Thursday, October 8, 2015

Menyambut Maal Hijrah

Maal Hijrah..

Lama saya tidak menulis di blog ini. Pejam celik pejam celik, tak berapa hari lagi, kita nak masuk tahun baru Islam 1437H. Saya tulis mengenai isu ini dalam Berita harian hari ini 8hb Oktober 2015.



Menyambut Hijrah
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim


Pepatah Arab mengatakan ‘Masa itu pedang, jika anda tidak memotong, anda akan dipotong’.  Ia menunjukkan nilai masa yang sangat penting dan ia tidak akan menunggu kita. Masa berlalu dengan sangat pantas. Jika kita berjaya mengisi masa dengan baik dengan melakukan sesuatu yang berguna untuk kebaikan diri dan masyarakat, menambah ilmu dan membantu orang ramai, maka kita  yang memotong masa tersebut dan menjadikan usia yang ada sebagai jalan pengumpulan pahala. Namun jika kita membiarkan masa  berlalu begitu sahaja, tidak berbuat sesuatu yang bermanfaat, masa itu menjadi pedang yang memotong kita. Berlalu umur dan usia tanpa mendapat manfaat dan ganjaran pahala.

Masa yang pantas menyaksikan kita akan meninggalkan  tahun 1436 Hijrah dan mula melangkah meniti tahun baru Islam 1437 Hijrah dalam beberapa hari lagi. Sudah tentu banyak perkara yang telah kita lakukan dalam setahun ini dan akan lakukan di tahun berikutnya.

Apabila menyentuh tahun hijrah, sudah tentu wajar untuk kita merenung kembali perjalanan Nabi kita Muhammad SAW ribuan tahun terdahulu. Peritiwa hijrah sebenarnya mempunyai iktibar yang besar untuk seluruh umat  Islam. Dari segi bahasa, ia bermakna perpindahan dari satu tempat ke satu tempat, seperti berjalan meninggalkan  kota A menuju ke kota B. Namun dari segi terminologi, hijrah merujuk kepada  perpindahan Rasulullah SAW dan orang-orang Islam dari Mekah menuju ke Madinah kerana mengikuti perintah Allah SWT dan mempertahankan ajaran yang mulia ini. Ini berlaku  setelah Baginda dan para Muslimin diuji dengan tekanan dan ancaman yang hebat dari kaum Musyrikin Makkah. Perjalanan Rasulullah SAW ke kota Madinah juga mengambil kira sokongan dan jaminan keselamatan yang telah diberikan oleh para penduduk Madinah kepada Baginda dan umat Islam Mekah.


Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ke kota Madinah merupakan satu pendekatan yang terbaik ketika itu. Jika disusuri firman Allah dalam surah al-Isra’: 76, ia menunjukkan bahawa orang Mekah memang sungguh-sungguh berazam untuk melakukan keganasan dan mengusir Nabi dan sahabat. Sekiranya Nabi bertegas untuk terus duduk di Mekah, sudah tentu bangsanya akan mengusir mereka dan Allah SWT akan menurunkan azab yang hebat kepada para Musyrikin Mekah sepertimana yang dilakukan ke atas kaum Nabi Nuh dan nabi-nabi lain yang diusur kaumnya. Namun,  Baginda menunjukkan pendekatan yang sangat lembut dan sanggup berkorban demi umatnya dengan mengambil langkah berhijrah ke Madinah. Melalui penghijrahan tersebut, Baginda dan umat Islam tidak diusir dan seterusnya bangsa Mekah tidak ditimpakan bencana oleh Allah SWT. “Dan sesungguhnya benar-benar mereka hampir membuatmu gelisah di negeri (Mekah) untuk mengusirmu daripadanya dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalmu mereka tidak tinggal melainkan sebentar sahaja.” Justeru, ia menunjukkan Rasulullah SAW sesungguhnya melihat dengan pandangan jangka panjang demi masa depan Islam dan umatnya yang akan berkembang.

Kedudukan hijrah yang sangat penting turut dikupas oleh para ilmuan Islam apabila menyentuh mengenai isu niat dalam sesuatu amalan. Apabila dilaporkan kepada Rasulullah SAW bahawa ada segelintir para sahabat yang berhijrah ke Madinah kerana ingin berjumpa dan mengahwini seseorang yang turut sama berhijrah. Rasulullah SAW bersabda:
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

Justeru, hijrah yang bersifat fizikal membawa badan dan diri ke Madinah, turut mempunyai ikatan rapat dengan amalan hati iaitu niat dan keikhlasan. Ia mendidik kita agar selalu menjaga hati dan memfokuskan apa-apa amalan yang kita lakukan, hendaklah semata-mata kerana Allah dan mengharapkan redha dan rahmatNya, bukan kerana makhluk dan habuan yang dijanjikan manusia.

Hijrah yang berlaku itu juga membawa maksud lebih mendalam. Ia turut merangkumi hijrah diri daripada kurang baik kepada yang lebih baik. Kita disaran berhijrah meninggalkan aktiviti tidak bermanfaat dan membuang masa kepada mengisi masa melakukan kebaikan untuk diri dan masyarakat. Hijrah daripada menjadi orang Islam yang jahil kepada orang Islam yang berilmu. Hijrah dariapda menjadi suami atau isteri yang tidak melaksanakan ajaran agama dalam rumah tangga kepada menjadi pasangan yang soleh dan mengawasi suruhan Allah. Hijrah daripada menjadi ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak mengikut ajaran islam kepada menjadi ibu bapa penyayang dan mendidik anak-anak mengikut ajaran Nabi. Hijrah daripada cara hidup  yang tidak baik yang lebih baik dan mendekatkan kita kepada Allah. Hijrah daripada membiarkan masa menjadi pedang yang memotong kita kepada menjadikan kita lebih positif, proaktif dan melakukan perubahan hebat sehingga kita dapat membina legasi yang lebih baik.