Sunday, January 6, 2008

Lagi Kes Menyentuh Hati

Hari ini, akhbar menyiarkan satu lagi kes seorang Malaysia yang meninggal dan didakwa masuk Islam sebelum kematiannya. Kes ini hampir sama seperti yang berlaku dalam kes Moorthy dan Reyyapan. Kita tidak pasti bagaimana kes ini sebenarnya. Aku akan cuba hubungi Presiden Persatuan Peguam Syarie bertanya kes ini. Apa sebenarnya yang terjadi.. Kesiannya dan sangat sedih atas apa yang terjadi kerana berlaku lagi kes seperti Moorthy dan Reyyapan...

Ya Allah, tolonglah kami semua..

_________________________

Diambil daripada Berita Harian 5 Jan 2008

Mahkamah benar injunksi halang MAIWP tuntut mayat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, di sini, semalam membenarkan permohonan injunksi interim seorang pengurus pusat snuker, bagi menghalang jenazah isterinya diuruskan secara Islam oleh Pengarah Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Hakim Lau Bee Lan membuat keputusan itu dalam kamar selepas mendengar permohonan ex-parte (sebelah pihak) oleh peguam Karpal Singh yang mewakili plaintif, Ngiam Tee Kong, 52.Beliau turut membenarkan permohonan Ngiam untuk menghalang Pengarah HUKM, ejen atau kakitangannya daripada menyerahkan mayat isterinya, Wong Sau Lan, 53, kepada MAIWP kerana mendakwa Wong masih beragama Kristian ketika meninggal dunia, Ahad lalu.

Lau menetapkan 18 Januari ini untuk mendengar permohonan inter-parte (kedua-dua pihak).Ngiam memfailkan saman itu Rabu lalu, bagi mengelak jenazah isterinya itu diuruskan mengikut agama Islam sebelum kesahihan dakwaan defendan itu diputuskan di mahkamah.Beliau memohon injunksi bagi menghalang HUKM dan MAIWP daripada mengambil atau menuntut milikan terhadap mayat isterinya.

Ngiam juga memohon injunksi bagi mengelak kedua-dua defendan itu daripada menghalang penyerahan jenazah Wong kepadanya untuk diuruskan mengikut agama Kristian.Dalam afidavit menyokong permohonannya, Ngiam berkata, beliau dimaklumkan isterinya sudah memeluk Islam ketika hendak menuntut jenazahnya sejurus selepas kematiannya, Ahad lalu.

Ngiam dimaklumkan jenazah Wong hanya akan diserahkan kepadanya jika beliau mengesahkan isterinya itu seorang Kristian ketika meninggal dunia, bagi membolehkan upacara mengikut agama Kristian.

Bagaimanapun, mayat itu perlu diserahkan semula kepada MAIWP untuk dikebumikan mengikut agama Islam.Sehubungan itu, Ngiam berkata, beliau menerima surat bertajuk Perakuan Masuk Islam bertarikh 31 Disember tahun lalu daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, menyatakan Wong memeluk Islam di sebuah rumah di Flat Sri Melaka, Cheras pada 24 Disember tahun sama.

Ngiam mendakwa proses pengislaman Wong adalah tidak sah kerana tidak mengikut peruntukan Undang-undang Pentadbiran Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1992, manakala pendaftarannya sebagai seorang mualaf selepas kematiannya juga tidak menepati peruntukan akta itu.

Selain itu, beliau mendakwa surat berkenaan juga tidak sah kerana tidak menyatakan nama Islam si mati.Pasangan itu berkahwin secara sivil pada 1979.