Thursday, April 3, 2014

Pengajaran dari Kes Sweden

Artikel 
Artikel ini disiarkan dalam Berita Harian pada 3 April 2014 (Khamis) ruanga Agama. Saya ingin mengutarakan pendapat saya atau analisis yang saya buat terhadap kes pasangan Malaysia di Sweden ini. Saya berdoa agar kedua mereka tabah dalam menghadapi hukuman penjara di sana, dapat memikir kembali tentag hubungan kekeluargaan antara mereka dan anak-anak, dapat memaafkan anak-anak mereka.. serta yang penting dapat juga meminta maaf dariapda anak-anak mereka. Kepada anak-anak mereka, saya mendoakan agar agar mereka tabah, dapat memafkan ibu bapa mereka, dapat memikirkan tentang kasih sayang ibu bapa mereka yang pernah diberikan dan semoga mereka semua akan kembali membina hubungan kekeluargaan yang lebih baik apabila bergabung nanti.. ameen..

_____________________________
 
Tajuk di Berita Harian   PENDIDIKAN HARUS BERASASKAN KASIH SAYANG..
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim
 
Kes sepasang rakyat Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan melakukan penderaan dan pencabulan kepada integiriti anak mereka menerima liputan meluas di negara kita. Kes ini menarik perhatian rakyat Malaysia kerana ia melibatkan kaedah mendidik yang dianggap hak ibu bapa untuk mendisiplinkan anak-anak mereka.
Sedangkan di Sweden, perlindungan daripada dipukul dan dilayan secara tidak wajar adalah satu perkara besar yang diperuntukkan dalam undang-undang kanak-kanak mereka. Mahkamah  yang membicarakan kes ini telah mensabitkan hukuman bersalah,  ibu tersebut  telah dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan manakala ayah mereka dikenakan 10 bulan penjara.
Perkembangan dan penghakiman kes ini menjadi bahan perbincangan di internet dan laman-laman sosial. Berdasarkan maklumbalas yang diberi, saya rangkumkan terdapat tiga pendapat diberikan oleh orang ramai. Pertama, mereka menyalahkan undang-undang Sweden yang dianggap terlalu tegas sehingga menolak kuasa ibu bapa mendidik anak-anak mereka. Mereka berpendapat memukul anak-anak adalah perkara biasa dalam kaedah pendidikan orang Melayu dan orang Islam. Justeru, kes ini seolah-olah mencabar orang Islam dan orang Melayu dalam mendisiplinkan anak-anak mereka.
Kedua, mereka menyalahkan ibu bapa tersebut kerana terlalu keras dalam mendisiplinkan anak-anak mereka. Pendekatan garang, pukulan menggunakan tangan, rotan dan tali pinggang dilihat sebagai kaedah mendidik yang diamalkan sehingga menyebabkan anak-anak memberontak. Anak-anak gagal memahami kenapa mereka dihukum.
Ketiga, mereka menyalahkan anak-anak tersebut kerana membuat laporan sehingga ibu bapa mereka dibicarakan. Anak-anak tersebut dikatakan  bukan anak yang baik, tidak menyayangi ibu bapa mereka dan tidak menghargai nikmat yang ibu bapa mereka berikan. Bahkan ada penulis yang membandingkan anak-anak tersebut dengan pengalaman mereka semasa kecil, di mana mereka dahulu dirotan setiap hari, diketuk kepala ke dinding dan diikat di tiang tetapi tidak membantah. Apa sahaja bentuk  hukuman dibuat oleh ibu bapa seharusnya diterima dengan terbuka oleh anak-anak kerana itu adalah tanda anak yang taat kepada ibu bapa mereka.
Kes ini sebenarnya wajar dilihat sebagai pencetus kepada penambahbaikan dalam masyarakat kita dalam urusan melibatkan kebajikan anak-anak, termasuklah tindakan yang diambil oleh ibu bapa, guru-guru dan penggubal undang-undang.  
Dari sudut agama, anak-anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa untuk dididik dan dijaga sehingga mereka mampu menjadi khalifah yang baik di muka bumi. Anak-anak bukan hak ibu bapa, tetapi mereka mempunyai hak untuk mendapat perlindungan dan layanan yang baik.
Sememangnya Nabi Muhammad SAW ada membenarkan pukulan kerana meninggalkan solat, tetapi ia adalah tindakan alternatif paling akhir dalam mendidik mereka. Itupun tertakluk kepada keberatan (weight) kesalahan yang dilakukan, dan juga haruslah selepas mereka berumur 10 tahun ke atas. Pukulan itu bukan dengan kuat penuh emosi marah,  tetapi pukulan ringan bertujuan untuk mendidik. Anak-anak juga hendaklah dijelaskan kesalahan mereka supaya mereka faham kenapa mereka dihukum.
Pendekatan kasih sayang adalah prinsip asas pendidikan Nabi SAW. Pendakwah Australia, Sheikh Yahya Ibrahim dalam satu ceramahnya pernah menegur pendekatan garang dan keras segelintir ibu bapa dan guru-guru yang sering mendenda dan merotan, dengan mencabar mereka membawa hadith yang menunjukkan Rasul mendekati kanak-kanak dengan pendekatan begitu. Tidak ada satu pun. Bahkan yang ada Rasululullah memuji, menegur, membina kasih sayang  sehingga kanak-kanak mencintai Baginda dan akhirnya turut mencintai ajaran agama yang Baginda bawa. Inilah yang berlaku kepada Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar yang masih muda remaja ketika itu.
Ini juga menjadi bahan utama pendekatan pakar motivasi terkenal di negara ini, Profesor Dr Muhaya Muhamad dalam ceramah keibu bapaan yang beliau kendalikan. Anak yang dididik dengan keras akan mengulangi dan menggunakan pendekatan keras di masa depan. Kajian banyak menunjukkan anak yang dilayan dengan keras, diherdik dan dihina akan rendah nilai dirinya dan akan bertindak serupa apabila mereka besar kelak. Pendekatan Nabi ini turut dikupas dengan panjang lebar oleh ramai pendakwah mengenai bagaimana kasih sayang adalah prinsip asas dalam pendidikan yang diajarkan Rasulullah. Kes ini seharusnya membuka mata ibu bapa untuk mendalami cara pendidikan Nabi dan mempraktikkan yang tepat dalam mendidik zuriat mereka.
Apabila melihat kepada pendekatan Sweden dan negara-negara lain, kita juga perlu melihat kembali bagaimana undang-undang negara kita mendekati isu penderaan ini. Alasan negara-negara tersebut pada hakikatnya adalah untuk menjaga kebajikan anak-anak daripada menjadi mangsa layanan yang tidak munasabah. Apatah lagi kanak-kanak yang mentalnya belum matang, tidak tahu untuk bertindak balas. Justeru, mereka sangat tegas dalam menilai erti penderaan. Penderaan bukan sahaja apabila patah tangan atau tanda seterika panas di badan kanak-kanak, tetapi juga melibatkan emosi kanak-kanak. Apabila seorang anak berubah menjadi pendiam, berada dalam dunia mereka sendiri, memberontak, berubah tingkah laku, maka ia juga adalah penderaan. Walaupun tidak bermakna Malaysia menerima secara total undang-undang mereka, tetapi wajar untuk kita melihat kembali dan menambah baik apa yang kurang untuk kebaikan kanak-kanak di negara ini.
Kita juga tidak wajar  menyebut perkataan menghina sebagai anak  tidak mengenang budi dan sebagainya kepada anak-anak tersebut kerana mereka adalah di bawah umur dan tidak boleh dikaitkan dengan kesalahan. Kita sepatutnya memberi sokongan kepada mereka supaya dapat menghadapi ujian ini, tidak trauma dan bukan menambah tekanan yang telah sedia ada. Jika masyarakat menghina, tindakan itu sebenarnya adalah sebahagian dari penderaan pula kepada mereka.

Adalah sangat diharapkan agar apabila keluarga ini bergabung kelak, ibu bapa dan anak-anak diberi bantuan psikologi untuk saling memaafkan dan membina kembali hubungan kekeluargaan yang ada. Adalah tidak mustahil dengan pandangan positif dan dokongan semua, keadaan akan menjadi lebih baik untuk mereka, dan seluruh ahli masyarakat kita umumnya. Kes ini mempunyai banyak hikmah yang tersirat.
 
*Penulis adalah Prof Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam.