Thursday, January 3, 2008

PGSM Bantah Guna Nama Allah

Surat Terbuka Kepada Perdana Menteri Malaysia daripada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Membantah Penggunaan Perkataan Allah oleh Penganut Bukan Islam
__________________________________

Tarikh: 2 Januari 2008

Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia
Jabatan Perdana Menteri
PUTRAJAYA

Assalamualaikum wrmth wbrkth
YAB Datuk Seri ,

BANTAHAN PENGGUNAAN PERKATAAN “ALLAH” OLEH PENGANUT AGAMA BUKAN ISLAM.

Kami menarik perhatian YAB terhadap perkara di atas, laporan akhbar dalam The Star bertarikh 31 Disember 2007 dan Permohonan Bagi Semakan Kehakiman No R2-25-407-07 yang difailkan oleh Jerry W.A. Dusing @ Jerry W. Patel & Sidang Injil Borneo di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) boleh membuat undang-undang bagi menghalang penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Berikutan itu kesemua negeri-negeri di Malaysia kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak telahpun menggubal dan meluluskan undang-undang berkenaan.

YAB sendiri telah menggesa keempat-empat negeri tersebut di atas berbuat sedemikian dan ianya telahpun dipersetujui oleh negeri-negeri berkenaan. Namun perkara tersebut masih lagi belum menjadi realiti . Tiada penjelasan langsung tentang kelewatan ini.Bagi negeri-negeri yang telahpun mempunyai undang-undang tersebut, telah diperuntukkan adalah menjadi suatu kesalahan menggunakan istilah-istilah tertentu (termasuk menggunakan perkataan ‘Allah’) bagi kegunaan agama selain agama Islam.

Walaupun dari sudut penggunaan Bahasa Arab perkataan Allah itu merujuk kepada Yang Maha Pencipta, tetapi apabila ia disekutukan dengan perkara-perkara syirik, umat Islam di Malaysia tidak dapat menerimanya. Apatah lagi, umat Melayu/Islam sudahpun berada dalam keadaan keliru tentang agama mereka atas pelbagai faktor, dan sekiranya perkara ini dibenarkan maka umat Melayu/Islam akan bertambah-tambah keliru.Perkataan “Allah” adalah berasal dari bahasa Arab.

Sekiranya pihak Gereja ingin mengajar kanak-kanak Kristian yang berbahasa Malaysia, kenapa mereka tidak menggunakan perkataan Bahasa Malaysia iaitu Tuhan. Kenapakah untuk istilah ini diambil dalam Bahasa Arab. Sedangkan di Malaysia perkataan itu telah sebati bermaksud Allah azzajawalla. Lebih dahsyat lagi beberapa perkataan lain juga seperti “Baitullah”, “Kaabah” dan “Solat” juga hendak digunakan bagi merujuk kepada agama Kristian.

Jelaslah maksud yang tersirat disebalik permohonan mereka ini adalah untuk mengelirukan umat Islam yang telah lama menjadi sasaran Kristianisasi selama ini. Situasi di Indonesia adalah contoh terbaik bagaimana umat Islam begitu mudah di Kristiankan kerana segala perkataan yang berunsur Islam itu telah diserapkan ke dalam agama Kristian.

PGSM juga ingin merakamkan kekesalan yang amat sangat atas keputusan Kerajaan memperbaharui permit Herald –The Catholic Weekly dalam seksyen Bahasa Malaysia. Sekiranya tujuannya untuk menyebarkan agama Kristian kepada orang bukan Islam kenapakah tidak hanya dibenarkan dibuat di dalam bahasa ibunda masing-masing. Ini adalah kerana mengikut Perlembagaan orang Melayu adalah orang Islam.

PGSM menuntut agar Kerajaan bertegas melarang sebarang bentuk percubaan menggugat aqidah orang Islam di Malaysia dan mempertahankan kedaulatan Islam. Islam adalah jatidiri orang Melayu dan sama sekali tidak boleh diasingkan dari kehidupan harian.

Oleh yang demikian sebarang keputusan hendaklah juga mengambil kira kedudukan undang-undang, sensitiviti masyarakat arus perdana Islam dan juga apa yang telah sekian lama diamalkan.

Sekian. Wassalam.

“MELETAKKAN HAK KEPADA YANG BERHAK”


Yang benar,

Haji Zainul Rijal Abu Bakar, AMN
PresidenPersatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)