Jumaat, 21 September 2007

Hari ini 21 Sept 07 Jumaat

Hari ini Jumaat, dah 8 Ramadhan. Rasa agak kecut perut sebab kelas last pada 10 Oktober tapi aku ada 1 chapter tak ajar students lagi. Presentation pun belum habis lagi... fuiii kecut perut gak, nak raya lagi ni...

Tadi ada dapat siapkan dua buku PGSM, satu tajuk Isu-isu Syariah, tulisan aku dengan Bos. Satu lagi Hak Muslim, ada tiga nama iaitu Bos, Isa dan aku sendiri. Letihnya Allah saja tahu, 5 bulan aku dok fokus buku-buku ini saja. Edit, betulkan ayat, baiki balik, susunatur, buat index, cari erti perkataan untuk glosary. Buat muka depan pendahuluan dan penhargaan.. Letih sungguh..

Tapi aku rasa happy dapat selesaikan buku ni...Walaupun aku sebenarnya yang edit, tambah setiap artikel dan cangtikkan semua perenggan yang ada, tapi aku tak boleh letak nama aku kat atas, nanti jadi fitnah pulak.. Tak pelah, mudah-mudahan dapat pahala atas semua usaha yang aku buat.. Dan nama PGSM akan naik lagi dan lebih dikenali melalui buku-buku tersebut. INsyaAllah..

Aku ada beberapa plan sebenarnya, Nak terbitkan 4 buah buku untuk PGSM, dua buah aku sendiri sebelum akhir tahun 2008. Harap-harap berjaya...Amin

Umi Dalam Harian Metro 21 Sept 07 Masa Forum Masjid Bangsar

Nafkah pengikat kasih
Oleh Idris Musa idris@hmetro.com.my

NAFKAH adalah perkara asas dalam sebuah keluarga yang membawa kepada kesejahteraan, kecemerlangan dan keutuhan institusi berkeluarga. Tanpanya, ia mengakibatkan kehidupan rumah tangga terumbang-ambing.

Ikut keperluan, situasiNAFKAH adalah perkara asas dalam sebuah keluarga yang membawa kepada kesejahteraan, kecemerlangan dan keutuhan institusi berkeluarga. Tanpanya, ia mengakibatkan kehidupan rumah tangga terumbang-ambing.

Isu nafkah, walaupun tidak diberikan perhatian oleh sesetengah pihak, sama ada menganggapnya perkara remeh atau sengaja ingin lari daripada tanggungjawab, sebenarnya satu topik asasi dalam kehidupan.

“Hendaklah orang yang mampu, memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, hendaklah ia menafkahkan dari apa yang diberikan Allah kepadanya; Allah tidak memberati seseorang melainkan sekadar yang diberikan Allah kepadanya. Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (At-Talaaq:7)

Persoalan nafkah diterangkan di dalam al-Quran seperti dalam petikan ayat berkenaan, tetapi bagi sesetengah masyarakat disebabkan tiada fokus pada isu terbabit menyebabkan mereka gagal memahami maksud dan konsep nafkah.Nafkah itu apa dan siapa yang sepatutnya memberi serta menerima nafkah? Bagaimana kedudukannya jika tidak diberikan nafkah, bolehkah diambil tindakan dan apakah tindakan permulaan?

Pensyarah Kanan, Pusat Pemikiran dan Pemahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norhidayah Mohd Hashim, berkata perkara ini memang jelas disebut khusus di dalam al-Quran, malah Rasulullah s.a.w juga ada menyatakannya.

Menurutnya, ruang lingkup nafkah sangat besar, bukan terbatas pada wang ringgit saja, malah merangkumi semua keperluan, termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan.

“Mengikut pendapat ahli fiqah, seperti Ibnu Qudamah, nafkah ialah sesuatu yang dibelanjakan oleh suami untuk melengkapkan apa saja keperluan isteri, termasuk dalam aspek makan, minum dan pakaian.

“Imam Nawawi mengatakan, makanan dan pakaian itu mengikut musim, termasuk tempat tinggal seperti rumah, tempat duduk seperti sofa dan jika perlu selimut, selimut itu nafkah.

“Demikian juga, jika isteri perlu syampu, syampu itu juga perlu disediakan dan itulah nafkah,” katanya sambil menegaskan, seorang suami wajib memberikan nafkah dalam apa saja keadaan kepada isterinya.

Beliau berkata, sekiranya seorang lelaki berkahwin dengan wanita berada yang tidak biasa melakukan kerja rumah, mencari dan mendapatkan orang gaji itu juga termasuk nafkah.“Isteri yang bergaji besar juga perlu diberikan nafkah, kecuali isterinya mengatakan tidak mengapa sekiranya tidak diberikan padanya,” katanya.

Nurhidayah berkata, begitupun seorang suami wajib memberikan nafkah sekadar termampu. “Walaupun anak Datuk, Tan Sri tetapi sekiranya suami tidak mampu menyediakan yang lebih selesa, seperti menyediakan orang gaji, si isteri kena reda.

“Nafkah diberi secara berpada, misalnya mengikut keperluan dan situasi. Jika wang ringgit mahu dinilaikan jumlahnya, ia boleh dinilai mengikut keadaan semasa dan lokasi tempat tinggal.“Tetapi bagi isteri nusyuz (iaitu melakukan perkara yang dianggap menderhaka pada suami), mereka tidak layak menerima nafkah,” katanya.

Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata jika tidak mengetahui nafkah itu tanggungjawab siapa, masyarakat akan menjadi kelam-kabut.

“Mengikut peruntukan undang-undang, tanggungjawab nafkah terletak pada suami dan isteri berhak menuntutnya di mahkamah jika suami tidak memberikan nafkah kepadanya.“Nafkah isteri bermula daripada akad nikah.

Dalam konteks nafkah kita perlu pada isteri dan ibu-ibu bertindak. Allah sudah mengatakan atas diri kita ada hak.“Jika suami masih abai tanggungjawab, isteri kena ubah, tegur dan bertindak untuk mendapatkan keadilan,” katanya sambil memberikan ingatan kepada masyarakat:

“Banyak rumah tangga terkorban kerana nafkah.”Kes berkaitan nafkah antara kes utama difailkan di Mahkamah Syariah, sama ada berkaitan nafkah ke atas isteri atau anak-anak. “Nafkah suatu kewajipan secara umum berkaitan fizikal, jika tidak diberi berlaku kezaliman dan tiada keadilan.“Satu lagi mengenai nafkah adalah berbentuk spiritual.

Sebenarnya undang-undang saja tidak boleh menyelesaikan masalah manusia. Ini kerana dalam undang-undang tidak menyebut mengenai kasih sayang. “Kita lihat hari ini, walaupun anak isteri diberikan banyak wang, diberikan kad kredit, mereka masih ke mahkamah (kerana berasa terabai).“Ada kebelakangan ini persoalan kasih sayang yang berkaitan nafkah dan yang ini perlu kepada pindaan,” katanya.

Khamis, 13 September 2007

Artikel Umi dalam Berita Harian 12 Sept 07

Peguam Syarie Menulis:
Masyarakat perlu prihatin usaha cegah salah laku ummah
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar dan Nurhidayah Muhd Hashim

ESOK umat Islam akan menyambut Ramadan 1428 Hijrah. Dalam bulan ini kita digalakkan mengawal diri, melaksanakan amalan puasa dan ibadat lain sebaik mungkin. Rasulullah SAW juga menganjurkan kita memperbanyakkan sembahyang sunat terutama sembahyang tarawih pada waktu malam sepanjang bulan itu.

Berkenaan ibadat tarawih, kita selalu berdepan dengan perbezaan pendapat antara melakukan 8 rakaat atau 20 rakaat. Kadang kala perbincangan berlanjutan hingga kita banyak menghabiskan masa berhujah mengenai isu ini.

Bahkan boleh menyebabkan kita bermasam muka dan tidak puas hati sedangkan masih banyak isu lain patut difikirkan seperti masalah ajaran sesat, isu murtad, orang Islam tidak berpuasa, khalwat, zina dan lain-lain. Adalah wajar kita tidak berdebat atas bilangan solat tarawih ini sebaliknya mengajak umat secara berhikmah supaya memilih bilangan terbanyak jika mempunyai kemampuan, kesihatan baik dan masa mencukupi. Apa yang penting menghidupkan bulan itu sebaik mungkin dengan kapasiti masing-masing.

Sepanjang Ramadan setiap tahun juga, kita kerap didedahkan dengan penangkapan orang Islam tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Begitu juga wujudnya kedai makanan yang membuka premis dan menjual makanan kepada orang Islam tidak berpuasa secara terang-terangan. Ini adalah suatu perlakuan yang sangat dikesali.

Berhubung kesalahan itu, Seksyen 19 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 2003 (EJSS 2003) memperuntukkan: “Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan, menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu itu. Dan mana-mana orang yang secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya adalah dianggap melakukan kesalahan.”

Jika disabitkan, pelakunya boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama. Jika disabitkan kali kedua atau berikutnya, dia boleh didenda tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Dalam hal ini, Pegawai Penguat Kuasa Agama (PKA) di tempat berkenaan atau mana-mana pegawai diberi tauliah dan mempunyai kad kuasa boleh mengambil tindakan ke atas pelaku berkenaan.

Tetapi bagaimana pihak PKA boleh bertindak jika tiada sesiapa memaklumkan kepada mereka. Jumlah PKA sangat terhad dan sudah tentu tidak mampu membuat pemeriksaan dan rondaan ke semua premis.

Seksyen 9 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 (ETJS 2003) memperuntukkan bahawa: “Tiap-tiap orang yang mengetahui perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan dengan serta-merta memberikan maklumat kepada PKA atau pegawai polis yang terdekat mengenai perlakuan atau niat itu.”

Ini menunjukkan bantuan orang awam diperlukan apabila wujud perlakuan salah dalam masyarakat. Salah laku boleh dilaporkan termasuk aduan terdapat orang Islam tidak berpuasa, ada pasangan disyaki berkhalwat, ada ajaran sesat di amalkan dan sebagainya. Bantuan dalam bentuk maklumat sangat diperlukan agar PKA dapat mengambil tindakan sewajarnya.

ETJS 2003 menggariskan bagaimana sesuatu maklumat boleh diberikan dengan mengisi Borang 5. Di dalamnya terkandung nama, alamat, telefon, nombor kad pengenalan, maklumat ingin disampaikan serta tanda tangan pemberi maklumat. Ia bertujuan memastikan kebenaran sesuatu laporan dan pertanggungjawaban pemberi maklumat demi mengelakkan maklumat palsu disampaikan.

Seksyen 54 enakmen sama membenarkan maklumat secara lisan, tetapi PKA yang menerima maklumat perlu memindahkan aduan itu ke dalam tulisan menggunakan borang sama, dibacakan kepada pemberi maklumat dan ditandatangani pemberi maklumat kemudiannya.Berdasarkan peruntukan keperluan borang ditandatangani oleh pemberi maklumat, seorang pemberi maklumat menerusi telefon perlu hadir ke pejabat selepas waktu itu untuk memastikan peraturan berkenaan aduan dipenuhi.

Arahan Tetap Pengarah JAIS Bil 1/2002, Seksyen 13 menggariskan tahap perlu dilalui oleh pemberi maklumat supaya tindakan diambil dengan wajar. Dengan kehadiran pemberi maklumat di hadapan PKA, akan lebih mudah bagi PKA mendapatkan gambaran lokasi perlakuan salah dan masa kebiasaan berlakunya perlakuan itu supaya tindakan diambil dengan tepat.

Mengikut Seksyen 20 ETJS, pegawai masjid juga boleh mengambil tindakan dan membuat tangkapan tanpa waran. Jika ini berlaku, orang yang ditangkap hendaklah dengan seberapa segera dibawa kepada PKA atau pegawai polis. PKA atau polis hendaklah menangkap semula pelaku itu.Pegawai masjid dimaksudkan adalah nazir, imam, bilal dan siak atau gelaran tertentu diberikan oleh Majlis Agama Islam Selangor berhubung pengurusan sesuatu masjid seperti dinyatakan dalam seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Dalam usaha mencegah kesalahan memakan dan menjual secara terbuka Ramadan atau kesalahan lain dalam peruntukan undang-undang, adalah dicadangkan supaya:

· Orang awam lebih prihatin, mengambil tahu dan berani memberi maklumat kepada PKA atas apa-apa perlakuan salah di tempat mereka.

· Nombor aduan dan tempat aduan PKA perlu diwar-warkan supaya masyarakat tahu di mana dan siapa perlu dihubungi apabila keadaan memerlukan.

· PKA perlu bersikap baik dalam pertuturan dan menerima serta memudahkan urusan penerimaan aduan dan maklumat oleh pihak orang awam serta mengambil tindakan sewajarnya.

· PKA perlu mempergiatkan rondaan di tempat bermasalah untuk mencegah perlakuan salah daripada berleluasa.

· PKA perlu diberi latihan sewajarnya, terutama berkaitan penguatkuasaan, prosedur siasatan dan tangkapan supaya tindakan dibuat menepati peruntukan undang-undang. Ia boleh mengelakkan mana-mana pihak menuduh dan memburukkan PKA dengan dakwaan tidak benar.

Adalah disarankan juga pihak berwajib menambah bilangan PKA supaya selari dengan tugasan berat ini serta membenarkan setiap kariah, kawasan atau kampung mempunyai ramai pegawai yang mempunyai kad kuasa. Ia penting demi memastikan persekitaran setempat adalah sejahtera dan pihak yang perlu dicari berada dalam jarak munasabah untuk dihubungi.

Sempena Ramadan 1428 ini juga, PGSM mengucapkan selamat menyambut dan menghayati bulan Ramadan kepada seluruh Muslimin di Malaysia. Semoga keharmonian hidup sempena 50 tahun merdeka akan terus dihayati bersama.

Penulis ialah Presiden dan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Sabtu, 8 September 2007

uMI DALAM UTUSAN MALAYSIA

Ini artikel keluar dalam Utusan tapi dah tak ingat tarikhnya bila.. teruk betul umi ni.. tapi takperlah agak-agak dalam bulan Mei 2007 la kot..


Bicara Agama
Jaga batas aurat semasa mengurut
Oleh NURHIDAYAH MUHD. HASHIM


Isu rumah urut hangat diperbincangkan baru-baru ini selepas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dikatakan akan mengambil inisiatif untuk membanterasnya.Kewujudannya mengganggu ketenteraman masyarakat. Sejak bila rumah urut wujud di negara kita? Dari segi tarikhnya sukar untuk kita pastikan sejak mula ia bertapak.
Namun yang pasti kisah rumah urut dan permasalahannya bukan kisah baru dan ia seolah-olah tidak ada noktah.

Secara umumnya, rumah urut ada pelbagai jenis. Ada yang menjalankan rumah urut berlesen dengan tujuan dan pelaksanaan yang betul seperti rumah urut untuk lelaki, di mana tukang urutnya adalah lelaki. Dan ada juga rumah urut untuk perempuan dan tukang urutnya juga adalah perempuan.

Apa yang menjadi isu adalah rumah urut yang menawarkan perkhidmatan yang bercanggah dengan agama dan moral. Seperti tukang urut perempuan mengurut tubuh lelaki atau tukang urut lelaki mengurut badan perempuan. Kemudian perkhidmatan yang ditawarkan itu pula ada yang sampai menawarkan khidmat seks dan sebagainya.

Apakah pandangan Islam terhadap rumah urut dan khidmat urut yang dijalankan? Perkara pertama adalah hukum asal kepada menyediakan khidmat urut.
Secara asasnya, hukum asal mengurut dan menjalankan khidmat urut adalah harus kerana membantu orang yang memerlukan. Tetapi dengan adanya penawaran-penawaran lain yang bercanggah dengan nilai Islam maka ia menjadi haram.

Apabila wanita mengurut lelaki atau sebaliknya, ia melibatkan hukum aurat dan pergaulan lain jantina dalam Islam. Sebagai seorang Islam, kita beramal dengan apa yang diajarkan dalam al-Quran bahawa lelaki dan wanita mempunyai batas pergaulan yang perlu kita patuhi. Kecuali dalam keadaan darurat, seperti tujuan berubat, orang patah atau sakit dan ketika itu hanya ada tukang urut lain jantina, maka Islam memberikan kelonggaran kerana adanya keperluan mendesak.

Inilah yang dimaksudkan dengan kaedah fikah, ‘Darurat mengharuskan yang haram’. Namun begitu persentuhan dan urutan itu pula sekadar tempat yang perlu sahaja.
Apa yang berlaku di rumah urut ini, urutan yang dibuat oleh tukang-tukang urut dilakukan dengan aroma dan nilai godaan yang boleh merangsang syahwat dan menawarkan hubungan zina. Islam sangat tegas dalam urusan hubungan kelamin di mana hubungan hanya sah mengikut neraca agama selepas adanya akad perkahwinan. Semua hubungan selain dari itu adalah zina.

Oleh itu apabila khidmat urut ini ditawarkan dengan khidmat seks atau zina, maka jelaslah ia berlawanan dengan agama dan hukumnya adalah haram dan berdosa.
Al-Quran menyebut bahawa “Dan janganlah kamu sama sekali mendekati zina”. Jika mendekati zina sudahpun dilarang, maka apatah lagi melakukan zina. Kaedah fikah turut mengatakan ‘Apa yang boleh membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram’.

Dalam kes ini, kaedah ini bermaksud apabila seorang lelaki mendapatkan khidmat urut dari wanita, dalam bilik berdua sahaja antara pelanggan dan tukang urut dan akhirnya boleh membawa kepada khidmat seks atau zina, maka semuanya adalah haram. Kerana akhirnya boleh membawa kepada haram, maka jalan-jalannya juga haram mengikut nilaian agama.

Alasan

Ada sesetengah pihak yang mengatakan bahawa sesuatu perkara mengikut niat, ada suami yang pergi ke rumah urut dengan alasan ingin melegakan sengal-sengal badan. Bagaimana kedudukan perbuatan sebegini?

Dalam hidup ini, kadang-kadang kita selalu melihat sesuatu perkara secara sekali lalu, sedangkan ada beberapa perkara lain yang terlibat. Maksudnya apabila ada kaum lelaki pergi ke rumah-rumah urut ini dengan tujuan untuk mengurut sengal-sengal badan, dia tidak wajar melihat aspek itu sahaja. Islam mendidik kita melihat sesuatu dari kaca mata agama. Kesemua aspek yang terlibat perlu dilihat sebelum satu-satu tindakan dibuat.

Lelaki Islam yang mempunyai iman dan kepercayaan bahawa sesuatu perbuatan dinilai oleh Allah, wajar pergi ke tempat urut yang sama jantina. Banyak kita lihat iklan urut lelaki untuk lelaki dan sebaliknya. Seharusnya lelaki Islam memilih tempat-tempat sebegini. Kaedah fikah ‘Matlamat tidak menghalalkan cara’ relevan dalam kes seperti ini.

Walaupun matlamat dan tujuan kita baik, tetapi caranya salah maka Islam mengatakan ia tetap salah. Oleh itu, apabila seorang suami pergi ke tempat-tempat sebegini, walaupun niatnya baik, Islam tetap tidak membenarkannya. Jika matlamat untuk mengurut sengal-sengal badan, maka wajib juga baginya mengambil berat cara-cara dan kaedah yang digunakan.

Apatah lagi tindakan ini boleh memberi kesan kepada hubungan suami isteri. Suami yang membenarkan wanita lain mengurut badannya dan kemudian membawa kepada zina, besar kemungkinan akan melihat apa gunanya isteri di rumah yang tidak dapat melayannya seperti wanita tersebut. Sudah tentu, ia boleh menyumbang kepada masalah keruntuhan keluarga dan rumah tangganya.

Ada pihak yang mendakwa lelaki ke rumah urut kerana prosedur berpoligami yang ada di negara kita adalah rumit dan menyusahkan. Penulis tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Seorang lelaki yang mengunjungi dan mendapatkan khidmat ini secara tidak langsung menzahirkan kerapuhan imannya dan kelemahan jati diri agamanya. Yang dipentingkan adalah melampiaskan nafsunya sedangkan perkahwinan sama ada monogami dan poligami membawa bersamanya erti tanggungjawab, amanah, pendidikan, kemampuan kewangan, kematangan diri dan sebagainya.

Seseorang yang ingin berpoligami perlu mempunyai kemampuan untuk berlaku adil dan kewangan yang baik untuk menanggung nafkah semua isteri dan anak-anak yang ada. Poligami bukan dibenarkan kerana menyelesaikan kehendak nafsu syahwat semata.
Oleh itu, bukan dengan melonggarkan permohonan berpoligami boleh menyelesaikan masalah ini, tetapi dengan mendidik lelaki muslim agar menjauhi tempat-tempat begini, barulah masalah ini berjaya dikawal dengan baik.

Untuk mengubah sesuatu yang telah bertapak lama, bukanlah sesuatu yang mudah. Umpama orang yang merokok selama 10 tahun, tidak mampu untuk berhenti dalam masa dua jam. Tetapi kita tidak boleh berputus asa, usaha perlu dibuat dan diteruskan. Dalam menangani masalah rumah urut ini, banyak pihak yang perlu memberi kerjasama untuk membanterasnya.

Kita semua mengetahui bahawa jika tiada permintaan, nescaya rumah-rumah urut ini tidak berjaya membuat perniagaan dan mencari keuntungan. Umpama kaedah perniagaan biasa, ada permintaan, adalah perniagaan. Apabila adanya pelacur, ia sebenarnya melibatkan lelaki yang menghendaki khidmat mereka. Apabila ada lelaki yang ingin melakukan zina, maka adalah perempuan yang menjadi pelacur. Ia umpama bulatan roda, berpusing tidak berkesudahan. Begitulah dalam hal ini.

Usaha pertama adalah mendidik kaum lelaki Islam agar kembali kepada ajaran agama. Melihat sesuatu dengan nilaian mukmin yang benar. Sesuatu yang haram dan yang boleh membawa kepada haram perlu dijauhi. Wanita-wanita Islam juga tidak boleh mencari rezeki di tempat sebegini. Rezeki yang diperoleh dari jalan yang haram mengundang kemurkaan dan kebencian Allah serta jauh dari keberkatan.

Kedua, orang ramai perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti perlu peka dan bersegera membuat laporan kepada pihak berwajib. Memberi kerjasama apabila diperlukan.

Ketiga, pihak berkuasa seperti PBT dan polis perlu menggembleng tenaga dan membuat lebih banyak serbuan dan tangkapan tanpa mengira musim. Penguatkuasa jabatan agama perlu dilibatkan. Apabila lebih banyak kemudaratan yang datang berbanding dengan manfaat, maka premis-premis sebegini mesti ditutup, dimansuhkan permitnya dan apa-apa tindakan yang patut demi menjaga kebajikan semua pihak.

Keempat, peruntukan undang-undang perlu dipinda agar hukumannya lebih memberi kesan dan menggerunkan. Contohnya Undang-Undang Kecil Rumah Urut, peruntukan mengenai perniagaan rumah urut tanpa lesen dan menjalankan urutan hanya meletakkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali. Sudah sewajarnya hukuman ini dipertingkatkan lagi sebagai langkah membanteras masalah ini.

Umi Dalam Harian Metro Mei 2007

Haram rakam gambar khalwat
Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

FIRMAN Allah bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk melakukan kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) serta pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya.” (al-Maidah: 2)

Ayat ini menjadi prinsip asas manusia dalam mencorakkan kehidupan cemerlang dunia dan akhirat dengan menjauhkan perbuatan mungkar.

Ia menjadi konsep “amar makruf nahi mungkar” terutama pihak yang mahu menegak kebaikan dan membanteras keburukan.

Namun, apabila dikaitkan dengan usaha mencegah kemungkaran, timbul beberapa persoalan.

Ada pihak memberikan tafsiran bahawa prinsip ‘amar makruf nahi mungkar’ hanya boleh dilaksanakan apabila kesalahan dan jenayah dilakukan secara terbuka.

Dalam kes khalwat misalnya, tindakan mengadu, mengintip dan mencari pasangan untuk ditahan atas kesalahan itu tidak disenangi pihak tertentu malah dianggap memalukan Islam dan dianggap sebagai menceroboh.

Justeru, apakah konsep amar makruf nahi mungkar tidak diperlukan dalam kesalahan tertutup? Jika benar, bagaimana dengan kes khalwat, kerana ia tidak berlaku di tempat terbuka?

Pensyarah Kanan, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurhidayah Muhd Hashim, berkata konsep amar makruf nahi mungkar sangat jelas dalam Islam, malah diperkuatkan lagi dengan hadis Nabi.

“Nabi bersabda sesiapa yang tengok kemungkaran kena cegah dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu, tegah dengan lidah dan jika tidak mampu lagi dengan hati, iaitu membenci perbuatan mungkar itu,” katanya.

Menurutnya, jika mahu menguatkuasa konsep ini perlu memahami betul-betul dan jika ada kecacatan dalam prosedur, ia perlu dibetulkan secara bersama.

“Ada yang tidak setuju tindakan mengadu dan mengintip mereka yang melakukan kesalahan kerana dianggap menceroboh hak mereka, justeru bagaimana mahu menguatkuasakan undang-undang?

“Jika tiada aduan maksiat akan berleluasa. Kita faham teguran sesetengah pihak baru-baru ini, tetapi perlu dilakukan secara berhemah, bukan menolak terus,” katanya.

Katanya, konsep ‘amar makruf dan nahi mungkar’ sukar diaplikasikan jika hanya menunggu kesalahan di depan mata, kerana mereka yang terbabit lebih licik malah menggunakan pelbagai cara melakukan maksiat.

“Jika penguatkuasa tidak boleh ke hotel untuk membanteras maksiat, tempat itu menjadi tempat selamat bagi golongan atasan, manakala golongan bawahan yang tidak berduit mudah dicekup,” katanya.

Mengenai pengadu maksiat katanya, mereka jangan ada kepentingan lain seperti ganjaran, sebaliknya mempunyai kesedaran untuk mencegah kemungkaran.

“Jika semua pihak mempunyai kesedaran konsep amar makruf dan nahi mungkar, ia mudah diamalkan di pelbagai peringkat tanpa banyak masalah,” katanya.

Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-undang Universiti Malaya, Dr Siti Zubaidah Ismail, berkata tindakan penguat kuasa ke bilik hotel untuk melakukan pencegahan perbuatan mungkar adalah tepat.

“Penguat kuasa perlu ada, cuma pihak berkuasa perlu memastikan prosedur penguatkuasaan di perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, dari 2003 hingga tahun lalu, 456 kes khalwat dilaporkan di Wilayah Persekutuan berbanding 21 kes pelacuran dan 72 kes berjudi.

“Peningkatan kes khalwat kerana banyak aduan. Penguatkuasa menyerbu hotel kerana aduan, bukan untuk mengintip,” katanya.

Beliau berkata, dalam menguatkuasakan undang-undang ini, ia memerlukan garis panduan supaya tidak berlaku kesilapan seperti perbuatan merakam gambar mereka yang disyaki terbabit maksiat.

“Tidak boleh rakam gambar macam itu, hukumnya haram kerana mendedah aib orang. Tidak boleh juga merakam gambar dengan tujuan orang terbabit mengaku salah.

“Jika gambar dirakamkan kerana hendak dikemukakan ke mahkamah, kewujudan gambar itu sendiri tidak boleh menjadi bukti semata-mata, malah boleh dipersoalkan dan tertuduh boleh menafikannya,” katanya.

Mengenai ganjaran kepada pengadu kes, katanya ia tertakluk bawah Seksyen 228 bahawa mahkamah boleh memberikan kepada pemberi maklumat tetapi bergantung pada mahkamah memberikannya berapa peratus dari denda pesalah.

“Tetapi, jika ada pihak mengatakan tindakan itu juga memberi galakan orang mengadu, itu persepsilah. Ini kerana yang membayar ganjaran itu di peringkat mahkamah,” katanya.

Setiausaha Majlis Penasihat Syariah sebuah institusi kewangan antarabangsa, Zaharuddin Abd Rahman, berkata beberapa garis panduan perlu dalam mengalipkasikan konsep amar makruf nahi mungkar.

Rabu, 5 September 2007

Tulisan Terbaru

Hari ini 5 September, tulisanku tersiar dalam Berita HArian untuk slot PGSM. Ada yang tak minat aku tulis pasal Hakim Wanita di Mahkamah Syariah tapi I think my stand is in line with Syariah.. Orang lain tak setuju itu tidak membebankan fikiran ku...biarler mereka...


Peguam Syarie Menulis: Peranan wanita tak wajar dipinggir
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim



Kedudukan dalam pembangunan kini diiktiraf, usaha perkasa perlu berlandas agama


PADA 25 Ogos lalu, Malaysia menyambut Hari Wanita dengan satu tema besar iaitu ‘Wanita Nadi Negara’. Ini menunjukkan kedudukan kaum hawa sudah diiktiraf, diberi penghormatan dan dianggap penting dalam mempengaruhi perkembangan serta kesejahteraan masyarakat dan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengakui bahawa peranan wanita dalam pembangunan negara bukan sesuatu yang boleh dipinggirkan. Perkembangan hari ini menyaksikan perubahan peranan wanita yang sangat hebat.

Jika dulu majoriti golongan wanita adalah suri rumah menguruskan rumah tangga dan anak, tetapi hari ini rata-rata wanita bekerja dan mempunyai kerjaya sendiri. Berdasarkan laporan Jabatan Statistik Negara, pada 2002, kira-kira 3.4 juta pekerja di negara ini adalah wanita dan jumlah itu bertambah kepada 3.7 juta pada 2006. Ini satu jumlah yang sangat memberangsangkan.

Rentetan kepada pencapaian wanita dekad ini, pada 1 dan 2 September baru-baru ini diadakan Persidangan Antarabangsa, ‘Muslim Women in The Midst Of Change’ anjuran Muslim Profesional Forum dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Persidangan itu menghimpunkan kira-kira 300 peserta Islam dan bukan Islam, dari beberapa negara termasuk Afrika Selatan, Mesir, Amerika Syarikat, Australia, Kenya, Jepun, Jerman dan Bangladesh.

Pensyarah Universiti Kaherah, Dr Heba Raouf, pada pembentangannya kerap menekankan wanita tidak boleh berdiam diri daripada turut terbabit dalam semua usaha membangunkan masyarakat. Usaha membina dan memperkasakan wanita perlu berpijak kepada dasar agama dan tidak sekadar membawa agenda feminisme seperti diperjuangkan wanita barat.

Beliau juga berjaya membawa analogi sangat baik bagaimana perbezaan pembawaan diri wanita Madinah yang suka bertanya dan menuntut ilmu, keberanian dan kesungguhan dalam berusaha banyak mempengaruhi perkembangan fiqh dan jawapan Rasulullah SAW ketika era Baginda dulu.

Perbandingan itu wajar diterjemahkan dalam masyarakat kita yang melihat betapa hebatnya pencapaian serta ketinggian ilmu wanita hari ini. Bagaimana harus semua kelebihan yang ada pada wanita ini digemblengkan supaya dapat membawa kebaikan dan kecemerlangan kepada agama dan masyarakat. Nasihat dan cabaran itu wajar diambil perhatian semua pihak.

Persidangan itu juga menyaksikan perbincangan hangat berkenaan ketiadaan hakim wanita di mahkamah syariah di Malaysia sedangkan semua jabatan lain sudah dipegang dan diamanahkan kepada golongan wanita.

Fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 6 April 2006 bahawa harus hukumnya bagi seorang wanita dilantik menjadi hakim diketengahkan. Begitu juga fatwa Dr Yusuf al-Qaradhawi (1993) adalah berkaitan apabila beliau menyebut tiada satu nas secara jelas melarang wanita menjadi hakim.

Beliau menyarankan, penting untuk ulama hari ini menilai perbezaan kepada pencapaian manusia, sama ada berkait dengan perubahan masa, perkembangan sosial atau kerana keperluan semasa dalam memutuskan perkara ini.

Beliau juga menyebut pandangan ulama terdahulu yang melarang pelantikan hakim wanita perlu dipertimbangkan kembali, dikaji semula kerana ia mungkin bersesuaian pada waktu pandangan mereka diutarakan. Bahkan tambah beliau, kegagalan menilai perkara ini boleh membawa maksud kegagalan kita meletakkan Islam di tempat sepatutnya.

Persidangan itu turut menyentuh peruntukan yang ada dalam resolusi Konvensyen Menghapuskan Semua Jenis Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ada beberapa peruntukan berlawanan dengan syariah seperti kesamaan pelantikan antara gender sebagai ketua agama, ketua ibadat serta peranan dan tanggungjawab dalam rumah tangga menyebabkan negara tidak memberi persetujuan menerima pakai hasil konvensyen itu.

Perbincangan dalam kumpulan turut mengupas bagaimana wanita bekerjaya membabitkan diri dengan usaha membangun masyarakat dapat mengimbangi semua tuntutan hidup dengan seimbang. Walau bagaimana tinggi dan besar pangkat seseorang wanita, pada masa sama beliau juga mempunyai peranan lain yang perlu diberi perhatian iaitu sebagai anak, isteri, ibu dan ahli masyarakat.

Pada akhir persidangan, beberapa resolusi diketengahkan dan diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail. Antara resolusi yang diputuskan adalah:


Menuntut supaya kedudukan wanita yang berkaliber dan berilmu diiktiraf dan dilantik sebagai hakim syarie di mahkamah syariah bersesuaian dengan Fatwa Majlis Kebangsaan.


Menuntut supaya mahkamah syariah dimartabatkan dalam segala segi terutama membabitkan skim kerja, gaji dan kebajikan Hakim Syarie termasuk juga infrastruktur mahkamah syariah. Bilangan hakim syarie perlu ditambah untuk menangani kes tertangguh yang boleh memberi kesan secara langsung kepada wanita sebagai pihak memerlukan keadilan di mahkamah.


Sebagai langkah menjaga kredibiliti dan disiplin peguam syarie terbabit di mahkamah bagi membantu anak guam tanpa takut dan berpihak, Akta Profesion Guaman Syarie perlu digubal dengan kadar segera demi keadilan semua pihak.


Wanita berilmu dan berkelayakan perlu terbabit dengan lebih serius dan bilangan mereka wajar ditambah dalam Jawatankuasa Majlis Agama termasuk di negeri. .


Pihak berwajib wajar memperkenalkan mata pelajaran Sosial Famili pada peringkat sekolah menengah dan universiti sebagai langkah mendidik generasi muda menghargai perkahwinan, tidak melakukan keganasan kepada wanita serta menghayati peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai langkah mengelakkan keruntuhan institusi keluarga pada masa depan.

Persidangan itu boleh dianggap berjaya dalam mengumpulkan tenaga pakar, pekerja amal dan semua yang prihatin bagi mengupas isu terkini kedudukan wanita Islam di tengah perubahan zaman. Tahniah diucapkan kepada penganjur dan semoga wanita negara ini akan sentiasa ingat bahawa kita adalah nadi negara.

Namun, jangan kita lupa kaum hawa juga adalah nadi keluarga yang teramat tinggi dan mulia kedudukannya. Marilah kita mengisi kedua-dua tugasan ini dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan semua.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dikirim kepada exco_pgsm@yahoo.com



Selasa, 4 September 2007

Lama Tak sempat Masuk Blog ni

Lama Betul Tak Sempat Upload Blog Sendiri

Hari ni 4 September, dah dekat 2 bulan tak sempat masuk dan isi apa-apa dalam blog sendiri. Sibuk betul.. Hari ni aku nak masukkan artikel lama tulisan aku yang keluar dalam surat khabar... Banyak benda nak ditulis tapi tak sempat.. Nantilah yer..
Ini artikel yang kuar dalam Metro bulan Jun dulu.. tarikhnya dah tak ingat dah...


Ibu sebagai institusi pendidikan

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

ANAK adalah kurnia Allah s.w.t. yang sangat besar ertinya bagi setiap pasangan suami isteri. Apatah lagi bagi mereka yang baru memulakan hidup berumah tangga, kelahiran cahaya mata memang ditunggu-tunggu sebagai lambang kasih sayang.

Setiap ibu dan ayah juga sering mengharapkan anak yang dilahirkan sihat, comel, baik perangainya, mendengar kata dan dapat menjadi penyejuk mata dan penenang jiwa.

Kebiasaannya, apabila mendapat anak, kehidupan seorang ibu akan mengalami perubahan besar. Perhatiannya akan tertumpu kepada anak hingga ada ibu berkata, “Sejak mempunyai anak, saya tidak ada masa untuk diri sendiri. Segala perhatian adalah untuk anak.

“Ketika dia tidur, saya bimbang dia terbangun, digigit nyamuk, tak mahu dia kesejukan, sakit atau lapar. Saya terjaga beberapa kali untuk melihat keadaannya.”

Apabila anak sakit, ibu selalunya orang yang paling susah hati dan sanggup bersengkang mata, tidak tidur malam, tidak rehat menguruskan urusan rumah tangga dan berusaha untuk memastikan semua tersusun baik.

Anak pula sifatnya ‘rapuh’ dan tidak boleh mengurus diri sendiri. Mereka umpama kain putih dan sangat senang dipengaruhi. Sabda Rasulullah s.a.w: ‘Setiap anak dilahirkan atas fitrah (kesucian agama yang sesuai dengan naluri), hingga lancar lidahnya, kedua-dua orang tuanya yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi.’ (Riwayat Tabrani dan Bayhaqi).

Bagi setiap anak, ibu bapa adalah orang terdekat dalam kehidupan mereka. Apa yang diberi ibu bapa itulah yang mereka terima.

Tingkah laku dan tutur kata ibu bapa sama ada yang baik atau yang buruk adalah model dan ikutan mereka.

Dalam buku tulisan Glen Doman ada dicatatkan bagaimana Barat melihat peranan ibu dalam membina generasi baru hingga Napoleon Bonarparte dikatakan pernah mengungkapkan: ‘Biarlah negeri Perancis memiliki ibu yang baik, pastinya kita akan memiliki anak muda yang handal.’ Charles Simmon pula ada menyebut, ‘Sekiranya anda mahu membersihkan dunia daripada dosa dan noda, bermulalah dengan bantuan ibu.’

Ini menunjukkan mereka juga percaya ibu dan pendidikan daripada ibu kepada anak akan memberi kesan besar dan membentuk keperibadiannya.

Anak yang dididik dengan baik akan menjadi input berguna untuk membantunya membina kehidupan masa depan. Anak yang didedahkan dalam suasana Islam dan sentiasa menerima pendidikan Islam pasti lebih mudah tertanam di jiwanya kecintaan kepada agama.

Kajian menunjukkan seorang anak yang pemarah suka merosakkan barang, apabila marah suka melakukan penderaan kepada orang lain, menggunakan bahasa kesat dan tidak sopan, selalunya dipengaruhi cara dia dilayan di rumah dan melihat pergaulan ibu bapa dan adik beradik mereka.

Ibu dan ayah pembantu kepada perkembangan kejayaan anak. Untuk melakukan peranan itu, mereka perlu menyediakan diri dengan ilmu keibubapaan, termasuk pendekatan dalam mendidik, berusaha menahan marah, bersifat pemaaf, sabar dan berhati-hati dalam tindakan.

Selain itu, mereka perlu berusaha memahami anak dan sikap anak, membina jati diri dan nilai mulia dalam diri anak sejak kecil, bercakap dengan bahasa dan nada yang baik, memberi nasihat dengan berhikmah, menghiasi rumah dengan ilmu dan budaya membaca, menonton siaran yang baik dan membeli bahan bacaan yang bermanfaat agar suasana yang baik akan mempengaruhi jiwa dan hati anak.

Pesanan Rasulullah s.a.w. mengenai kegagalan ibu bapa dalam memberi pendidikan hendaklah selalu diingati, ‘Bukanlah musuhmu itu orang yang apabila engkau bunuh dia, bererti kamu menjadi menang dan kalau kamu mati terbunuh, kamu akan masuk syurga. Tetapi musuh mu itu terkadang adalah anak yang lahir daripada tulang rusukmu sendiri. Kemudian musuh mu yang paling berat ialah harta benda yang kamu miliki.’ (Riwayat Tabrani)

Justeru, ibu bapa harus melihat tugas mendidik anak sebagai tugasan mulia dan berterusan serta tidak melakukannya secara sambil lewa.

Selepas usaha keras mendidik mereka, berserahlah kepada Allah s.w.t. agar anak yang ditinggalkan nanti menjadi soleh dan tidak menjadi beban kepada ibu bapa, masyarakat dan negara.

Ibu dan ayah juga tidak pernah menghitung berapa jumlah wang ringgit yang mereka belanjakan untuk membesarkan anak.

Mereka tidak berkira berapa banyak kudrat dan tenaga yang dicurahkan untuk membesarkan anak. Mereka juga tidak pernah meminta anak membayar balik segala perbelanjaan yang digunakan. Cukuplah bagi setiap ibu dan ayah kalau anak menghargai, menghormati dan mengasihi mereka sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam dan juga Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Sabtu, 14 Julai 2007

Siar Berita Harian 12 Julai 07

Hak Muslim: Sedia dokumen elak permohonan cerai tertangguh


SOALAN;
SAYA dan isteri sudah bersetuju untuk bercerai. Secara logik dan tulusnya, tiada sesi kaunseling lagi diperlukan. Malah, keputusan kami diperoleh dalam keadaan sedar menerusi perbincangan dari hati ke hati dan selepas meneliti segala fakta permasalahan. Namun, kami masih kabur dari segi prosedur proses perceraian. Di harap pihak tuan dapat membantu. Apakah bentuk tuntutan perceraian yang sesuai, adakah khuluk atau fasakh

Suami nekad,
Selangor.

JAWAPAN:

Pertama, kita perlu lihat kedudukan perceraian dulu. Walaupun perceraian adalah suatu yang amat dibenci Allah, namun sekiranya perkahwinan itu tidak lagi dapat melahirkan suasana mawaddah dan rahmah dalam kehidupan pasangan, maka perceraian jalan keluar disediakan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “…… dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Surah al- Ahzab, ayat 49)

Kedua, mengenai apakah kaedah perceraian bersesuaian. Pada pandangan saya, permohonan perceraian khuluk (tebus talak) atau fasakh tidak sesuai dimohon dalam keadaan kedua belah pihak bersetuju untuk bercerai secara baik .

Perceraian khuluk bermaksud perceraian yang berlaku dengan tebusan dibayar isteri kepada suami berdasarkan kadar dipersetujui, manakala fasakh pula adalah perceraian yang berlaku disebabkan kecacatan pada salah satu pihak atau atas sebab tertentu misalnya suami tidak membayar nafkah kepada isteri atau suami menganiaya isteri.

Ketiga, ke mana perlu diketengahkan permohonan itu? Apabila kedua belah pihak bersetuju untuk bercerai, maka prosedur sesuai diikuti adalah permohonan bercerai atas persetujuan bersama. Jika di Selangor, permohonan boleh dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Sesi kaunseling di Pejabat Agama sememangnya tidak diwajibkan untuk dihadiri pasangan yang pada dasarnya sudah mempunyai kata sepakat untuk bercerai. Apa yang perlu dilakukan, salah satu pihak sama ada suami atau isteri boleh membuat permohonan untuk bercerai di mahkamah rendah syariah berdekatan dengan alamat tempat tinggal. Borang permohonan perceraian boleh diperoleh di mana-mana mahkamah rendah syariah.

Dokumen yang perlu dibawa bersama-sama adalah:


Salinan kad pengenalan (tiga salinan)


Sijil nikah (tiga salinan)


Sijil kelahiran anak (tiga salinan).

Pihak pemohon juga akan dikehendaki membuat Surat Akuan yang antara lain mengatakan mengenai maklumat pernikahan dan maklumat peribadi seperti alamat surat-menyurat, tempat bernikah, wali, pekerjaan, anak hasil perkahwinan dan maklumat lain berkaitan pernikahan. Surat Akuan itu hendaklah diikrarkan di hadapan Pendaftar Mahkamah atau Pesuruhjaya Sumpah Islam.

Jika kedua belah pihak, isteri dan suami sudah mempunyai kata sepakat mengenai nafkah edah, mutaah dan nafkah anak hasil perkahwinan iaitu ia adalah masih bidang kuasa mahkamah Rendah Syariah iaitu jika persetujuan itu tidak melebihi RM100,000, maka persetujuan itu boleh dinyatakan dalam borang permohonan perceraian supaya boleh di rekodkan di mahkamah dan seterusnya mahkamah boleh mengeluarkan perintah berdasarkan persetujuan kedua belah pihak.

Walau bagaimanapun jika tiada persetujuan dicapai merujuk kepada isu di atas, maka mahkamah hanya akan memutuskan permohonan cerai yang dimohon oleh kedua-dua pihak.

Pemohon akan diberi tarikh sebutan pertama dalam masa 21 hari daripada tarikh permohonan perceraian difailkan dan pada tarikh sebutan pertama itu, jika mahkamah berpuas hati tiada peluang untuk kedua-dua pihak bersama semula dan atas persetujuan kedua belah pihak untuk bercerai, maka mahkamah boleh membenarkan suami melafazkan cerai pada tarikh berkenaan di hadapan mahkamah.

Kebenaran mahkamah itu dengan syarat isteri mesti berada dalam keadaan suci. Jika tidak satu tarikh sebutan lain akan diberikan iaitu ketika isteri berada dalam keadaan suci bagi membolehkan suami melafazkan talak di hadapan mahkamah.

Kedua belah pihak akan memperoleh surat cerai, selepas tamat tempoh edah isteri iaitu dengan membawa surat keputusan atau perintah perceraian daripada mahkamah ke pejabat agama Islam yang berdekatan dengan tempat tinggal untuk mendapatkan surat cerai.

Perlu diingat bahawa sesuatu lafaz cerai yang ingin dilafazkan mestilah dengan kebenaran mahkamah syariah dan di hadapan mahkamah. Jika berlaku lafaz cerai di luar mahkamah dan bukan dengan kebenaran mahkamah, maka ia bersalahan dengan peruntukkan undang-undang dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya mengikut Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Saya menasihatkan pihak yang datang ke mahkamah supaya memahami dan mengetahui apa yang ingin dimohon di mahkamah bagi mengelakkan kes tertangguh. Segala dokumen yang difailkan di mahkamah hendaklah dibawa bersama bagi memudahkan kedua belah pihak membuat rujukan jika ditanya mahkamah.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah. Sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

AISYAH FAIRUZ

Aisyah Anak Umi yang Sayang



Aisyah Fairuz, permata hati umi dan abah, selalu ceria , riang dan menyeri hidup umi dan memberi cahaya kepada umi yang selalu letih banyak kerja.. Semoga Aisyah akan menjadi anak yang solehah dan baik akhlak serta kuat pegangan agama serta mejadi contoh kepada semua anak2 yang lain..

Aisyah suka berenang, nanti besar berenang di kolam kena pakai swiming trunk yang tutup aurat yer..

Siar Berita Harian 11 Julai 07

Peguam Syarie Menulis:

Agensi Sokongan Keluarga selesai soal nafkah
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim


MAHKAMAH syariah membuat keputusan bahawa Zetty berjaya mendapat hak penjagaan tiga anaknya. Mahkamah memerintahkan suaminya, Fendi membayar nafkah anak sebanyak RM500 sebulan. Namun begitu, Fendi hanya menyempurnakan bayaran nafkah selama enam bulan pertama. Selepas tempoh itu, Fendi cuai mematuhi perintah nafkah berkenaan dan dia juga tidak dapat dihubungi kerana sudah berhenti kerja serta bertukar alamat.

Zetty menghadapi masalah kewangan untuk menanggung nafkah anak mereka, tetapi dia tidak tahu apakah tindakan seharusnya dilakukan.

Bukan sedikit wanita menghadapi masalah seperti ini. Bahkan, ramai menyalahkan mahkamah kerana dianggap tidak melaksanakan perintah untuk mereka. Sebenarnya undang-undang memperuntukkan beberapa kaedah bagi melaksanakan sesuatu perintah yang sudah diputuskan. Namun begitu, bagi orang awam, tatacara yang bersifat teknikal kurang difahami sehinggakan ia memberi kesan kepada hasil daripada penghakiman yang diperoleh sebelumnya.

Kegagalan menguatkuasakan dan mendapat hasil daripada penghakiman memang memberi kesan besar dan menimbulkan tekanan kepada pihak yang memenangi litigasi. Kerenah birokrasi juga kadangkala menghalang pelaksanaan perintah di mahkamah syariah kerana pihak terpaksa berurusan dengan pelbagai pihak.

Contohnya Zetty dalam kes di atas, perlu berurusan dengan beberapa pihak untuk menguatkuasakan perintah itu seperti majikan suaminya, pihak bank, pejabat tanah, polis, imigresen dan pihak lain yang relevan. Hal itu memeningkan lagi kepala pihak yang sudah menang dan dilihat menafikan hak mereka menikmati hasil litigasi di mahkamah.

Secara ringkasnya, untuk menguatkuasakan penghakiman, ada beberapa kaedah seperti saman penghutang penghakiman, penyitaan dan penjualan, prosiding hiwalah (garnishee), pemilikan dan penghantar serahan dan prosiding penghinaan mahkamah.

Jika pihak terbabit tahu mengenai tatacara di mahkamah, permasalahan ini boleh diatasi tetapi hakikatnya ramai yang pergi ke mahkamah syariah tidak tahu prosedur perlu dilakukan yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Pada masa sama, kita tidak boleh membiarkan pihak yang teraniaya terutama anak menanggung kesengsaraan kerana kesukaran menguatkuasakan penghakiman. Kita perlu mencari jalan penyelesaian bagi membantu mereka, memudahkan urusan demi kebajikan mereka yang terbabit dalam kes sebegini.

Melihat kepada pengalaman di luar negara, ada beberapa usaha diambil bagi menangani kekusutan ini. Contohnya, Australia menubuhkan Jawatankuasa Sokongan Kanak-Kanak bertujuan menyediakan perkhidmatan untuk mendapatkan hak saraan dan nafkah bagi kanak-kanak.

Badan itu memberi perkhidmatan antara lain melaksanakan perintah saraan dan nafkah kanak-kanak yang diputuskan mahkamah. Jabatan Khidmat Sosial Louisiana pula memberi perkhidmatan antaranya mengesan di mana ibu bapa dan waris kanak-kanak, menguatkuasakan perintah dan membuat kutipan bagi pembayaran nafkah kanak-kanak.

Begitu juga di tempat lain seperti Agensi Sokongan Keluarga Dublin, Sistem Penguatkuasaan Sokongan yang ditubuhkan di Kanada, Agensi Penguatkuasaan Sokongan Kanak-kanak di Misouri. Usaha itu juga dilaksanakan di Jerman dan Maghribi dengan kewujudan badan dipanggil Jawatankuasa Sokongan Keluarga.

Melihat kepada hasil yang berjaya dicapai bagi memastikan kebajikan -anak terbela, Malaysia juga perlu mengikut langkah berkenaan. Dengan menubuhkan satu agensi atau badan khusus yang berperanan memastikan pelaksanaan perintah berjalan dengan teratur sebagaimana diperintahkan, kemungkinan banyak masalah dapat diatasi.

Apatah lagi, kita mempunyai kelebihan kerana adanya mahkamah syariah yang boleh memastikan semua tindakan berdasarkan kepada hukum syarak, manakala, daripada sudut dana kewangan bagi yang memerlukan, kita mempunyai Baitulmal yang dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Kedua-dua badan iaitu mahkamah syariah dan baitulmal boleh bergerak selari dengan perantaraan satu agensi lain yang mungkin boleh dinamakan Agensi Sokongan Keluarga (ASK). Usaha itu bertujuan memastikan kebajikan anak dibela termasuk kebajikan ibu tunggal bagi meneruskan kehidupan mereka dengan lebih bermakna.

Antara tugas yang boleh dimainkan ASK ialah:


-Membantu untuk mendapatkan perkhidmatan dan nasihat perundangan dalam hal berkaitan nafkah dan saraan kanak-kanak dan ibu tunggal;


-Melaksanakan tugas bailif di mahkamah dalam memastikan semua perintah mahkamah dipatuhi;


-Mengurus dan mentadbir bantuan yang diperoleh daripada baitulmal; jabatan agama Islam, kerajaan dan badan/orang persendirian;


-Menyelaras perintah mahkamah dengan bekerjasama dengan pihak berkenaan seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, imigresen, bank dan majikan;


-Melaksanakan perintah bersaling luar negara dan dalam negara;


-Menjejaki pihak yang gagal mematuhi perintah mahkamah dan tidak memberi nafkah;


-Mengawal selia pengurusan nafkah dan saraan;


-Menjadi badan pemegang amanah dalam kes di mana mahkamah memerintahkan perlu pemegang amanah dilantik; dan


-Menyediakan alternatif lain bagi menyelesaikan masalah saraan dan nafkah kanak-kanak dan ibu tunggal.

ASK yang dicadangkan ini wajar dilaksanakan pada peringkat kebangsaan dan bukannya peringkat negeri. Ini kerana dengan status kebangsaan, ia mampu menangani kerenah birokrasi dan masalah undang-undang serta prosedur yang berbeza antara negeri bagi umat Islam di Malaysia.

Bagi memastikan kejayaan ASK, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) perlu disusun semula dengan cadangan penubuhan satu jawatankuasa baru di bawahnya untuk menangani penubuhan ASK ini.

Mungkin beberapa peruntukan undang-undang yang ada wajar dikaji seperti peruntukan undang-undang mengenai bailif bagi menjamin kelicinan perkhidmatan ASK. Latihan berterusan untuk memantapkan kakitangan ASK juga perlu dijalankan untuk memastikan mereka memahami tujuan penubuhan agensi itu di samping melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Sudah tiba masanya Malaysia mencedok pengalaman daripada luar bagi memastikan kebajikan umat Islam terjamin. Pengalaman negara luar ini sebenarnya baik dan bertepatan dengan konsep menjaga maslahah pihak berkeperluan serta tidak bertentangan dengan undang-undang Islam.

Perkhidmatan ini juga wajar dipanjangkan kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia. Semoga dengan adanya ASK, kebajikan pihak terbabit dapat dibela, sekali gus dapat menutup tohmahan buruk yang dilemparkan kepada mahkamah syariah berkenaan isu pelaksanaan perintah mahkamah syariah.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com

Semester Baru Julai 07

KULIAH BERMULA LAGI


Hari ini 13 Julai 07, bermula semester Julai 07-Oktober 07. Baru dapat jadual kena ngajar 18 jam termasuk research.. Rasa berat jer.. lepas budak-budak ni datang, uitm akan bising kembali, parking padat dan sure semua orang terkejar2 cari parking.

Semester ni aku dapat 3 kod, kelas Islamic Legal Maxim 3 kumpulan 5A, 5B dan 5C. Budak2 asal ISB 530 yang aku ajar dulu.. Baik2 budak2nya.. semoga semuanya akan jadi insan mulia yang beriman dan baik akhlak..

Tadi mesyuarat kol 10-1 pm, Boss pesan supaya jaga kuliah masing-masing, buat persediaan untuk sambung belajar dan sebagainya.....

Aku dapat call dari LAN untuk wakil PGSM hadir sebagai Board LAN untuk bina standard pengajian Law dan Syariah di Malaysia.. Besarnya tugasan! terkejut aku tapi ini satu peluang yang baik. baik diambil.. Aku hadir meeting hari Khamis 12 JUn 07 di PJ..Mudah2an ada kebaikan untuk CITU di masa2 akan datang.


Aku bagi budak2 alamat blog ni, tak tahu ler ada tak yang rajin nak masuk tengok. Kalao ada bagusler.. Nanti blog ni akan digunapakai dengan lebih kerap.. cuma sekarang ni agak sibuk dengan beberapa perkara, tak sempat nak update blog ni selalu..

Sekian.. roger and out

Khamis, 7 Jun 2007

HARIAN METRO 7 JUN 2007

Mengamati sistem kekeluargaan kita
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

BAGAIMANA perasaan anda apabila membaca berita muka depan akhbar ini 31 Mei lalu? Bagi yang mempunyai ciri kemanusiaan dan belas kasihan, hati kita akan terhiris dan sedih, geram dan benci di atas tindakan si anak lelaki terbabit. Sampai hati si anak memperlakukan si ibu yang uzur dengan sebegitu tidak wajar.

Pendedahan itu membuka mata kita mengenai kecelaruan sistem kekeluargaan dalam masyarakat kita. Apa sebenarnya sudah terjadi dalam hati dan minda masyarakat kita? Ke mana hilangnya belas ihsan, menghormati dan menyayangi orang tua dan ke mana perginya sensitiviti ingin keberkatan dalam hidup berdasarkan restu dan kasih orang tua? Pada masa yang sama, kita juga terfikir apakah ada peruntukan undang-undang untuk si ibu membawa kes ke mahkamah bagi menuntut layanan yang baik, nafkah mata wang dan perlindungan daripada si anak?

Sebenarnya, dari sudut perundangan syariah di Malaysia, tiada undang-undang spesifik memperincikan tanggungjawab anak menyara dan memberi kasih sayang kepada orang tua. Apa yang ada hanya peruntukan umum dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri yang memperuntukkan mengenai nafkah.

Peruntukan itu menyebut Mahkamah Syariah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungjawab mengenai nafkah orang tertentu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada orang itu jika dia tidak upaya, sepenuhnya atau sebahagiannya daripada mencari kehidupan disebabkan kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat.

Mahkamah turut berpuas hati bahawa kemampuan orang yang bertanggungjawab itu adalah munasabah.

Ini bermakna Mahkamah Syariah boleh memerintahkan ayah memberi nafkah kepada anak, begitu juga boleh memerintahkan anak memberi nafkah kepada ibu bapa dalam apa-apa keadaan yang bersesuaian.

Namun, ia tidak merangkumi elemen lain seperti memberi kasih sayang, adab sopan, menghargai dan menghormati kedua-dua orang tua.

Jika kita meneliti suruhan Allah berkenaan hak ibu bapa terhadap anaknya, ia mencakupi ruang lingkup yang lebih luas, termasuk hak ibu bapa untuk dihormati, disayangi, dikasihani, ditanggung kebajikan mereka dan apa-apa yang selayaknya.

Ayat 23-24 surah al-Israa bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu janganlah menyembah kecuali Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa kamu. Jika salah seorang atau kedua-duanya mencapai usia tua di bawah jagaanmu, maka jangan kamu sekali-kali mengatakan kepada mereka walaupun perkataan ‘ah’. Dan janganlah kamu mengherdik mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia (lagi sopan). Dan rendahkanlah diri kamu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan sambil berdoa, Ya Tuhanku kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mencurahkan kasih sayang mendidik aku semasa kecil”

Ibnu Umar r.a. pernah melihat seorang lelaki mendukung ibunya ketika bertawaf mengelilingi Kaabah (dengan penuh kesukaran) lalu orang itu bertanya kepada Ibn Umar “Wahai Ibnu Umar! Apakah dengan cara begini aku dapat membalas jasa ibuku? Jawab Ibnu Umar, engkau tidak akan dapat membalas jasa ibumu sekalipun, ia hanya sedikit. Namun begitu engkau sudah membuat kebaikan kepadanya dan moga Allah memberimu ganjaran daripada yang sedikit dengan pahala yang banyak.”

Bagi seorang anak lelaki, dia tidak dapat meninggalkan tanggungjawab terhadap ibu bapanya walaupun selepas berkahwin. Tanggungjawab memberi nafkah kepada anak isteri adalah tersangat penting, tetapi menanggung ibu bapa yang uzur juga perlu diambil kira mengikut kadar kemampuannya.

Suami yang baik akan berusaha membina dan mengambil tindakan terbaik supaya hubungan antaranya dan isteri tidak terusik.

Bagi anak perempuan pula, dia tertakluk kepada ketaatan kepada suami selagi mana tidak menyalahi hukum syarak.

Sekiranya anak perempuan ingin memberi wang kepada ibu bapanya menggunakan wang suami, maka keizinan perlu diperoleh daripada suami. Tetapi sekiranya dia bekerja dan menggunakan wang sendiri, dia tidak perlu mendapat keizinan daripada suami.

Bagaimanapun, dari segi menjaga keamanan hidup bersuami isteri, setiap pasangan disarankan untuk berbincang dan bermusyawarah mengenai pembahagian kewangan keluarga supaya semua urusan berjalan lancar serta tidak dilakukan secara sembunyi.

Ingatlah ibu mengandungkan kita dalam rahimnya, melalui pelbagai kesulitan sewaktu hamil dan kesakitan yang amat sangat ketika melahirkan kita.

Ayah pula bekerja keras mencari rezeki menyara kehidupan berkeluarga yang diberkati Allah. Ibu kemudian menyusukan kita, memandikan dengan tangannya dan membuang segala kotoran dan najis daripada badan kita tanpa sedikit pun perasaan mual atau jijik.

Tetapi apabila ibu bapa berusia lanjut, badannya lemah dan memerlukan bantuan kita, tergamak pula kita memperlakukan mereka dengan perbuatan yang hina. Ada yang tidak menghiraukan kebajikan mereka, malah mencemuh dengan kata-kata kesat yang menghiris perasaan mereka.

Bagaimana kita melayan ibu bapa adalah contoh ikutan kepada anak. Jangan terkejut sekiranya kita membiarkan kehidupan ibu bapa dalam kesusahan, kita tidak melawat orang tua atas alasan sibuk bekerja, anak kita pula akan melakukan perkara yang sama kepada kita ketika tua.

Ingatlah, roda kehidupan ini sentiasa berpusing.

Penulis adalah pensyarah kanan di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam dan juga Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Rabu, 6 Jun 2007

Peguam Syarie Menulis: Hak Mahkamah Syariah dipertahan

Penghakiman kes Lina Joy perlu dihormati, selesai kemelut berkaitan maruah Islam
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

PADA 30 Mei lalu, seluruh negara dan sebilangan negara asing menunggu serta mengupas dengan penuh minat penghakiman kes rayuan Lina Joy yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Kes itu adalah rayuan perayu untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalannya.

Dalam kes itu, majoriti panel hakim, iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Datuk Alauddin Mohd Sherif menolak rayuan Lina Joy sementara Datuk Richard Malanjum membenarkannya. Pada masa yang sama, kita melihat sesetengah pihak, terutama media asing cuba memainkan polemik bahawa negara kita tidak mengamalkan kebebasan beragama dan keputusan itu seolah-olah menunjukkan permusuhan antara agama Islam dan Kristian.

Kita tidak harus melihat keputusan itu dari sudut sempit tetapi isu terpenting hasil penghakiman ialah kedudukan sistem perundangan sivil dan syariah di negara kita. Sebenarnya penghakiman itu hanya satu isu yang dipertimbangkan oleh mahkamah, iaitu sama ada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) betul mengikut undang-undang apabila menolak permohonan perayu untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalannya dengan memerlukan suatu sijil atau perintah murtad daripada Mahkamah Syariah terlebih dulu.

Tidak timbul langsung isu negara ini memusuhi agama Kristian dan menghalang orang Kristian mengamalkan agama mereka. Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tepat pada waktunya dengan menegaskan isu terbabit tidak patut disalahertikan. Sekiranya kerajaan memusuhi agama Kristian, sudah tentu tiada gereja dan paderi dihalang daripada mengendalikan upacara keagamaan mereka. Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah sivil tertinggi di Malaysia dan kita hendaklah menghormati keputusan diberikan sama ada memihak kepada kita atau sebaliknya.

Kes ini sebenarnya tidak bertujuan memutuskan sama ada perayu seorang Muslim ataupun Kristian. Ia hanya berkaitan dengan tindakan untuk memadamkan perkataan Islam dalam kad pengenalan, berasaskan dakwaan bahawa dia sudah memeluk Kristian dan dibaptiskan oleh sebuah gereja di Kuala Lumpur.

Ahmad Fairuz dalam penghakimannya mengatakan bahawa jika JPN menerima dan mengesahkan seseorang bukan lagi seorang Muslim hanya berdasarkan pengakuan dan pengisytiharan bahawa dia sudah murtad, JPN mengambil risiko apabila mengecap secara silap seseorang sebagai bukan Muslim, manakala menurut undang-undang Islam, orang itu masih lagi Islam.

Sekiranya hanya berdasarkan pengisytiharan dan pengakuan, ia juga akan memberi ruang dan menyenangkan orang yang lahir sebagai seorang Muslim tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam dengan mengisytiharkan mereka dan mengklasifikasikan diri sebagai bukan Muslim hanya semata-mata untuk mengelak daripada hukuman atas kesalahan mengikut syariah. Ini semua akan menyebabkan celaan kepada Islam dan masyarakat Islam.

Dengan sekadar pengakuan bahawa seseorang keluar agama bukanlah satu ketentuan muktamad bahawa dia tidak lagi menganut Islam. Dengan itu, dakwaan perayu tidak lagi berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa terhadap orang yang menganuti agama Islam tidak dapat diterima. Cara seseorang keluar daripada sesuatu agama semestinya mengikut kaedah atau undang-undang yang ditetapkan oleh agama itu sendiri.

Kebebasan beragama mengikut Perkara 11 Perlembagaan memerlukan seseorang mematuhi amalan atau undang-undang Islam, terutama mengenai keluar daripada agama itu. Seseorang tidak boleh dengan sesuka hati keluar dan masuk Islam. Apabila seseorang menganuti sesuatu agama, akal budi sendiri memerlukan dia mematuhi amalan dan undang-undang agama itu. Untuk memudahkan pemahaman orang awam, kita perlu mengetahui bahawa negara kita mempunyai dua sistem undang-undang, iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah dalam bidang kuasa yang berbeza seperti digariskan Perlembagaan.

Melalui pindaan Perkara 121 (1A) yang menyatakan antara lain bahawa sebarang keputusan Mahkamah Syariah ke atas satu-satu perkara yang berada dalam bidang kuasanya tidak boleh diganggu gugat lagi oleh Mahkamah Sivil memberi petunjuk bahawa kedua-dua sistem ini harus dihormati dan dipelihara sebaiknya. Jika kita meneliti secara mendalam penghakiman majoriti kes itu, kita dapati bahawa penghakiman itu memberi pengiktirafan kepada mahkamah syariah dan undang-undang syariah di Malaysia.

Ia kejayaan kepada usaha memartabatkan perundangan syariah dan Mahkamah Syariah di negara ini. Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi di negara ini dengan jelas mengesahkan pemakaian Perkara 121 (1A) dan mengiktiraf bahawa semua urusan keislaman, keluar masuk Islam adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan ia mesti dihormati sewajarnya. Keputusan ini sangat penting untuk menjadi panduan kepada hakim di mahkamah sivil bagaimana membuat keputusan jika isu yang sama berbangkit lagi.

Peranan dan fungsi kedua-dua mahkamah juga dapatlah difahami sebagai saling lengkap melengkapi dan tidak bersaing antara satu sama lain. Kedua-dua mahkamah ini mengadili secara muktamad dalam bidang masing-masing dan mahkamah yang satu lagi tidak boleh mencampuri urusan dan keputusan sesuatu mahkamah.

Dalam kes Lina Joy, Majlis Agama Islam sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia serta Ketua Pengarah Pendaftaran Negara sebagai responden kedua dan ketiga hanya ingin menegakkan kebenaran menurut undang-undang semata-mata. Ia terbukti selepas penghakiman diisytiharkan memihak kepada mereka, peguam utama perayu memohon supaya tiada perintah dibuat untuk kos. Apabila ditanya kepada responden, mereka tidak membantah permohonan itu.

Oleh hal yang demikian mahkamah tidak membuat sebarang perintah berkaitan kos. Ia dapat mengelakkan Lina Joy daripada membayar ratusan ribu ringgit sebagai kos di Mahkamah Persekutuan dan mahkamah bawahan. Fakta ini langsung tidak disentuh oleh kebanyakan media, seolah-olah ia tidak memberi sebarang implikasi terhadap Lina Joy.

Tindakan pihak responden ini sebenarnya menunjukkan matlamat utama pihak responden adalah untuk menegakkan keadilan dengan cara baik dan bukan untuk mencari titik pertembungan. Oleh itu, sama-samalah kita merapatkan jurang dan carilah titik persamaan antara kita. Kita meminta semua pihak menerima penghakiman itu dengan hati terbuka dan jangan terjerumus dalam perpecahan.

Sesungguhnya penghakiman bersejarah itu meletakkan mahkamah sivil dan mahkamah syariah di landasan masing-masing dengan betul. Bertitik-tolak daripada landasan itulah kita akan bergerak maju ke arah keharmonian dan saling hormat menghormati dalam menuju wawasan negara untuk menjadi negara majmuk yang gemilang dan terbilang.

Penulis adalah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sebarang komentar boleh dikirim kepada exco_pgsm@yahoo.com

Khamis, 24 Mei 2007

Hari Ibu yang gemilang..Ibuku kebanggaanku

Selamat Hari Ibu pada semua ibu-ibu di Malaysia.

Pada 13 Mei 07 hari ibu disambut di malaysia. Siapakah ibu? siapakah pula ayah? Siapakah pula anak? Ibu dan bapa yang mencorakkan warna yang baik ke atas kanvas putih anaknya, insyaAllah akan menyaksikan warna-warna yang baik akan terzahir ke atas anak mereka. Tetapi ibu bapa yang tidak endah apakah warna yang ada sudah tentu akan berhadapan dengan risiko besar, warna anak-anak yang kusam, pudar atau hitam pekat.

Saya berpendapat untuk mendakwa anak-anak yang meninggalkan ibu bapa di rumah kebajikan dan sebagainya sebagai anak durhaka dan menjadi tenggang moden, marilah kita reverse penglihatan kita pusing ke belakang melihat sejarah terdahulu. Apakah ibu bapa tersebut memberi warna yang baik kepada anak-anak mereka semasa mereka kecil? Jika tidak, apa yang berlaku adalah hasil cernaan dan pemilihan warna yang mereka sendiri tetapkan...

Maka marilah kita menjadi ibu dan bapa yang baik dan bertanggungjawab. Semoga anak2 akan menjadi insan soleh dengan warna-warna menarik, positif dan warna yang gemilang..

Hidayah

Jumaat, 11 Mei 2007

Peguam Syarie Menulis Siar BH 9 Mei 07

Peguam syarie menulis:
Ibu bapa abai anak boleh dipenjara
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kenakan hukuman keras kes kecuaian

ANAK adalah kurniaan Allah yang sangat besar bagi setiap pasangan. Anak kecil sifatnya ‘rapuh’ dan tidak boleh mengurus diri sendiri. Mereka perlu dikasihi, dilindungi, dipelihara dan dididik dengan baik. Mereka umpama kain putih tidak bercorak dan sangat senang dipengaruhi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan atas fitrah (kesucian agama yang sesuai dengan naluri), sehingga lancar lidahnya, maka kedua orang tuanya menjadikan dia beragama Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Tabrani dan Bayhaqi)

Bagi setiap anak, ibu bapa orang terdekat dalam kehidupan mereka. Atas dasar memastikan kelangsungan hidup anak berjalan dengan teratur, Islam menggariskan beberapa tanggungjawab yang perlu dipenuhi ibu bapa terhadap anak mereka.

Dalam Islam, bapa bertanggungjawab secara khusus menyediakan nafkah untuk anaknya termasuk makan minum, pembelajaran, perubatan, penempatan sesuai serta memberikan mereka perlindungan dan kasih sayang.Hakikatnya, tanggungjawab menyediakan nafkah dipikul sepenuhnya bapa dan keluarga sebelah bapa.

Dari segi undang-undang, ada beberapa peruntukan menyentuh perkara ini seperti dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta Perempuan Bersuami dan Anak (Nafkah) 195 dan Akta Kanak-kanak.

Mengikut Seksyen 73(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, adalah kewajipan lelaki (bapa) menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain, sama ada dengan lelaki itu menyediakan bagi anaknya tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran seperti yang munasabah merujuk kepada kemampuan dan taraf hidupnya kecuali jika ada perjanjian lain atau ada perintah mahkamah selainnya.

Ini bermakna, hak anak adalah mendapat penjagaan, makan minum, tempat tinggal yang munasabah, perlindungan dan juga pendidikan. Pendidikan boleh dibahagi kepada dua iaitu pendidikan formal diperoleh di sekolah dan pendidikan tidak formal diperoleh di rumah hasil ajaran ibu bapa atau pergaulan dengan kawan-kawan dan persekitaranAkta Pelajaran (Pindaan) 2002 menetapkan setiap ibu bapa warga Malaysia bertanggungjawab menghantar anak mereka ke sekolah ketika anak enam tahun pada hari pertama Januari tahun berkenaan dan hendaklah bersekolah di sekolah rendah sehingga tamat sekolah rendah.Ibu bapa melanggar peruntukan ini jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pada masa sama, ada beberapa hak anak yang menjadi tanggungjawab ibu bapa digariskan di dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Akta ini terpakai ke atas seluruh kanak-kanak di Malaysia dan digubal untuk mempertahankan hak mereka. Antara inti pati memperincikan tanggungjawab ibu bapa ke atas anak mereka adalah:

· Seksyen 30(1)(a) memperuntukkan mahkamah boleh memerintahkan ibu bapa menyempurnakan suatu bon pemeliharaan dan penjagaan yang betul untuk anak mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

· Seksyen 31(1) menyentuh tanggungjawab ibu bapa menjaga kanak-kanak. Ibu bapa boleh dihukum jika gagal menunaikan tanggungjawab mereka terhadap anak yang berada dalam jagaan mereka. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali. Ibu bapa dianggap sebagai cuai jika tidak menyediakan makanan, pakaian, perubatan, perubatan pergigian, tempat tinggal dan jagaan anak yang mencukupi serta menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi anak.

· Apabila ibu bapa berusaha mengawal anak mereka, tetapi masih gagal, Seksyen 46 menyatakan ibu bapa boleh memohon kepada mahkamah secara bertulis untuk mahkamah menahan anaknya di suatu tempat perlindungan, asrama atau pusat di atas alasan mereka tidak mampu untuk mengawal anak itu.

· Seksyen 30(8) dan 40(3) menyebut jika mahkamah membuat perintah untuk ibu bapa menyempurnakan bon mahkamah dengan atau tanpa suriti boleh juga meletakkan syarat tambahan untuk memastikan keselamatan anak terjamin dengan cara ibu bapa dengan diiringi oleh anak hendaklah menghadiri bengkel interaktif di pusat tertentu, jika anak diletakkan di tempat selamat, ibu bapa hendaklah melawatnya seperti ditentukan mahkamah dan jika anak diletakkan di tempat tertentu, maka ibu bapa hendaklah berjumpa dengan guru atau guru besar sekolah untuk berbincang mengenai perkembangan anak mereka sebulan sekali.

· Seksyen 88 menyatakan ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab hadir ke mahkamah sebelum kes didengar atau ketika prosiding kes membabitkan anak mereka. Kegagalan berbuat demikian jika diperintahkan mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali.

· Seksyen 90(11) pula memberi ruang kepada ibu bapa membuat permohonan pengurangan denda (mitigasi) atas hukuman yang dikenakan mahkamah terhadap anak mereka. Ibu bapa atau penjaga boleh merayu kepada mahkamah bagi hukuman yang bakal dijatuhkan itu ringan dan setimpal dengan kesalahan kanak-kanak itu.

· Jika mahkamah menjatuhkan hukuman rotan ke atas anak mereka, maka Seksyen 91(1)(g) menyatakan ibu bapa bertanggungjawab hadir ketika anak dirotan. Mereka hendaklah menyaksikan anak mereka ketika dirotan.

· Jika seorang kanak-kanak didakwa atas kesalahan yang boleh dihukum dengan denda dan membayar pampasan, kos atau keduanya, Seksyen 94 memperuntukkan mahkamah hendaklah memerintahkan ibu bapa atau penjaga membayar denda, pampasan atau kos atau semuanya, kecuali mahkamah berpuas hati bahawa ibu bapa atau penjaga tidak ada atau tidak ditemui pada masa munasabah dan mereka tidak menyumbang kepada perlakuan kesalahan jenayah itu kerana cuai menjaga anak dengan sempurna.

Bagaimana sekiranya seorang anak melakukan sesuatu kesalahan membabitkan kecuaian, pelanggaran hak dan sebagainya? Berdasarkan undang-undang, kanak-kanak tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi sebarang kecuaian yang mereka lakukan terhadap orang lain.Dalam erti kata lain, kesalahan dilakukan kanak-kanak boleh dipertanggungjawab kepada ibu bapanya jika boleh dibuktikan ibu bapanya cuai menjaga dan mengawal anak. Ia bukanlah kesalahan sebenar kanak-kanak itu, tetapi kesalahan ibu bapa atau penjaga mengawal anak mereka.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dikirim ke admin@pgsm.org.my

Sabtu, 7 April 2007

Letih Bangat Tetapi Happy

Dah 3 minggu AKU tak dan nak buka blog ni..Sebab sibuk sangat, tapi AKUbuka balik ari ni sebab nak masukkan beberapa artikel yang aku tulis disiarkan dalam Berita Harian dan Metro. Hari tu akutulis pasal gi Acheh masa Raya Kurban, disiarkan dalam Majalah i bulan MAc 2007. Happy betul baca sebab ada bahan bukti bercetak telah menyiarkan kisah perjalananku ke Lhoksemaweh, Acheh.

Tiga minggu ni letih bangat sebab terkejar-kejar habiskan silibus Islamic Banking. Tapi happy betul saya sebab minggu revision mula 16 April tapi kelas akhir aku untuk Islamic Legal Maxims 2 kelas BMBK5A dan 5B settled hari Khamis 5 April..Kelas Muamalat 540 untuk BMBF5A pun abis pada 4 April 07..Wow!!! Aku betol2 teruja dan terkejut..


Sebab apa yer?? Sebab aku mula mengajar dari 95 di UiTM ni, dari tarikh tu, aku selalu habis kelas last masa revision week.. kdg2 kena buat kelas ganti malam2 untuk abiskan silibus.. Huuuhhhh..... happy betol rasanya....Rasa nak masuk dalam surat khabar nak cite aku berasa sangat teruja.. "SAYA BERJAYA HABISKAN SILIBUS 2 MINGGU SEBELUM REVISION WEEK! Yeaa. Harap Maklum!!"

Sebab aku bertembung dengan banyak perkara semester ini, penulisan dalam paper untuk PGSM, kena buat kerja opis, kena buat PGSM punye work dan lain2., tapi aku berjaya abiskan silibus awal... fuyooo..terernye.. hehe... sebab tu aku rasa sangat happy..

Lagi satu sebelum keluar tamatkan kelas hari tu, aku mintak budak2 seramai 120 orang tu tulis surat, tak perlu tulis nama tetapi tulislah apa-apa dan buatlah pandangan cara aku mengajar, seronok ke boring dalam kelas, paham ke dak subjek yang diajar..


Hampir semua tulis mereka seronok sangat dok dalam kelas, kalau miss kelas rasa rugi sebab aku suka cerita dalam kelas pasal agama dan ajar selalu joke dan mintak pandangan mereka terhadap sesuatu isu.. Sekali lagi aku rasa sangat seronok..

Mudah2an semua yang aku buat, baik mengajar, menulis dalam paper, memberi kuliah di masjid, involve dengan Persatuan Peguam dan berbaik2 dengan pelajar semuanya menjadi pahala jariah dan membantu aku di alam selepas mati. Insya Allah.

Pagi tadi aku antar anak saya Aisyah ke rumah Abang Uji di Bukit Jelutong kol 7.45 pagi, supaya dia dapat bermain dengan Amirah dan adik Imran dan mintak Kak Has tolong jaga Aisyah hari ni.. Abah pegi kerja dengan Abang Uji kol 7 pagi lagi. Abah bawa basikal Aisyah ke rumah Abang Uji supaya dia dapat main basikal dengan Amirah..


Lepas hantar Aisyah aku lari ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, nak attend AGM PGSM kol 9 pagi.. Aku speed ikut NKVE, kuar kat PJ dan sampai sana kol 8.45 pagi. Alhamdulillah semua berjalan lancar.

Ini AGM pertama yang dilead oleh Presiden baru Zainul Rijal. Ucaptama dia bagus dan Musa sebagai Pengarah buat slide show pun bagus. Kehadiran dalam 50 orang, capailer target minimum kehadiran untuk meneruskan AGM.

Lepas AGM, tu aku pegi firm Siti untuk discuss pasal paper poligami yang akan dipresent hujung bulan nanti di ILIM.. Aku rasa sedih sangat sebab Siti akan pindah ke Alor Star ikut Ustaz Badri hujung bulan ni dan firm dia di KL akan dijalankan oleh orang lain..

Habis bincang, aku balik kol 5.45 ikut federal Highway. Alhamdulillah tak jam sangat, aku sampai Shah Alam kol 6.45pm..Sampai jer kat rumah, Abah pun sampai dengan Aisyah dari Bukit Jelutung.


Kita orang sembahyang Asr jemaah tapi lambat sangat. Alhamdulillah Aisyah happy main basikal dengan Amirah dan Adik Imran tapi dahi dia calar sebab kena cakar dengan Adik Imran. Tapi tak kisahler budak-budak...

Aku sangat happy dengan hidup yang aku lalui sekarang, memberi kepada orang lain apa-apa yang Allah berikan padaku.


Terima kasih wahai Allah atas kehidupan yang indah ini..

Hidayah 12 malam 7 hb Mac

Rabu, 14 Mac 2007

Hak Muslim 8 Mac 07

Pernyataan hasrat rujuk guna SMS tidak sah
Bersama Mohamad Isa Abd Ralib


SAYA bercerai dengan isteri dan disahkan oleh mahkamah atas permohonan isteri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah sah rujuk seorang suami kepada isterinya yang dilakukan secara SMS kepada isteri. Saya menghantar mesej itu, saya memang mempunyai niat untuk rujuk semula bersama isteri. Ayat saya adalah ‘saya rujuk semula dengan kamu’. Tetapi isteri membalas dengan ayat, ‘Saya tak nak walau apapun’. Jarak saya dan isteri ketika itu 180 km, dan kami tidak lagi tinggal bersama sejak SMS berkenaan dihantar kerana isteri enggan rujuk semula. Apakah rujuk saya itu dianggap sah?
SUAMI
Sepang

RUJUK adalah hak suami dalam perceraian talak rajie selagi isterinya masih dalam idah. Ia adalah suatu penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat oleh suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Dari sudut kesahannya, rujuk tidak memerlukan lafaz penerimaan daripada isteri. Bahkan ia sah walaupun tanpa pengetahuan dan persetujuan isteri, asalkan menepati syarat rujuk yang diperlukan.Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri itu masih suka kepada suaminya. Sebaliknya suami boleh merujuk isteri yang diceraikan walaupun isteri itu tidak lagi suka kepada suaminya. Menurut jumhur ulama, ada tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz). Kewujudan saksi hanya disunatkan.

Rukun pertama, suami hendaklah seorang yang baligh. Tidak sah rujuk bagi suami yang belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk, suami hendaklah kekal dalam Islam. Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai idah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuknya tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk.

Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh idah. Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya idah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti ‘engkau’ atau ‘nama isteri itu’ atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah itu pula tidak boleh digantungkan (ditaklikkan) dengan sesuatu.Contohnya suami berkata: “Abang rujuk awak jika awak suka.” Atau: “Abang kembali kepada awak jika emak awak datang.” Rujuk yang digantungkan atau ditaklikkan dengan sesuatu syarat seperti contoh di atas adalah tidak sah.Jenis lafaz rujuk terbahagi kepada dua iaitu lafaz sareh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran/simbolik).

Contoh lafaz sareh seperti kata suami “Abang rujuk kembali kepada kamu”. Lafaz seperti ini adalah sah dan tidak memerlukan niat. Manakala lafaz kinayah menggunakan bahasa sindiran atau kiasan yang membawa maksud untuk rujuk seperti kata suami “Abang pegang awak”. “Awak masih isteri abang” jika menggunakan lafaz kinayah maka disyaratkan agar suami itu berniat untuk rujuk ketika malafazkan perkataan sindiran itu.Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukunnya adalah sah walaupun rujuk yang dibuat itu dalam keadaan bergurau. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuklah nikah, cerai dan rujuk.

Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah. Dari sudut peruntukan undang-undang, saudara boleh melihat Seksyen 52 (2) – (9) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003. Antara lain, Seksyen ini menyebut bahawa sekiranya isteri tamat idah, maka tidak boleh dirujuk. Sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, maka dia tidak boleh diperintahkan oleh mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mahkamah hendaklah melantik satu jawatankuasa pendamai seperti diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.Ini bermaksud, sekiranya isteri tidak bersetuju dengan alasan yang diterima syarak seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya.

Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk. Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum itu sebagai ejek-ejekan dan permainan”. Dari segi hukum rujuk juga, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain.

Makruh rujuk pula jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya. Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri yang ingin dirujuknya itu.Merujuk kepada kes saudara, berdasarkan mazhab Syafei, kedudukan rujuk yang saudara buat melalui SMS adalah tidak sah walaupun mempunyai niat untuk rujuk semula bersama isteri. Lafaz rujuk yang dibuat oleh saudara adalah berbentuk tulisan (kitabah) dan bukannya secara lisan melainkan saudara seorang bisu (tidak boleh berkata-kata). Untuk makluman saudara SMS dianggap sebagai tulisan (kitabah).

Namun begitu sekiranya saudara membaca balik SMS itu secara berlafaz sebaik saja saudara menghantar SMS itu, rujuk itu dianggap sah kerana saudara melafazkan rujuk. Saudara perlu melafazkan kembali lafaz rujuk berkenaan secara lisan terhadap isteri di dalam tempoh idah isteri saudara. Sekiranya tempoh idah habis, maka saudara dikehendaki menjalankan akad nikah baru dengan bekas isteri saudara. Jika dengan akad nikah yang baru, saudara perlu ingat, bilangan talak saudara dengan isteri tersebut berkurang kepada dua sekiranya sebelum ini bercerai dengan talak satu. Saudara juga perlu mengambil kira lafaz taklik yang dibaca ketika perkahwinan dahulu, kerana sesetengah negeri meletakkan taklik iaitu sekiranya suami merujuk tanpa persetujuan isteri maka boleh jatuh satu lagi talak.

Perkahwinan, perceraian dan rujuk adalah suatu yang penting dalam Islam. Apabila seorang berkahwin secara baik dan terhormat, maka apabila perkahwinan tidak dapat diselamatkan, sewajarnya perceraian juga dilakukan dengan baik dan terhormat, bukan menggunakan SMS dan sebagainya. Begitu juga apabila suami ingin merujuk isteri, wajarlah berdepan menzahirkan kesungguhan dan keikhlasan suami, kerana ia bukan perkara main-main. Untuk mengesahkan rujuk yang saudara buat, saya menasihatkan agar saudara dapat membuat permohonan pengesahan rujuk di hadapan Pendaftar, Nikah, Cerai dan Rujuk di Pejabat Agama di tempat saudara. Semoga perkahwinan saudara akan dapat diselamatkan dan beroleh keberkatan.

Jawapan disediakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd Ralip. Sebarang persoalan berkaatan syariah sila kemukakan menerusi e-mel: admin@pgsm.org.my
(Telah disiarkan dalam BH 8 MAc 07)

Jumaat, 2 Mac 2007

Slot Peguam Syarie Menulis 28 Feb 2007

Perkahwinan bawa mudarat patut dielak
Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
Islam saran keutamaan nilai bakal pasangan dari segi pegangan agama, akhlak

ADA orang berkata perkahwinan itu satu perjudian. Ibarat orang berjudi, jika bernasib baik, dia akan menang dan membawa balik untung yang banyak. Jika tidak, bukan saja tidak dapat untung, modal pun habis.Begitulah juga dengan perkahwinan. Jika bernasib baik, perkahwinan akan bahagia dan berjaya. Jika tidak, terpaksalah menanggung kesusahan dan kepayahan daripada perkahwinan itu.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Perempuan itu dikahwini kerana empat, kecantikan, keturunan, harta dan agamanya. Pilihlah yang beragama, nescaya selamatlah kamu.”Kebiasaannya, lelaki lebih melihat kepada rupa paras. Islam menyarankan carilah bakal isteri yang baik, berpegang teguh kepada agama, menjaga maruah diri dan baik akhlaknya. Maka, dengan izin Allah, akan selamatlah rumah tangga yang dibina.

Jika lelaki disarankan membuat pilihan begitu, maka apakah pula kedudukan bagi wanita? Sudah tentu lebih wajar untuk mengkaji siapakah calon suaminya, kerana seorang isteri akan tertakluk kepada suaminya.Imam Hassan pernah ditanya oleh seorang bapa, “Dengan siapakah perlu aku kahwinkan anak perempuanku? Beliau menjawab, “Kahwinkanlah dengan lelaki yang beragama dan bertakwa. Jika dia sayang pada anakmu, dia akan melayannya dengan baik. Jika tidak sayang, dia tidak akan melayannya dengan buruk.”

Justeru, apabila Islam menyarankan supaya menilai bakal pasangan sebelum berkahwin, ini bermaksud perkahwinan adalah suatu yang dirancang, bukan berdasarkan nasib semata-mata (perkahwinan bukanlah satu perjudian).Kebelakangan ini, heboh diperkatakan mengenai perkahwinan pasangan pembawa HIV. Adakah wajar seorang sihat berkahwin dengan pasangan yang sudah disahkan HIV Positif?Sekiranya mereka berkahwin, bagaimana kehidupan mereka selepas berkahwin? Apa akan berlaku kepada anak yang akan lahir?

Berdasarkan laporan Tabung Pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Malaysia antara negara mempunyai bilangan pesakit HIV yang ramai dan bertambah setiap tahun.Bilangan kes jangkitan HIV berjaya dikesan dari tahun 1986 sehingga Jun 2006 adalah 73,427 dan 8334 daripada mereka sudah meninggal kerana AIDS dan secara purata 17 orang meninggal setiap hari kerana penyakit itu.Apabila jumlah terbabit ramai dan hidup bersama dalam masyarakat yang ada, maka bukan suatu yang pelik sekiranya wanita bertemu dan bercinta dengan lelaki pembawa HIV positif ataupun sebaliknya.

Secara dasarnya, pembawa HIV juga sama dengan manusia lain. Mereka berhak untuk hidup dan merasai kenikmatan serta kebahagiaan selama mana hayatnya masih ada. Mereka juga mempunyai naluri untuk mempunyai keluarga dan disayangi.Masyarakat harus faham bahawa penyakit ini boleh merebak melalui banyak cara seperti mengadakan hubungan kelamin dengan pembawa HIV, pertukaran jarum suntikan bagi penagih dadah dan pemindahan darah (walaupun ini kes terpencil).Wajarkah seorang yang sihat memilih dan dibenarkan berkahwin dengan seorang yang sudah diketahui HIV positif?

Isu ini membabitkan aspek kemanusiaan, keagamaan dan undang-undang.Dari aspek kemanusiaan, untuk melarangnya adalah rumit kerana membabitkan perasaan dan hati. Selalunya, seorang boleh berfikir secara tenang dan menilai baik buruk sesuatu jika bersangkutan dengan perkara lain, tetapi tidak dalam hal membabitkan hati dan perasaan.Seorang perempuan atau lelaki bercinta sama ada dengan pasangan HIV positif atau tidak sering dikuasai emosi dan perasaan. Apabila dilarang, ada yang patuh dan ada pula berusaha melawan bagi membuktikan keputusannya wajar atas dasar cinta.

Berdasarkan pandangan agama, ada beberapa perkara harus diberi perhatian kerana perkahwinan dalam Islam adalah suatu yang mulia. Ia tidak bergantung semata-mata kepada nasib, tetapi membabitkan perancangan, usaha dan doa.Seorang perempuan yang membuat keputusan hari ini akan memberi kesan kepada seluruh kehidupannya. Anak yang lahir akan turut menerima kesannya. Menangis hari ini adalah lebih baik daripada menangis sepanjang hayat.Justeru, membuat pemilihan yang saksama dengan waras dan tenang sangat penting kerana ia membabitkan generasi akan datang.

Islam menggariskan tatacara untuk mencari keputusan terbaik.Allah berfirman bermaksud: “Janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan..” (Surah al-Baqarah, ayat 195)Sekiranya diketahui bahaya yang akan datang, maka jangan sama-sekali terjun ke dalamnya kerana ia akan merosakkan diri kita. Kaedah fiqh turut menegaskan, ‘menolak mudarat lebih utama daripada mengambil manfaat.’Ini bermaksud, perkara yang mempunyai kebaikan dan kemudaratan, maka kemudaratan itu hendaklah ditolak.

Justeru, mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pasangan yang diketahui HIV positif akan mengundang banyak masalah.Oleh itu, menolak mudarat yang bakal berlaku adalah lebih utama daripada mengambil manfaat perkahwinan itu sendiri. Adalah dicadangkan pihak mufti bersidang dengan seberapa segera untuk mengeluarkan fatwa berkenaan isu ini dan diwartakan untuk perhatian serta ikutan semua umat Islam di Malaysia.

Dari segi undang-undang, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri hanya meletakkan syarat umum pasangan berkahwin. Tidak ada peruntukan khusus mengenai syarat pengantin sama ada sakit, muflis atau pengidap penyakit berisiko.Beberapa negeri mensyaratkan bakal pengantin melalui pemeriksaan darah dan menjalani sesi kaunseling sebelum berkahwin adalah suatu yang wajar.

Menangani isu keaiban pasangan, semua mazhab sependapat bahawa sekiranya seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki yang diketahui kecacatannya, maka haknya untuk fasakh dianggap terbatal.Begitu juga jika keaiban/kecacatan berlaku selepas perkahwinan dan isteri menyatakan keredaannya terhadap kecacatan itu, maka pada ketika itu haknya untuk menuntut fasakh menggunakan alasan keaiban juga dianggap terbatal. Bagaimana jika seorang isteri yang bersetuju berkahwin dengan pesakit sebegini dan tidak mampu menghadapi tekanan yang diakibatkan oleh perkahwinan itu. Apakah wajar dia menuntut fasakh menggunakan alasan ini?

Penulis adalah Exco Penyelidikan dan Penerbitan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sebarang pendapat dan komentar, sila kemukakan ke alamat admin@pgsm.org.my
Artikel ini telah disiarkan dalam BH pada 28 Feb 2007

Hak Muslim 1 Mac 2007

Hak Muslim: Langkah hadapi kerenah isteri nusyuz
Bersama Mohamad Isa Abd Ralib

Soalan:
SAYA baru mendirikan rumah tangga hampir setahun. Saya dan isteri bekerja serta tinggal di Johor Bahru. Beberapa bulan lalu saya ditukarkan ke Shah Alam dan kami tinggal berasingan. Isteri saya masih bertugas di Johor Bahru dan tinggal di rumah sewa bersama kawannya. Masalahnya, saya beberapa kali mengajaknya pindah dan berhenti kerja supaya dapat mengikut saya ke Shah Alam tetapi beliau enggan. Alasan yang diberi, sukar mencari kerja baru di Lembah Klang, ingin mempunyai pendapatan sendiri kerana ingin membantu keluarganya di kampung dan bosan duduk di rumah tanpa kerjaya. Untuk pengetahuan tuan, saya membeli rumah dan menyediakan segala keperluan selain gaji yang mencukupi untuk menanggung kami sekeluarga. Buat masa ini isteri saya sanggup berulang alik setiap minggu dari Johor Bahru ke Shah Alam. Isnin hingga Jumaat saya tinggal bersendirian dan makan minum terpaksa dimasak atau beli di warung. Adakah tindakan isteri enggan mengikuti saya ke Shah Alam dikira nusyuz? Jika isteri nusyuz, adakah wajib saya memberi beliau nafkah? Apa yang perlu saya lakukan?
SUAMI RESAH,
Shah Alam

Jawapan:
Seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab itu bukan mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami menjalankan sepenuh tanggungjawab terhadap isteri.

Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami, manakala, hak suami pula adalah tanggungjawab isteri termasuk mematuhi suruhan suami selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Jika suruhan suami bertentangan dengan ajaran Islam, ia bukan saja tidak wajib dipatuhi malah, suami perlu diperbetulkan dengan cara bijaksana.Tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada hadis Sunan Abu Daud yang bermaksud: “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.” Rasulullah SAW membuat perumpamaan sebegitu untuk menunjukkan betapa pentingnya isteri mentaati suami selagi ketaatan itu tidak keluar daripada landasan syarak.

Bagi menentukan sama ada isteri saudara nusyuz dan saudara wajib atau tidak memberi nafkah, kita perlu meneliti kepada peruntukan undang-undang sedia ada.Menurut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003:

“Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain:
· Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya;
· Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
· Apabila dia enggan bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.”

Berdasarkan peruntukan itu, seorang isteri tidak berhak menerima nafkah daripada suaminya sekiranya beliau enggan mengikut perintah sah suaminya dengan melakukan salah satu atau kesemuanya perkara (a), (b) dan (c).

Namun demikian, mengikut peruntukan di atas, seorang isteri tidaklah dikatakan nusyuz melainkan perbuatan itu tertakluk kepada Hukum Syarak dan disahkan oleh mahkamah terlebih dulu.

Seksyen 60 (3) Enakmen yang sama memperuntukkan: “Selepas saja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.” Oleh itu, mengikut peruntukan ini walaupun isteri nusyuz atau enggan mengikuti perintah sah suaminya tetapi kemudian dia bertaubat, maka isteri tidak dianggap nusyuz. Dalam keadaan ini, suami wajib memberi nafkah kepada isteri.

Kes saudara menunjukkan isteri enggan berpindah mengikut saudara ke Shah Alam. Namun begitu, beliau mempunyai alasan untuk mengambil keputusan enggan berpindah.Sebagai suami isteri yang berhasrat untuk menjaga kebahagiaan rumah tangga, saudara wajar berbincang secara tulus, telus dan berhikmah dengan isteri. Saudara wajar berbincang dan mungkin saudara boleh memberikan cadangan yang baik seperti menolongnya mencari kerja terlebih dulu dan kemudian baru berpindah ke Lembah Klang.

Namun demikian sekiranya isteri saudara masih lagi enggan tanpa alasan yang kuat, saya berpendapat saudara wajar merujuk kepada pendekatan Quran dalam menangani isteri nusyuz.Firman Allah yang bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curigai akan berlaku nusyuz (derhaka), hendaklah kamu menasihati mereka dan sekiranya mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika mereka masih berdegil juga, pukul mereka, kemudian jika mereka kembali mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar.”

Ayat di atas menggariskan langkah yang perlu diambil suami dalam menghadapi kerenah isteri yang nusyuz iaitu menasihati, memulaukan (mengasingkan diri dari tempat tidur isteri) dan memukul dengan pukulan pengajaran yang tidak mencederakan.

Pertama, jika sudah diadakan perbincangan tetapi isteri tetap berdegil, cuba nasihatkan bersandarkan kepada ayat al-Quran dan sunnah bagi melembutkan serta mendekatkan isteri kepada nilai agama.

Jika isteri saudara masih lagi berdegil, tunjukkan rasa tidak reda dengan tidur berasingan bilik atau membelakangi isteri ketika tidur. Mudah-mudahan dia sedar atas kesilapannya.

Kaedah terakhir iaitu memukul dengan pukulan tidak melukakan atau mencederakan isterinya, tidak boleh dibuat di tempat sensitif seperti muka dan dada serta tidak menggunakan alat yang boleh mencederakan.

Apapun, saya sangat mengharapkan saudara berbincang dengan baik, gariskan kebaikan dan keburukan tinggal berjauhan, apa kemungkinan berlaku jika berhenti kerja dan cari alternatif yang baik.Semoga kerjasama kedua pihak dapat memastikan perkahwinan berkekalan dan beroleh bahagia.

Artikel ini telah disiarkan dalam BH pada 1 Mac 2007