membaca, tepat masa, suka membantu dan hormat kepada
orang lain dan boleh bekerja dalam kumpulan, maka ia diterima sebagai objektif
penting yang ingin dicapai oleh sistem persekolahan mereka.
Justeru, hampir seluruh pendekatan di sekolah rendah mereka
menjurus ke arah merealisasikan idea tersebut. Hasilnya, pendekatan pendidikan
sekolah rendah mereka dibuat secara ‘menarik’ di mana moto sekolah adalah ‘learning is fun’ (menuntut ilmu itu
seronok), ‘school is fun’ (sekolah
itu seronok), ‘critical thinking is the
goal of education’ (berfikir secara kritis adalah matlamat pendidikan) dan
suka bertanya dan berbincang adalah matlamat pendidikan. Pendekatan guru juga
sangat mesra pelajar, positif dan membina.
Oleh kerana
pendidikan dibuat dengan gembira, seronok dengan pelbagai aktiviti perbincangan
dua hala yang ceria, dengan syllabus yang tidak begitu berat, ia menjadikan
belajar di sekolah rendah di sini seolah-olah bermain sahaja. Kanak-kanak hadir
ke sekolah dengan perasaan seronok, dengan tekanan yang minima, belajar sambil
bermain dan membina kemahiran yang lebih baik hari demi hari. Hadir ke sekolah
adalah aktiviti yang dinanti-nanti oleh kanak-kanak.
Sekolah Kita di masa
depan
Apabila Menteri Dr Maszlee Malik menyatakan bahawa sekolah
kita akan berubah dan tidak lagi berorientasikan peperiksaan, ia adalah satu
perkara yang dinanti-nanti. Kaedah ‘best practice’ negara lain seharusnya kita
kaji dan ikuti dengan penambah baik yang sesuai dengan agama dan bangsa kita.
Zaman bergerak ke arah revolusi 4.0. Jika sekolah kita gagal menyediakan generasi
baharu yang mampu berdepan dengan cabaran masa depan, kita akan tertinggal ke
belakang.
Apabila kewangan
negara semakin pulih, kita berharap pihak kerajaan akan menjadikan keutamaan untuk membina sekolah yang banyak, menambah bilangan guru dan menghantar
guru-guru menambah ilmu berkaitan skil ‘mengajar sekolah rendah’ dan
sebagainya. Kita wajar mengambil contoh sekolah Australia yang meletakkan hanya
19-22 pelajar sebagai purata murid per kelas dan menerapkan nilai murni sebagai
objektif persekolahan. Dengan bilangan pelajar yang sedikit, subjek yang
sedikit dan guru yang mahir dengan perkembangan kanak-kanak, maka lebih mudah hasrat
penambah baikan seperti yang
dicita-citakan dapat dicapai.
Kepada Menteri
Pendidikan, syabas diucapkan dan teruslah membawa perubahan kepada sistem
pendidikan negara ke arah yang lebih baik.
Hidayah


