Wednesday, April 7, 2010

Isu Sebat Kartika

Sebat

Ramai yang bersuara- menyokong dan melawan keputusan sebat pada Kartika. Yang terbaru Raja Pahang menukar penghakiman dari sebat kepada khidmat awam. Saya sangat terkejut, terkedu, tergamam, sedih.. Kenapa jadi macam ni. Kenapa raja campur tangan dalam judiciary? kenapa Raja menurunkan sampai ke tahap tersebut. Ia sangat menyedihkan.. Bukan saya sedih pada Kartika, saya sedih pada perkembangan perundangan Syariah di Malaysia.. Kehakiman tidak bebas bertindak, apa akan jadi pada perkembangan Syariah di Malaysia?? Kuasa lain boleh menukar-nukar penghakiman... Sedihnya saya... sangat sedih!

__________
Saya copy statement kawan-kawan saya ...

PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

Isu: Peringanan Hukuman terhadap Kartika Sari Dewi Sukharnor

Untuk Siaran Semua Media

PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM) menzahirkan perasaan amat dukacita dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang yang telah berkenan memutuskan bahawa sebagai ganti kepada hukuman sebat Kartika Sari Dewi Sukharnor dititah perintah supaya menjalankan kerja khidmat kemasyarakatan di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan di alamat Jalan Tengku Muhammad, 25050 Kuantan selama 3 minggu mulai 2 April 2010.

Titah perintah ini langsung tidak mengambil kira hasrat dan kemahuan Kartika yang mahu disebat secara syarie atas kesalahan yang dilakukan sendiri olehnya. Kartika juga telah menghadapi pelbagai tekanan supaya merayu terhadap hukuman sebatan syarie tetapi masih cekal mahukan undang-undang Islam dilaksana ke atasnya.

PPMM yang mewakili lebih seribu ahli yang berkelulusan undang-undang dan syariah khuatir titah perintah ini tidak mempunyai keabsahannya di sisi undang-undang kerana walaupun bertindak sebagai Ketua Agama Negeri KDYMM Sultan Pahang seharusnya mempertahankan undang-undang Islam serta memperkukuhkan institusi mahkamah syariah. Hak dan kuasa sebagai Ketua Agama hendaklah dijalankan mengikut hukum agama itu sendiri.

Di samping itu pula undang-undang Islam telah menetapkan secara definitif hukuman bagi kesalahan meminum arak. Walaupun sebatan syarie sebanyak enam kali itu tidak mencapai jumlah yang ditetapkan oleh hukum syarak, namun ianya hendaklah dilaksanakan juga kerana ia lebih hampir kepada Hukum Syarak.

PPMM juga musykil peringanan hukuman tersebut dikatakan atas faktor kemanusiaan sedangkan hukuman tersebut sendiri adalah amat ringan dan mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Sebatan syariah amat berbeza dengan sebatan sivil yang mencedera dan menzalimi pesalah. Sebatan syariah lebih bersifat mendidik sebagaimana bapa mendidik anaknya.

Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri dan diampuni pekenan oleh DYMM Sultan memperuntukkan kaedah peringanan hukuman bagi pesalah syariah. Peringanan hukuman bagi kesalahan syariah pula hendaklah dibuat atas nasihat Mufti. Mufti pula bertanggungjawab menasihati DYMM Sultan berdasarkan Hukum Syarak. Dalam hal yang demikian PPMM tidak dapat menggarap peruntukan yang manakah terpakai kepada peringanan hukuman kepada kerja kebajikan ini.

PPMM juga menyelar ahli-ahli politik termasuklah menteri-menteri, ketua pembangkang dan NGO-NGO lain yang membelakangkan undang-undang Islam dalam pendirian mereka demi mengaut keuntungan politik atau populariti dalam isu ini.

PPMM menegaskan setiap undang-undang yang ditetapkan oleh Allah itu mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan kadang-kadang menjangkaui logik akal manusia. Oleh itu, kita tidak boleh menggunakan akal fikiran sendiri bagi menandingi ketetapan Allah itu.

Bertarikh pada 1 April 2010

Abdul Halim Bahari
Setiausaha Agong
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

__________________

PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)

Jumaat, 02 April 2010 bersamaan 17 Rabiulakhir 1431H


KENYATAAN AKHBAR
PRESIDEN PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)
MOHAMAD ISA ABD RALIP

ISU UBAH HUKUMAN SEBATAN SYARIE TERHADAP KARTIKA SARI OLEH SULTAN PAHANG, SULTAN AHMAD SHAH

PGSM dengan ini mengeluarkan kenyataan tentang pendirian PGSM sebagaimana berikut:-

1. Tidak menyokong sepenuhnya tindakan perlaksanaan hukuman khidmat masyarakat ke atas Kartika bagi menggantikan perlaksanaan hukuman sebat. Ini adalah kerana sebagai peguam syarie yang beramal di Mahkamah Syariah kami menyatakan bahawa sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda Sultan mempunyai kuasa ekslusif untuk mengurangkan atau meringankan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Kuasa ekslusif ini terbahagi kepada 2 keadaan berikut iaitu pertama apabila pesalah itu membuat permohonan rayuan kepada Baginda Sultan dan kedua apabila Baginda Sultan sendiri berkenan memberi pengampunan walaupun tidak dirayu atau dipohon oleh pesalah.

2. Keadaan pertama : Mengikut enakmen pentadbiran Agama Islam Pahang di bawah seksyen 209, sultan boleh mengurang, menambah atau mengubah hukuman dengan syarat tertuduh kena melalui rayuan terlebih dahulu hingga selesai kes mahkamah rayuan. Dalam kes Kartika ini, dia tidak membuat sebarang rayuan. Keadaan Kedua : Seksyen 133 tatacara jenayah Pahang pula mengatakan sultan atas nasihat mufti berkuasa meringankan hukuman dengan ganti kepada hukuman yang lebih ringan walaupun tak dirayu atau dimohon oleh pesalah dengan menggantikan drpd sebat kepada penjara atau penjara kepada denda. Itu sahaja kuasa sultan dari sudut perundangan, tiada disebutkan ganti kepada khidmat masyarakat. Tambahan ikut jumhur ulama’ kesalahan minum arak adalah termasuk dlm hukuman hudud dan hukumnya adalah disebat sekurang-kurangnya 40 rotan.

3. PGSM berpandangan bahawa hukuman sebatan adalah kesalahan yang berbentuk kesalahan hudud.

4. Penggantian hukuman sebat kepada hukuman khidmat masyarakat menggambarkan seolah-olah Sultan mengatasi undang-undang syariah walaupun sultan mempunyai kuasa esksekutif.

5. PGSM menimbulkan persoalan samada nasihat mufti telah diperolehi terlebih dahulu selari dengan peruntukan Seksyen 133 tatacara jenayah Pahang yang mengatakan sultan atas nasihat mufti berkuasa meringankan hukuman dengan ganti kepada hukuman yang lebih ringan walaupun tak dirayu atau dimohon oleh pesalah dengan menggantikan drpd sebat kepada penjara atau penjara kepada denda.

6. Pengumuman tersebut mengejutkan pengamal undang-undang syarie dan ianya memberi kesan kepada pandangan orang ramai terhadap Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan Islam memandangkan kepada hukuman yang telah dijatuhkan dan perintah yang telah dikeluarkan oleh Hakim sebelum daripada ini serta pendirian Kartika Sari sendiri yang sudah bersedia untuk menjalani hukuman tersebut sebelum ini.


Sekian, untuk siaran.

MOHAMAD ISA ABD RALIP
Presiden PGSM