Wednesday, January 2, 2008

Response Khilafah.com terhadap artikel Kuasa Syariah

Utusan Malaysia menyiarkan tulisanku bertajuk Kuasa Syariah, Sorotan 2007 pada 31 Dis 07 kemarin...

Semasa membuat pencarian data di internet, aku terjumpa web mykhilfahah.com. Dalam tu webmasternya meletakkan artikelku dan membuat ulasan seperti berikut...
___________

Ulasan mereka:

Dalam pada kita sibuk memperkatakan tentang Perbahasan Kuasa Syariah, kita tidak boleh lupa bahawa ‘keluhuran undang-undang’ yang sejati adalah terletak di tangan syariah (Al-Quran dan As-Sunah), bukannya terletak pada Perlembagaan, khususnya kepada perkara 121 (1A) yang selalu dianggap oleh pengamal undang-undang sebagai satu perkara/fasal yang ‘suci’ dalam Perlembagaan.

Artikel 121 (1A), seolah-olah perkara/fasal inilah ‘penyelamat’ agama dan umat Islam di Malaysia. Inilah di antara legasi dan kejayaan kuffar British di bumi Malaysia di mana Perlembagaan berjaya mereka letakkan sebagai ‘pusat’ berfikir rakyat Malaysia.

Nampaknya sehingga kini para pengamal undang-undang dan pensyarah undang-undang tidak boleh berfikir di luar tempurung di mana Perlembagaan adalah ‘standard’ utama mereka di dalam meletak dan menilai kebenaran sesuatu hukum.

Lupakah mereka akan firman Allah,“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul(Nya) dan kepada Ulil Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [TMQ an-Nisa’:59]

Juga perlu diingatkan bahawa sesuatu persengketaan dalam Islam wajib diselesai menggunakan metodologi Islam iaitu mesti kembali kepada hukuman Allah dan RasulNya, bukan kepada perkara 121 (1A) ataupun mana-mana Akta/Enakmen yang ada. Firman Allah,“Maka demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau putuskan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya [TMQ an-Nisa (4):65]

Jadi, sebagai seorang Muslim, apakah seseorang itu perlu merasa bangga dan cukup dengan merujuk kepada undang-undang selain Allah, yang mana dalam masa yang dia menidakkan hukum Allah swt dan Sunah RasulNya? Kembalilah kepada syariat Islam, jadikan ia sebagai ‘pusat’ kepada segala pemikiran kita. Jadikanlah undang-undang Allah sebagai pengganti undang-undang kufur yang ada sekarang dan Insya Allah kita akan beroleh rahmat. Janganlah kita menjadikan kitab Allah (Al-Quran) hanya sebagai bacaan kosong, sebagaimana yang dilakukan oleh orang Yahudi kepada kitab mereka.
__________________

Jawapanku

Pendirianku tidak begitu sulit untuk dihuraikan...

Perbincangan dari kaca mata undang-undang dan realiti semasa tidak semudah teori yang dibahaskan dalam kelas.. Berjuang dalam kerangka hari ini untuk mencari cahaya buat hari esok tidak bermakna kita meninggalkan al-Quran.. Kerana menyelamatkan agama dalam kerangka yang terpakai hari ini juga adalah satu perjuangan ..Menolak realiti hari ini boleh memungkinkan kita lebih terhina kerana semua perkara dikupas dan dikuasai oleh penentang agama...Mengubah apa yang ada bukan semudah ABC dan mendidik orang awam adalah perjuangan dalam nilaianku..