Tuesday, April 20, 2010

Lelaki dan Wanita.. Setaraf atau tidak?

Sekadar Pendapat saya...
mengenai Perjuangan Memperjuangkan Persamaan Taraf Lelaki dan Wanita


(termasuklah sebahagian agenda tersilap dalam Kelompok Kesamaan Gender Sister in Islam di Malaysia ...)

Pada 4 April 2010 yang lepas, satu kumpulan pejuang hak wanita telah berarak di Portland, USA tanpa baju mendesak layanan sama taraf antara lelaki dan wanita dalam berpakaian. Wanita seramai lebih 20 orang berjalan tanpa baju di bandaraya Maine mendesak supaya masyarakat melihat wanita dan lelaki sebagai setaraf. Isunya jika lelaki boleh keluar di jalanan dengan hanya berseluar sahaja tanpa baju, semua orang melihatnya sebagai perkara biasa, tetapi kenapa apabila wanita berjalan tanpa baju, semua orang memandang pelik, melihat dengan nafsu dan mentertawakan mereka? Ini adalah satu ketidak adilan, mereka mendesak layanan adil antara lelaki dan wanita.


Apakah yang sebenarnya yang ingin dibawa oleh golongan pejuangan kesamaan gendre ini?


Isu mendesak persamaan taraf antara lelaki dan wanita memang berkembang dengan agak pesat di seluruh dunia. Golongan mendesak kesamaan ini menggelarkan diri mereka sebagai pejuang keadilan wanita, kesamaan taraf, feminisme, female liberation, women emansipation, melawan ketidakadilan gender dan sebagainya. Perjuangan ini secara hakikatnya mengetengahkan apa-apa isu yang dianggap menjatuhkan taraf wanita dan membezakan antara wanita dengan lelaki.



Ia sebenarnya bermula lama dahulu di barat apabila golongan ini bangun membantah layanan buruk di mana wanita tidak diberi hak mengundi, tidak mendapat gaji setaraf kaum lelaki, tertakluk kepada suami dalam semua urusan melibatkan harta sehinggakan nama keluarga perlu ditukar kepada nama keluarga suami apabila berkahwin. Mereka berjuang meninggikan taraf wanita dan mendesak pihak berkuasa melayan mereka dengan adil sepertimana lelaki. Perjuangan kemudiannya melebar kepada kesamaan hak dalam ekonomi, pendidikan, politik dan juga sosial. Perjuangan mereka didasarkan atas apa yang difikirkan wajar dalam nilaian semasa dan pemikiran akal mereka. Namun begitu, tidak dinafikan terdapat banyak kesan positif hasil perjuangan tersebut.



Di Malaysia, perjuangan meninggikan taraf wanita dan meminta wanita dilayan dengan baik digerakkan sebelum kemerdekaan melibatkan isu pendidikan wanita bagi mengelakkan buta huruf. Kemudian berkembang kepada bidang pentadbiran, politik dan sebagainya. Ia kemudiannya memasuki aspek melawan eksploitasi wanita dari segi seksual, perdagangan manusia, diskriminasi, prejudis dan lain-lain perkara yang menjatuh taraf wanita dan mendesak perubahan kepada sistem undang-undang, ekonomi dan sosial masyarakat.


Kita mesti berusaha memertabatkan wanita supaya tidak tertinggal dan dilayan secara tidak adil. Namun begitu, usaha memertabatkan wanita dan meletak wanita ditempat yang selayaknya adalah berbeza dengan perjuangan kesamaan gender atau feminisme keterlaluan sehingga membantah peruntukan agama suci Ilahi. Tidak semua yang lelaki dapat, maka wanita juga perlu mendapat yang sama. Tidak semua yang lelaki buat wanita juga perlu mendesak untuk melakukan yang sama. Allah mencipta lelaki dan perempuan berbeza dari segi kemampuan, sistem badan dengan perbezaan tanggung jawab dan juga tuntutan.


Perjuangan memartabatkan wanita Islam akan tersasar sekiranya melancarkan kesamaan gender tanpa mengambil kira nilai agama, fitrah kejadian manusia dan budaya setempat. Kejahilan pada agama akan menyebabkan golongan pejuang wanita berjuang melawan dasar kepada agama itu sediri. Dalam Islam, terdapat nas qatie (mutlak) dalam agama yang memperuntukan sesuatu perkara dan itu adalah hak Allah yang tidak boleh kita pertikaikan. Ia berbeza dengan peruntukan bersifat zanni (spekulatif) yang terbuka kepada ijtihad, pendapat baru dan perbezaan pendapat. Peruntukan jelas seperti pusaka, bilangan talak, kewajipan wali, kewajiban menutup aurat perlu difahami dengan baik sebelum kita membuat andaian negatif terhadapnya.





Apabila Allah memberikan lelaki peruntukan harta pusaka berbeza dengan wanita, Allah meletakkan tugas dan tanggung jawab berbeza wajib ditanggung oleh lelaki. Kegagalan melaksanakannya membawa risiko kemurkaan Allah yang lebih besar kepada mereka. Lelaki dibenarkan berkahwin empat dengan pertanggungjawaban yang besar dengan tuntutan mampu dari segi nafkah dan juga berlaku adil. Menzalimi isteri dan anak-anak semuanya dinilai Allah dan membuka ruang dosa dan azab yang besar atas kecuaian melaksanakan tanggung jawab tersebut.



Kejahilan segelintir lelaki dalam memahami perkaitan antara perkahwinan, pusaka, tanggungjawab dan beban pertanggungjawaban Allah terhadap mereka di akhirat menyebabkan mereka memandang mudah urusan wanita dan perkahwinan. Dari situ timbulnya amalan buruk melayan isteri dengan kasar dan ganas, mendera isteri, menampar, menggantung isteri tanpa diceraikan, meninggalkan isteri tanpa nafkah, berkahwin ramai tapi tidak bertanggung jawab, tidak memberi nafkah kepada anak-anak, mendiskriminasi layanan antara anak lelaki dan anak perempuan dan banyak lagi yang negatif. Amalan ini memburukkan nama baik Islam sehingga masyarakat awam beranggapan Islam yang mengajar layanan tersebut kepada wanita.


Pejuang wanita perlu berjuang memartabatkan wanita supaya mereka tahu apa hak mereka sekiranya dilayan dengan buruk, apa perlu dibuat dan kemana perlu dituju. Memberi pendidikan supaya wanita berpendirian tegas terhadap maruah diri dan hak mereka dengan mengambil kira dasar agama. Perjuangan memertabatkan wanita menjurus kepada meningkatkan keilmuan wanita, membetulkan pengamalan salah dalam masyarakat dan membantah perlakuan buruk lelaki terhadap wanita.


Kita jangan terpengaruh sampai ke tahap mencari kesamaan gender sehingga melawan semua nilai-nilai dalam agama kita. Golongan kesamaan gender tanpa dasar agama mendesak sesuatu yang melampaui sehingga keadilan wanita tidak berbaju, keadilan seks bebas, kebebasan melakukan maksiat sehingga semua nilai agama dipandang negatif.


Kita membantah perlakuan buruk lelaki melayan wanita secara kasar dalam isu keganasan rumahtangga tetapi tidak menafikan kaharusan berkahwin dan peruntukan talak dalam Islam. Kita mendesak lelaki melaksanakan konsep sebagai penjaga yang bertanggungjawab tetapi bukan mendesak supaya dibuang konsep wali dalam islam. Kita membantah amalan lelaki tidak bertanggungjawab dalam poligami tetapi kita tidak menafikan keharusan peruntukan poligami.

Perjuangan memertabatkan wanita terutama wanita Islam memang perlu diteruskan. Mendesak layanan yang baik, diberikan hak apa yang mereka berhak mendapatkannya adalah satu usaha murni. Namun jangan sampai melampaui batas melawan ajaran Allah dan membabi buta mengikut pengaruh feminisme Barat.


Nurhidayah Hashim
Melbourne