Wednesday, January 9, 2008

Jawapan Guna Kalimah Allah


Persoalannya boleh ke tidak orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan mereka? Jawapannya TIDAK BOLEH.
Kenapa? Kerana ia membawa kepada perlanggaran kepada syahadah yang kita baca iaitu 'Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah'.

Jika dibenarkan kita sangat bimbang ia memberi kesan negatif kepada orang Islam yang kurang ilmu terutama anak-anak muda kita akan hairan dan boleh membuatkan mereka terfikir bahawa 'Apa bezanya Islam dengan agama lain? Semuanya sembah Allah, tuhan yang sama, jadi semua agama setaraf dan sama sahajalah..' Sedangkan Tiada Tuhan Selain Allah dan tiada agama yang diiktiraf oleh Allah selain Islam.

Sama-sama kita baca apakah sebenarnya yang berlaku dalam tulisan di bawah ini. Tulisan ini ditulis oleh Mr Presiden dan diedit oleh aku. Semoga Islam akan terus kuat dengan semangat pejuang-pejuang yang ada.. Semoga Tahhun Baru 1429 Hijriah dan juga 2008 ini membawa cahaya kepada perjuangan memartabatkan Syariah di bumi Malaysia ini...amin
______________

Bukan Islam Tidak Boleh Guna Nama Allah
Zainul Rijal Abu Bakar

Masyarakat Islam menarik nafas lega dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah apabila membaca pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Mohd Zain yang menafikan kerajaan membenarkan penerbitan akhbar Herald- The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah walaupun Kementerian Keselamatan Dalam Negeri memperbaharui permitnya yang tamat baru-baru ini.

Keputusan Kabinet mengekalkan pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam adalah tepat kerana penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam apabila merujuk tuhan mereka boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan umat Islam. Malah ianya juga tidak bersesuaian dengan budaya dan adat yang telah lama diamalkan di negara ini.

Keputusan tersebut dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Dewan-dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah-wilayah Persekutuan menggubal dan meluluskan undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Ini bermakna walaupun rakyat bebas menganuti, mengamalkan dan mengembangkan agamanya; kebebasan tersebut bukanlah suatu yang mutlak. Kebebasan bersifat mutlak hanya akan mendatangkan kemudaratan sahaja.

Dalam konteks ini Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan telah pun mengehadkan kebebasan tersebut.

Sehubungan dengan itu semua negeri di Malaysia kecuali Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak telah menggubal dan meluluskan undang-undang yang mengawal dan menyekat pengembangan agama-agama bukan Islam di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pernah menggesa keempat-empat negeri tersebut di atas berbuat sedemikian dan ianya telah pun dipersetujui oleh negeri-negeri berkenaan.

Namun perkara tersebut masih lagi belum menjadi realiti. Tiada penjelasan langsung tentang kelewatan ini. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa keempat-empat negeri tersebut menunaikan janji yang telah mereka buat.Bagi negeri-negeri yang telah pun mempunyai undang-undang tersebut, terdapat peruntukan yang menyatakan bahawa menjadi suatu kesalahan menggunakan istilah-istilahtertentu (termasuklah menggunakan perkataan 'Allah', ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat” ) bagi kegunaan agama selain agama Islam. Namun pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang ini amatlah mengecewakan. Hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang ini pernah dilaksanakan.

Walaupun begitu adalah elok untuk kita melihat salah satu undang-undang yang telah diluluskan itu bagi memahami maksud larangan kabinet itu. Umpamanya Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam) (Negeri Sembilan) 1991 yang diperkenankan pada 11 Februari 1992.

Enakmen ini bertujuan untuk mengawal dan menyekat pengembangan iktikad dan kepercayaan-kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang yang menganuti agama Islam. Enakmen sebanyak lima belas seksyen ini antara lain memperuntukkan jenis-jenis kesalahan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan tersebut.

Antara kesalahan-kesalahan yang termaktub di dalam Enakmen tersebut ialah:-
a) Memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut, atau anggota suatu agama bukan Islam;
b) Mendedahkan seorang yang beragama Islam di bawah umur lapan belas tahun kepada pengaruh-pengaruh suatu agama bukan Islam;
c) Mendekati seorang yang beragama Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, atau pertunjukan apa-apa perkara mengenai suatu agama bukan Islam;
d) Menghantar atau menyerahkan terbitan-terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang yang beragama Islam;
e) Membahagikan apa-apa terbitan atau bahan publisiti mengenai agama bukan Islam kepada orang yang beragama Islam;
f) Menggunakan perkataan-perkataan dan perbahasan-perbahasan tertentu yang bersumberkan Islam.

Namun jumlah denda dan tempoh pemenjaraan antara satu negeri dengan negeri yang lain adalah berbeza. Pada tahun 2007 Kerajaan Negeri Kelantan telah meminda Enakmen mereka dan ini menjadikan negeri Kelantan mengenakan kadar denda yang tertinggi dan pemenjaraan yang paling lama antara negeri-negeri di Malaysia.

Walaupun dari sudut penggunaan Bahasa Arab perkataan Allah itu merujukkepada Yang Maha Pencipta, tetapi apabila ia disekutukan dengan perkara-perkara syirik, umat Islam di Malaysia tidak dapat menerimanya. Apatah lagi, umat Melayu/Islam sudah pun berada dalam keadaan keliru tentang agama mereka atas pelbagai faktor, dan sekiranya perkara ini dibenarkan maka umat Melayu/Islam akan bertambah-tambah keliru.

Perkataan "Allah" adalah berasal dari bahasa Arab. Sekiranya pihak Gerejaingin mengajar kanak-kanak Kristian yang berbahasa Malaysia, kenapa merekatidak menggunakan perkataan Bahasa Malaysia iaitu Tuhan. Kenapakah untukistilah ini diambil dalam Bahasa Arab. Sedangkan di Malaysia perkataan itutelah sebati bermaksud Allah azzawajalla. Begitu juga beberapa perkataan lain yang rata-ratanya difahami membawa maksud berteraskan Islam seperti ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘Solat’ juga hendak digunakan bagi merujuk kepada agama Kristian.

Untuk lebih terperinci, selain dari perkataan dinyatakan di atas, sebenarnya terdapat beberapa perkataan lain yang tidak boleh dikaitkan dengan agama bukan Islam. Antaranya ‘firman Allah, ulama, hadis, ibadah, solat, kadi, Ilahi, mubaligh, syariah, kiblat, haji, mufti, rasul, dakwah, injil, solat, khalifah, wali, fatwa, khutbah, nabi, tabligh, iman, syeikh, akhirat, azan, al-quran, al-sunah, auliya’, qaramah, syahadah dan juga masjid.’

Dari segi lafaz zikir, beberapa istilah dan perbahasan tidak boleh dikaitkan dengan agama bukan Islam seperti ‘Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Walillahilhamd, Allahuakbar, insyaAllah, Astaghfirullah, Tabarakallah, masya allah, La hawla wala, assalamualaikum, Wallahi, Wabillahi, Watallahi dan auzubillah.’

Kita berasa sangat musykil akan objektif kenapa mereka beria-ia ingin menggunakan istilah-istilah bersumberkan Islam itu. Dalam hal yang demikian, keputusan kabinet itu adalah betul walaupun setelah didesak oleh beberapa NGO Islam seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Persatuan Ulama Malaysia, TERAS dan beberapa pertubuhan yang lain. Diharapkan dengan keputusan ini, isu tersebut tidak akan dibangkitkan lagi. Keharmonian di antara kaum amatlah penting bagi mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keamanan serta kemakmuran akan dapat dikecapi oleh setiap rakyat. Oleh itu janganlah diusik sensitiviti kaum dan agama kerana keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang hendaklah dipertahankan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Semua komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com