Saturday, April 17, 2010

Kahwin dan Cerai..

Sekadar Pendapat saya mengenai kahwin dan cerai..


Hampir setiap minggu akhbar dan majalah hiburan menyiarkan kisah percintaan, perkahwinan, pergaduhan dan kemudiannya perceraian di kalangan mereka yang dikenali atau celebiriti dalam masyarakat. Kisah sebegini pula selalu menarik minat masyarakat awam. Mereka ingin tahu siapa pilihan hati celebriti yang diminati, bagaimana perlaksanaan majlis perkahwinan, berapa hantarannya dan bagaimana mereka berpakaian semasa majlis tersebut. Jika bergaduh dan bercerai pula, masyarakat ingin tahu berapa lama perkahwinannya bertahan, kenapa pula mereka bercerai, siapa orang ketiganya dan pelbagai soalan lain.




Kesukaan masyarakat ini dimanfaatkan pula oleh media untuk menayangkan dalam ruangan yang besar isu-isu berkenaan. Isu-isu sebegini sebenarnya boleh menyebabkan masyarakat menerima hakikat kahwin dan kemudiannya bercerai adalah perkara biasa di kalangan artis sepertimana berlaku di Barat. Apabila ia diterima dalam pemikiran masyarakat bahawa kahwin cerai adalah suatu yang lumrah, ia secara tidak sedar boleh menghakis perasaan dan kesungguhan di dalam hati masyarakat untuk berusaha menjaga ikatan perkahwinan sedaya upaya yang mungkin.



Apabila berlaku sedikit perselisihan dan perbalahan, cerai akan menjadi pilihan terawal kerana ia sudah dianggap perkara biasa. Penilaian bahawa ikatan nikah adalah suatu yang suci dan tinggi serta kedudukan perceraian sebagai suatu tindakan tidak disukai Allah akan luput sedikit demi sedikit. Apatah lagi dengan statistik perceraian yang tinggi, keadaan ini merupakan perkembangan yang sangat tidak positif dan membimbangkan.


Perkahwinan dalam pandangan Islam adalah satu perkara suci dan tinggi nilainya. Ia adalah saranan Allah kepada manusia bagi meraikan fitrah kejadian manusia ciptaan-Nya. Allah SWT mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri.



Oleh itu, semua orang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin dan membina keluarga. Namun begitu, sekiranya seseorang belum mampu untuk berkahwin, hendaklah berusaha menahan hawa nafsu sebaiknya. Panduan itu diberikan Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Wahai orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) dapat mengawal mata dan kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Perkahwinan dalam islam didefinisikan sebagai 'satu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan bukan muhrim, menimbulkan hak dan kewajipan antara kedua-dua mereka.'




Para ulama’ membincangkan dengan panjang lebar kedudukan akad nikah dan juga hak dan tanggungjawab antara suami dan isteri.

Secara ringkas, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diperhatikan oleh kita semua melibatkan perkahwinan dan perceraian dalam Islam.

Pertama, perkahwinan adalah ikatan menyatukan dua insan dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam Islam. Ia berkait dengan perjanjian antara insan dengan Allah untuk menjaga perkara yang digariskan sesama mereka selepas akad dilaksanakan. Seorang lelaki apabila menerima akad, berjanji menerima seseorang perempuan sebagai isterinya dan berjanji menjaga kebajikan dan menyayangi isteri dengan nama Allah. Begitu juga seorang wanita melalui akad tersebut sebenarnya berjanji dengan nama Allah untuk mentaati dan menyayangi suaminya. Oleh itu, perkahwinan mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga di sepanjang perkahwinan berlangsung.

Kedua, perkahwinan hanya boleh berlaku di antara lelaki dan perempuan bukan muhrim. Islam mengharamkan hubungan sesama muhrim seperti anak dan bapa, adik-beradik , anak saudara dengan bapa saudara dan sebagainya. Akad nikah dalam Islam juga membawa nilai pengiktirafan bahawa perkahwinan adalah di antara seorang lelaki dan seorang perempuan. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan sesama jantina, lelaki berkahwin dengan lelaki atau wanita berkahwin dengan wanita. Perkahwinan gay tertolak sama sekali tanpa sebarang pengecualian di sisi Islam. Bahkan Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki menjadi perempuan atau pun perempuan yang bertukar menjadi lelaki.




Ketiga, melalui akad nikah, wujudnya apa yang dipanggil hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk menunaikannya. Manakala hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk menunaikannya. Hak anak yang lahir selepas ikatan itu pula menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk menunaikannya. Istilah tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar, perkara yang ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Jika gagal dipikul dengan baik, maka individu itu perlu menjawab di hadapan Allah di akhirat kelak terhadap pengabaian itu.


Keempat, bagi pasangan yang sedang bercinta atau bertunang, adalah jelas bahawa belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka.
Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh bebas bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi melakukan hubungan kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah. Melanggar peraturan tersebut contohnya melakukan zina merupakan dosa besar di sisi Allah dan membawa hukuman dalam perundangan Islam.



Justeru, semua individu sama ada orang biasa, celebriti, artis, pemimpin negara atau siapa sahaja wajar berusaha sebaik mungkin untuk memelihara ikatan perkahwinan yang dibina. Akad nikah bukan sahaja ikatan suci yang menggabungkan dua insan, tetapi juga dua keluarga dan juga dua keturunan. Perceraian seharusnya dilihat sebagai jalan terakhir selepas segala daya dilakukan untuk menyelamatkan ikatan rumah tangga tidak berjaya. Perceraian bukan jalan pintas yang menjadi pilihan. Semoga dengan itu nilai kemuliaan kepada satu akad yang dipandang mulia dalam Islam akan terus dipertahankan.



Nurhidayah Hashim
Melbourne