Wednesday, January 9, 2008

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429 Hijriah

Hari ini 9 Januari 2008 adalah hari akhir untuk tahun 1428 Hijriah dan esok kita akan memasuki tahun baru mengikut kalendar Islam iaitu Awal Hijrah 1429 Hijriah. Begitu cepat masa berlalu, meninggalkan semua perkara menjadi kenangan. Semoga hari esok menjanjikan cahaya yang berkilauan dan bercahaya untukku, untuk seluruh keluargaku dan orang yang aku sayang dan juga untuk seluruh umat Islam semua.

Hari ini agak letih.. dari pagi jam 7.30pagi, aku ke ISTAC mewakili Pengarah sempena perasmian Seminar Islam and Science anjuran ISTAC IIU di Damansara. Kereta UiTM telah menunggu jam 7.30 pagi, driver baru tak tahu jalan ke ISTAC. Aku pun tak tahu macamna nak ke sana, akhirnya driver tersebut telah tersesat sehingga keluar dekat dengan One Utama, Supermarket di Damansara... Macammana ni? Dah lewat sepatutnya sampai 8.20pagi tapi jam 8.50 duduk di atas jalan raya lagi.. Aku telefon beberapa orang pensyarah yang tahu dan akhirnya kami sampai ke ISTAC jam 9.10pagi. Alhamdulillah..

Petang aku ada kelas dari jam 2-6 petang. Habis kelas aku ke usrah. Aku sempat membaca doa akhir tahun dalam kereta...

Presiden PGSM telah membuat ucapan ringkas sempena menyambut tahun baru 1429 Hijriah ini yang aku telah mengeditnya dan meletakkan di sini, untuk renungan bersama..
__________________________

Ucapan Ringkas Menyambut Tahun Baru Hijriah oleh Presiden PGSM

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan seru sekelian alam, salam dan selawat buat junjungan Nabi Besar Muhammad SAW serta salam buat ahli keluarga Baginda, para sahabat dan seluruh pejuang yang berusaha menegakkan dakwah Islam di muka bumi ini.

Mewakili Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah tahun 1429 Hijriyah kepada semua umat Islam dan khususnya kepada semua ahli-ahli PGSM.

Setahun yang berlalu amat bermakna bagi PGSM kerana terdapat banyak aktiviti yang telah kita lakukan bersama di samping tidak tersasar dari objektif ingin meletakkan Syariah di tempat dan kedudukannya yang sebenar. Namun begitu, perjalanan ini tidak terhenti dengan tahun baru ini malah ianya perlulah dilipatgandakan lagi.

Kita baru sahaja menyambut awal tahun baru 2008 dan pada hari ini, 9 Januari 2008, kita mula menapak ke tahun baru berdasarkan kalendar Islam iaitu tahun 1429 Hijriah. Dengan kedatangan tahun baru ini, tentulah lebih banyak cabaran dan rintangan yang pasti akan datang yang menguji keimanan, kesabaran dan keutuhan aqidah kita. Saya doakan kita akan berjaya menempuh segala cabaran dan dugaan tersebut.

Walaupun saban tahun berganti dan kita masih belum dapat meletakkan Syariah di kedudukan sebenarnya, janganlah kita berasa sedih atas apa yang berlaku. Sesungguhnya Allah tidak akan bertanya kenapa kita gagal mencapai apa yang ingin kita hajati, tetapi apa yang akan dipersoalkan ialah apakah usaha yang telah kita lakukan ke arah mencapai objektif tersebut.

Semoga tahun baru ini membawa sinar baru kepada umat Islam dan PGSM akan bertambah maju dalam usaha menegakkan syiar Islam di negara ini.

Sekali lagi saya mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1429H.

Sekian. Wassalam.

Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden PGSM
__________________________


Ada yang bergaduh sama ada wajar atau tidak kita baca doa akhir dan awal tahun? Kenapa perlu bergaduh? Perkara ini bukannya perkara qatie.. Bacalah semoga ia mengingatkan kita bahawa kita akan meningkat umur ke tahun yang baru, kita mohon dan berharap agar kita akan dapat memulakan dan meneruskan sepanjang tahun mendatang dengan baik dan dengan penuh kejayaan..


Doaku,

'Wahai Allah, apa sahaja yang kami lakukan sepanjang tahun ini semoga ianya baik dalam pandangan-Mu. Apa sahaja yang baik dan berguna, kurniakanlah kami keredhaan dan kasih sayang-Mu. Kurniakanlah kami keberkatan atas segala apa yang kami lalui. Berkatilah rumah tangga kami, luaskanlah rezeki kami. Permudahkanlah semua urusan kami, sama ada urusan dunia dan akhirat..

Wahai Allah, apa sahaja yang jahat dan buruk yang kami lakukan sepanjang tahun ini, ampunilah kami, maafkanlah kesilapan dan kelemahan kami. Janganlah Engkau biarkan kami menguruskan hidup kami sendirian tanpa pimpinan-Mu. Bantulah kami di sepanjang laluan hidup kami. Bahagiakanlah kami di dunia dan bahagiakanlah kami di akhirat.

Semoga tahun baru yang akan datang akan membawa sinar bahagia dan kekuatan untuk kami supaya lebih tabah berjuang dan redha menerima ujian yang ada...
Wahai Allah, pimpinlah kami untuk terus teguh berada di atas landasan-Mu...amin..'


'